Skip to content

Hukum Tinggal Solat Jumaat.

hukum tinggal solat jumaat

Artikel ini akan membahaskan hukum tinggal solat Jumaat. Ia juga dibahagikan mengikut jantina. Kalau lelaki meninggalkan solat Jumaat, apakah hukumnya? Adakah ia perlu diganti dengan solat Zuhur? Kalau wanita pula, adakah boleh diwajibkan solat Jumaat? Kalau mereka hendak pergi, adakah boleh? 

Sama-samalah kita pelajari.. 

Solat Jumaat

Apakah maksud Jumaat? 

Secara harfiahnya, Jumaat bermaksud berkumpul. Hari Jumaat merupakan hari berkumpul dan terkumpulnya kebaikan. Ia juga merupakan hari sebaik-baik hari dalam seminggu. 

Pada hari Jumaat, terdapat satu solat khusus yang hanya dilakukan pada hari tersebut, iaitu solat Jumaat. Solat Jumaat dilakukan pada waktu Zuhur. Ia dilakukan sebanyak dua rakaat dengan khutbah. 

Selalu yang kita nampak, hanya lelaki sahaja yang pergi solat Jumaat. Adakah ia hanya diwajibkan bagi lelaki sahaja? 

Syarat -syarat wajib solat Jumaat

Solat Jumat ini wajib bagi siapa? 

  1. Beragama Islam. 
  2. Lelaki. 
  3. Baligh. 
  4. Berawal, tidak gila dan lain-lain. 
  5. Merdeka, bukan hamba pada siapa-siapa. 
  6. Bermukim, orang yang tinggal di suatu kawasan, bukan bermusafir. 
  7. Tidak ada halangan seperti sakit, menjaga orang sakit dan sebagainya. 

Syarat-syarat di atas merupakan syarat-syarat wajib bagi seseorang. Makna kata, orang yang wajib pergi sembahyang Jumaat di masjid (atau mana-mana tempat sembahyang). 

Jadi, lelaki yang wajib pergi sembahyang Jumaat, bukan wanita. 

Berikut pula ialah syarat-syarat sah solat Jumaat. 

Syarat-syarat sah solat Jumaat 

  1. Dikerjakan pada waktu Zuhur. 
  2. Didirikan di suatu daerah tertentu, tidak jauh untuk orang setempat datang. 
  3. Wajib berjemaah. 
  4. Jemaah mesti sekurang-kurang 40 orang merdeka, lelaki, baligh dan bermastautin. 
  5. Dalam satu daerah, mesti hanya ada satu solat Jumaat didirikan, jangan sampai ada dua atau tiga. 
  6. Solat Jumaat didahului dengan dua khutbah. 

Nah, selepas kita kenal siapa yang wajib solat Jumaat. Ini pula kita sedang mengenali macam mana suatu solat Jumaat yang didirikan itu sah di sisi syarak. 

Seterusnya, kita akan pelajari pula tentang rukun-rukun solat Jumaat. Mengapa susunan ini seperti terbalik? 

Sebab, kita perlu kenal dahulu siapa yang ditaklifkan hukum ini, barulah kita pergi kepada yang lebih teknikal. 

Rukun-rukun solat Jumaat 

  1. Dua khutbah sebelum solat Jumaat yang dilakukan sambil berdiri. 
  2. Duduk di antara dua khutbah. 
  3. Solat dua rakaat secara berjemaah. 

Sekiranya tidak ada dua khutbah ketika itu, maka solat Jumaat tersebut tidak sah. 

Apakah hukum wanita pergi solat Jumaat? 

Hukumnya sunat. 

Boleh wanita pergi solat Jumaat. Tetapi, lihatlah keadaan. Kalau tidak ada tempat yang disediakan, maka eloklah solat Zuhur di rumah sahaja. 

Tetapi, kalau sudah pergi solat Jumaat, mereka tidak perlu solat Zuhur lagi. Solat Jumaat itu sudah memadai. 

Hukum tinggal solat Jumaat 

Bagi wanita, sudah tidak ada isu kerana mereka tidak diwajibkan pun solat Jumaat. Untuk lelaki, bagaimana? 

Allah berfirman dalam Surah Jumu’ah ayat 9: 

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila telah diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Ayat di atas jelas memberitahu bahawa solat Jumaat itu wajib. Ayat ini umum, bukan? Tidak dikatakan pun hanya lelaki yang wajib. Jadi, apakah bukti mengatakan bahawa solat Jumaat itu wajib bagi lelaki sahaja? 

Rasulullah bersabda: Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: Hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit. (Riwayat Abu Daud)

Hadis di atas telah mengecuali perempuan daripada solat Jumaat. 

Jadi, kalau seseorang lelaki itu meninggalkan solat Jumaat, apakah hukumnya? 

Sudah tentulah, haram. Meninggalkan solat Jumaat samalah seperti meninggalkan solat fardu yang lain. Jadi, berdosa besarlah seseorang itu. 

Rasulullah bersabda: Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya. (Riwayat Tirmizi) 

Dalam hadis yang lain baginda bersabda: 

Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali nescaya Allah akan mencap hatinya, dan (Allah) menjadikan hatinya itu seperti hati orang munafiq. (Riwayat Tirmizi) 

Dua hadis di atas menunjukkan bahawa sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat, ia berdosa besar. Kalau ia dilakukan tiga kali berturut-turut, Allah akan mengunci hatinya dan mengecop ia sebagai munafik. 

Kalau sudah meninggalkan solat Jumaat, apa yang perlu dilakukan? 

Seseorang itu wajib menggantikannya dengan solat Zuhur. 

Hukum meninggalkan solat Jumaat ketika wabak pandemik 

Kalau berlakunya wabak penyakit, apakah hukum meninggalkan solat Jumaat? 

Hukumnya ialah harus meninggalkan solat Jumaat bilamana yakin virus akan tersebar dengan mudah. Ia juga perlu digantikan dengan solat Zuhur. 

Kesimpulan 

Meninggalkan solat Jumaat bagi lelaki adalah haram dan berdosa besar tanpa sebarang keuzuran. Dia wajib menggantikannya dengan solat Zuhur. 

Rujukan 

  1. Safinatun Naja 
  2. Hukum Solat Jumaat bagi Orang Lelaki yang Cacat Anggota OKU – Mufti WP
  3. Huku, Solat Jumaat Dalam Suana Covid -19 – Mufti WP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × three =