Apakah adab-adab yang perlu diamalkan kepada tetamu? Dalam artikel ini, penulis bakal membahaskan tentang 10 adab kepada tetamu yang anda perlu tahu.
Pengenalan
Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.” (Riwayat Bukhari)
Aktiviti menziarahi orang lain merupakan satu aktiviti yang sangat digalakkan sejak zaman Rasulullah lagi. Hal ini kerana tetamu dipercayai membawa rezeki kepada tuan rumah. Selain itu juga, tetamu yang datang ke rumah dapat mengeratkan silaturahim.
Apakah maksud hubungan silaturahim?
Allah berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 1, “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
Imam an-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibnu al-Hajjaj, “Ada pun maksud silaturahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya.”
Sebab itulah Rasulullah bersabda, “Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berikanlah makan, sambungkanlah silaturahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk syurga dengan sejahtera dan selamat.” (Riwayat Ibnu Majah)
Asasnya, silaturahim merupakan satu perbuatan bermesra dan berbuat baik dengan orang lain. Dengan itu, hubungan akan bertambah baik. Hal ini boleh dicapai melalui menziarahi orang lain. Tuan rumah juga haruslah menerima kunjungan seseorang lalu melayaninya dengan baik.
Imam an-Nawawi sebut dalam al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, melayan tetamu itu merupakan satu sunnah Rasulullah. Jikalau tidak membebankan kita, maka sunat menyambut tetamu. Hal ini termasuklah sekali dengan aktiviti ziarah-menziarahi. Ia merupakan sunnah baginda.
Adab Kepada Tetamu
Terdapat 10 adab melayani tetamu selaku tuan rumah:
1. Melayani tetamu dengan ikhlas kerana Allah
Syarat kepada penerimaan terhadap suatu amalan itu ialah keikhlasan. Lakukan suatu ibadat itu kerana Allah semata-mata. Ikhlas dari segi bahasa bermaksud bersih, jernih dan sebagainya. Dari segi istilah pula, ia bermaksud membersihkan hati hanya untuk Allah. Bersihkan hati daripada perasaan riak, menyekutukan Allah dan lain-lain. Semua ini harus dibersihkan dari hati supaya hati kita benar-benar ikhlas berbuat suatu amalan itu kerana-Nya.
Ikhlas ada kaitan dengan niat. Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang dapat apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia capai atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah menekankan dalam hadis ini sesiapa yang niatkan sesuatu, maka balasannya akan berdasarkan niat dia itu. Sebab, pada ketika itu, terdapat seorang sahabat yang berhijrah untuk menikahi seorang wanita. Maka, hijrahnya itu bukanlah dikira berdasarkan kerana Allah dan Rasul-Nya, akan tetapi kerana wanita yang hendak dinikahi tadi.
Jadi, hendaklah seorang tuan rumah itu melayani tetamu dengan ikhlas dan mengharapkan semata-mata pahala dan rahmat daripada Allah. Dengan niat yang baik, pasti akan membuahkan perlakuan yang baik juga.
2. Menghidangkan makanan dan minuman kepada tetamu
Allah berfirman dalam Surah az-Dzariyat ayat 24 hingga 27:
“Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata, “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab, “Salam sejahtera kepada kamu!” (Sambil berkata dalam hati), mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata, “Silalah makan.“
Nabi Ibrahim akan menyambut semua tetamu, tidak kira manusia atau malaikat. Kadang-kadang, baginda tidak tahu bahawa itu merupakan malaikat, baginda tetap melayaninya dengan baik.
Ibnu Kathir dalam tafsirnya berkata bahawa Imam Ahmad dan ramai ulama mengatakan bahawa wajib kita melayani tetamu. Ambillah contoh daripada perlakuan Nabi Ibrahim ini.
Baginda akan menghidangkan makanan kepada tetamunya. Bukan sekadar itu, baginda menghidangkan makanan yang terbaik baginda ada!
3. Memenuhi hak-hak tetamu
Contohnya apa? Seperti sekiranya tetamu mahu tumpang solat, ingin meminta air kosong dan sebagainya. Hendaklah tuan rumah memenuhi permintaan-permintaan sederhana seperti itu. Allah berfirman dalam Surah az-Dzariyat ayat 27, “Lalu hidangkan kepada mereka..”
4. Pertuturan yang sopan
Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 83, “..dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..”
Janganlah berbual dengan kasar dengan tetamu kita, ia akan menyakitkan hati mereka lalu tidak mahu berbual dengan kita. Maka dengan itu, misi untuk mengeratkan silaturahim akan jadi bermasalah dan terhalang.
5. Pakaian yang sopan dan menutup aurat
Allah berfirman dalam Surah al-A’raf ayat 26, “Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu. Tetapi pakaian takwa, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.”
Berpakaian yang sopan dan menutup aurat itu adalah kemestian dalam kita berinteraksi dengan tetamu. Hal ini tidak aman membuatkan tetamu kita terasa mencolok mata ketika melihat kita.
6. Mengiringi tetamu
Ketika tetamu memasuki rumah dan keluar dari rumah. Tuan rumah hendaklah mengiringi mereka. Terdapat satu hadis mensunnahkan perbuatan ini menurut riwayat Ibnu Majah. Rasulullah mensunnahkan kita untuk mengiringi tetamu kita.
7. Memberi keperluan dan kemudahan
Tuan rumah tidak sepatutnya memaksa tetamu untuk berbuat sesuatu. Sediakan makanan yang cukup dan sesuai untuk tetamu. Tanyakan kepada tetamu apa yang mereka selesa dan sebagainya. Jangan menghidangkan terlalu banyak benda sehingga semua itu akan terbazir.
Allah berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 27, “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
8. Masa yang sesuai
Ini merupakan tanggungjawab tuan rumah dan tetamu sekali gus. Kita hendaklah memilih waktu yang sesuai kerana kita juga mempunyai tanggungjawab yang besar di rumah. Setiap orang yang berada di rumah kita juga perlu bersiap. Janganlah kita menerima tetamu bilamana semua orang tidak sempat menutup aurat, berpakaian sopan dan sebagainya. Kita harus mempunyai persediaan yang baik.
Waktu untuk menerima tetamu pun jangan sampai lewat malam. Sebab, lewat malam itu adalah untuk kita berehat. Allah berfirman dalam an-Naml ayat 86, “..kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat..”
9. Kadar masa yang tidak terlalu lama
Seperti yang dinyatakan tadi, masa yang diperuntukkan itu haruslah tidak terlalu lama. Tetamu juga perlu sedar tentang hal ini. Setiap orang mempunyai tanggungjawab lain di rumah, bukan sekadar untuk melayani tetamu sahaja. Masa yang lama itu akan menimbulkan kesukaran kepada tuan rumah sendiri kerana hendak berkemas, hendak melakukan pekerjaan lain (belajar, siap untuk bekerja esok dan sebagainya), menyiapkan anak dan seterusnya.
Rasulullah bersabda, “Tidak boleh bagi tetamu itu untuk duduk lama sehingga tuan rumah mengeluarkannya.” (Riwayat Bukhari)
Tuan rumah ada hak untuk mengeluarkan tetamunya.
10. Berterima kasih dan beri penghargaan
Rasulullah bersabda, “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Tetamu memudahkan rezeki untuk masuk bagi kita tuan rumah. Hendaklah kita berterima kasih dengan mereka terhadap segala layanan dan kemesraan yang mereka bawakan kepada kita. Tidak ada apa yang menyeronokkan melainkan hubungan yang baik dengan manusia lain.
Hubungan yang baik juga menjadikan kita lebih bahagia. Berterima kasihlah.
Kesimpulan
Telah penulis sampaikan 10 adab bersama tetamu seperti ikhlas melayani mereka, menyediakan hidangan dan sebagainya. Penulis berharap kita semua dapat mengamalkan yang apa telah dituliskan di sini agar kita sama-sama meraih rahmat Allah.
Diharapkan artikel Adab kepada tetamu ini memberi manfaat kepada anda semua.
Adab-adab yang Lain
Rujukan
- Adab bertamu dalam budaya Melayu dan Islam – Dewan Budaya
- Irsyad aL-Fatwa siri ke 284: Tetamu datang pada waktu malam.
- Menghormati tetamu termasuk tuntutan iman – IKIM
- Treat guest with respect. -Dawateislami.net
- Treating guests the Islamic way. Islamreligian.com
- Apakah itu ikhlas? Begini pengertiannya dalam Islam. Detik.com
- AL-Kafi #1374: Maksud hubungan silaturrahim.
- Irsyad al-Hadith siri ke-142: Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalannya.
- AL-Kafi #1066: Perlukah berterima kasih pada manusia jika semuanya datang dari Allah SWT.