Apakah hukum berus gigi ketika puasa dan dalil-dalil yang menjelaskan perkara ini? Artikel ini akan membincangkan dengan ringkas dan lengkap berkenaan perkara ini.
Bersiwak (berus gigi) ini hukumnya sunat untuk mengelakkan bau di mulut. Kalau tidak membebankan semua orang Islam, pasti diwajibkan untuk bersiwak lima kali sehari, sepertimana yang disabdakan Rasulullah di dalam satu hadis dari Abu Hurairah RA.
لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ
Maksudnya, “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.” (Bukhari 887)
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani mensyarahkan hadis ini dengan membawakan pandangan Imam Syafie sendiri;
وَقَالَ الشَّافِعِيُّ فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّ السِّوَاكَ لَيْسَ بِوَاجِبٍ لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ وَاجِبًا لَأَمَرَهُمْ شَقَّ عَلَيْهِمْ بِهِ أَوْ لَمْ يَشُقَّ اه وَإِلَى الْقَوْلِ بِعَدَمِ وُجُوبِهِ صَارَ أَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ
“Berkata Imam Syafie hadis tersebut menyatakan bahawa siwak sebelum solat tidak wajib kerana sekiranya hukumnya wajib nescaya Baginda SAW tetap menyuruh umatnya bersugi sama ada menyusahkan atau tidak menyusahkan mereka. Kebanyakan ulama berpegang pendapat tersebut.” (Rujuk: Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/375).
Lantaran itu, bersiwak ini hukumnya sunat dilakukan setiap kali sebelum solat, termasuklah solat sunat. Bukan itu saja, bersiwak dalam masa-masa selain daripada sebelum solat juga digalakkan. Kerana, ada hadis lain yang menyatakan yang Rasulullah itu juga bersiwak selepas bangun daripada tidur.
Seperti hadis yang diriwayatkan dari Huzaifa RA;
كانَ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ إذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ، يَشُوصُ فَاهُ بالسِّوَاكِ.
Maksudnya, “Rasulullah SAW apabila bangun di malam hari Baginda SAW mengosok mulutnya dengan siwak.” (Riwayat al-Bukhari 245)
Dari sini, kita nampak yang bersiwak ini sunat dalam banyak keadaan. Ianya digalakkan di samping membersih mulut dan menghilangkan bau yang busuk.
Adakah sama bersiwak dan berus gigi yang biasa kita lakukan hari ini?
Hukum pada keduanya, sama. Sebabnya, keduanya memiliki cara dan fungsi yang sama, cumanya ‘benda’ yang digunakan itu sahaja yang sedikit berbeza. Maka, jika bersiwak itu sunat, berus gigi juga sunat. Kedua-duanya untuk kebaikan yang sama hasilnya.
Apa yang lain?
Bersiwak itu memakai benda yang kesat dan suci seperti kayu siwak yang berasal daripada dahan zaitun, ia merupakan kayu yang berbau segar.
Tuntas, jika kita ingin membicarakan hukum berus gigi ketika berpuasa, sama saja hukumnya dengan bersiwak ketika berpuasa.
Hukum berus gigi ketika puasa
Baik, tadi kita sudah tahu bersiwak itu sunat dalam banyak keadaan. Sebelum solat, sebelum baca Al-Quran dan sebagainya. Tapi, ketika berpuasa, bagaimana pula?
Bukankah Nabi bersabda;
لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ المِسْك
“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jadi bagaimana? Adakah kita tidak perlu gosok gigi langsung dan biarkan saja ia ‘busuk’ sebab nak beramal dengan hadis di atas? Atau ada pandangan lain?
Baik, hal ini ada khilaf. Ada yang kata boleh, ada yang kata tidak digalakkan (makruh). Semua pandangan ini ada hujahnya masing-masing.
1. Hukum Harus
Kita lihat kata ulama-ulama terkini (kontemporari), Sheikh Ibn Baaz pernah ditanya akan hal ini dan beliau menjawab;
“Tidak ada yang salah dengan itu selagi seseorang itu berhati-hati untuk tidak menelannya sama seperti yang disyariatkan dalam Islam bagi orang yang berpuasa untuk menggunakan siwak (tongkat gigi).” (Rujuk: Fatawa Sheikh Ibn Baaz, 4/247)
Kata Sheikh Ibn Baaz, boleh (harus), asalkan jangan telan ubat gigi tersebut. Kalau kita boleh kawal untuk berus gigi dengan baik tanpa menelan apa-apa, maka hukumnya harus.
Selain itu, Sheikh Muhammad Soleh Al-Uthaimin pula berkata;
“..dibenarkan, tetapi lebih baik tidak menggunakannya kerana ubat gigi terlalu kuat dan boleh masuk ke kerongkong. Daripada melakukan perkara itu pada waktu siang, seseorang harus melakukannya pada waktu malam.” (Al-Sharh al-Mumti’ by Ibn ‘Uthaimin, 6/407, 408)
Sheikh Al-Uthaimin juga berpendapat yang ianya harus, tetapi beliau lebih menggalakkan tinggalkan, untuk mengelak risiko daripada tertelan apa-apa. Ikut kepada kemampuan dan keyakinan masing-masing. Kalau mampu, haruslah. Lebih baik, tinggalkan saja untuk jauh daripada risiko tertelan. Tapi, asal pandangan Sheikh Al-Uthaimin adalah harus.
2. Hukum Makruh
Namun, dalam Mazhab Syafie, majoriti memakruhkan bersiwak selepas tergelicirnya matahari, mudah kata selepas Zuhur. Sebelum Zuhur, majoriti kata harus manakala selepasnya makruh.
Mereka berdalilkan hadis;
“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Mereka berpandangan sedemikian kerana keutamaan untuk membiarkan mulut ‘busuk’ kerana berpuasa untuk bagi ia selaras dengan saranan hadis ini.
Konteks semasa juga perlu diambil kira, takkan kita harus membiarkan orang lain mencium bau busuk mulut kita dalam keadaan kita sehari-hari berinteraksi dengan orang ramai.
Pandangan yang kontradik, Imam Nawawi yang juga ulama bermazhab Syafie mempunyai pandangan yang berbeza. Beliau pula berpendapat, selepas tergelincirnya matahari dan sebelumnya juga, harus. Kedua-duanya harus hukumnya. Tidak sehaluan dengan pandangan majoriti tadi yang mengatakan selepas tergelincirnya matahari saja yang makruh.
Makruh ini, sunat (berpahala) apabila ditinggalkan. Namun, bila dilakukan tidaklah berdosa.
Kesimpulan
Hukum berus gigi ketika berpuasa ada dua. Pertama, harus. Kedua, makruh ketika selepas tergelincirnya matahari (lepas Zuhur/petang).
Yang harus, kerana memang Nabi sarankan untuk bersiwak setiap kali sebelum solat. Itu adalah saranan Nabi, jika umatnya tidak terbeban, mahu juga Baginda wajibkan saja setiap kali sebelum solat.
Selain itu juga, harus pandai kawal juga. Jangan sampai tertelan pula ubat gigi. Berus gigi dalam kadar yang perlu sehingga tidak tertelan ubat gigi atau apa-apa. Namun, meninggalkan untuk berus gigi supaya tidak terdedah kepada risiko ‘tertelan’ itu lebih digalakkan. Berus saja lepas berbuka nanti.
Yang makruh pula, kerana berdalilkan yang mulut ‘busuk’ orang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah seperi harum kasturi. Nak beramal dengan hadis itu, maka dimakruhkan untuk berus gigi selepas tergelincirnya matahari.
Kerana membiarkan ianya ‘busuk’ itu lebih afdhal dan selaras dengan hadis Nabi. Maka makruh hukumnya, kata majoriti ulama mazhab Syafie. Namun, kalau sudah busuk sehingga mengganggu orang lain yang mencium bau mulut, itu sudah cerita lain.
Kita hari ini, banyak berinteraksi dengan pelbagai orang. Maka, takkan kita akan berasa selesa dengan bergaul di samping mulut yang berbau busuk?
Maka, pendapat penulis dalam hal ini, lebih cenderung kepada harus dengan kadar yang perlu saja. Sekadar menghilangkan bau, cukup. Tidak perlu sehingga nak berus sampai ke tahap berlebihan.
Dengan itu juga, jangan sampai nak telan ubat gigi pula. Beruslah dengan tatatertib yang elok. Hilangkan bau supaya interaksi kita sehari-hari juga elok.
Diharapkan artikel Hukum Berus Gigi Ketika Puasa ini dapat membantu dalam persoalan anda.
Wallahu’alam.
Baca tentang Hukum yang lain
Rujukan:
- Al-Munajjid, S. M. (2011). Using toothpaste whilst fasting. Retrieved from Islam Question and Answer
- Bakharudin, Y. (2020). Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-488: Adakah Memberus gigi boleh disamakan dengan tuntutan bersiwak? Retrieved from Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
- Hamid, H. A. (2018). Hukum bersiwak ketika berpuasa. Retrieved from Youtube
- Murod, M. N. (n.d.). Bagaimana hukum bersiwak saat sedang berpuasa? Retrieved from Umma
- Nadzirah. (2015). Hukum bersiwak di siang hari ramadan. Retrieved from Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan