Skip to content

Hukum Bersetubuh Ketika Puasa Sunat

hukum bersetubuh ketika puasa sunat

Artikel ini akan membincangkan hukum bersetubuh ketika puasa sunat. Apakah hukum baginya? Adakah puasa akan terbatal? Adakah perlu membayar denda? Mari kita sama-sama pelajari. 

Bagi kes bersetubuh ketika berpuasa, sebenarnya terdapat satu hadis yang menceritakan hal tersebut. 

Daripada Abu Hurairah meriwayatkan: 

Ketika kami duduk di samping Rasulullah SAW, seorang lelaki menemui baginda, dan berkata, “Wahai Rasulullah! Aku binasa.” Baginda bertanya, “Kenapa?” Jawabnya, “Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.” Dalam riwayat yang lain, dalam bulan Ramadhan. 

Sabda baginda, “Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?” Jawabnya: “Tidak.” Baginda bersabda, “Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya, “Tidak.” Sabda baginda, “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?” Jawabnya, “Tidak.” 

Rasulullah SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda, “Di manakah orang yang bertanya tadi?” Lelaki itu menjawab, “Aku.” Sabda baginda lagi, “Ambillah tamar ini dan sedekahkan.” Lelaki itu berkata, “Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!” Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda, “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu.” (Riwayat Bukhari) 

Bagi sepasang suami isteri yang telah bersetubuh ketika berpuasa di bulan Ramadan, maka dikenakan denda seperti yang dinyatakan dalam hadis tadi. Denda ini perlu dilakukan secara tertib. Ia tidak boleh terus kepada yang ketiga sebelum memastikan yang pertama itu mampu dilakukan dahulu. 

Denda-denda itu ialah: 

  1. Merdekakan seorang hamba. 
  2. Berpuasa dua bulan berturut-turut. 
  3. Memberi makan 60 orang miskin. 

Bagi mereka yang telah dikenakan denda ini, perlu lihat dahulu apakah mampu dia buat denda yang pertama? Sekiranya tidak mampu, barulah beralih kepada yang kedua. 

Tidak boleh terus kepada yang ketiga sekiranya berpuasa dua bulan berturut turut itu masih boleh dilakukan. Kalau masih sihat tubuh badan, maka bolehlah berpuasa dua bulan berturut-turut. 

Soalannya lagi, siapa yang dikenakan denda ini? Suami atau isteri? Atau kedua-duanya sekali? 

Jawabnya, suami sahaja. Dalam mazhab Syafie, hanya suami yang perlu melakukan sepertimana didenda. Isteri tidak perlu melakukannya, cukuplah sekadar menggantikan puasa pada hari yang lain. 

Namun, denda ini hanya terpakai pada puasa di bulan Ramadan sahaja. Bagaimana dengan puasa-puasa yang lain? Seperti puasa sunat? Kalau berjimak ketika sedang berpuasa sunat, adakah perlu melunaskan denda yang dinyatakan dalam hadis tadi? 

Hukum berjimak ketika puasa sunat 

Contohnya, puasa enam, puasa Isnin dan Khamis, dan sebagainya. Bilamana sedang berpuasa senam misalnya, tiba-tiba berjimak dengan isteri, perlukah melunaskan denda seperti berpuasa dua bulan berturut-turut dan sebagainya? 

Jawabnya, tidak dikenakan denda langsung. 

Denda yang dinyatakan dalam hadis pada awal artikel hanyalah pada puasa di bulan Ramadan sahaja. Sekiranya seseorang itu sedang berpuasa sunat, lalu dia berjimak dengan isterinya, dia telah membatalkan puasa sunatnya sahaja. Dia tidak perlu berpuasa dua bulan berturut-turut dan sebagainya. 

Ummu Hani RA meriwayatkan: 

Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Adakah kamu sedang mengqada’kan sesuatu (puasa).” Beliau berkata, “Tidak.” Sabda Rasulullah SAW, “Maka tidak memudaratkan (memberi dosa) kepadamu sekiranya ia adalah puasa sunat.” (Riwayat Abu Daud) 

Dalam hadis yang lain, Ummu Hani meriwayatkan: 

Seseorang yang berpuasa sunat, jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.(Riwayat at-Tirmidzi) 

Dalam Fiqh Manhaji ditegaskan, barangsiapa yang mahu membatalkan puasa sunat, ia tidak mengapa. Ia tidak memudaratkan apa-apa. Tidak perlu dikenakan denda dan sebagainya sepertimana puasa di bulan Ramadan. 

Rumusan 

Hukum bersetubuh ketika berpuasa sunat adalah membatalkan puasa tersebut. Namun begitu, pelaku tidaklah dikenakan denda berpuasa dua bulan berturut-turut dan sebagainya sepertimana di bulan Ramadan. Sekiranya pelaku berjimak di bulan Ramadan, ia perlu dikenakan denda. Hal ini berbeza dengan puasa sunat.

Apabila pelaku membatalkan puasa sunat dengan berjimak, ia hanya terbatal. Tidak dikenakan denda dan sebagainya. 

Rujukan

1. Fiqh Manhaji 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven + seventeen =