Skip to content

Hukum Telan Air Liur Ketika Puasa. Bolehkah?

hukum telan air liur ketika puasa

Apakah hukum telan air liur ketika puasa? Dalam artikel ini, penulis akan membahaskan hukum menelan air liur ketika berpuasa. Apakah status puasa kita apabila kita menelan air liur? Batal atau tidak?

Pengenalan

Puasa

Dari segi bahasa, puasa bermaksud menahan diri. Dari segi syarak pula, puasa ialah menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan sebagainya dari masuk waktu subuh sehingga masuk waktu maghrib.

Disebabkan makan dan minum merupakan dua perkara asasi seorang manusia, jadi apabila manusia wajib menahan diri daripada melakukan dua perkara tersebut, ia melatih seseorang manusia itu untuk bersabar, banyak beribadat dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, maksiat juga berpotensi untuk dihindari kerana manusia yang berpuasa akan sibuk berfikir tentang lapar berbanding melakukan maksiat.

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 183:

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

Menurut Tafsir Jalalain, puasa merupakan alat untuk meningkatkan ketakwaan seseorang manusia. Seperti yang dinyatakan tadi, syahwat menyebabkan manusia melakukan maksiat.

Disebabkan hal demikian, untuk menundukkan syahwat, hendaklah kita berpuasa.

Dalam Tafsir Quraish Shihab pula, beliau membawakan manfaat kesihatan bagi yang berpuasa. Orang yang berpuasa dari segi fakta saintifik akan menjadi lebih sihat tubuhnya dan cerdas akalnya. Disebabkan berpuasa juga, proses pencernaan makanan menjadi lebih lancar dan sebagainya.

Puasa itu bukan sekadar membantu meningkatkan ketakwaan, bahkan ia juga memberi manfaat pada kesihatan tubuh kita.

Ketika berpuasa, kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan kebaikan. Kita dilarang untuk bercakap perkara-perkara yang keji. Gantikanlah ia dengan berzikir, membaca al-Quran dan lain-lain.

Pada bulan Ramadan khususnya, ia merupakan seperti satu “madrasah” kepada kita untuk memperbaiki akhlak menjadi lebih baik. Jadi, sebulan itulah kita perlu mempraktikkan amalan-amalan kebaikan.

Tambahkan nilai dalam diri kita merupakan peluang yang patut kita rebut dalam bulan mulia ini. Cuba lakukan amalan yang kita belum pernah lakukan. Contohnya, kita tidak membiasakan solat Dhuha. Jadi, ketika bukan Ramadan, ditambah pula dengan puasa, bolehlah kita melatih diri kita membiasakan solat Dhuha.

Bukan ini sahaja, solat Tahajjud pun patut kita biasakan kerana amat besar manfaat dan ganjarannya. Ataupun, kita cuba untuk konsisten secara sedikit demi sedikit.

Contohnya, sekali seminggu. Selepas itu, cubalah tingkatkan ia lagi.

Rukun puasa

Tanpa rukun, suatu puasa itu akan menjadi tidak sah. Jadi, kita perlu memenuhi setiap rukun supaya puasa kita diterima.

  1. Niat
  2. Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari

Jadi, apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa?

  1. Makan dan minum
  2. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga
  3. Muntah dengan sengaja
  4. Bersetubuh
  5. Onani (mengeluarkan air mani dengan sengaja)
  6. Haid dan nifas
  7. Gila dan murtad

Jelaslah di sini terdapat beberapa perkara yang dilakukan dapat membatalkan puasa.

Apakah maksud memasukkan sesuatu ke dalam rongga?

Maksudnya, memasukkan sesuatu dan sesuatu itu perlu sampai ke dalam perut. Contohnya, makanan. Makanan dimasukkan melalui rongga mulut, akhirnya makanan itu sampai ke perut.

Benda lain juga boleh terjadi. Contohnya, memasukkan air melalui hidung. Lalu, air itu sampai ke perut.

Maka, dua situasi macam ini akan membatalkan puasa.

Kalau korek hidung, adakah ia diklasifikasikan sebagai memasukkan sesuatu ke dalam rongga?

Tidak. Kenapa?

Sebab, korek hidung, ia tidak sampai ke perut. Ia hanya berada di sekitar hidung sahaja. Tidak ada benda yang masuk sampai ke dalam perut apabila mengorek hidung.

Hukum telan air liur ketika puasa

Apabila berpuasa, kita tidak boleh minum dan memasukkan sesuatu ke dalam rongga sampai ke perut. Jadi, adakah menelan air liur termasuk dalam kategori membatalkan puasa?

Menurut Imam an-Nawawi dalam Raudhah at-Talibin, menelan air liur tidak membatalkan puasa.

Sebabnya mudah. Ia merupakan adat seorang manusia untuk menelan air liur. Tidak ada manusia yang tidak menelan air liur.

Agak sukar seseorang manusia untuk tidak menelan air liur. Selagi ia merupakan perbuatan adat manusia, maka ia tidak membatalkan puasa.

Tetapi, ada syarat.

Air liur mestilah benar-benar air liur sahaja, tidak bercampur dengan benda-benda lain seperti gula-gula, sisa makanan dan sebagainya. Sekiranya air liur yang ditelan itu bercampur dengan sisa makanan, gula-gula, apa-apa makanan, ini secara jelas membatalkan puasa.

Kesimpulan

Apakah hukum telan air liur ketika puasa? Menelan air liur tidak membatalkan puasa kecuali air liur itu bercampur dengan apa-apa yang bukan air liur seperti air, makanan dan sebagainya.

Baca tentang Hukum yang lain

Hukum Berkumur Ketika PuasaHukum Keluar Air Mazi Ketika Puasa
Hukum Korek Telinga Ketika PuasaHukum Menangis Ketika Puasa
Hukum Potong Kuku Ketika PuasaHukum Korek Hidung Ketika Puasa
Hukum Swab Test Ketika PuasaHukum Berjimak Ketika Puasa
Hukum Menggunakan Inhaler Ketika PuasaHukum Berus Gigi Ketika Puasa
Hukum Berbekam Ketika PuasaHukum Pakai Gincu Ketika Puasa
Hukum Jilat Bibir Ketika PuasaHukum Telan Air Liur Ketika Puasa
Hukum Muntah Ketika PuasaHukum Merokok Ketika Puasa

Rujukan

  1. Matla’ Badrain karangan Sheikh Daud al-Fatani.
  2. Irsyad al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-144: Adakah menelan air liur membatalkan puasa?-muftiwp.gov.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty − seventeen =