Saad Bin Abi Waqqas: Biodata & Kisah Hidupnya

Saad Bin Abi Waqqas

Siapakah Saad bin Abi Waqqas? Beliau merupakan pemanah terbaik, prajurit pemanah pertama dalam sejarah perjuangan Islam, serta salah seorang daripada 10 sahabat hebat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah SAW.

✦ ❧ ✦

Nama Lengkap & Nasab

Nama penuh beliau ialah Saad bin Malik bin Uhaid bin Abdi Manaf Az-Zuhri. Beliau berasal dari keturunan Bani Zuhrah dan biasanya dipanggil dengan kunyah Abu Ishaq.

Gelaran: Faris Al-Islam

Beliau digelar sebagai Faris Al-Islam yang membawa 3 maksud utama iaitu: seorang yang Alim, Penunggang Kuda yang tangkas, serta Kesatria Islam yang berani.

Kelahiran Beliau

Saad bin Abi Waqqas dilahirkan pada tahun 23 sebelum Hijrah (595 Masihi) di kota Mekah, tempat di mana beliau dibesarkan dengan penuh ketabahan.

Masa Muda Yang Penuh Kesungguhan

Saad dikenali sebagai pemuda yang memiliki kecerdasan luar biasa dan sangat bersungguh-sungguh dalam setiap perbuatannya. Fizikalnya tidak terlalu tinggi tetapi tegap dan berambut pendek, sehinggakan orang menyamakan beliau seperti seekor singa muda.

Ketika kanak-kanak lain sibuk bermain, hobi Saad amat berbeza. Beliau amat berminat dengan seni memanah. Melentur busur, membuat anak panah, dan membaiki panah rosak adalah kepakarannya. Beliau berlatih memanah setiap hari seolah-olah sedang menyiapkan dirinya untuk sebuah urusan yang besar.

Memeluk Agama Islam

Pada awal dakwah Islam di Mekah, Saad yang ketika itu baru berumur 17 tahun merupakan individu yang keempat memeluk agama Islam. Keimanannya kukuh dan beliau tidak gentar sedikit pun terhadap cabaran yang menanti selepas pengislamannya.

Ujian Keimanan Bersama Sang Ibu

Ujian terbesar Saad datang daripada ibunya sendiri, Hamnah, yang sangat kuat berpegang teguh pada ajaran nenek moyang. Apabila mengetahui Saad memeluk Islam, ibunya mengamuk dan memarahinya.

Hamnah menggunakan emosi dan mogok lapar sebagai senjata. Dia mengancam untuk membunuh diri, tidak akan makan dan minum sehingga Saad murtad. Namun, iman di dada Saad tidak sedikit pun tergoyah. Beliau memberikan jawapan tegas yang mematahkan kedegilan ibunya:

“Wahai ibu, sungguh aku menyayangimu, dan aku juga menyayangi Allah dan Rasul. Perlu kau tahu, sekiranya Tuhan memberikan kepadamu 100 nyawa, dan nyawa itu satu demi satu dicabut, sungguh itu tidak akan pernah membuatkan aku beranjak dari agamaku.”

Mendengar ketegasan prinsip anaknya itu, si ibu akhirnya berputus asa dan terpaksa menjamah semula makanan serta minumannya.

Turunnya Wahyu Akibat Peristiwa Ini

Rentetan daripada peristiwa antara Saad dan ibunya ini, Allah SWT telah menurunkan firman-Nya di dalam Surah Luqman, ayat ke-15 sebagai pedoman buat seluruh umat Islam:

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepadaKulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Ayat ini menjadi dalil teguh bahawa ketaatan kepada ibu bapa adalah wajib dalam perkara kebaikan, namun ketaatan kepada Allah SWT tetap menjadi keutamaan tertinggi. Walaupun ibunya memusuhi kebenaran, Saad tetap melayan ibunya dengan baik.

Kewafatan Saad bin Abi Waqqas

Saad bin Abi Waqqas meninggal dunia pada tahun 674 Masihi di rumahnya sendiri yang terletak di daerah Atiq, berjarak beberapa kilometer dari kota Madinah.

Terdapat riwayat yang mengatakan bahawa kewafatan beliau adalah disebabkan oleh racun. Jenazah beliau kemudiannya dibawa dan dimakamkan dengan penuh penghormatan di Perkuburan Baqi’, tapak pemakaman para sahabat mulia Rasulullah SAW.

Sumber Rujukan

  1. Saad Bin Abi Waqqash yang Enggan Taat Pada Ibunya yang Mengajak Berbuat Syirik – Rumaysho
  2. Saad Bin Abi Waqqash: Sahabat yang menyebabkan Islam di China – Kompas
  3. Biodata Saad Bin Abi waqas – Facebook – eddwan.iammuslim
  4. Kisah Sahabat bin Abi Waqas – berita.pas.org.my
  5. Saad bin Abi Waqas – Ensiklopediamuslim

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + 15 =