Siapakah Abu Darda RA? Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang sangat zuhud di zaman hidupnya.
Siapakah Abu Darda RA?
Abu Darda adalah seorang pedagang dan ulama zuhud, dan juga seorang ahli hikmah yang cukup masyhur dan hidup di zaman Nabi Muhammad SAW. Beliau merupakan sahabat kepada Khalifah Umar bin Khattab.
Beliau juga merupakan seorang penghafal Al-Quran. Selain itu, Abu Darda merupakan salah seorang yang juga mengumpulkan Al-Quran dan menjadi sumber utama bagi para pembaca di daerah Damaskus.
Siapakah Nama Sebenar Abu Darda?
✦Nama sebenar: Uwaimir bin Zaid bin Qais
✦Kedudukan: Perawi hadis dan hafiz dari golongan Ansar, Kabilah Khazraj
✦Jihad: Mengikuti semua peperangan yang terjadi setelah Peperangan Uhud
Bila dan Di Manakah Beliau Dilahirkan?
Beliau lahir pada tahun 580 Masihi, di kota Madinah, Arab Saudi.
Kisah Abu Darda Sebelum Memeluk Islam
Abu Darda sebelum Islamnya merupakan seorang penyembah berhala. Beliau memeluk Islam dengan usaha rakan karibnya iaitu Abdullah ibn Rawahah yang merupakan dari golongan Ansar.
Apa yang menarik untuk diketahui, Abu Darda termasuk orang Ansar yang paling terakhir memeluk Islam. Malah, beliau cukup terkenal kerana beliau menjadi orang yang paling a’lim dan fakih di kalangan kaumnya, dan juga terkenal menjadi seorang yang paling berilmu di tengah kaumnya.
Abu Darda merupakan seorang pedagang yang sangat berjaya, tetapi di masa hayatnya, beliau sanggup meninggalkan pekerjaannya hanya untuk memastikan dirinya boleh beribadah dan taat kepada Allah SWT:
❧ “Aku masuk Islam di hadapan Nabi Muhammad SAW dan aku adalah seorang pedagang. Aku ingin menggabungkan perdagangan dengan ibadah, tapi tidak berjaya. Kerana itu, aku tinggalkan perdaganganku dan fokus untuk beribadah.”
— Abu Darda RA
Kisah Wafatnya Abu Darda
Syumaith bin Ajlan berkata:
❧ “Tatkala Abu Darda RA hendak meninggal dunia, beliau merasa gelisah. Ummu Darda RA berkata kepadanya, ‘(Wahai Abu Darda), bukankah engkau pernah memberitahuku bahawa engkau mencintai kematian?’”
Abu Darda RA menjawab: “Demi Allah, benar. Akan tetapi tatkala aku yakin akan meninggal dunia, aku menjadi benci kepada kematian (benci dalam erti merasa belum cukup bekalan amal).” Kemudian Abu Darda RA menangis dan mengatakan, “Sekarang adalah detik-detik akhir hidupku di dunia ini. Bimbinglah aku mengucapkan La Ilaha Illallah.”
Kemudian beliau akhirnya mengucapkan kalimah itu hingga meninggal dunia. Beliau wafat dua tahun sebelum pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan RA, iaitu pada tahun 32 Hijrah.
Doa Abu Darda
Doa Abu Darda sangat disyorkan untuk dibaca setiap kali selepas subuh dan maghrib bagi memohon perlindungan diri, ahli keluarga dan harta benda daripada gangguan jin, syaitan, haiwan, dan juga kejahatan manusia:

🔖 Artikel Berkaitan: Doa Abu Darda — Kelebihan & Bantuan Rumi
Mutiara Kata Dari Beliau
Seperti yang diketahui, Abu Darda merupakan seorang ahli hikmah yang sangat masyhur, dan banyak kata-kata mutiaranya yang dapat kita jadikan peringatan sehingga kini. Antaranya ialah:
“Tiga perkara yang aku cintai sementara manusia membencinya…”
1. KEMISKINAN
“Aku mencintai kemiskinan kerana (menimbulkan) rasa tawadhu kepada Rabb-ku.”
2. SAKIT
“Aku mencintai sakit kerana (merupakan) penghapus kesalahan dan dosaku.”
3. KEMATIAN
“Aku mencintai kematian kerana kerinduan kepada Rabb-ku.”
Kesimpulannya, Abu Darda merupakan seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang sangat hebat orangnya, sanggup meninggalkan perdagangan dan kekayaan hanya untuk beribadah kepada Allah SWT, dan juga seorang yang sangat bijaksana. Beliau juga seorang ahli hikmah yang sangat masyhur dan banyak meninggalkan kata-kata mutiara nasihat yang boleh kita rujuk dan amalkan dalam kehidupan seharian. ❧