Salman Al Farisi: Biodata & Kisah Hidupnya

Tahukah anda mengenai kisah Salman Al-Farisi dalam mencari kebenaran dalam hidupnya? Artikel ini akan membahaskan mengenai biodata serta kisah hidup beliau yang boleh diambil sebagai inspirasi kepada diri kita.

✦ ❧ ✦

Siapa Salman Al-Farisi?

Salman Al-Farisi adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang lahir sebelum datangnya Islam melalui Nabi Muhammad SAW, lalu mengabdikan diri kepada agama Allah SWT sehingga pada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan.

Beliau melalui pelbagai pengalaman getir untuk mencari kebenaran, dan akhirnya membawa peranan yang cukup besar dalam peristiwa awal perkembangan Islam di bumi Yathrib (Madinah).

Nama dan Salasilah Salman Al-Farisi

Nama sebenar: Mabah bin Budzkhasyah bin Mousilan bin Bahbudzan bin Fairuz bin Sahrk Al-Isfahani

Lebih dikenali sebagai: Salman Al-Farisi

Panggilan: Abu Abdillah, dan menerima gelaran Salman al-Khair

Latar keluarga: Ayahnya merupakan ketua kampung di Jayyan, Parsi yang menganuti pegangan Majusi

Kelahiran Salman Al-Farisi

Salman dikatakan lahir pada abad ke-7 di sebuah kampung bernama Jayyan yang terletak di Isfahan, Parsi. Beliau menjadi anak yang dikasihi bapanya dan pernah menjadi penjaga api di sebuah kuil di mana terdapatnya tempat pemujaan orang Parsi.

Kisah Hidup Salman Al-Farisi

Pencarian Kebenaran

Sebelum datangnya Islam, Salman menganuti agama Majusi seperti ayahnya sehinggalah pada suatu hari dia tertarik dengan cara sembahyang orang-orang di sebuah gereja dan bertanyakan mengenai asal usul agama tersebut. Apabila dia memberitahu ayahnya mengenai hal tersebut, beliau telah dikurung malah kedua kakinya diikat menggunakan rantai kerana bimbang beliau akan pergi dan menukar agamanya. Namun beliau telah berjaya melepaskan diri dan pergi ke Syria untuk mengabdikan diri kepada agama Kristian di sana.

Setelah beliau berkhidmat bersama beberapa paderi gereja begitu lamanya dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat, akhirnya seorang paderi gereja yang terakhir beliau temui sebelum kematian paderi tersebut menyatakan bahawa akan muncul seorang nabi di Tanah Arab yang mempunyai reputasi dan kejujuran yang tinggi — orang tersebut adalah seorang yang akan menerima apa sahaja hadiah yang diberikan kepadanya tetapi tidak akan menerima sebarang sedekah untuk dirinya.

Perjalanan ke Tanah Arab

Beliau telah mengikuti sebuah rombongan orang Arab dari suku Kalb untuk membawanya ke Tanah Arab dan membayar mereka dengan semua wang yang beliau miliki. Namun, beliau telah ditipu dan dijual kepada seorang Yahudi di Wadi al-Qura (tempat di antara Madinah dan Syria) dan menjadi seorang hamba. Beliau kemudiannya dijual kepada seseorang daripada suku Bani Qurayzah, dan beliau dibawa ke Yathrib. Pada ketika itu juga, Rasulullah SAW telah mula menyebarkan Islam di bumi Mekah, dan melakukan hijrah ke Yathrib lalu mempersatukan suku kaum Aus dan Khazraj di sebuah tempat bernama Quba.

Ujian Sedekah dan Hadiah

Mendengar akan berita itu, Salman membawa kurma yang dikumpul oleh beliau lalu pergi menemui Rasulullah SAW dan menyampaikan pemberiannya itu sebagai sedekah untuk Rasulullah SAW dan para pengikutnya. Namun, Salman melihat Rasulullah SAW tidak menjamah pemberiannya dan hanya memberikan kepada para sahabat Nabi sahaja. Lalu, di hari berikutnya ketika Rasulullah SAW dan rombongan hijrah hendak pergi meninggalkan Quba menuju Madinah, Salman sekali lagi memberikan kurma yang dikumpulnya dan menyatakan bahawa itu adalah hadiah buat Rasulullah SAW kerana baginda tidak memakan pemberian sedekah sebelum ini.

Sifat kejujuran yang tinggi yang ada pada Rasulullah SAW pada ketika itu membawa Salman untuk mempercayai baginda dan memeluk agama Islam. Setelah memeluk Islam, Salman telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW dengan bayaran dan syarat yang dikenakan ke atas beliau.

Jika ditanya kepadanya, “Kamu anak kepada siapa?” Salman akan menjawab: “Aku Salman, anak kepada Islam daripada keturunan Adam.”

Salman dan Surah Al-Jumu’ah

Setelah itu, Salman Al-Farisi telah menjadi sahabat yang begitu dekat dengan Rasulullah. Abu Hurairah meriwayatkan: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW ketika Surah Al-Jumu’ah diturunkan. Baginda membacanya:”

وَءَاخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُواٷ بِهِمْ ۚ

Maksudnya: “Dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka.”

[Al-Jumu’ah (62): 3]

Seseorang di antara mereka bertanya kepada Rasulullah SAW, siapakah orang yang disebutkan melalui ayat tersebut. Tetapi Rasulullah SAW tidak menjawab meskipun ditanya tiga kali. Lalu, Rasulullah SAW meletakkan tangannya pada Salman lalu berkata:

“Demi jiwaku berada di tangan-Nya, meskipun jika iman terletak di bintang Suraya, nescaya akan dicapai oleh lelaki berbangsa Parsi (Salman).”

Kebijaksanaan Salman Al-Farisi

Kebijaksanaan dan idea bernas dalam strategi peperangan Salman Al-Farisi dilihat ketika mana terjadinya Perang Khandaq antara umat Islam di Madinah dengan Kaum Musyrikin Quraisy. Beliau telah mencadangkan kepada pasukan tentera Muslim untuk menggali parit mengelilingi Madinah sebagai cara pertahanan bagi menyukarkan pasukan lawan menyerang kota Madinah.

Ianya merupakan sebuah strategi dan inovasi ketenteraan yang amat baru dan tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini. Selain itu, beliau juga menjadi orang pertama yang melakukan terjemahan al-Quran ke dalam bahasa asing kerana keluasan ilmu yang dimilikinya.

Kewafatan Salman Al-Farisi

Salman Al-Farisi telah meninggal dunia pada tahun ke-35 Hijrah di Iraq, semasa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan.

Kebijaksanaan dalam menginovasikan sesebuah perkara harus menjadi contoh kepada kita untuk terus berfikiran ke hadapan dan berpandangan luas dalam apa sahaja bidang. Kriteria yang ada pada Salman perlu diikuti oleh segenap generasi baik dalam ilmu duniawi, rohani diri mahupun keperibadian dalam diri. Wallahua’lam.

Soalan Lazim (FAQ)

Siapakah Salman Al-Farisi?

Salman Al-Farisi adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang berasal dari Jayyan, Isfahan, Parsi. Beliau melalui pelbagai pengalaman getir dalam mencari kebenaran — daripada agama Majusi kepada Kristian — sebelum akhirnya memeluk Islam setelah bertemu Rasulullah SAW di Quba, dan memainkan peranan besar dalam perkembangan awal Islam di Madinah.

Apakah nama sebenar Salman Al-Farisi?

Nama sebenar beliau ialah Mabah bin Budzkhasyah bin Mousilan bin Bahbudzan bin Fairuz bin Sahrk Al-Isfahani. Beliau juga dipanggil Abu Abdillah dan menerima gelaran Salman al-Khair.

Apakah sumbangan terbesar Salman Al-Farisi dalam Islam?

Sumbangan beliau yang paling terkenal ialah mencadangkan strategi menggali parit mengelilingi Madinah semasa Perang Khandaq — satu inovasi ketenteraan yang tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum itu. Beliau juga menjadi orang pertama yang melakukan terjemahan al-Quran ke dalam bahasa asing.

Bilakah Salman Al-Farisi meninggal dunia?

Salman Al-Farisi meninggal dunia pada tahun ke-35 Hijrah di Iraq, semasa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan.

📚 Rujukan:

  1. IslamOnline. Salman Al-Farisi: The Seeker of Truth.
  2. Britannica. Salman al-Farisi, Companion of Muhammad.
  3. Abdul Wahid Hamid. 1995. Companions of The Prophet, Vol. 1.
  4. Muhammad Nurdin Fathurrohman. Kisah Salman Al-Farisi.
  5. Saleh as-Saleh. 2009. The Search for The Truth — by a Man Known as Salman The Persian. Terjemahan Ummu Abdillah al-Buthoniyah. Maktabah Raudhah al-Muhibbin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three + seventeen =