Zubair bin Awwam
Siapakah Zubair bin Awwam? Beliau ialah individu luar biasa yang digelar sebagai Hawari (Teman Setia) Rasulullah SAW dan merupakan salah seorang daripada 10 sahabat hebat yang dijanjikan masuk ke dalam syurga.
Keistimewaan & Sifat Peribadi
- Hawari Rasulullah: Orang yang sangat setia kepada baginda Nabi SAW sehingga diiktiraf sebagai “Hawari”.
- Keberanian Luar Biasa: Sejak kecil pandai menunggang kuda. Sejarah mencatatkan pedang pertama yang dihunuskan untuk membela agama Islam adalah pedangnya Zubair.
- Panglima Perang Sejati: Mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah SAW tanpa terkecuali. Beliau tidak pernah menjawat sebagai gabenor, sebaliknya fokus sebagai seorang panglima tentera Islam.
- Ahli Perniagaan & Dermawan: Seorang yang pakar dalam perniagaan namun memiliki tawakal yang sangat tinggi, menjadikan beliau seorang yang pemurah serta sanggup mengorbankan nyawa demi agama Islam.
- 1 daripada 6 Calon Khalifah: Dipilih oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab RA sebagai salah seorang Ahli Syura untuk melantik khalifah seterusnya.
- Akhlak Mulia: Dikenali dengan budi pekerti yang sopan santun serta berpegang teguh pada prinsip kebenaran.
Biodata & Hubungan Dengan Nabi SAW
Nama Lengkap
Zubair bin Al-Awwam bin Khuwailid bin Asad bin Abdu Uzza bin Qusai bin Kilab. Rasulullah SAW biasa memanggilnya dengan gelaran Abu Abdillah.
Kelahiran Beliau
Dilahirkan pada tahun 594 Masihi di kota Mekah. Bapanya wafat di medan perang sebelum kelahirannya, lantas beliau dibesarkan oleh ibunya bernama Sofiyyah binti Abdul Muttalib (ibu saudara Nabi).
Sepupu & Ipar Rasulullah SAW
Nasab beliau bertemu dengan Rasulullah SAW pada Qusai, menjadikan Zubair sebagai sepupu baginda (ibu Zubair adalah ibu saudara Nabi).
Selain itu, beliau juga merupakan ipar Rasulullah SAW. Isteri beliau, Asma’ binti Abu Bakar (yang digelar Zat an-Nitaqayn), adalah kakak kepada Saidatina ‘Aisyah RA.
Pengislaman & Ketabahan Yang Dipuji
Zubair merupakan antara 7 individu pertama yang memeluk agama Islam (As-Sabiqun Al-Awwalun), tepat sehari selepas sahabatnya Abu Bakar beriman. Pada waktu itu, usianya baru mencecah 15 tahun.
Selepas memeluk Islam, bapa saudaranya yang bernama Nufail bin Khuwailid telah menyeksanya dengan sangat teruk. Beliau dibalut di dalam tikar jerami kering dan diasap dari bawah. Asap tebal memasuki mata, hidung dan telinga sehingga beliau hampir sesak nafas dan kelemasan.
Biarpun diseksa hingga separuh mati agar meninggalkan Islam, beliau membalas teguh: “Aku tidak akan kembali kepada kekufuran selama-lamanya!” Beliau kemudiannya menyertai kedua-dua siri Hijrah ke Habsyah demi mempertahankan agamanya.
Kisah Mendapat Gelaran “Hawari”
Gelaran Hawari (penolong/teman setia yang ikhlas) diberikan secara rasmi oleh Rasulullah SAW ketika meletusnya Perang Khandaq (Ahzab).
Keadaan tentera Muslimin pada masa itu amat meruncing. Madinah dikepung ketat dari luar, manakala dari dalam, Bani Quraizah berkhianat dan membuka laluan kepada kaum Musyrikin. Dalam saat kritikal itu, Rasulullah SAW bertanya:
“Siapa di antara kalian yang akan pergi ke Bani Quraizah untuk memerangi dan membawa berita mereka kepadaku?”
Dalam suasana genting itu, Zubair bingkas berdiri melaungkan: “Akulah yang akan pergi ya Rasulullah!”
Rasulullah SAW mengulangi pertanyaan tersebut dua hingga tiga kali, dan setiap kali itulah hanya Zubair yang bingkas menyahut seruan baginda.
Melihat kesetiaan dan keberanian luar biasa itu, Nabi Muhammad SAW pun mengucapkan sabda baginda yang masyhur dan termaktub di dalam hadis.
Hadis Mengenai Zubair bin Awwam
لِكُلِّ نَبِيٍّ حَوَارِيٌّ، وَحَوَارِيَّ الزُّبَيْرُ
Maksudnya: “Setiap nabi mempunyai penolong (hawari), dan hawariku adalah Zubair bin ‘Awwam.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Kewafatan Sang Pahlawan
Zubair bin Awwam menemui kesyahidannya pada tahun 36 Hijrah (656 Masihi) semasa berlakunya Perang Jamal. Sebaik sahaja beliau menyedari salah faham yang mencetuskan fitnah peperangan sesama umat Islam itu, beliau segera mengundurkan diri dan meninggalkan medan perang.
Malangnya, beliau telah diekori oleh seorang lelaki bernama Ibnu Jurmuz yang berkeras mahu menyalakan api peperangan. Sedang Zubair khusyuk mendirikan solat (dalam sebuah riwayat ketika beliau sedang tidur siang), Ibnu Jurmuz mengambil kesempatan menikamnya sehingga wafat.
Ibnu Jurmuz kemudian pergi menghadap Khalifah Ali bin Abi Thalib RA, menyangka bahawa Ali akan bergembira dengan berita kematian “musuhnya”. Namun, respon Saidina Ali amat mengejutkan:
“Katakanlah kepada orang yang membunuh putra Sofiyyah bahawa tempatnya adalah di neraka!”
Apabila pedang Zubair dihulurkan kepadanya, Saidina Ali mencium pedang tersebut sambil menangis teresak-esak mengenangkan memori lampau, seraya berkata:
“Demi Allah! Sudah sekian lama pedang ini melindungi wajah Nabi Muhammad SAW daripada sebarang bahaya.”
Kisah & Biodata Sahabat Nabi Yang Lain
Sumber Rujukan
- Biodata Zubair Bin Awwam – 1001 Sirah Nabi Muhammad
- Zubair bin Awwam Biografi Tokoh Ternama
- Kisah Zubair al Awwam – Ustazausa.com
- Kisah Sahabat: Zubair bin Awwam – berita.pas
- Kisah Sahabat Nabi Zubair – Detik