25 Adab Berdoa Yang Anda Perlu Tahu

Tawaduk · Munajat · Mustajab Doa · Penyucian Hati

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

25 Adab Berdoa Yang Anda Perlu Tahu

Panduan Komprehensif Munajat Mengikut Al-Quran Dan As-Sunnah, Waktu Dan Tempat Mustajab, Peta Visual Kaabah Serta Sebab Sesuatu Doa Terhalang

25 Adab Berdoa Sebab Doa Ditolak Masa Makbul Tempat Mustajab

Assalamu’alaikum Wbt. Doa merupakan ibadah rohaniah yang paling besar ertinya dalam Islam. Setiap insan akan merasakan betapa tingginya penghargaan dan pergantungan dengan kebesaran dan keagongan Allah SWT setelah berusaha dan berikhtiar. Permohonan kepada Allah dilakukan dengan penuh khusyu’ dan tawaduk disertai dengan hati dan jiwa yang tenang kerana Dialah satu-satunya tempat manusia mengadu memohon ampun dan kemaafan. Artikel ini akan membincangkan secara rperinci 25 Adab Berdoa Yang Anda Perlu Tahu, waktu serta tempat mustajab, faktor terhalang makbulnya doa, serta cara Allah memperkenankan permohonan hamba-Nya.

Kedudukan & Keistimewaan Doa

Amalan berdoa yang dikurniakan Allah bagi kehidupan orang-orang yang beriman mempunyai kekuatan, keajaiban dan keistimewaannya yang tersendiri:

1. Doa adalah Teras Ibadah Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ الدَّعَاءَ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya doa itu ialah ibadah.” (Hadis Riwayat Abu Daud & al-Tirmizi).
2. Amalan yang Disukai Allah SWT Allah memerintahkan hamba-Nya untuk memohon kepada-Nya:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah: 5).
3. Doa Boleh Menangkis Ketetapan Qada’ Sabda Nabi ﷺ:

لَا يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلَّا الدُّعَاءُ

Maksudnya: “Tidak dapat menangkis ketetapan takdir (qada’) melainkan doa.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).
4. Doa Sebagai Senjata Mukmin Sabda baginda ﷺ:

الدُّعَاءُ سِلَاحُ الْمُؤْمِنِ وَعِمَادُ الدِّينِ وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: “Doa itu adalah senjata bagi orang mukmin, tiang agama, serta cahaya bagi langit dan bumi.” (Hadis Riwayat al-Hakim).
5. Wasilah Penghapus Dosa Dalam hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:

يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي

Maksudnya: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya selagi mana kamu memohon doa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku, Aku akan mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan Aku tidak peduli.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi & Ahmad).

25 Adab Berdoa Yang Anda Perlu Tahu

1. Berada Dalam Keadaan Berwuduk Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari RA ketika Nabi ﷺ berwuduk sebelum berdoa:

دَعَا بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ

Maksudnya: “Baginda ﷺ meminta air lalu berwuduk, kemudian mengangkat kedua-dua belah tangannya (untuk berdoa).” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim).
2. Menutupi Aurat Dengan Sempurna Menutup aurat dengan pakaian bersih sebagai bentuk penghormatan mutlak di hadapan Allah SWT.
3. Menghadap Ke Arah Kiblat Arah kiblat merupakan arah termulia. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA:

اسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ وَدَعَا

Maksudnya: “Baginda ﷺ menghadap ke arah kiblat lalu berdoa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
4. Berdoa Dengan Penuh Khusyuk Dan Tawaduk Menghadirkan rasa rendah diri. Allah SWT berfirman:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرٌّعًا وَخُفْيَةً…

Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan penuh rendah diri (tadarru’) dan secara rahsia (khufyah)…” (Surah al-A’raf: 55).
5. Didahului Dengan Taubat Dan Istighfar Membersihkan jiwa daripada dosa-dosa kecil. Allah SWT berfirman menceritakan seruan Nabi Nuh AS:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

Maksudnya: “Sehingga aku (Nuh) berkata kepada mereka: Mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” (Surah Nuh: 10).
6. Tidak Tergesa-gesa Mahukan Doa Dimakbulkan Sabar menanti ketetapan terbaik daripada Allah. Sabda Nabi ﷺ:

يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ…

Maksudnya: “Doa salah seorang daripada kamu akan sentiasa dimakbulkan selagi mana dia tidak tergesa-gesa…” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim).
7. Memilih Waktu-Waktu Mustajab Berdoa pada waktu yang disunatkan seperti pertengahan malam. Sabda Nabi ﷺ:

جَوْفُ اللَّيْلِ الْآخِرِ، وَدُبُرُ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya: “Di pertengahan malam yang terakhir, dan sejurus selepas selesai solat-solat fardu.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).
8. Mengangkat Kedua-dua Belah Tangan Tanda kebergantungan penuh hamba. Sabda Nabi ﷺ:

إِنَّ رَبَّكُمْ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ…

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhanmu Yang Maha Pemalu lagi Maha Pemurah merasa malu terhadap hamba-Nya apabila dia mengangkat kedua-dua belah tangannya…” (Hadis Riwayat Abu Daud & al-Tirmizi).
9. Duduk Dengan Keadaan Sopan Mengelakkan kedudukan malas. Duduk secara tertib (iftirasy). Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ…

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, dan dalam keadaan berbaring…” (Surah Ali Imran: 191).
10. Memulakan Doa Dengan Memuji Allah (Tahmid) Membaca hamdalah terlebih dahulu sebelum menyatakan hajat. Sabda Nabi ﷺ:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَحْمِيدِ اللَّهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ…

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu berdoa, maka mulakanlah dengan memuji Allah dan menyanjung-Nya…” (Hadis Riwayat al-Tirmizi & Abu Daud).
11. Berselawat Ke Atas Baginda Rasulullah ﷺ Selawat merangsang pengabulan doa. Sahabat Umar bin al-Khattab RA menyebut:

إِنَّ الدُّعَاءَ مَوْقُوفٌ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ…

Maksudnya: “Sesungguhnya doa itu tertangguh di antara langit dan bumi, tidak diangkat sedikit pun daripadanya sehinggalah kamu berselawat ke atas Nabimu.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).
12. Mengaku Kelemahan Diri Dan Segala Dosa Mencontohi doa Nabi Yunus AS ketika berada di dalam perut ikan paus:

لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (Ya Allah), Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah daripada golongan orang-orang yang zalim.” (Surah al-Anbiya’: 87).
13. Berdoa Dengan Penuh Keikhlasan Hati Memurnikan doa hanya kepada Allah SWT. Allah berfirman:

…فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “…Maka berdoalah (sembahlah) kamu kepada Allah dengan tulus ikhlas beragama kepada-Nya semata-mata…” (Surah Ghafir: 14).
14. Memilih Perkataan Yang Baik Dan Penuh Pengharapan Berdoa dengan rasa harap (raghaban) dan cemas (rahaban). Allah SWT berfirman:

…وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا ۖ وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

Maksudnya: “…dan mereka sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan dan cemas, dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.” (Surah al-Anbiya’: 90).
15. Bertawasul Menerusi Asma’ul Husna Menyebut nama Allah yang mulia mengikut kesesuaian hajat. Allah SWT berfirman:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا…

Maksudnya: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (Asma’ul Husna), maka berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu…” (Surah al-A’raf: 180).
16. Bertawasul Dengan Amal Soleh Sendiri Memohon dengan bersandarkan amalan ikhlas yang pernah dibuat seperti kisah pemuda di dalam gua (Ashab al-Ghar) yang diselamatkan Allah selepas bertawasul dengan amalan soleh mereka (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim).
17. Mengulangi Doa Sebanyak Tiga Kali Menunjukkan keazaman yang tinggi. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA:

وَكَانَ إِذَا دَعَا دَعَا ثَلَاثًا

Maksudnya: “Dan adalah baginda ﷺ apabila berdoa, baginda akan mengulanginya sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Muslim).
18. Berdoa Menggunakan Bahasa Yang Difahami Allah memahami setiap bahasa. Berdoa menggunakan bahasa sendiri mendatangkan kekhusyukan jika tidak menghafal bahasa Arab. Allah SWT berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ…

Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia dapat menerangkan kepada mereka…” (Surah Ibrahim: 4).
19. Mengelakkan Doa Keburukan Atas Diri Dan Keluarga Dilarang memohon malapetaka atas diri sendiri ketika sedang marah. Sabda Nabi ﷺ:

لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَوْلَادِكُمْ…

Maksudnya: “Janganlah kamu mendoakan keburukan ke atas diri kamu, dan janganlah kamu mendoakan keburukan ke atas anak-anak kamu…” (Hadis Riwayat Muslim).
20. Menyerendahkan Suara Semasa Berdoa Mengelakkan jeritan atau nada terlalu bising. Allah SWT berfirman:

…وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا

Maksudnya: “…dan janganlah kamu mengeraskan suaramu (dalam solat/doa) dan janganlah pula terlalu merendahkannya, serta carilah jalan tengah di antara kedua-duanya.” (Surah al-Isra’: 110).
21. Mengucapkan ‘Amin’ Di Akhir Doa Melafazkan pengaminnan bersama. Sabda Nabi ﷺ:

إِذَا أَمَّنَ الْقَارِئُ فَأَمِّنُوا…

Maksudnya: “Apabila pembaca selesai (berdoa) lalu mengucapkan Amin, maka ucapkanlah Amin…” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim).
22. Menyapu Tapak Tangan Ke Wajah Selesai Berdoa Berdasarkan riwayat daripada sahabat Umar bin al-Khattab RA:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ لَمْ يَحُطَّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah ﷺ apabila baginda mengangkat kedua-dua belah tangannya ketika berdoa, baginda tidak akan menurunkan kedua-duanya sehinggalah baginda menyapu wajahnya dengan kedua-dua tapak tangannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).
23. Sentiasa Berbaik Sangka (Husnuzon) Kepada Allah Yakin Allah akan mengabulkan dengan cara terbaik. Hadis Qudsi menyebut firman Allah SWT:

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي…

Maksudnya: “Aku adalah berdasarkan sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku…” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim).
24. Memastikan Sumber Rezeki Dan Makanan Adalah Halal Sebab paling kritikal doa ditolak adalah perut yang diisi harta haram. Hadis menyebut:

“…dia menadah tangannya ke langit sambil berseru: Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Sedang makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia dibesarkan dengan cara yang haram. Maka bagaimanakah doanya akan dimakbulkan?”

(Hadis Riwayat Muslim).
25. Reda Dengan Setiap Ketentuan Pengabulan Doa Reda sekiranya Allah menunda makbul doa di dunia kerana menyimpannya di Akhirat demi maslahat kita.

Syarat Dan Waktu Mustajab Berdoa

Syarat Doa Dimakbulkan

Sila rujuk pembahagian waktu-waktu yang paling mustajab untuk memohon doa di bawah:

✦ Kategori Solat:
  • Sesudah selesai berwuduk.
  • Antara lafaz azan dan iqamat.
  • Ketika azan berkumandang dan ketika iqamat diucapkan.
  • Ketika memulakan solat dan sesudah selesai.
  • Pada akhir setiap solat fardu (sebelum salam).
  • Semasa dalam keadaan sujud (sama ada dalam atau luar solat).
  • Ketika melakukan iktidal terakhir dalam solat.
  • Selepas solat Subuh sehingga sebelum terbit matahari.
  • Di antara waktu Zuhur dan Asar serta selepas waktu Asar.
  • Selepas mendirikan solat fardu lima waktu.
✦ Kategori Malam:
  • Pada malam hari Jumaat.
  • Malam 10 Muharam (Hari Asyura).
  • Malam Nisfu Syaaban.
  • Pada malam al-Qadar (sepuluh malam terakhir yang ganjil).
  • Malam raya Aidilfitri dan Aidiladha.
  • Di pertengahan malam dan seperdua malam yang kedua.
  • Sepertiga malam yang pertama (jam 6 hingga 10 malam) dan sepertiga malam yang terakhir (selepas jam 2 pagi).
  • Waktu sahur (sebelum masuk subuh).
✦ Kategori Hari & Peristiwa:
  • Pada hari Arafah (9 Zulhijjah ketika wukuf).
  • Semasa sedang bermusafir.
  • Ketika sedang berpuasa dan semasa berbuka puasa.
  • Sepanjang hari dalam bulan Ramadan.
  • Ketika hujan lebat turun.
  • Ketika khatam membaca Al-Quran.
  • Ketika dalam pertempuran mempertahankan Islam atau darurat.
  • Ketika meminum air zam-zam.
  • Pada waktu ayam jantan berkokok di pagi hari.
  • Semasa penutupan mata jenazah yang baharu meninggal dunia.

Tempat-Tempat Mustajab Berdoa

✦ Tempat Mustajab Umum:
  • Di dalam Masjid al-Haram (Mekah) dan Masjid Nabawi (Madinah, terutamanya di Raudhah).
  • Di belakang Maqam Ibrahim dan di dalam Hijir Ismail.
  • Di atas Bukit Safa dan Bukit Marwah.
  • Di Padang Arafah, Muzdalifah, dan Mina.
  • Di Masjid al-Aqsa (Baitulmuqaddis).
  • Di dalam mana-mana masjid atau rumah ibadah yang sunyi.
Peta Tempat Mustajab Sekitar Kaabah
✦ 13 Lokasi Emas Mustajab Sekitar Kaabah:
  1. Di hadapan Hajar Aswad.
  2. Di kawasan Multazam / Hateem.
  3. Tempat Malaikat Jibril mengimami Nabi Muhammad ﷺ.
  4. Tempat Asal Makam Nabi Ibrahim.
  5. Binaan Makam Nabi Ibrahim Sekarang.
  6. Pintu Bani Syaibah (tempat masuk Nabi Muhammad ﷺ).
  7. Di sisi Telaga Zam-zam.
  8. Di dalam Hijir Ismail.
  9. Di bawah Pancuran Emas (Mizab Rahmah).
  10. Mustajaar (Pintu keluar Kaabah yang ditutup).
  11. Di sisi Rukun Yamani.
  12. Tempat permulaan Tawaf.
  13. Mihrab Nabi Muhammad ﷺ di Madinah.

Punca Sesuatu Doa Tidak Dimakbulkan

Sufi terkenal Ibrahim bin Adham menjelaskan 10 punca hati mati yang menyebabkan doa terhalang daripada dimakbulkan Allah SWT:

  1. Mengenali Allah SWT tetapi tidak menunaikan hak suruhan-Nya.
  2. Mendakwa cinta kepada Rasulullah ﷺ tetapi meninggalkan amalan sunnahnya.
  3. Membaca kitab suci al-Quran tetapi tidak mengamalkan isi kandungannya.
  4. Menikmati segala rezeki kurniaan Allah tetapi tidak bersyukur kepada-Nya.
  5. Mendakwa syaitan itu musuh nyata tetapi tidak bersungguh-sungguh menentangnya.
  6. Mempercayai kewujudan Syurga tetapi tidak beramal untuk memasukinya.
  7. Mempercayai kewujudan azab Neraka tetapi tidak berusaha melarikan diri daripadanya.
  8. Meyakini kematian itu benar tetapi tidak membuat persiapan rapi menjelangnya.
  9. Suka menceritakan keaiban manusia lain sejurus bangun tidur tetapi melupakan keaiban diri sendiri.
  10. Mengebumikan jenazah sahabat-sahabat sendiri tetapi langsung tidak mengambil iktibar daripada kematian mereka.

3 Cara Allah Memperkenankan Doa Hamba-Nya

Sekiranya adab telah dijaga tetapi doa masih belum dimakbulkan, ketahuilah bahawa Allah SWT memperkenankan doa hamba-Nya melalui salah satu daripada tiga cara berikut:

1. Dikabulkan Serta-merta Atau Ditangguhkan Di Dunia: Allah SWT memberikan apa yang diminta terus di dunia, atau menundanya kepada tempoh waktu terbaik mengikut kebijaksanaan-Nya.
2. Disimpan Sebagai Pahala Di Akhirat: Allah menyimpan doa tersebut sebagai ganjaran pahala di Akhirat kerana Dia mengetahui hamba tersebut amat memerlukannya di sana kelak.
3. Menjauhkan Daripada Keburukan Atau Musibah: Allah menggantikan permintaan tersebut dengan menghindarkan hamba-Nya daripada mendapat kecelakaan atau ditimpa musibah yang setimpal.

Keputusan & Ketetapan Hukum Berdoa

Ketetapan hukum syarak berkaitan amalan memohon doa kepada Allah:

✦ STATUS KETETAPAN SYARAK: SUNAT MUAKKAD (DAN BOLEH MENJADI WAJIB)

Amalan berdoa memohon petunjuk dan keampunan dihukumkan sebagai Sunat Muakkad (amat dituntut). Manakala, sengaja mengabaikan doa kerana berasa sombong (takbur) tidak memerlukan pertolongan Allah dihukumkan sebagai Haram (menjejaskan tauhid).

✦ PENGHARAMAN BERDOA MEMOHON PERKARA HARAM

Memohon doa agar dipermudahkan melakukan maksiat (seperti mencuri) atau berdoa agar diputuskan hubungan kekeluargaan (silaturahim) dihukumkan sebagai Haram.

Soalan Lazim (FAQ)

1. Apakah hukumnya jika seseorang langsung tidak mahu berdoa kepada Allah?

Hukumnya adalah Haram dan berdosa besar sekiranya dia meninggalkannya kerana berasa sombong (takbur) seakan-akan tidak memerlukan Allah SWT.

2. Adakah wajib berwuduk sebelum memanjatkan doa?

Tidak wajib. Bagaimanapun, berwuduk terlebih dahulu merupakan sunnah (adab) yang sangat dituntut demi memuliakan ibadah doa.

3. Bolehkah kita bertawasul menerusi amal soleh sendiri?

Boleh. Bertawasul dengan amal soleh sendiri (seperti bakti kepada ibu bapa secara ikhlas) adalah dibenarkan di bawah syariat berdasarkan kisah Ashab al-Ghar.

4. Apakah punca utama doa seseorang tidak dimakbulkan Allah?

Punca utamanya adalah memakan makanan, meminum minuman, atau memakai pakaian yang bersumberkan harta haram/syubhat.

5. Adakah doa yang digantungkan (di antara langit dan bumi) boleh diangkat tanpa selawat?

Tidak. Berdasarkan kata Saidina Umar RA, doa akan terhenti di antara langit dan bumi sehinggalah kita berselawat ke atas Nabi ﷺ.

6. Bagaimanakah cara Allah memperkenankan doa hamba-Nya?

Allah memperkenankannya menerusi 3 cara: (1) dimakbulkan terus di dunia, (2) disimpan sebagai pahala di akhirat, atau (3) dijauhkan daripada musibah yang setimpal.

7. Apakah kedudukan doa di dalam ibadah Islam?

Doa mempunyai kedudukan yang amat tinggi. Ia dinilai sebagai tunjang atau teras kepada keseluruhan ibadah (Mukhul Ibadah).

8. Bolehkah kita berdoa menggunakan bahasa ibunda sendiri?

Boleh. Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendengar. Berdoa dalam bahasa sendiri adalah lebih baik sekiranya ia mendatangkan kekhusyukan dalam hati.

Sumber Rujukan

  1. Indahnya Hidup Bersyariat (Dato’ Ismail Kamus) – Bab Adab Berdoa.
  2. Al-Kafi Li al-Fatawi Siri ke-1015: Bagaimana Mendapatkan Doa Mustajab – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
  3. Sahih al-Bukhari – Kitab al-Da’awat (Doa-Doa).
  4. Sunan al-Tirmizi – Kitab al-Da’awat, Bab Kelebihan Doa.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine + 15 =