Skip to content

10 Adab Berjiran yang Perlu Kita Ketahui

adab berjiran

Apakah adab-adab berjiran yang perlu kita amalkan kepada jiran kita? Artikel ini akan membincangkan beberapa adab yang kita boleh beramal kepada jiran kita.

Pengenalan

Jiran berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud orang yang tinggal bersebelahan atau tetangga. Dari segi istilahnya, jiran ialah mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan dengan kampung, daerah malahan yang lebih besar lagi ialah bersebelahan negara.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Abu Yu’la, al-Baihaqi dan al-Tahawi, daripada Abu Hurairah RA, jiran melingkupi 40 buah rumah setiap penjuru yang mengelilingi rumah individu.

Artikel kali ini kita akan membincangkan adab berjiran, memandangkan kebelakangan ini, konsep serta amalan berjiran itu sendiri sudah tidak dititikberatkan oleh kita semua memandangkan kita sibuk dengan kerja dan juga urusan lain. Namun, harus kita ingat, jiran adalah orang yang terdekat dengan kita yang seharusnya kita menjaga hubungan satu sama lain.

1. Berbuat baik kepada mereka.

Di dalam surah an-Nisa’ ayat 36, Allah berfirman;

‎وَاعْبُدُوا اللهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوٰلِدَيْنِ إِحْسٰنًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُمْ إِنَّ اللهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

Di sini jelas kepentingan jiran yang perlu kita patuhi kerana martabat seorang jiran itu dibacakan sekali di dalam ayat berbuat baik kepada ibu bapa dan ahli keluarga.

Bagaimana berbuat baik kepada jiran?

2. Tidak menyakiti mereka.

Tidak menyakiti jiran ini terdiri daripada menjaga lisan kita, perbuatan serta sangka buruk. Terdapat satu kisah yang pernah saya baca di lama IKIM, daripada Ustaz Bashir, Malik bin Dinar seorang sahabat Rasulullah SAW, berjiran dengan seorang Yahudi.

Jiran beliau sengaja membuat saluran tandas yang menghadap ke rumah Malik bin Dinar. Beliau terpaksa membersihkan kotoran yang masuk ke dalam rumahnya setiap hari tetapi Malik bin Dinar tidak pernah mengeluh. Melihat perkara itu, jiran Yahudi tersebut mulai bosan dengan respon Malik bin Dinar yang bukan sahaja tidak membalas apa-apa malah Yahudi tersebut mendapat senyuman, hadiah dan layanan yang baik daripada sahabat Rasulullah itu.

Satu hari Yahudi tadi bertanya mengapa Malik bin Dinar tidak pernah memarahinya lantas Malik bin Dinar membalas, “Aku pernah dengar Kekasihku nabi Muhammmad SAW menyebutkan: “Jibril sentiasa datang kepadaku berkali-kali untuk mengingatkan tentang hak kejiranan sehingga aku ingat jiran akan mendapat hak waris”. Oleh kerana begitu kerap diingatkan oleh Jibril, Nabi SAW menyangka yang jiran akan dinaik taraf sehingga boleh menjadi orang yang boleh mewarisi harta jiran.

Begitu sekali tahap kesabaran Malik bin Dinar untuk tidak menyakiti jiran Yahudinya kerana menjaga hak mereka sehingga jiran ini diibaratkan seperti waris.

3. Menyayangi mereka seperti menyayangi diri kita sendiri.

Bersangkutan dengan kisah sahabat nabi di atas, kita dapat lihat bagaimana Malik bin Dinar menganggap jiran Yahudinya sebagai seorang yang boleh diwarisi hartanya. Beliau memegang peringatan Jibril untuk memberikan hak kepada jiran kerana jiran adalah orang yang penting dalam hidup bermasyarakat sehingga dinaik tarafkan pangkatnya sebagai orang yang boleh mewarisi harta.

Malah, Sayyidina Anas RA pernah berkata, daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Tidak akan beriman seseorang di kalangan kamu (secara sempurna) sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

4. Mengutamakan jiran yang paling dekat dengan kita.

Hadis daripada Imam al-Tabrani daripada Jabir bahawa Rasulullah SSAW bersabda yang bermaksud:

Jiran itu ada tiga jenis: Jiran yang mempunyai satu hak sekurang-sekurangnya, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Maka jiran yang mempunyai satu hak iaitu jiran yang bukan Islam. Baginya hak kejiranan. Ada pun yang memiliki dua hak iaitu jiran Muslim. Baginya hak Islam dan hak kejiranan. Manakala jiran yang memiliki tiga hak iaitu jiran muslim yang memiliki hubungan kekeluargaan. Baginya hak kekeluargaan, hak Islam dan hak kejiranan.

5. Tidak mengamalkan sikap ‘terlalu’ mengambil tahu hal ehwal jiran,

Masa kini, ramai di antara kita yang bukan sahaja mengamalkan sikap ‘terlalu tidak mengambil tahu’, malah tidak mengambil tahu langsung perihal jiran. Bahkan ada segelintir daripada kita yang tidak tahu nama jiran kita.

Walaupun kita dilarang menjaga tepi kain orang lain, namun ada beberapa perkara yang penting harus kita tahu mengenai hak jiran, malah dengan pelbagai kes keganasan rumah tangga kini, sebagai jiran kita harus menjaga serta melindungi mereka kerana melindungi mereka yang teraniaya adalah sebahagian daripada amal makruf nahi mungkar (menyeru membuat kebaikan dan mencegah daripada membuat kemungkaran).

Walau bagaimana pun, sikap terlalu mengambil tahu atau pun dikenali sebagai membuka tepi kain orang ini haruslah dielakkan kerana ia akan menimbulkan ketidakselesaan kepada jiran dan juga dapat menimbulkan sifat hasad.

6. Membantu mereka ketika di dalam kesusahan.

Di dalam surah al-Maidah ayat 2, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Ini bertepatan dengan suruhan Allah untuk berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang membuat amal kebajikan dan ini termasuklah kepada jiran kita.

7. Menziarahi mereka ketika sakit dan menguruskan jenazah mereka ketika mereka meninggal dunia.

Dari Abu Hurairah RA beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SSAW bersabda: Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima perkara, iaitu menjawab salam yang diberikan, menziarahi mereka yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan, dan mendoakan orang bersin. (Sahih Bukhari dan Muslim).

Ini menjadi tuntutan yang wajib apabila jiran kita adalah seorang muslim dan juga saudara terdekat kita.

Artikel Berkaitan: Adab Menziarahi Jenazah

8. Tidak membuka aib jiran.

Di dalam satu hadis daripada Ibn Umar RA, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis Riwayat Imam al-Tirmidhi – 2032)

Semua manusia pernah melakukan kesilapan dan pernah bertengkar. Apa salahnya jika perkara mengaibkan tersebut, jika tidak diuar-uarkan sendiri oleh pelakunya atau tidak melibatkan urusan yang besar, kita jaga dan tutup perkara tersebut supaya tidak tersebar. Aib kita juga dijaga rapi oleh Allah SWT supaya tiada siapa yang tahu.

Ini seperti yang dirakamkan di dalam satu hadis, riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang hamba itu, menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah yang menutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Imam Muslim -2590 dalam sahih-nya)

9. Menjaga keselamatan rumah dan anak-anak mereka.

Di dalam sistem kemasyarakatan, menjaga keselamatan anak-anak dan harta benda orang lain merupakan tanggungjawab bersama yang sama-sama kita cuba laksanakan. Jika sebagai masyarakat juga kita wajib memelihara keselamatan anak-anak kecil, apatah lagi jika jiran sebelah rumah kita, yang dekat dan kita kenal antara satu sama lain.

10. Tidak mengganggu ketenteraman jiran.

Ini termasuklah tidak memasang televisyen atau radio terlampau kuat, mengintai-ngintai barangan yang dibawa pulang oleh jiran kita, juga tidak membina atau menanam sesuatu yang boleh menghalang cahaya matahari menembusi rumah mereka atau merosakkan halaman rumah mereka. Ianya bukan sahaja tidak menjaga hak jiran, tetapi juga merupakan salah satu kesalahan di sisi undang-undang Malaysia apabila mengganggu ketenteraman jiran.

Kesimpulan

Mengapa islam sangat mementingkan hidup berjiran dan menjaga adab sesama jiran? Islam menganjurkan kehidupan bersosial dan bermasyarakat kerana kehidupan di dunia ini kita akan saling bergantung antara satu sama lain. Mustahil untuk kita hidup bersendirian tanpa keluarga dan juga teman-teman. Sesama manusia, kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan kepada mereka yang berhak.

Dr Syed Ali Tawfik al-Attas, di dalam bicara beliau yang bertajuk, ‘The Importance of Humanity in the STEM Driven World’ menyatakan, seseorang hanya boleh menuntut haknya apabila dia sudah menunaikan tanggungjawabnya terhadap masyarakat terlebih dahulu. Maka, marilah kita mengamalkan adab-adab kita dengan jiran supaya hak-hak kita juga dipelihara Tuhan.

Adab-adab yang Lain

Adab MesyuaratAdab Sebelum Tidur
Adab MakanAdab Masuk Tandas
Adab Kepada PemimpinAdab Kepada Tetamu
Adab BerdoaAdab Ziarah Orang Sakit
Adab Menaiki KenderaanAdab Bersedekah
Adab Membaca AlquranAdab Amar Maaruf Nahi Mungkar
Adab Kepada IbubapaAdab Berzikir
Adab Suami kepada IsteriAdab Isteri kepada Suami
Adab Ziarah KuburAdab Dengan Guru
Adab MusafirAdab dengan Jiran
Adab Menziarahi Jenazah

Rujukan:

  1. Adab Berjiran. (8 April 2015). IKIM.fm
  2. 30 Adab Berjiran. Baharudinz Blog.
  3. Azim Jemadi, Faeizad Mohamad & Nurazmallail Marni. (2019). Konsep Kejiranan Menurut Perspektif Islam. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Institusi Islam 2019.
  4. Adab Menziarahi Orang Sakit. (16 Jan 2016). Laman pelitabrunei.gov.
  5. peribadirasulullah (20 Julai 2018). Amalan Menjaga Tepi Kain Orang. Laman Peribadi Rasulullah.
  6. Ustaz Mohd Syafiq Jamil (30 Sept 2016). Tazkirah Ringkas: Mencintai Saudara Semuslim. Laman mks.org.sg.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × four =