Skip to content

Hukum Mencabut Gigi Ketika Puasa. Batal Tak?

hukum mencabut gigi ketika puasa

Artikel ini akan membincangkan hukum mencabut gigi ketika berpuasa. Adakah mencabut gigi dapat membatalkan puasa? 

Marilah kita teliti pandangan dari pelbagai sumber tentang kes ini. 

Fatwa Sheikh Soleh al-Uthaimin 

Menurut Sheikh Soleh al-Uthaimin, mencabut gigi ketika berpuasa itu tidak membatalkan puasa. Namun, hal yang perli diperhatikan adalah darah yang keluar ketika mencabut gigi itu. Menurut Sheikh, darah yang keluar itu haruslah tidak dibiarkan ditelan dengan sengaja. Kalau tanpa sengaja, itu dimaafkan. 

Terdapat pandangan orang yang mengatakan hukum cabut gigi ini sama seperti berbekam. Ia mengeluarkan darah. Rasulullah pernah bersabda, orang berbekam itu batal puasanya. 

Menurut Sheikh, hal ini tidak sama. Darah yang keluar dari berbekam itu khuatir dapat melelahkan seseorang sehingga rasa tidak bermaya untuk meneruskan puasa. Sebab itulah Rasulullah berkata sedemikian. 

Darah yang keluar dari mulut akibat daripada mencabut gigi ini pula berbeza. Ia tidak langsung menjejaskan puasa seseorang. 

Fatwa Majlis Ugama Islam Indonesia 

Fatwa ini menukilkan kata-kata daripada kitab Fiqh Islami wa Adillatuh:

Dimakruhkan bagi yang sedang berpuasa, sebagai berikut, menampal gigi yang berlubang pada siang hari, kecuali jika ditunda sampai malam, maka dikhuatirkan akan terjadi kemudaratan seperti akan timbul penyakit baru, penyakitnya bertambah parah, atau menderita sakit yang luar biasa. Jika ada sesuatu ubat yang tertelan maka ia wajib mengqada’ puasa hari itu (batal puasanya).

Jelas daripada nukilan ini, cabut gigi itu tidak membatalkan puasa. Namun, seseorang itu haruslah berhati-hati daripada menelan darah yang terkeluar. Cepat-cepat meludahnya. 

Cabut gigi tidak melibatkan sesuatu dimasukkan ke dalam perut. Hal ini berbeza sekiranya terdapat ubat untuk ditelan bagi melegakan sakit gigi. Yang ini terang-terang membatalkan puasa. 

Tetapi, kalau sekadar mencabut gigi, ia tidak membatalkan puasa. 

Fatwa Brunei 

Menurut Soal Jawab Penjagaan Kesihatan Mulut Dari Perspektif Islam terbitan kerajaan Brunei, apa-apa pemeriksaan gigi yang hanya berlaku pada had zahir, ia tidak menjejaskan puasa. 

Apa makna had zahir dan had batin? 

Had zahir ialah kawasan luaran yang boleh dilihat. Had batin pula ialah kawasan yang tidak boleh dilihat dengan mata seperti perut dan sebagainya. Kalau sesuatu rawatan itu sehingga melibatkan ubat atau apa-apa yang masuk ke dalam perut (yakni had batin), maka ia dapat membatalkan puasa. 

Jadi, hukum mencabut gigi adalah tidak membatalkan puasa kerana ia hanya berlegar pada had zahir sahaja, iaitu tidak sampai ke dalam perut. 

Sesiapa yang pergi mencabut gigi namun sedang berpuasa, hendaklah dia meneruskan puasanya itu seperti biasa. 

Pandangan daripada Islamweb

Artikel Needs to remove his tooth during the day in Ramadan menasihatkan bahawa apa-apa rawatan yang melibatkan gigi ditunda sehingga selepas buka puasa (kalau boleh). Hal ini kerana, takut-takut bilamana rawatan itu berlaku ketika berpuasa, ia memberi kesan-kesan sampingan kepada seseorang itu sehingga dia hendak berbuka puasa pula. 

Jadi, kalau boleh tangguh sehingga berbuka puasa dahulu, tangguhlah. 

Kalau rawatan itu memang kecemasan dan memerlukan waktu itu juga, maka bolehlah seseorang itu pergi mendapatkan rawatan. Tidaklah ia membatalkan puasa. 

Namun, ketika rawatan itu juga seperti mencabut gigi, tampal gigi dan sebagainya, hendaklah seseorang berhati-hati dengan apa-apa yang dapat masuk ke dalam badannya seperti darah atau ubat. 

Sekiranya perkara itu berlaku, khuatir ia dapat membatalkan puasa. Jadi, asasnya, mencabut gigi ketika berpuasa tidak membatalkan puasa. 

Jawapan Ustaz Azhar Idrus

Dalam video ini https://www.youtube.com/watch?v=jarcuOitDBg, Ustaz Azhar Idrus pernah ditanya adakah mencabut gigi itu membatalkan puasa. 

Jawb Ustaz Azhar secara ringkas, cabut gigi tidak membatalkan puasa. 

Ustaz Azhar menukilkan kata-kata daripada Ibnu Abbas iaitu sebab membatalkan puasa adalah masuk, bukan keluar. 

Maknanya, sesuatu yang masuk ke dalam badan itu barulah membatalkan puasa, bukannya mengeluar sesuatu daripada badan. 

Mencabut gigi merupakan mengeluarkan sesuatu daripada badan, bukan memasukkannya. Melainkan, sesuatu itu ditelan seperti gigi itu sendiri, darah dan sebagainya. Itu boleh membatalkan puasa. 

Kalau cabut gigi sahaja, ia tidak membatalkan puasa. 

Rujukan 

  1. Fatwa Ulama Cabut Gigi Ketika Puasa. Apakah Puasa Batal? – Muslim.id
  2. Soal Jawab Penjagaan Kesihatan Mulut dari Perspektif Islam – Kementerian Kesihatan Brunei
  3. Needs to Remove His Tooth During The Day of Ramadhan – Islamweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 − 8 =