Skip to content

10 Khasiat Air Kelapa Pada Kesihatan

khasiat air kelapa

Apakah nutrisi yang ada di dalam air kelapa dan khasiat kepada kesihatan kita? Artikel ini akan membincangkan mengenai khasiat kesihatan yang ada pada air kelapa.

Pengenalan

Kelapa atau nama saintifiknya Cocos nucifera L. adalah sejenis tumbuhan yang mempunyai pelbagai guna di mana keseluruhan pokok kelapa boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan. Antara kegunaan kelapa ialah ia mempunyai air yang boleh diminum dan isi yang lembut yang boleh dimakan mentah. Air kelapa yang mempunyai warna yang jernih dan rasa yang sedap telah menjadi minuman popular untuk menghilangkan dahaga. Pada masa kini, air kelapa juga telah dipelbagaikan cara penyediaannya seperti dihidangkan menjadi coconut shake atau ice blended.

Kandungan nutrisi

Tidak dinafikan, air kelapa juga kaya dengan nutrisi yang baik. Jadual di bawah menunjukkan kandungan nutrisi yang ada di dalam air kelapa.

NutrienJumlah (setiap 100ml air kelapa)
Kalori (kcal)18
Karbohidrat (g)4.55
*Jumlah serat (g)
*Jumlah gula (g)
0
4.55
Protein (g)0
Jumlah lemak (g)0
Natrium (mg)8
Kalsium (mg)12
Zat besi (mg)0
Fosforus (mg)15
Kalium (mg)140
Magnesium (mg)8
Vitamin A (IU)0
Vitamin C (mg)30.9

Berdasarkan jadual di atas, dapat dilihat bahawa air kelapa rendah dengan kalori dan majoritinya terdiri daripada gula. Ia juga mengandungi pelbagai vitamin, mineral dan elektrolit yang bagus untuk fungsi badan.

Kandungan Berkhasiat dalam Air Kelapa

Air kelapa biasanya kaya dengan pelbagai komponen penting yang boleh memberi khasiat kepada kesihatan kita. Majoriti air kelapa terdiri daripada gula yang boleh membekalkan tenaga. Walaubagaimana pun, ia masih dikira rendah gula dan rendah kalori berbanding jus buah yang lain. Di samping itu, komponen lain yang dapat ditemui di dalam air kelapa termasuklah vitamin, mineral dan antioksidan. Air kelapa mengandungi pelbagai jenis mineral seperti kalium, magnesium, fosforus dan kalsium yang bagus untuk fungsi badan. Selain itu, air kelapa juga mempunyai vitamin C dan L-arginina yang mempunyai aktiviti antioksidan dan mampu melawan radikal bebas sekaligus mampu mencegah pelbagai penyakit.

10 Khasiat air kelapa kepada kesihatan

Memandangkan air kelapa mempunyai beberapa komponen yang penting untuk kesihatan, ia sekaligus memberi khasiat kepada kesihatan kita. Berikut adalah beberapa khasiat air kelapa kepada kesihatan:

1. Menurunkan tekanan darah

Antara khasiat air kelapa ialah ia dapat menurunkan tekanan darah. Terdapat kajian yang mendapati bahawa air kelapa boleh membantu menurunkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah tinggi). Hal ini kerana air kelapa tinggi dengan kandungan kalium yang boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi dengan mengimbangi kesan negatif natrium (garam) yang boleh meningkatkan tekanan darah.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan air kelapa boleh menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik dalam pesakit hipertensi. Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa air kelapa boleh menurunkan kadar denyutan jantung pada tikus yang mempunyai darah tinggi.

Kadar denyutan jantung yang tinggi boleh mengakibatkan jantung bekerja lebih dan memberikan tekanan yang tinggi kepada saluran darah dan juga tekanan darah itu sendiri. Oleh itu, dapat dilihat bahawa air kelapa berpotensi mengawal dan menurunkan tekanan darah dalam kalangan pesakit hipertensi.

2. Menghidratkan tubuh badan

Air kelapa juga boleh membantu untuk menghidratkan tubuh badan. Kandungan elektrolit yang pelbagai di dalam air kelapa seperti natrium dan kalium boleh membantu menghidratkan tubuh badan yang banyak berpeluh dan kehilangan banyak elektrolit ketika melakukan aktiviti fizikal.

Oleh itu, ia boleh membantu menggantikan kembali elektrolit yang telah hilang ketika melakukan senaman atau aktiviti fizikal. Selain itu, air kelapa juga boleh menghidratkan badan sekiranya mengalami masalah cirit birit dan muntah-muntah yang telah menyebabkan kehilangan banyak air.

Rasanya yang sedap juga membuatkan ia pilihan yang baik untuk menghidratkan kembali tubuh badan.

3. Aktiviti antioksidan

Air kelapa juga tinggi dengan aktiviti antioksidan yang boleh membantu melawan radikal bebas sekaligus memberi kebaikan kepada kesihatan tubuh badan seperti mampu mencegah penyakit.

Pelbagai kajian telah menunjukkan aktiviti antioksidan yang ada di dalam air kelapa kerana kehadiran antioksidan di dalam minuman tersebut seperti asid askorbik (vitamin C) dan L-arginina.

Satu kajian ke atas tikus yang mengalami masalah kecederaan hati telah mendapati bahawa air kelapa boleh mengurangkan tekanan oksidatif pada tikus tersebut sekaligus mengelakkan kecederaan yang lebih serius.

4. Melambatkan proses penuaan

Selain itu, air kelapa juga berpotensi untuk melambatkan proses penuaan sekaligus boleh meningkatkan kecantikan. Kajian mendapati bahawa air kelapa mengandungi kinetin iaitu satu hormon yang boleh melambatkan permulaan ciri-ciri penuaan di dalam sel kulit manusia.

5. Menyokong sistem imuniti badan

Air kelapa juga boleh menyokong sistem imuniti badan sekaligus mampu mencegah pelbagai jenis penyakit. Hal ini kerana air kelapa mengandungi komponen seperti asid laurik, asid kaprik, dan asid kaprilik yang mempunyai aktiviti antikulat, antimikrobial dan antivirus. Oleh itu, air kelapa boleh menyokong sistem imuniti badan untuk melawan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria dan virus. Secara tradisional, air kelapa telah digunakan untuk merawat demam dan selesema yang disebabkan oleh jangkitan bakteria dan virus.

6. Mencegah masalah batu karang

Masalah batu karang adalah keadaan yang berlaku akibat ketidaksempurnaan dalam aliran saluran kencing manusia di mana terjadi mendapan yang mengandungi bahan-bahan kimia dan mineral yang akhirnya membentuk kristal yang boleh menyebabkan batu karang.

Kajian telah mendapati bahawa air kelapa berpotensi untuk merawat masalah batu karang. Satu kajian terhadap tikus yang mempunyai masalah batu karang telah mendapati bahawa air kelapa boleh menghalang pembentukan kristal di buah pinggang atau mengurangkan jumlah kristal di dalan urin (air kencing) yang telah menjadi penyebab kepada batu karang. Oleh itu, dapat dilihat bahawa air kelapa boleh mencegah masalah batu karang.

7. Menurunkan paras gula dalam darah

Di samping itu, air kelapa juga berpotensi untuk menurunkan kadar gula dalam darah. Kajian terbaru terhadap tikus yang mempunyai masalah diabetes mendapati bahawa air kelapa boleh menurunkan paras gula dalam darah ketika berpuasa di dalam tikus tersebut, berbanding jika tidak diberikan air kelapa yang menyebabkan paras gula meningkat.

Kajian itu juga mendapati air kelapa juga berpotensi untuk mencegah kerosakan retina yang disebabkan penyakit diabetes yang boleh menyebabkan masalah penglihatan seperti mata kabur atau buta. H

al ini kerana air kelapa mempunyai pelbagai komponen antioksidan seperti L-arginina, asid askorbik dan fenol yang boleh mencegah stres oksidatif dan aktiviti antiradang di dalam retina sekaligus boleh mencegah kerosakan.

8. Meningkatkan kesuburan

Air kelapa juga berpotensi untuk meningkatkan kesuburan. Terdapat kajian yang mendapati bahawa air kelapa boleh meningkatkan hormon yang terlibat dengan sistem pembiakan di dalam tikus. Oleh itu, ia boleh meningkatkan fungsi pembiakan sekaligus meningkatkan tahap kesuburan.

9. Mencegah anemia

Air kelapa juga berpotensi untuk mencegah anemia iaitu keadaan di manan badan kekurangan sel darah merah. Kajian yang dijalankan terhadap tikus telah mendapati bahawa air kelapa boleh mencegah masalah anemia dengan meningkatkan penghasilan hematocrit, hemoglobin dan erytrocytes iaitu komponen yang menunjukkan jika seseorang mempunyai masalah anamia atau tidak.

10. Bagus untuk wanita mengandung

Air kelapa juga bagus untuk wanita mengandung terutamanya yang mengalami alahan seperti muntah-muntah. Air kelapa bagus untuk menggantikan semula elektrolit yang hilang apabila muntah seta menghidratkan kembali tubuh. Di samping itu, air kelapa juga bagus untuk meningkatkan sistem imuniti badan bagi wanita hamil sekaligus boleh mencegah daripada pelbagai penyakit.

Kesimpulan

Kesimpulannya, jelaslah bahawa air kelapa kaya dengan pelbagai nutrisi seperti karbohidrat, mineral, elektrolit dan antioksidan yang boleh memberi kebaikan kepada kesihatan kita. Pelbagai kajian telah menunjukkan khasiat air kelapa dalam menurunkan tekanan darah, menghidratkan tubuh badan, mencegah penuaan, menyokong sistem imuniti badan, merawat masalah batu karang, menurunkan paras gula dalam darah, mencegah anemia dan meningkatkan kesuburan.

Namun begitu, kebanyakan kajian telah dijalankan terhadap tikus dan kajian terhadap manusia masih perlu dilakukan untuk melihat keberkesanannya terhadap manusia.  Walaubagaimana pun, air kelapa masih lagi mempunyai pelbagai nutrien yang bagus untuk badan dan boleh diambil untuk khasiatnya yang optimum. Akhir sekali, diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca mengenai khasiat air kelapa.

Rujukan

  1. Dai, Y., Peng, L., Zhang, X., Wu, Q., Yao, J., Xing, Q., Zheng, Y., Huang, X., Chen, S., & Xie, Q. (2021). Effects of coconut water on blood sugar and retina of rats with diabetes. PeerJ, 9(2014), 1–14.
  2. Ekpenyong, E. E., & Okafor, I. M. A. (2018). Cocos Nucifera Water : Therapeutic Benefits and Sickle Cell Anaemiaa Review. International Journal of Innovative Science and Research Technology, 3(8), 514–520.
  3. Gandhi, M., Aggarwal, M., Puri, S., & Singla, S. K. (2013). Prophylactic effect of coconut water (Cocos nucifera L.) on ethylene glycol induced nephrocalcinosis in male wistar rat. International Braz J Urol, 39(1), 108–117.
  4. Gullapalli, H. S., Tekade, A. P., & Gullapalli, N. H. (2013). Effect of supplementation of tender coconut water on blood pressure of primary hypertensive subjects. International Journal of Medical Research & Health Sciences, 2(2), 172.
  5. Lima, E. B. C., Sousa, C. N. S., Meneses, L. N., Ximenes, N. C., Junior, S., Vasconcelos, G. S., Lima, N. B. C., Patrocinio, M. C. A., Macedo, D., & Vasconcelos, S. M. M. (2015). Cocos nucifera (L.) (Arecaceae): A phytochemical and pharmacologival review. Brazilian Journal of Medical and Biological Research, 48(11), 953–964.
  6. Medeiros, V. de F. de P., & Medeiros, A. C. (2012). Therapeutic use of coconut water O uso terapêutico da água de coco. J Surg Cl Res, 3(2), 75–83.
  7. Mishra, S., Agrahari, K., & Shah, D. K. (2017). Intervention And Effect Of Coconut Water On Dengue Patients. International Journal of Innovative Research and Advanced Studies, 4(1), 34–27.
  8. Syafriani, R., Sukandar, E. Y., Apriantono, T., & Sigit, J. I. (2014). The Effect of Coconut Water (Cocos Nucifera L.) and an Isotonic Drink on the Change of Heart Rate Frequency in the Rats Induced Hypertension. Procedia Chemistry, 13, 177–180.
  9. Zhang, X., Peng, L., Dai, Y., Sheng, X., Chen, S., & Xie, Q. (2020). Effects of Coconut Water on Retina in Diabetic Rats. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, 2020, 1–7.
  10. Zulaikhah, S. T., Wahyuwibowo, J., Aziz Rakha, D., Dede Rizky, P., & Ahmad Fauzi, N. (2019). Effect of tender coconut water to prevent anemia on wistar rats induced by lead (Plumbum). Pharmacognosy Journal, 11(6), 1325–1330.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × 1 =