Skip to content

8 Adab Dengan Guru yang Anda Perlu Tahu dan Amalkan

Adab dengan guru

Apakah adab-adab dengan guru yang perlu anda tahu? Untuk artikel kali ini, kita akan membincangkan adab-adab ketika kita belajar dengan guru.

Ilmu dan guru tidak boleh dipisahkan perumpamaannya. Sesuatu ilmu itu tidak boleh dipelajari tanpa guru kerana Syaikh Abu Yazid al Bustamiy menyatakan, “Barangsiapa tidak memiliki guru maka gurunya adalah syaithan.” (Tafsir Rûhul Bayân, 5/264). Maka, adalah satu kewajipan untuk kita mencari seorang guru untuk mengaji dengannya lebih-lebih lagi ilmu agama supaya kita tidak disesatkan oleh syaitan. Maka, peranan guru amat besar dalam kehidupan kita kerana tanpa guru, bagaimana kita mahu menuntut ilmu.

Guru merupakan insan yang mengajar kita. Tidak kiralah apa jenis ilmu – silibus pembelajaran mahu pun ilmu kehidupan. Martabat guru sentiasa disanjung tinggi, malah, mereka yang berilmu juga diangkat tinggi kedudukannya di sisi agama, termasuklah di dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW: “Kelebihan orang yang berilmu berbanding abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang.” (Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi).

Adab-adab Dengan Guru Ketika Belajar

1. Memberi salam

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تَدْخُـلُوا الـجَنَّةَ حتـى تُؤمِنُوا، ولا تُؤمِنُوا حتـى تَـحابُّوا أوَلا أدُلُّكُمْ علـى شَيءٍ إذا فَعَلْتُـمُوهُ تَـحَابَبْتُـمْ؟ افْشُوا السّلامَ بَـيْنَكُمْ

Maksudnya: “Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 81]

Maka, memberi salam kepada guru dapat menyemai perasaan kasih serta sayang kepada guru, bukan sahaja sebagai seorang manusia, malah sebagai salah seorang yang insan yang mencurahkan keringatnya untuk memberi ilmu kepada kita.

2. Elakkan berbual-bual semasa guru sedang mengajar di hadapan dan membantah mereka

Adab berguru ini penting kerana ia menunjukkan kita menghormati guru yang sedang mengajar kita di hadapan kelas. Bahkan, sesiapapun yang sedang bercakap di hadapan kita, ianya agak tidak sopan apabila kita berbual juga di belakang, malahan ianya boleh dikatakan agak kurang ajar. Apa lagi jika kita membantah apa yang diajarnya. Nabi Musa AS semasa menuntut ilmu dengan Nabi Khidir AS, sangat sabar dan tidak membantah apa sahaja perintah daripada Khidir AS. Ini diceritakan di dalam surah al-Kahfi ayat 69.

Lihat sahaja contoh seorang nabi yang merendahkan dirinya untuk menuntut ilmu walaupun baginda tahu baginda juga diberi keistimewaan oleh Allah SWT, tetapi demi ilmu, baginda merendahkan dirinya di hadapan insan yang memberinya ilmu.

3. Bercakap menggunakan bahasa yang sopan

Lisan yang sopan juga merupakan salah satu adab berguru. Pepatah melayu ada menyatakan;

Yang kurik itu kundi, Yang merah itu saga;

Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa

Orang melayu, khususnya sangat menitikberatkan kesopanan serta kesusilaan dan sikap ini diwarisi daripada Rasulullah SAW yang sentiasa menggunakan perkataan yang elok untuk berbicara dengan sesiapa dan tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat. Ini disebutkan di dalam satu hadis daripada Anas RA,

“Selama sepuluh tahun aku berkhidmat untuk Rasulullah SAW, aku tidak pernah mendengar baginda mengucapkan ‘ah’, sebagaimana baginda tidak pernah bertanya ‘apa yang kau lakukan’, ‘kenapa kamu lakukan ini? atau ‘bukankah seharusnya kamu melakukan seperti ini’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Membuat kerja yang diberikan dengan bersungguh-sungguh

Bersungguh-sungguh boleh dikatakan juga tekun dan tekun di dalam bahasa arab disebut sebagai itqan. Itqan bermaksud menyempurnakan sesuatu tuntutan dengan sesempurna mungkin. Amalan ini dituntut di dalam al-Quran, di dalam surah at-Taubah ayat 105;

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”

Di dalam sebuah hadis juga, daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.” (Hadis Riwayat Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman, no. Hadith 4929, 4930 dan 4931)

Allah SWT juga mengasihi hamba-Nya melakukan sesuatu perkara, apatah lagi guru kita apabila kita menyiapkan semua tugasan yang diberikan. Bukankah menggembirakan hati seorang guru dapat memberikan rasa senang pada hati kita juga?

5. Menziarahi guru ketika mempunyai kelapangan

Di dalam kitab Riyadhus Salihin, karangan Imam Nawawi ada membincangkan topik menziarahi orang yang baik-baik di mana di dalam satu hadis daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, ada seorang lelaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, lalu Allah memerintahkan seorang malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan  yang dilaluinya. Setelah orang itu melalui jalan itu, berkatalah malaikat kepadanya: “Ke mana engkau menghendaki?” Orang itu menjawab: “Saya hendak ke tempat seorang saudaraku di desa ini.” Malaikat bertanya lagi: “Adakah suatu kenikmatan yang hendak kau peroleh dari saudaramu itu?” Ia menjawab: “Tidak, hanya saja saya mencintainya kerana Allah.” Malaikat lalu berkata: “Sesungguhnya saya ini adalah utusan Allah untuk menemuimu untuk menyampaikan, sesungguhnya Allah itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana Allah.” (Riwayat Muslim)

Begitu sekali Allah menaikkan darjat orang-orang yang datang menziarahi saudaranya, apatah lagi melawat guru-guru mereka. Menziarahi guru menandakan bahawa kita masih mengingati mereka walaupun kita sudah lama meninggalkan sekolah atau mana-mana institusi pengajian dan ini menunjukkan kita menghargai jasa mereka mengajar kita dahulu.

6. Mendoakan kesejahteraan guru

Mendoakan kebaikkan buat guru juga adalah antara adab berguru yang seharusnya kita amalkan. Allah berfirman di dalam Al-Quran surat Al-Mukmin ayat 60:

رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Berdoalah kepada-Ku (Kepada Allah), nescaya akan Kuperkenankan bagimu.”

Guru telah banyak memberikan cahaya di dalam gelap buat kita dan mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk mereka adalah antara cara untuk menunjukkan ingatan serta kasih sayang kita kepada mereka. Allah tidak akan mempersiakan doa hamba-Nya buat guru mereka.

7. Menghormati guru sepanjang masa

Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.” Riwayat Muslim (1893)

Guru telah banyak memberikan tunjuk ajar kepada kita malah kemuliaan mereka telah digambarkan seperti hadis diatas. Menghormati mereka yang dimuliakan Allah, pastinya mempunyai ganjaran untuk kita juga.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَفِ لِعَالِمِنَا

Maksudnya: “Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi yang muda, tidak menghormati yang tua, dan tidak mengerti hak ulama kami.” (Hadis Riwayat Ahmad (5/323) dan al-Bazzar (2718))

Lihatlah bagaimana Nabi SAW sendiri menyayangi insan yang bernama guru ini sehingga dinukilkan di dalam hadis, betapa tingginya martabat orang yang mengajar ilmu kepada orang lain.

8. Membantu guru ketika kesusahan

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuat kepada kamu kebaikan maka balaslah. Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sehingga kamu merasakan bahawa kamu sudah membalasnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud (1672)

Guru telah banyak berjasa pada kita dan kitalah yang kini membantu mereka untuk membalas segala kebaikan mereka ketika mereka dalam kesusahan. Jika berkemampuan untuk membantu mereka, dari segi tenaga, masa dan juga wang, pasti mereka sangat senang menerimanya, lebih-lebih lagi daripada anak didik mereka.

Kesimpulannya, guru ibarat pelita yang membakar dirinya. Ini dinukilkan di dalam pelbagai hadis dan kitab ulama’ terdahulu, menunjukkan betapa mulianya insan bernama guru. Tanpa mereka, tiadalah generasi yang berilmu.

Sasterawan Negara, Osman Awang telah menulis sajaknya yang bertajuk “Guru Oh Guru” untuk menunjukkan betapa besarnya jasa seorang guru:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,        

            Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,

            Jika hari ini seorang Ulama’ yang mulia,

Jika hari ini seorang Peguam menang bicara,

            Jika hari ini seorang Penulis terkemuka,

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,

            Sejarahnya bermula oleh seorang guru biasa,

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Diharapkan artikel adab dengan guru ini dapat memberikan maklumat kepada para pembaca berkenaan adab-adab yang pembaca perlu amalkan bila belajar dengan guru.

Adab-adab yang Lain

Adab MesyuaratAdab Sebelum Tidur
Adab MakanAdab Masuk Tandas
Adab Kepada PemimpinAdab Kepada Tetamu
Adab BerdoaAdab Ziarah Orang Sakit
Adab Menaiki KenderaanAdab Bersedekah
Adab Membaca AlquranAdab Amar Maaruf Nahi Mungkar
Adab Kepada IbubapaAdab Berzikir
Adab Suami kepada IsteriAdab Isteri kepada Suami
Adab Ziarah KuburAdab Dengan Guru
Adab MusafirAdab dengan Jiran
Adab Menziarahi Jenazah

Rujukan

  1. Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub. (12 September 2019). Memberi Salam Kepada yang Dikenali. Laman Web Rasmi Mufti Wilayah.
  2. Dr Azlan Shaiful Baharom (7 Mac 2020). Akhlak Rasulullah Tonggak Ummah. MyMetro.
  3. (5 Ogos 2016). Ziarah-Menziarahi. Radio IKIM.
  4. Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub. (4 Oktober 2017). Itqa Tekun Dalam Setiap Pekerjaan. Laman Web Rasmi Mufti Wilayah.
  5. Mohamad Ashraf. (23 Julai 2019). Guru dan Kemuliaannya. Official Website Mufti of Federal Territory.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × three =