Abu Hurairah RA: Biodata & Kisah Hidupnya

Nama Abu Hurairah bukanlah sebuah nama yang asing buat kita sebagai umat Islam. Beliau sangat terkenal khasnya dalam bidang ilmu hadis. Artikel ini akan membahaskan mengenai diri Abu Hurairah RA dan kisah-kisah yang pernah dilalui beliau.

✦ ❧ ✦

Siapakah Abu Hurairah RA?

Abu Hurairah merupakan seorang periwayat hadis serta sahabat yang selalu mendampingi Rasulullah SAW sejak beliau menjadi salah seorang ahli Shuffah iaitu orang-orang miskin atau penuntut ilmu yang tinggal di halaman masjid. Beliau adalah periwayat hadis yang terbanyak berbanding dengan para sahabat yang lainnya.

Nama dan Keturunan Abu Hurairah

Nama sebenar: Abdul Rahman Ibn Sahr (terdapat pendapat lain menyatakan bahawa beliau memiliki nama lain selain yang disebutkan)

Nama sebelum memeluk Islam: Dikatakan bernama Abdul Syam

Asal keturunan: Kabilah Al-Dusi dari Yaman

Gelaran Abu Hurairah

‘Abu Hurairah’ merupakan gelaran yang diberikan kepadanya oleh Rasulullah SAW sendiri kerana beliau suka bermain dengan kucing dan menggemarinya.

🐈

Diceritakan bahawa pada suatu hari ketika Abu Hurairah pergi menemui Rasulullah SAW, baginda bertanya kepadanya apakah yang terdapat pada lengan bajunya, lalu Abu Hurairah memperlihatkan seekor anak kucing yang berada di lengan bajunya. Semenjak itulah beliau digelar Abu Hurairah (bapa kucing kecil) dan beliau suka dengan gelaran tersebut.

Masa dan Tempat Kelahiran

Beliau dilahirkan pada tahun 19 sebelum Hijriyyah, iaitu bersamaan dengan tahun 598 Masihi di Arab Saudi.

Abu Hurairah Memeluk Islam

Abu Hurairah telah memeluk agama Islam pada tahun ke-7 Hijriyyah melalui Thufail bin ‘Amir ad-Dausi. Abu Hurairah telah pergi menemui Nabi Muhammad SAW yang mana pada ketika itu Rasulullah SAW berangkat menuju ke Khaybar, tempat berlakunya Perang Khaybar.

Kisah Hidup Abu Hurairah

Kehidupan di Madinah

Setelah berpindah ke kota Madinah, Abu Hurairah bekerja sebagai buruh dan sering mengikat perutnya dengan batu agar dapat menahan rasa lapar, sehinggalah beliau telah menjadi ahli Shuffah dan sentiasa mendampingi Rasulullah SAW.

Setelah itu, beliau telah dipinang oleh majikannya yang kaya untuk memperisterikan anaknya, Bisrah binti Gazwan, kerana kealiman dan kesolehannya terhadap Islam. Beliau dan keluarganya mengamalkan kehidupan yang sederhana dan Abu Hurairah sangat suka bersedekah kepada orang sekelilingnya.

Dilantik Menjadi Gabenor Bahrain

Semasa pemerintahan Islam masih di bawah Rasulullah SAW, Abu Hurairah pernah diutuskan untuk pergi berdakwah di Bahrain serta diutus untuk mengambil jizyah di negeri yang sama. Dan pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab, Abu Hurairah telah dilantik menjadi gabenor di Bahrain.

Pada saat menjadi gabenor, Abu Hurairah telah diberhentikan oleh Saidina Umar kerana dituduh telah menyimpan wang sebanyak 10,000 dinar dari harta kerajaan. Namun, Abu Hurairah tetap menyatakan bahawa harta yang dimilikinya adalah hasil daripada ternakan kuda serta pemberian orang lain, bukannya dari sumber yang tidak halal. Setelah Abu Hurairah berjaya membuktikan kebenaran, Saidina Umar telah meminta maaf kerana kesilapannya. Hal ini berlaku kerana Saidina Umar sangat teliti dan berwaspada akan segala amanah orang-orang yang berkhidmat di bawahnya agar tidak ada penyelewengan yang terjadi.

Pembelaan Terhadap Tuduhan Hadis Palsu

Selain itu, Abu Hurairah juga pernah dilarang untuk menyampaikan hadis dan hanya boleh menyampaikan ayat al-Quran kerana tersebarnya berita mengenai beliau yang banyak meriwayatkan hadis palsu. Orang yang melarang Abu Hurairah pada ketika itu adalah Saidina Umar al-Khattab. Namun, Abu Hurairah telah menepis dakwaan tersebut melalui sebuah hadis daripada Rasulullah SAW mengenai bahaya hadis palsu, yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berdusta atas padaku (Nabi Muhammad) secara sengaja, hendaklah mempersiapkan tempat duduknya dalam api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Al-Tarmidzi, Ibnu Majah, as-Darimi dan Ahmad)

Maka, di sini dapatlah disimpulkan bahawa khabar angin atau fitnah itu amat besar kesannya bukan sahaja kepada individu, namun ianya juga mampu memberikan kesan kepada sesebuah institusi tertinggi bahkan kepada agama.

✦ ❧ ✦

Kematian Abu Hurairah

Beliau telah meninggal dunia pada tahun ke-59 Hijrah, bersamaan dengan 676-678 Masihi di Kota Madinah, ketika berusia 78 tahun.

Warisan ilmu yang ditinggalkan:

5,374 hadis diriwayatkan — 325 daripadanya disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim

Selain itu, terdapat juga hadis yang diriwayatkan beliau ditulis dalam kitab-kitab hadis yang lainnya.

Soalan Lazim (FAQ)

Siapakah Abu Hurairah RA?

Abu Hurairah RA merupakan seorang sahabat Rasulullah SAW dan periwayat hadis yang terbanyak berbanding para sahabat yang lain. Beliau selalu mendampingi Rasulullah SAW sejak menjadi salah seorang ahli Shuffah, iaitu penuntut ilmu yang tinggal di halaman masjid.

Kenapa beliau digelar Abu Hurairah?

Gelaran ‘Abu Hurairah’ (bapa kucing kecil) diberikan oleh Rasulullah SAW sendiri kerana beliau suka bermain dengan kucing. Diceritakan bahawa baginda pernah melihat seekor anak kucing di lengan baju Abu Hurairah, dan semenjak itu beliau digelar dengan nama tersebut. Nama sebenar beliau ialah Abdul Rahman Ibn Sahr.

Berapa banyak hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah?

Abu Hurairah meriwayatkan sebanyak 5,374 hadis, yang mana sebanyak 325 hadis daripadanya disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim. Ini menjadikan beliau periwayat hadis yang terbanyak dalam kalangan para sahabat.

Bilakah Abu Hurairah meninggal dunia?

Abu Hurairah meninggal dunia pada tahun ke-59 Hijrah, bersamaan dengan 676-678 Masihi, di Kota Madinah ketika berusia 78 tahun.

📚 Rujukan:

  1. Wahyu Ismail. Biografi Abu Hurairah. Direktorat Pendidikan & Pembinaan Agama Islam.
  2. Anon. Tesis, Bab III: Biografi Abu Hurairah.
  3. Syarif Zubaidah. 1996. Mengenal Sahabat Abu Hurairah RA (Kritik dan Pembelaan). Al-Mawarid Edisi IV.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one + thirteen =