Abu Ubaidah Al Jarrah: Biodata & Kisah Hidupnya

Abu Ubaidah Al-Jarrah

Siapakah sebenarnya Abu Ubaidah Al-Jarrah? Artikel ini akan membincangkan secara terperinci biodata dan kisah hidup salah seorang sahabat hebat yang telah dijanjikan masuk ke dalam syurga oleh Rasulullah SAW.

✦ ❧ ✦

Siapakah Abu Ubaidah Al-Jarrah?

  • Dijamin Syurga: Beliau termasuk dalam golongan para sahabat yang awal memeluk agama Islam (As-Sabiqun Al-Awwalun) dan merupakan salah seorang daripada 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga.
  • Sahabat Kepercayaan: Beliau merupakan sahabat kepercayaan Rasulullah SAW dan banyak menggalas misi-misi penting serta kritikal daripada baginda.
  • Keperibadian Mulia: Memiliki wajah yang berseri dan matanya bersinar bagaikan bulan purnama. Sifatnya yang selalu lemah lembut dan ramah membuatkan orang-orang bersimpati kepadanya. Akan tetapi, jika berhadapan dengan urusan yang penting (seperti medan perang), beliau berubah menjadi seperti singa yang siap menerkam buruannya.

Nama & Salasilah Keluarga

Nama sebenar beliau adalah Amir bin Abdullah bin Jarrah Al-Fikhry Al-Quraisy. Beliau berasal daripada kaum Quraisy, lebih tepat lagi dari suku Al-Harith bin Fihr.

Kelahiran Beliau

Lahir pada tahun 582 Masihi di kota Mekah. Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga Quraisy yang terhormat yang juga berada di kalangan golongan pedagang di tanah Arab.

Pengislaman Abu Ubaidah

Beliau memeluk Islam melalui ajakan daripada sahabat karibnya, Abu Bakar Ash-Shiddiq RA. Sehari selepas Abu Bakar memeluk Islam, beliau turut mendapat hidayah untuk melafazkan syahadat dan secara rasminya menjadi seorang Muslim pada peringkat terawal dakwah Islamiah.

Kisah Pengorbanan di Perang Uhud

Satu peristiwa yang amat menyayat hati dan membuktikan kecintaan luar biasa beliau terhadap Rasulullah SAW berlaku ketika Perang Uhud.

Pada waktu pasukan Islam sedang kacau-bilau diasak oleh pasukan kafir Quraisy, dan ramai golongan munafik melarikan diri dari medan tempur, Abu Ubaidah dari kejauhan berlari pantas merempuh bahaya demi mendekati dan melindungi baginda Rasulullah SAW tanpa sedikit pun rasa gentar.

Setibanya beliau di sisi baginda, didapati pipi mulia Rasulullah SAW telah tercedera akibat tertusuk dua rantai besi dari topi pelindung kepala yang baginda pakai. Tanpa membuang masa, Abu Ubaidah terus berusaha mencabut besi tersebut menggunakan giginya agar baginda tidak merasa terlalu sakit jika ditarik menggunakan tangan.

Ketika pautan besi pertama berjaya dicabut dari pipi baginda, gigi depan Abu Ubaidah turut patah dan terpelanting. Namun, kecintaannya mengatasi rasa sakit.

Beliau meneruskan cabutan pautan besi yang kedua dengan giginya. Sekali lagi, pautan itu berjaya dikeluarkan bersama-sama dengan patahnya gigi depan beliau yang kedua, menjadikan beliau rongak demi menyelamatkan kekasih Allah.

Kewafatan Abu Ubaidah Al-Jarrah

Beliau wafat pada tahun 18 Hijrah di Urdun (Jordan) yang terletak di dalam wilayah Syam ketika berumur 58 tahun. Pada ketika itu, wilayah Syam sedang dilanda wabak penyakit Taun (Taun Amwas).

Khalifah Umar bin Al-Khattab RA yang risau akan keselamatan beliau sempat mengirim surat memanggilnya pulang ke Madinah. Namun, dengan penuh rasa tanggungjawab, Abu Ubaidah menolak dengan lembut kerana tidak mahu meninggalkan dan lari daripada tentera Muslimin di bawah pimpinannya yang sedang diuji. Akhirnya, beliau syahid akibat wabak tersebut.

Wasiat Terakhir Beliau:

“Dirikanlah solat kalian, tunaikanlah zakat yang menjadi kewajiban kalian, berpuasalah kalian di bulan Ramadan, bersedekahlah dengan harta kalian, tunaikanlah ibadah haji dan umrah dan janganlah lupa untuk saling menasihati sesama kalian. Berikanlah nasihat yang baik kepada pemimpin kalian, jangan pernah berbohong dan jangan pernah tertipu dengan kekayaan dunia.”

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan ajal bagi setiap manusia, oleh sebab itu seluruh manusia pasti akan mati. Orang yang beruntung di antara kalian adalah mereka yang paling taat kepada Allah SWT dan mempunyai banyak sekali bekalannya untuk dibawa ke akhirat. Assalamualaikum.”

Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat memandang Muadz bin Jabal RA dan mengarahkan, “Wahai Muadz! Imamkanlah solat mereka.”

Pemergiannya disambut dengan deraian air mata seluruh pasukan Muslimin. Muadz bin Jabal kemudian berucap:
“Wahai seluruh kaum Muslimin! Kalian sudah dikejutkan dengan berita kewafatan seorang pahlawan yang demi Allah SWT, aku tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, memiliki pandangan yang jauh, lebih mencintai hari akhirat dan suka memberikan nasihat kepada orang-orang…”

Abu Ubaidah Al-Jarrah dimakamkan di wilayah Urdun, kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan empayar Rom.

Hadis Berkaitan Abu Ubaidah Al-Jarrah

Berikut adalah sebuah hadis masyhur yang menggambarkan betapa besarnya dan tingginya kedudukan beliau di sisi Rasulullah SAW. Baginda memegang tangan Abu Ubaidah lalu bersabda:

إِنَّ لَكُمْ أُمَّةً أَمِيْنًا، وَإِنَّ أَمِيْنَ هذِهِ اْلأُمَّةِ أَبُوْ عُبَيْدَةَ بْنُ اْلجَرَّاحِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap umat memiliki orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin Al-Jarrah.“

Sumber Rujukan

  1. Kisah Sahabat Nabi: Abu Ubaidah bin Jarrah Pemimpin Kepercayaan Rasulullah – Detik.com
  2. Biodata dan Sejarah Abu Ubaidah – Sibukbudakkopiah
  3. Kisah Sahabat: Abu Ubaidah Al-Jarrah
  4. Abu Ubaidah bin Jarrah dan Kepercayaan Rasulullah – Republika.co.id
  5. Abu Ubaidah Al-Jarrah – Ensiklopediamuslim

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

13 − 2 =