Skip to content

Kisah Abrahah,Tentera Bergajah dan Burung Ababil

kisah abrahah

Pada suatu masa dahulu, ada seorang raja Habsyah yang angkuh bernama Abrahah. Kisah Abrahah dirakamkan di dalam Al-quran pada Surah Al-Fil. Abrahah membina sebuah gereja besar di Yaman dengan niat untuk menandingi Kaabah di kota Mekah.

Abrahah masih lagi tidak berpuas hati dengan terbinanya gereja tersebut, bahkan dia menginginkan agar Kaabah dihapuskan agar orang-orang yang melaksanakan haji saban tahun akan beralih pusat ke gereja miliknya.

Abrahah berangkat bersama pasukan tenteranya dan dibawa bersama gajah-gajah yang telah dilatih untuk bertempur. Bagi Abrahah, gajah itu lebih besar dan lebih digeruni berbanding haiwan lain seperti kuda.

Surah Al-Fil dan Kisah Abrahah


Kisah ini diceritakan dalam satu surah di dalam Juzuk ke-30 iaitu surah Al-Fil.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ(1) أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ(2)وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْراً أَبَابِيلَ(3)تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ(4)فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ(5)


Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2) Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, –(3) Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, –(4) Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. (5)

Penduduk Mekah Ketakutan dengan Tentera Abrahah


Sepanjang perjalanan, habis musnah perkampungan yang dilalui oleh Abrahah dan tentera bergajahnya sepanjang menuju ke kota Mekah.

Itu menyebabkan penduduk Mekah merasa takut dengan keganasan Abrahah dan tenteranya. Apabila Abrahah tiba di Mekah, penduduk Mekah bersembunyi di rumah dan tidak berani untuk berdepan dengan tentera Abrahah.

Sebaik mereka ingin memasuki Kota Mekah, gajah-gajah besar kebanggan Abrahah itu menjadi cemas dan tidak mahu memasuki Kota Mekah.

Abrahah berkeras dan memaksa tenteranya untuk membawa gajah-gajah itu masuk dan memusnahkan Kaabah seperti yang diinginkannya. Keadaan menjadi kelam kabut dan mencemaskan.

Allah Menghantar Burung Ababil


Dengan kekuasaan Allah, kumpulan burung yang sangat banyak tiba-tiba datang memenuhi langit kota Mekah.

Burung Ababil yang dihantar oleh Allah membawa batu yang dibakar keras dan melontarkan kepada Abrahah dan tentera bergajahnya. Batu yang sangat keras dan panas itu menghancurkan apa sahaja yang mengenainya. Tiada satupun yang terlepas dari sasaran burung Ababil ini.

Gajah-gajah yang besar itu menggelupur mati dan ramai dari kalangan tentera Abrahah juga mati menjadi sasaran batu panas lontaran Ababil.

Keadaan pada waktu itu Allah gambarkan seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. Berlubang-lubang menjadi rosak dan akhirnya rosak seluruh daun tersebut.

Kaabah Dalam Penjagaan Allah


Abrahah turut menjadi sasaran batu panas Ababil. Saat Abrahah dibawa keluar dari kota Mekah, jari-jarinya gugur satu persatu ibarat dimakan api dari dalam.

Abrahah akhirnya mati ketika dalam perjalanan pulang ke negaranya. Kematiannya penuh dengan murka Allah.

Kaabah milik Allah yang cuba dimusnahkan oleh Abrahah akhirnya dijaga dan dipelihara sendiri oleh Allah dan tentera Allah.

Dikatakan sebelum Abrahah meruntuhkan Kaabah, dia telah merampas binatang-binatang ternakan penduduk Mekah.

Abrahah juga telah mengambil secara paksa 200 ekor unta Abdul Mutalib.

Apabila Abdul Mutalib datang kepada Abrahah untuk meminta kembali unta-untanya, Abrahah terkejut. “Kenapa engkau meminta kembali untamu? Kukira engkau ingin menghalang aku meruntuhkan Kaabah?”

Abdul Mutalib mengatakan, “Unta-unta itu milikku, maka akulah yang perlu mengambilnya kembali. Sedangkan Kaabah itu milik Allah, Dia lah yang akan menjaganya daripada seranganmu!”

Pengajaran Daripada Kisah Abrahah


Terdapat beberapa pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini.

  1. Sebagai manusia, kita perlu menjaga kesucian hati. Abrahah mempunyai hati yang tidak baik, dan merancang melakukan kemusnahan yang besar kepada orang lain. Tindakan yang bermula daripada sifat dengki kerana Kaabah menjadi tumpuan orang melakukan haji menyebabkan Abrahah diazab oleh Allah.
  2. Manusia adalah khalifah di muka bumi, Allah telah memberi manusia kebolehan mentadbir alam dan seluruh isinya. Kerana itu manusia perlu menggunakan kelebihan ini ke arah kebaikan. Abrahah menggunakan gajah-gajahnya ke arah keburukan, dan dihukum oleh Allah.
  3. Orang mukmin wajib mempercayai bahawa Allah sangat-sangat berkuasa. Allah mampu untuk membuat sesuatu yang tidak kita jangka hebatnya. Alam sekeliling menjadi tanda kehebatan ciptaan Allah. Juga pada kehebatan penciptaan diri kita. Allah menurunkan burung Ababil menjadi petunjuk kepada kita akan kehebatan Allah ini.
  4. Kita perlu sentiasa berada pada pihak kebenaran, iaitu pada jalan yang Allah redha. Caranya adalah dengan mentaati, mengimani, dan melaksanakan perintah Allah. Juga dengan cara menegakkan kalimah tauhid di muka bumi.
  5. Kita tidak boleh mengikut pihak yang menentang Allah, dan segala hukum-hakam dan hak Allah. Abrahah yang bersungguh-sungguh melawan Allah telah disiksa oleh Allah. Kita hendaklah menjaga diri agar tidak terjerumus kepada golongan yang membenci setiap apa yang disyiarkan agama Islam.

Semoga kita mendapat pengajaran daripada kisah Abrahah ini.

Baca juga:

1 thought on “Kisah Abrahah,Tentera Bergajah dan Burung Ababil”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × five =