Apakah adab terhadap ibu bapa yang perlu anda praktikkan dalam sesebuah keluarga? Artikel pada kali ini akan menyenaraikan adab adab terhadap ibu bapa dengan berpandukan huraian daripada ayat Al-Quran dan Hadis.
Pengenalan
Setiap satu yang terjadi dan dijadikan di atas muka bumi ini adalah atas kehendak Allah. Begitu juga dengan asal usul kejadian manusia. Allah menciptakan manusia sebagai makhluk yang sangat baik kejadiannya bermula dari setitis air mani sehingga ditiupkan roh ke dalam jasadnya untuk bernyawa.
Manusia juga adalah khalifah di muka bumi ini dan dari situ ia berkembang dan beranak-pinak. Maka lahirlah generasi yang baru dari segenap lapisan zaman. Sebuah keluarga yang lengkap mempunyai ibu bapa dan anak-anak. Sebagaimana setiap manusia dituntut untuk menjaga hubungan baik dengan Allah SWT, setiap insan juga perlu menjaga hubungan baik di antara satu sama lain seperti hubungan di antara anak dengan ibu bapanya.
Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan dua ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan kedua-duanya.” (Hadith Riwayat at-Tirmizi)
Potongan hadis ini jelas menunjukkan betapa pentingnya seorang anak menjaga adabnya terhadap ibu bapa.
10 Adab-adab kepada Ibu Bapa
1. Mentaati perintah dan menjauhi larangan mereka selagi mana tidak bertentangan dengan syariat Islam
Dalam surah surah Al ‘Ankabut, ayat 8, Allah SWT telah berfirman yang maksudnya:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Dengan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”
Berbuat baik kepada ibu bapa adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Perkara ini wajar kerana ibu bapa telah bersusah payah mengandung, melahirkan, membesarkan, mendoakan, memberi kasih sayang dan pendidikan kepada anak-anak sejak lahir sehingga ke hari ini. Segala kebaikan mereka tidak mungkin dapat kita lunaskan semuanya.
2. Berbuat baik dan memuliakan sahabat dan kenalan ibu bapa
Memuliakan tetamu dan orang yang berkunjung ke rumah sama ada sanak-saudara, kenalan sendiri, sahabat, atau kenalan dan sahabat ibu bapa merupakan amalan yang menzahirkan manfaat kepada masyarakat.
Berdasarkan kepada umum nas, daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Persaudaraan antara umat Islam haruslah sentiasa dijaga dan dipelihara untuk memastikan ianya terus erat sehingga mencapai kebaikan di dunia dan akhirat.
3. Memanggil ibu bapa dengan panggilan yang baik, lembut, dan hormat
“Ibu”, “Mak”, “Ummi”, “Mama”, “Mami”, “Ayah”, “Abah”, dan “Papa” adalah panggilan yang selalu diberikan oleh anak-anak kepada ibu bapanya. Apa pun jua nama panggilan itu, selagi mana ia memberikan maksud yang baik dan penuh dengan kehormatan maka sebagai seorang anak tidak salah untuk kita menggunakannya.
Asal usul membentuk komunikasi yang betul adalah dengan memulakan panggilan yang tepat. Dari situ akan terlahirlah nilai-nilai hormat-menghormati yang mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
4. Menggunakan bahasa yang sopan, lemah lembut, dan hormat ketika berkomunikasi
Hari ini media sosial banyak memaparkan video-video dan artikel berkenaan dengan kes yang melibatkan masalah dalam sesebuah keluarga. Video viral “anak menendang orang tua”, “ibu ayah mendera anak sehingga mati”, dan bermacam lagi masalah yang melanda institusi kekeluargaan pada masa ini.
Allah SWT berfirman dalam Al-Quran: Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Isra’, ayat 23)
Berkata sesuatu yang baik, dan menggunakan bahasa yang sopan ketika berkomunikasi dengan orang lain sememangnya bukanlah terlaksana di dalam keluarga sahaja. Namun sebaliknya kepada seluruh peringkat masyarakat seperti ketika bersama kawan-kawan, dan rakan sekerja.
Seseorang itu terdidik dengan cara komunikasi yang baik bermula di dalam keluarga sendiri. Bagaimana dia melayan dan menyantuni ahli keluarganya, begitulah juga ia akan memperlakukan kepada orang lain.
5. Sentiasa menjaga perasaan ibu bapa
Anak ketika kecil menjadi ujian buat ibu bapa untuk membesar dan mendidiknya. Tetapi ibu bapa ketika meningkat tua ia akan menjadi ujian buat anak-anak untuk menjaga emosi dan perasaan mereka. Sesiapa yang sekarang ini sedang menjaga ibu dan ayah yang sudah tua, anda adalah insan yang hebat dan penyabar.
Tidak ramai yang dianugerahkan sikap sabar yang tinggi dalam diri mereka untuk merawat ibu dan ayah yang sudah tua. Emosi, perasaan, dan perlakuan seseorang yang sudah meningkat tua sangat sukar untuk diramal. Kadang kala mereka akan mudah terasa, kecewa, dan melenting dengan hal-hal yang remeh temeh.
Terutamanya kepada anak yang bekerja, ini adalah suatu ujian untuk anda.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda,
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
6. Menolong melakukan kerja-kerja di rumah
Dunia pada hari ini agak berbeza dengan dulu. Jika dulu mungkin seorang ibu akan menghabiskan seluruh masanya setiap hari di rumah sebagai suri rumah tangga manakala seorang ayah akan keluar untuk bekerja. Tetapi pada hari ini, ibu dan ayah yang bekerjaya kebanyakkannya akan keluar bekerja.
Di sini anak-anak harus memainkan peranan mereka sebagai pemudah cara. Contohnya dengan membantu ibu ayah melakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah, membasuh baju, menyidai baju, mengemas bilik dan memasak.
Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya: “Amal perbuatan yang amat disukai Allah swt ialah solat (yang tepat) pada waktunya, berbakti kepada orang tua dan berjihad pada jalan Allah.” (Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Muslim)
7. Meminta izin daripada ibu bapa jika ingin keluar ke mana sahaja
Tidak salah untuk anda keluar bersama rakan-rakan untuk beriadah atau berjalan-jalan. Tetapi sebaiknya mintalah dulu izin ibu bapa agar mereka peka dimana anda berada. Ini sangat penting dari segi keselamatan diri anda sendiri.
8. Menziarahi atau bertanya khabar mereka ketika berjauhan
Anak-anak yang tinggal di bandar khususny haruslah sentiasa bertanya khabar kepada ibu bapa yang tinggal di kampung untuk memastikan mereka sentiasa dalam keadaan sihat dan baik. Hal ini sangat bertepatan dengan fenomena yang berlaku masyarakat semenjak penularan virus Covid-19 melanda dunia pada tahun lalu.
Ramai yang terkandas untuk pulang ke kampung halaman untuk menziarahi ibu bapa ketika Hari Raya Aidilfitri. Namun teknologi pada hari ini tampaknya memberi manfaat yang banyak untuk menyambungkan semula tali silaturahim antara keluarga. Anak-anak masih boleh bertanya khabar dengan ibu bapa melalui panggilan telifon, video, skype, dan bermacam lagi aplikasi terkini.
9. Menjaga makan, minum, pakaian, kebersihan, kesihatan ibu bapa
Hadis daripada al-Miqdam Bin Ma’di RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah berwasiat kepada kamu untuk berbakti kepada ibu-ibumu, Nabi mengulanginya tiga kali, sesungguhnya Allah berwasiat kepada kamu untuk berbakti kepada bapa-bapa kamu, sesungguhnya Allah berwasiat kepada kamu untuk berlaku baik kepada keluarga yang terdekat, maka utamakanlah yang lebih dekat”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Ibu bapa yang sudah tua atau yang uzur tidak mungkin mampu untuk menguruskan diri mereka sendiri. Sebagai seorang anak, tanggungjawab ini perlu dipikul dengan sebaik mungkin untuk memastikan ibu bapa dapat meneruskan kehidupan dengan baik. Makan, minum, pakaian, kebersihan, dan kesihatan mereka perlulah dijaga oleh anak sama ada ibu bapa itu tinggal serumah bersamanya atau pun tidak.
10. Mendoakan kesejahteraan ibu bapa di dunia dan di akhirat
Diantara adab-adab yang penting kepada ibu bapa adalah doa. Doa adalah senjata setiap orang Islam. Di saat tiada satu pun usaha yang mampu kita lakukan lagi, doa adalah jalan terakhir atau tawakal yang menunjukkan kita menyerahkan diri kepada Allah SWT sepenuhnya dalam menentukan apa yang terjadi baik yang baik atau yang buruk.
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibubapanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Doa Berkaitan: Doa Kepada Ibu Bapa
Penutup
Berbuat baik kepada ibu bapa adalah sangat dituntu dalam Islam. Allah menyayagi mereka yang melayan ibu bapa mereka dengan baik dan memberikan ancaman yang buruk kepada mereka yang derhaka.
Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis:
كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkankepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” (Hadis Riwayat al-Hakim)
Diharapkan artikel berkenaan adab dengan ibu bapa ini dapat memberikan anda pengetahuan yang berguna untuk merapatkan lagi hubungan antara kekeluargaan.
Adab-adab yang Lain
Rujukan:
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-356: Tanggungjawab Anak Terhadap Ibubapa
- Dr Shamsiah Mohamad (5 Disember 2019). Berbuat baiklah kepada ibu bapa. Laman web sinarharian.com