Skip to content

Hukum Muntah Ketika Puasa. Batal atau Tidak Puasa?

hukum muntah ketika puasa

Apakah hukum muntah ketika puasa? Artikel ini akan membincangkan hukum muntah ketika sedang melakukan ibadah puasa. Samada perkara ini menyebabkan puasa terbatal atau tidak.

Pengenalan

Dari segi definisi saum, puasa itu ialah menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari, maksudnya bermulanya waktu subuh sehingga waktu maghrib. Di antara waktu itu, kita tidak boleh melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan sebagainya.

Hukum puasa ada 5:

1. Wajib

Puasa pada bulan Ramadan, puasa qada’ bulan Ramadan, puasa nazar, puasa kaffarah sebab melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadan, puasa dalam ibadah haji dan umrah sebagai ganti untuk penyembelihan fidyah dan puasa untuk solat istisqa’ sekiranya diperintah oleh imam.

2. Sunat

Puasa hari arafah, puasa hari tasu’a, puasa hari asyura, puasa isnin dan khamis, puasa Nabi Daud dan sebagainya.

3. Makruh

Puasa hari jumaat tanpa didahulukan hari sebelumnya dan selepasnya, puasa tanpa sahur, puasa sepanjang tahun dan puasa hari ahad (sahaja).

4. Haram

Puasa pada hari raya aidilfitri dan hari raya aidiladha, hari-hari tasyrik dan lain-lain.

5. Harus

Puasa pada hari-hari lain selain daripada hari yang diharamkan dan dimakruhkan.

Perkara-perkara yang membatalkan puasa

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga secara sengaja

Contohnya, makan, minum, menghisap rokok, dan sebagainya. Apa sahaja dimasukkan ke dalam rongga yang sampaikan benda itu ke perut, maka batallah puasa.

2. Memasukkan sesuatu ke dalam qubul atau dubur.

3. Muntah dengan sengaja.

4. Jimak

5. Keluar air mani dengan sengaja seperti onani dan persetubuhan.

6. Haid dan nifas.

7. Gila

8. Murtad, keluar daripada Islam.

9. Pengsan sepanjang hari ketika berpuasa.

Apakah status puasa sekiranya muntah?

Rasulullah bersabda:

Barangsiapa yang muntah dengan tidak sengaja, maka tidak ada qada’ baginya; dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka ia harus mengqada (puasanya).” (Riwayat Abu Daud)

Dalam hadis ini diberitahu secara jelas bahawa sesiapa yang termuntah ketika berpuasa, maka dia boleh meneruskan puasanya seperti biasa. Sesiapa yang muntah dengan sengaja, maka terbatallah puasanya. Harus diqada’kan puasanya nanti.

Muntah dengan sengaja itu maksudnya menjolok-jolokkan lelangit sehingga muntah. Bukannya muntah dengan tiba-tiba.

Dalil puasa

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 183 hingga 185:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Dalam ayat 183, Allah menceritakan kepada kita bahawa orang beriman itu diberikan kewajipan berpuasa. Nabi-nabi terdahulu sehinggalah yang terakhirnya, mereka berpuasa untuk membentuk dan meningkatkan ketakwaan. Meningkatkan takwa dengan cara berpuasa itu merupakan satu jaminan oleh Allah. Hal itu Allah beritahu menerusi ayat 183 ini.

Ayat 184 dan 185 pula menceritakan kepada kita bahawa terdapat keringanan terhadap mereka yang tidak mampu berpuasa, bolehlah menggantikannya pada hari lain. Jikalau tidak mampu berpuasa langsung pun, wajib untuk membayar fidyah, iaitu beri makan kepada orang miskin.

Allah menurunkan al-Quran pada bulan yang mulia ini sebagai petunjuk kepada kita.

Kesimpulan

Hukum muntah ketika berpuasa secara sengaja membatalkan puasa. Sekiranya muntah tanpa sengaja, ia tidak membatalkan puasa dan boleh meneruskan puasa seperti biasa.

Rujukan

Safinatun Najah

Baca tentang Hukum yang lain

Hukum Berkumur Ketika PuasaHukum Keluar Air Mazi Ketika Puasa
Hukum Korek Telinga Ketika PuasaHukum Menangis Ketika Puasa
Hukum Potong Kuku Ketika PuasaHukum Korek Hidung Ketika Puasa
Hukum Swab Test Ketika PuasaHukum Berjimak Ketika Puasa
Hukum Menggunakan Inhaler Ketika PuasaHukum Berus Gigi Ketika Puasa
Hukum Berbekam Ketika PuasaHukum Pakai Gincu Ketika Puasa
Hukum Jilat Bibir Ketika PuasaHukum Telan Air Liur Ketika Puasa
Hukum Muntah Ketika PuasaHukum Merokok Ketika Puasa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × 4 =