adab amar makruf nahi mungkar

10 Adab Amar Makruf Nahi Mungkar Para Pendakwah Perlu Tahu

Apakah adab dalam amar makruf nahi mungkar? Artikel pada kali ini akan menyenaraikan adab-adab dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar di samping penjelasan yang lebih mendalam dari ayat-ayat Al-Quran dan Hadis berkenaan konteks ini.

Definisi Amar Makruf Nahi Mungkar

Amar makruf dan nahi mungkar adalah dua perkara yang berbeza dan ia datang dengan maksud yang berlawanan. Amar Makruf memberi maksud mengajak, menyuruh, atau menyeru manusia untuk melakukan hal-hal yang baik. Manakala Nahi Mungkar membawa definisi sebagai mencegah atau menghalang seorang manusia dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak yang mana ia membawa kepada dosa.

Dua definisi ini sangat bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Luqman, ayat 17 yang bermaksud:

وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

“Dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.”

Hukum Melakukan Amar Makruf Nahi Mungkar

Wajib bagi setiap manusia mengikut kemampuan diri mereka masing-masing.

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Daripada Abu Said al-Khudri RA, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu mengubah dengan lidah hendaklah dia mengubah dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jadi ringkasnya dalam mencegah kemungkaran, manusia bebas untuk melakukannya mengikut kemampuan diri masing-masing. Mencegah dengan tangan lazimnya melibatkan kuasa atau pangkat yang ada dalam diri seseorang seperti pegawai polis dalam sesebuah unit pasukan, dan seorang bapa sebagai ketua dalam keluarga. Mencegah dengan lidah pula sinonim dikaitkan dengan memberikan nasihat dan bimbingan ke arah yang lebih baik manakala mencegah dengan hati adalah perasaan benci dengan dosa dan cuba menjauhkan diri dari sebarang kemungkaran.

Adab-adab Dalam Amar Makruf Nahi Mungkar

1. Menggunakan cara yang berhikmah

Dalam berdakwah, kita perlu faham bahawa tidak semua orang yang kita dakwahkan itu mempunyai maksud hati yang sama. Setiap orang mungkin mempunyai pendapat, pendirian, keegoaan, dan rasa hati yang berbeza. Hanya sahaja jika mereka menyuarakan atau mengekspresikan rasa hati mereka mungkin pendakwah akan faham tetapi jika tidak maka ini akan menyebabkan mudahnya berlaku perselisihan faham antara dua pihak tersebut.

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Firman Allah yang bermaksud: “ Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Nahl, ayat 125).

Ayat ini jelas memberikan petunjuk kepada kita untuk bersiap sedia dalam menyampaikan dakwah kepada manusia yang pelbagai jenis karakter, latar belakang, perangai, kepandaian, kepakaran ilmu dan sebagainya.

Dalam buku Fiqhud-dakwah yang di tulis oleh Mohd Natsir ada menyebutkan bahawa berdakwah dengan cara yang berhikmah bukan hanya terbatas dengan ilmu sahaja malah ia juga mengambil kira tentang ilmu yang sihat, ilmu yang telah dicernakan, dan ilmu yang padu untuk menjadi sesuatu yang berguna kepada dakwah itu sendiri.

2. Melakukan perbincangan dengan cara yang baik

Dalam setiap percakapan atau perdebatan, akan sentiasa wujud dua keadaan di mana sebelah pihak akan menjadi pendengar atau pengkritik yang kuat. Jika kedua-duanya tampil dengan rasa hati yang tidak sefahaman maka perbincangan tersebut tidak akan mencapai titik penyatu melainkan pergadukan yang lebih besar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam berdakwah, kita bukan sahaja menjadi pemberi tetapi juga penerima dan menerima. Perlu wujud sikap saling bertukar-tukar pandanga dan fikiran untuk mendorong seseorang itu berfikir dengan lebih benar, sihat, dan rasional.

3. Menunjukkan teladan yang baik

Salah satu dari dakwah yang terbaik adalah dengan dakwah bi al hal, iaitu dakwah dengan perbuatan. Caranya dengan mempamerkan teladan yang baik kepada orang lain supaya ia boleh diikuti dan menjadi contoh kepada orang di sekeliling. Itulah kaedah mengajak orang dengan ‘al-Qudwah al-Hasanah’. Dakwah dengan perbuatan terbahagi kepada beberapa skop seperti dari segi akhlak, cakap serupa bikin, menguasai diri sendiri sebelum menguasai orang lain, menjaga persekitaran dan kebersihan diri dan sekeliling, dan berdakwah kepada keluarga terlebih dahulu sebelum berdakwah kepada orang di sekeliling.

Apa yang pasti, kita perlu faham bahawa diri kita sendiri juga seorang hamba yang masih berusaha untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Jika nanti kita kecundang dalam berdakwah jangan berputus asa sebaliknya anggaplah ia sebagai sesuatu yang memberikan semangat yang baru kepada diri.

Firman Allah SWT: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku: Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Yusuf, ayat 53)

4. Memilih masa dan tempat yang sesuai untuk memberikan nasihat

Berdakwah di tengah-tengah pergaduhan atau berdakwah ketika dalam kecemasan, kedua-dua situasi ini adalah contoh berdakwah pada waktu yang tidak sesuai. Takut-takut nanti mata kita pula yang biru kena tumbuk oleh orang lain. Berdakwah memang sesuatu perbuatan yang baik tetapi tidak semua orang boleh menerima tekanannya dalam waktu-waktu yang gentir seperti ini.

Sebagai seorang pendakwah, kita perlu peka dan mengambil berat dengan situasi yang ada di sekeliling agar urusan dakwah tersebut dapat berjalan dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah.

5. Menjauhi perkara-perkara atau kemaslahatan yang akan memudaratkan

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang Berjaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Dakwah dilakukan untuk mencapai kebaikan antara dua pihak. Tujuannya sangat murni kerana itu setiap muslim wajib untuk melakukannya walaupun mengikut kemampun diri masing-masing. Oleh yang demikian, pendakwah tidak boleh melontarkan isu-isu fanatik, provokasi, celaan-celaan yang boleh menimbulkan permusuhan dan bukan pula merupakan aktiviti-aktiviti yang bersifat destruktif.

6. Memberi kemaafan kepada orang lain

Memaafkan orang lain adalah ciri-ciri ahlak orang yang mulia. Ini jelas bertepatan dengan ayat di dalam Al-Quran yang bermaksud:

Firman Allah SWT: “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil.” (Surah al-A’raf, ayat 199)

Jujurnya, perbuatan memaafkan orang lain atas kesalahan yang mereka lakukan bukan suatu perkara yang mudah. Hanya orang yang mempunyai hati dan jiwa yang kental sahaja boleh melaksanakannya dengan penuh keikhlasan. Fitrah manusia memang sukar untuk melupakan perkara-perkara buruk yang dilakukan orang lain kepada kita.

Tetapi Allah SWT Maha Mengetahui. Dia tidak minta kita melupakan kesalahan orang itu sebaliknya meminta kita untuk memaafkannya. Selebihnya serahkan segalanya atas urusan Allah SWT.

7. Menceritakan dan mengambil iktibar tentang kisah-kisah umat terdahulu

Kitab suci Al-Quran sangat lengkap dalam memberi panduan, pelbagai jenis nasihat, menyenaraikan larangan kepada manusia termasuk merangkumkan kisah-kisah umat terdahulu yang mendapat kebaikan dan yang timpa azab sengsara atas perbuatan mereka sendiri. Kisah-kisah umat terdahulu adalah kisah nyata yang berlaku bukannya cerita dongeng yang dikarang manusia.

Dengan menyelitkan kisah-kisah umat terdahulu dalam berdakwah, seorang pendakwah itu boleh memberikan gambaran dan hukuman azab yang dikenakan oleh Allah SWT kepada kaum-kaum yang melampui batasan seperti Kaum Nabi Lut yang mengamalkan homoseksual.

8. Menggunakan dalil yang jelas, tepat, dan tegas

Intipati dakwah dalam Islam tidak akan pernah lari dari sumber utama Al-Quran dan Hadis. Bagaimana seseorang itu ingin dakwahnya sampai kepada orang yang di dakwahkan jika dia sendiri tidak menggunakan dan menguasai ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW?

Dari segi kesahsihan dan ketulenan yang digunakan pula perlulah selari dengan konteks tajuk yang ingin disampaikan. Pendakwah harus memilih dan mengasingkan hadis yang sahih, hadis hassan, hadis daif, hadis maqbul, hadis gharib, hadis aziz, hadis mursal, dan hadis ahad supaya mereka dapat mengemukakan sesuatu hujah yang tidak mampu untuk diputar belit lagi oleh pihak lawan.

9. Menggunakan bahasa yang mudah, ringkas, dan sesuai untuk setiap peringkat umur

Berdakwah dengan orang yang lebih tua dan berdakwah dengan anak kecil atau remaja tentunya sangat berbeza. Cara kita bercakap, cara kita menyampaikan informasi, cara kita mengatur nada suara, dan cara kita mengawal gaya tubuh dalam berbicara, semuanya memainkan peranan yang penting. Seorang pendakwah perlu menggunakan bahasa yang baik, tepat dan padat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلاً سَدِيداً

“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berkatakanlah dengan kata-kata yang tepat.” (Surah Al-Ahzab, ayat 70)

10. Menguasai cara komunikasi yang baik untuk merangsang jiwa orang yang mendengar

Siapa yang tidak kenal kepada Zakir Naik dan Ahmad Deedat. Kedua-duanya adalah tokoh yang sangat arif dalam ilmu perbandingan agama yang mampu menguasai dan menghafal kitab-kitab suci agama seperti Al-Quran, Bible, dan bermacam lagi. Ahmad Deedat adalah guru kepada Zakir Naik, Walaupun terdapat persamaan dalam duo tokoh ilmu teologi ini tetapi masih ada perbezaan antara mereka dari segi metode dakwah.

Buktinya, metod Zakir tidak diterima di Sarawak dan India. Tetapi metod Ahmad Deedat, berjaya memperkasakan Muslimin di Afrika.

Kesimpulan

Berdakwah adalah sesuatu yang menjadi kewajipan setiap manusia. Besar pahalanya mereka yang membantu manusia lain keluar dari jalan-jalan kesesatan dan mengajak mereka pula ke arah kebaikan. Diharapkan artikel berkenaan adab amar makruf nahi mungkar ini dapat memberikan anda pengetahuan yang berguna dan bermanfaat dalam menjadi muslim yang lebih baik dari hari ke hari.

Adab-adab yang Lain

Adab MesyuaratAdab Sebelum Tidur
Adab MakanAdab Masuk Tandas
Adab Kepada PemimpinAdab Kepada Tetamu
Adab BerdoaAdab Ziarah Orang Sakit
Adab Menaiki KenderaanAdab Bersedekah
Adab Membaca AlquranAdab Amar Maaruf Nahi Mungkar
Adab Kepada IbubapaAdab Berzikir
Adab Suami kepada IsteriAdab Isteri kepada Suami
Adab Ziarah KuburAdab Dengan Guru
Adab MusafirAdab dengan Jiran
Adab Menziarahi Jenazah

Rujukan

  1. Rumaizuddin Ghazali (13 November 2020) Hikmah Dalam Berdakwah. Fiqh Ad-Dakwah
  2. Johari Yap (28 Julai 2019). Berdakwah Dengan Bijaksana. Sinar Harian
  3. Umar Faruoq Morhalim (20 April 2015). Dakwah Dengan Berhikmah. Isma Mesir
  4. Fatimah Syarha Nordin (20 Julai 2019). Dakwah Dengan Teladan. Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − 1 =

Scroll to Top