Apakah adab-adab bermusafir yang perlu kita ketahui? Artikel ini akan membincangkan beberapa adab yang kita boleh amalakan ketika bermusafir.
Pengenalan
Galakan untuk bermusafir ini banyak dirakamkan di dalam al-Quran, seperti di dalam surah al-Mulk ayat 15 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya”. Di dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa dunia ini ibarat satu hamparan yang sangat luas yang mesti dijelajahi oleh kita. Salah seorang ilmuwan islam yang terkenal, Ibnu Batutah, dikenali sebagai penjelajah hebat yang mengambil masa hampir 30 tahun untuk mengembara ke 44 buah negara.
Di dalam islam, kita digalakkan untuk melihat dunia dengan kaca mata yang berbeza dan menyelami kehidupan manusia lain yang hidupnya jauh berbeza dengan kita. Di dalam surah al-Hujurat ayat 13 dirakamkan penciptaan manusia yang dijadikan daripada pelbagai bangsa dan suku untuk kita semua saling kenal-mengenali. Anjuran ini sekaligus menggalakkan kita untuk keluar bermusafir dan mengenali kelainan yang ada pada manusia lain.
Kerana itu, anjuran bermusafir ini tidak hanya datang dengan galakan sahaja, malah islam telah menggariskan beberapa adab yang kita boleh amalkan semasa kita dalam pengembaraan. Untuk artikel kali ini, mari kita jelajahi adab bermusafir, supaya kita sama-sama dapat menghayati hikmah di sebalik sebuah permusafiran.
Adab-Adab Bermusafir
1. Perjalanan dengan niat yang baik
Sesuatu perkara yang kita lakukan mestilah dimulakan dengan niat. Malah hadis mengenai kepentingan niat ini menjadi hadis pertama di dalam Hadis 40 Imam Nawawi.
Daripada Amirul Mukminin Umar Al-Khattab RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan Rasulnya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, perjalanan kita menuju ke sesebuah destinasi itu juga mestilah dengan niat yang baik. Perkara ini juga memberi kesan kepada rukhsah (kemudahan) yang diberikan kepada para musafir, jika perjalanan tersebut adalah dengan niat yang baik, contohnya kemudahan solat jamak dan qasar.
Artikel Berkaitan: Hadis Pertama Imam Nawawi Tentang NIAT
2. Menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum keluar daripada rumah.
Adalah disunatkan sebelum kita memulakan sesuatu musafir itu, perlulah kita melakukan solat sunat terlebih dahulu.
Di dalam satu hadis riwayat Tabrani ada menyebut: “Tidaklah seseorang meninggalkan sesuatu bagi keluarganya yang lebih baik dari 2 rakaat yang dilakukan di sisi mereka ketika berniat untuk bermusafir”.
Artikel Berkaitan: Cara Solat Sunat Musafir
3. Menyediakan bekalan dan persediaan yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
Ini untuk memudahkan perjalanan musafir kita lebih-lebih lagi apabila melibatkan perjalanan yang jauh. Persediaan daripada segi fizikal dan mental amatlah penting dan juga memeriksa keadaan kereta kita juga mestilah dititikberatkan supaya perjalanan kita terganggu.
Diriwayatkan oleh Nafi’ Bin Abdul Harith RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda:
مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ
Maksudnya: Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang baik.” Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (457)
Malahan, Al-Munawi menjelaskan di dalam Kitab Faidh al-Qadir, kenderaan yang baik dapat mempercepatkan masa untuk bertemu sahabat handai tanpa perlu ada kesusahan dan kepenatan.
4. Membaca doa menaiki kenderaan.
Sebelum atau ketika mulanya bermusafir, adalah disunatkan untuk membaca doa menaiki kenderaan iaitu:
سُبْحَانَ الَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ
Maksudnya: Mahasuci Allah yang telah menundukkan untuk kami kendaraan ini, padahal kami sebelumnya tidak mempunyai kemampuan untuk melakukannya. Sesungguhnya hanya kepada Rabb kami, kami akan kembali. (Surah az-Zukhruf: ayat 13-14)
Artikel Berkaitan: Doa naik Kenderaan dan juga Adab-adabnya
5. Menjaga solat dan pandangan daripada perkara-perkara yang melalaikan.
Sebagai seorang muslim, kita diwajibkan menjaga solat dan pandangan bukan sahaja ketika bermusafir, tetapi juga pada bila-bila masa. Ini berdasarkan satu hadis daripada Muaz bin Jabal RA, Nabi SAW bersabda:
رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ
Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan ke muncaknya adalah berjihad.” [Riwayat al-Tirmizi (2616)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]
Di dalam al-Quran juga, Allah berfirman:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُون
Maksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada apa yang tidak halal melihatnya) dan memelihara kehormatan (daripada apa saja yang tidak halal melakukannya).” (Surah an-Nur, ayat 30)
Makanya, walau apa pun situasi dan di mana pun kita berada, akhlak kita haruslah dijaga dan musafir bukanlah tiket untuk kita meliarkan pandangan kita.
6. Meminta izin dan mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga.
Ini adalah salah satu cara untuk menunjukkan hormat dan kasih sayang kita kepada keluarga. Malah, dengan memberitahu ke mana arah permusafiran kita, mereka akan tahu di mana kita berada jika terjadinya apa-apa perkara semasa di dalam perjalanan. Ini sekaligus akan memudahkan urusan mereka untuk menghubungi dan mengetahui status keberadaan kita. Bak kata pepatah, malang tidak berbau.
Malah, di dalam satu syarah Imam Nawawi di dalam kitab al-Azkar ada menyatakan: “Apabila seseorang daripada kamu akan bermusafir, hendaklah meminta izin kepada saudara-saudaranya, sebab sesungguhnya Allah SWT menjadikan kebaikan pada doa mereka.”
7. Memulakan perjalanan pada waktu malam.
Terdapat beberapa hadis yang menggalakkan perjalanan pada waktu malam.
“Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.” (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud)
Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda,
عَلَيْكُمْ بِالدُّلْجَةِ فَإِنَّ الْأَرْضَ تُطْوَى بِاللَّيْلِ
Maksudnya: “Hendaklah kalian melakukan perjalanan pada waktu malam kerana sesungguhnya bumi itu dilipatkan di malam hari.” (Hadis Riwayat Riwayat Abu Daud no. 2571)
8. Meminta dan mendoakan orang yang bermusafir.
Salah satu waktu untuk doa dimakbulkan adalah ketika bermusafir. Maka, adalah disunatkan untuk memperbanyakkan doa ketika musafir ini.
Ibnu Umar RA berkata kepada orang hendak berjalan jauh:
ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ : أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
Maksudnya: Dekatlah kepadaku, akan aku doakan engkau, sebagaimana Rasulullah SAW mendoakan kami jika kami akan pergi. Lalu Ibnu Umar berkata:
أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
Maksudnya: “Aku doakan agar Allah memelihara agamamu, amanahmu dan penutup-penutup amalmu kepada-Nya.”
9. Membelikan buah tangan kepada keluarga di rumah
Sabda Nabi S.A.W:
تهادُوْا تحابُّو
Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”. Hadis Riwayat al-Bukhari (594), [Lihat: al-Adab al-Mufrad; m/s 306], Hadith Shohih, [Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44]
Ini menunjukkan betapa Islam menggalakkan kita memperingati ahli keluarga dan sahabat handai dengan memberikan hadiah. Ianya dapat memupuk kasih sayang dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita.
Kesimpulannya, Islam menggalakkan aktiviti mengembara untuk melihat dunia yang mempunyai pelbagai kisah, ragam, manusia dan budaya. Islam menggariskan adab, kemudahan serta galakan untuk bermusafir tanpa meninggalkan suruhan Allah, malah menjadikan musafir sebagai satu bentuk amalan untuk mendapat ganjaran pahala apabila kita mematuhi suruhannya.
Malahan, rukun islam kelima, menunaikan haji di Mekah juga merupakan salah satu musafir apabila kita meninggalkan kediaman kita, dan menunaikan fardhu haji selama sebulan di sana dan mempelajari selok-belok kehidupan yang asing daripada di tanah air kita sendiri. Maka, jika kita mempunyai kesempatan dari segi masa, wang dan juga kesihatan, lihatlah dunia baru dan memperbaharui pandangan alam kita terhadap dunia.
Adab-adab yang Lain
Rujukan:
- Hadis 40, Imam Nawawi. – Zulkiflihasan Blog
- Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub. (6 Jun 2019). Irsyad Al-Hadith Siri Ke-379: Solat Merupakan Tiang Agama. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
- Tafsir Surah An Nur Ayat 30. Tafsir Al-Quran Bahasa Melayu.
- Menjaga mata daripada melihat maksiat. (19 Jun 2020). Harian Metro.
- Admin PMWP. (2 Jun 2019). Bayan Linnas Siri Ke-180: Fiqh Jalan Raya Sempena Hari Raya. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan.
- Panduan Bermusafir Menurut Islam. (13 Jun 2017). Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI).
- Admin PMWP. (3 Mac 2019). Al-Kafi #1133: Doa Kepada Orang Musafir Dan Orang Yang Ditinggalkan. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
- Muhd Farhan. (4 Mac 2020) Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-445: Hukum Bertukar-Tukar Hadiah Melalui Undian. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
- Kelebihan Mengembara dan Bermusafir Dalam Islam. (18 Sept 2019) SalamWebToday