Nama Abu Hurairah bukanlah sebuah nama yang asing buat kita sebagai umat Islam. Beliau sangat terkenal khasnya dalam bidang ilmu hadis. Artikel ini akan membahaskan mengenai diri Abu Hurairah RA dan kisah-kisah yang pernah dilalui beliau.
Siapakah Abu Hurairah RA?
Abu Hurairah merupakan seorang periwayat hadis serta sahabat yang selalu mendampingi Rasulullah SAW sejak beliau menjadi salah seorang ahli Shuffah iaitu orang-orang miskin atau penuntut ilmu yang tinggal di halaman masjid. Beliau adalah periwayat hadis yang terbanyak berbanding dengan para Sahabat yang lainnya.
Nama dan keturunan Abu Hurairah
Nama sebenar Abu Hurairah adalah Abdul Rahman Ibn Sahr dan terdapat pendapat lain menyatakan bahawa beliau memiliki nama lain selain yang disebutkan. Dikatakan juga beliau mempunyai nama lain sebelum memeluk Islam iaitu Abdul Syam. Abu Hurairah berasal dari kabilah Al-Dusi dari Yaman.
Gelaran Abu Hurairah
‘Abu Hurairah’ merupakan gelaran yang diberikan kepadanya oleh Rasulullah SAW sendiri kerana beliau suka bermain dengan kucing dan menggemarinya. Dan telah diceritakan bahawa, pada suatu hari ketika Abu Hurairah pergi menemui Rasulullah SAW, baginda bertanya kepadanya apakah yang terdapat pada lengan bajunya, lalu Abu Hurairah memperlihatkan seekor anak kucing yang berada di lengan bajunya. Semenjak itulah beliau digelar Abu Hurairah dan beliau suka dengan gelaran tersebut.
Masa dan tempat kelahiran
Beliau dilahirkkan pada tahun 19 sebelum Hijriyyah, iaitu bersamaan dengan tahun 598 Masihi di Arab Saudi.
Abu Hurairah memeluk Islam
Abu Hurairah telah memeluk agama Islam pada tahun ke 7 Hijriyyah melalui Thufail bin ‘Amir ad-Dausi. Abu Hurairah telah pergi menemui Nabi Muhammad SAW yang mana pada ketika itu Rasulullah SAW berangkat menuju ke Khaybar, tempat berlakunya Perang Khaybar.
Kisah Hidup Abu Hurairah
Setelah berpindah ke kota Madinah, Abu Hurairah bekerja sebagai buruh dan sering mengikat perutnya dengan batu agar dapat menahan rasa lapar, sehinggalah beliau telah menjadi ahli shuffah dan sentiasa mendampingi Rasulullah SAW.
Setelah itu, beliau telah dipinang oleh majikannya yang kaya untuk memperisterikan anaknya, Bisrah binti Gazwan kerana kealiman dan kesalihannya terhadap Islam. Beliau dan keluarganya mengamalkan kehidupan yang sederhana dan Abu Hurairah sangat suka bersedekah kepada orang sekelilingnya.
Semasa pemerintahan Islam masih di bawah Rasulullah SAW, Abu Hurairah pernah diutuskan untuk pergi berdakwah di Bahrain serta diutus untuk mengambil jizyah di negeri yang sama. Dan pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab, Abu Hurairah telah dilantik menjadi gabenor di Bahrain.
Pada saat menjadi gabenor, Abu Hurairah telah diberhentikan oleh Saidina Umar kerana dituduh telah menyimpan wang sebanyak 10,000 dinar dari harta kerajaan. Namun, Abu Hurairah tetap menyatakan bahawa harta yang dimilikinya adalah hasil daripada ternakan kuda serta pemberian orang lain, bukannya dari sumber yang tidak halal. Setelah Abu Hurairah berjaya membuktikan kebenaran, Saidina Umar telah meminta maaf kerana kesilapannya. Hal ini berlaku kerana Saidina Umar sangat teliti dan berwaspada akan segala amanah orang-orang yang berkhidmat di bawahnya agar tidak ada penyelewengan yang terjadi.
Selain itu, Abu Hurairah juga pernah dilarang untuk menyampaikan hadis dan hanya boleh menyampaikan ayat al-Quran kerana tersebarnya berita mengenai beliau yang banyak meriwayatkan hadis palsu. Orang yang melarang Abu Hurairah pada ketika itu adalah Saidina Umar al-Khattab. Namun, Abu Hurairah telah menepis dakwaan tersebut melalui sebuah hadis daripada Rasulullah SAW mengenai bahaya hadis palsu, yang bermaksud:
“Barangsiapa yang berdusta atas padaku (Nabi Muhammad) secara sengaja, hendaklah mempersiapkan tempat duduknya dalam api neraka.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Al-Tarmidzi, Ibnu Majah, as-Darimi dan Ahmad)
Maka, disini dapatlah disimpulkan bahawa khabar angina atau fitnah itu amat besar kesannya bukan sahaja kepada individu, namun ianya juga mampu memberikan kesan kepada sesebuah institusi tertinggi bahkan kepada agama.
Kematian Abu Hurairah
Beliau telah meninggal dunia pada tahun ke 59 Hijrah, bersamaan dengan 676-678 Masihi di Kota Madinah. Ketika itu, beliau berusia 78 tahun dan telah meninggalkan hadis sebanyak 5374, yang mana sebanyak 325 hadis yang disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim. Selain terdapat juga hadis yang diriwayatkan beliau ada ditulis dalam kitab-kitab hadis yang lainnya.
Kisah Sahabat yang lain
Rujukan
- Wahyu Ismail. Biografi Abu Hurairah. Direktorat Pendidikan & Pembinaan Agama Islam.
- Anon. Teis, Bab III: Biografi Abu Hurairah.
- Syarif Zubaidah. 1996. Mengenal Sahabat Abu Hurairah RA (Kritik dan Pembelaan). Al-Mawarid Edisi IV.