Skip to content

10 Adab Suami Kepada Isteri Yang Suami Perlu Tahu

adab suami kepada isteri

Apakah adab suami kepada isteri? Artikel ini akan membincangkan beberapa adab dan hak suami yang perlu ditunaikan kepada isteri.

Pengenalan

Menurut Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya, Al-Adab fid Din ada menerangkan adab seorang suami kepada isterinya; berinteraksi dengan lemah lembut, bertutur dengan kata-kata yang baik, menunjukkan cinta dan kasih sayang, tidak mencari dan mempersoalkan kesalahan pasangan, memaafkan isteri jika ada membuat salah, menjaga harta isteri, tidak berdebat, memberi nafkah dan membiayainya dengan tidak kedekut, memuliakan keluarga isteri, sentiasa memberi janji yang baik dan selalu bersemangat dengan pasangannya.

Malahan, di dalam sebuah hadis

     عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُول اللَّه صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ : أَكْمَل الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهمْ خُلُقًا، وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ

Maksudnya: Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang mukmin yang paling baik akhlaknya dan sebaik-sebaik kamu adalah orang yang paling baik kepada isterinya” (Hadis Riwayat. At-Tirmidzi, 3/466;  Ahmad, 2/250 dan Ibnu Hibban, 9/483. Hadis dinyatakan sahih oleh Imam at-Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Syaikh al-Albani.)

Adab Suami Kepada Isteri

Untuk artikel kali ini, kita akan membincangkan adab suami kepada isteri yang kita sama-sama boleh amalkan selepas ini.

1. Berinteraksi dengan lemah lembut

Ibnu Abbas RA meriwayatkan, Rasulullah SAW pernah berkata kepada al-Asyjij: “Kamu mempunyai dua sifat yang akan membuat Allah SWT dan Rasul-Nya suka: Lemah-lembut dan murah hati.” (Riwayat Muslim)

Tiada orang yang suka apabila kita berkasar dan berkeras dengan mereka. Bertutur dengan lembut dapat menenangkan hati dan melenturkan jiwa yang hiba, seperti air yang melembutkan batu dengan titisan lembutnya.

2. Bertutur dengan kata-kata yang baik

Dr. Yasir Qadhi ada menyebutkan satu hikmah yang berbunyi, “Lidah hanyalah daging kecil yang lembut. Namun, ia mampu merosakkan ikatan yang paling kukuh dan menghancurkan hubungan yang paling kuat.”. Oleh kerana itu, pertuturan kita sangatlah penting dalam menjaga hubungan suami isteri agar tidak berantakan gara-gara lidah yang tidak bertulang ini. Kerana lidah, rosak segala hubungan. Maka, berhati-hati dalam menggunakannya.

3. Menunjukkan cinta dan kasih sayang

Ada pelbagai cara menunjukkan kasih sayang kepada isteri. Nabi SAW banyak menunjukkan contoh pergaulan baginda dengan isteri-isterinya. Salah satunya ialah Nabi SAW pernah bermain lumba lari dengan isterinya, Aisyah RA.

عَنْ عَائِشَةَ ، قَالَتْ : خَرَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ وَأَنَا جَارِيَةٌ لَمْ أَحْمِلِ اللَّحْمَ وَلَمْ أَبْدُنْ

Aisyah RA berkata: Aku keluar bersama Nabi SAW dalam sebahagian musafirnya. Ketika itu aku seorang gadis yang tidak gemuk.

فَقَالَ لِلنَّاسِ : تَقَدَّمُوا فَتَقَدَّمُوا ، ثُمَّ قَالَ لِي : تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ فَسَابَقْتُهُ فَسَبَقْتُهُ

Baginda berkata kepada sahabat-sahabat lain: Pergi dahulu, lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian baginda berkata kepada ku: Mari ke sini (baginda mengajak untuk berlumba lari). Aku akan menewaskan mu. ‘Aisyah berkata: Lalu aku telah menewaskan baginda. (Hadis Riwayat Musnad Ahmad, Hadis ‘Aisyah, no: 26320, Sunan Abi Daud, Kitab al-Jihad, Bab Fi Sabq ‘Ala Ar-Rijli, hadis no: 2578.)

Menjadi romantik dengan memperingati tarikh hari lahir dan ulang tahun juga antara cara untuk kita mengekspresikan kasih dan sayang kita selain bantu-membantu menguruskan rumah tangga.

4. Tidak mencari dan mempersoalkan kesalahan pasangan

Dengan mencari kesalahan pasangan kita, ianya boleh menimbulkan pergaduhan dan perselisihan faham. Perkara ini tidak dianjurkan, malah mestilah dielakkan dengan cara perdamaian. Di dalam Surah al-Anfal ayat 61, Allah berfirman,

وَاِنْ جَنَحُوْا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللّٰهِ ۗاِنَّهٗ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

Maksudnya: Tetapi jika mereka condong kepada perdamaian, maka terimalah dan bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui.

Makanya, jika terdapat kesalahfahaman antara suami isteri, kita seharusnya tidak menuding jari, tetapi mencari solusi dan berbaik-baik. Tidak dinafikan, di dalam hubungan suami isteri, pergaduhan pasti akan tercetus. Lidah dan gigi juga tergigit, apatah lagi suami isteri. Namun, setiap persengketaan mestilah dicari jalan keluar yang baik.

5. Memaafkan isteri jika ada membuat salah

Tiada manusia yang dapat lari daripada membuat kesilapan. Namun, peluang dan kemaafan mestilah diberikan. Firman Allah di dalam Surah asy-Syuraa ayat 43;

وَلَمَنْ صَبَرَ وَغَفَرَ اِنَّ ذٰلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْاُمُوْرِ

Maksudnya: “Tetapi barangsiapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.”

Kita juga sebagai suami mahu diberikan peluang kedua jika berbuat kesalahan dan sentiasa membetulkan perkara yang salah. Oleh itu, sebagai pemimpin keluarga, kita juga haruslah menunjukkan contoh dengan selalu memaafkan kesalahan si isteri.

6. Menjaga harta isteri

Menjaga harta isteri merupakan salah satu hak material yang wajib dijaga oleh seorang suami. Ini termasuklah pemberian mahar dan juga nafkah.

Kedua-duanya ini ialah harta seorang isteri yang wajib ditunaikan oleh sang suami selain, harta-harta lain yang diperolehinya seperti gaji daripada pekerjaannya dan juga apa-apa bentuk sumbangan dan hadiah yang diberikan kepada sang isteri.

Di dalam Surah an-Nisa’ ayat 4, Allah berfirman,

وَءآتُوا النِّساءَ صَدُقٰتِهِنَّ نِحلَةً ۚ فَإِن طِبنَ لَكُم عَن شَيءٍ مِّنهُ نَفسًا فَكُلوهُ هَنيئًا مَّريئًا

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

Memandangkan isteri tidak wajib memberikan bahagiannya, kita seharusnya menjaga harta miliknya dan memberikan hak serta kebebasan yang sewajarnya kepada isteri untuk menggunakannya. Namun sebagai ketua keluarga, sentiasa memberikan yang terbaik buat keluarga tercinta.

7. Memberi nafkah dan membiayainya dengan tidak kedekut

Muawiyah al-Qusyairi ketika beliau bertanya kewajipan yang perlu ditunaikan kepada seorang suami kepada isteri, lalu Rasulullah SAW membalas,

أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ، وَلَا تَضْرِبْ الْوَجْهَ، وَلَا تُقَبِّحْ، وَلَا تَهْجُرْ إِلَّا فِي الْبَيْت

Maksudnya: Berilah mereka makan daripada makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian daripada pakaian yang kamu pakai. Janganlah kamu pukul muka mereka, jangan kamu buruk-burukkan mereka serta jangan asingkan tempat tidur dengan mereka melainkan dalam kawasan rumah. (Riwayat Abu Daud (2142))

Kewajipan seorang suami keatas isterinya adalah memberikan nafkah zahir dan batin dan tidak kedekut dengan apa yang kita ada kepada mereka jika kita berkemampuan dan mampu menunaikan hajat mereka. Banyak kisah-kisah yang kita dengar di laman sosial, rezeki suami dilipatgandakan apabila kita tidak berlaku bakhil dan berkira kepada ahli keluarga sendiri, terutamanya isteri. Kerana, bahagianya keluarga, turunnya rahmat Allah yang sangat luas kepada kita.

8. Memuliakan keluarga isteri

“Siapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sebagaimana kita mahu isteri dan anak-anak kita memuliakan keluarga kita, kita juga mestilah berbuat perkara yang sama kepada si isteri. Hormat-menghormati dan saling bertoleransi antara satu sama lain dapat mengukuhkan hubungan rumahtangga dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga.

9. Sentiasa memberi janji yang baik

Rasulullah SAW turut mengancam perbuatan orang yang mengingkari janji seperti sabdanya yang bermaksud: “Dari Ali bin Abi Talib RA, berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa yang tidak menepati janji seorang Muslim, maka dia akan mendapat  laknat Allah, Malaikat dan seluruh manusia. Tidak diterima darinya taubat dan tebusan”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Tiada siapa suka dikhianati janjinya. Kita juga tidak suka apabila isteri kita tidak menepati apa yang dikatakannya. Maka, kita juga harus mengambil langkah pertama dengan menunaikan janji yang munasabah kepada mereka.

10. Selalu bersemangat dengan pasangannya

Memberi semangat dapat dizahirkan dengan pelbagai cara. Menjadi seorang suami yang ada adab dan bertanggungjawab dengan memberi keperluan yang cukup buat si isteri dapat memberikan makna dalam kehidupan mereka.

Di dalam Surah al-Baqarah ayat 35, Allah telah berfirman;

وَقُلۡنَا يٰٓـاٰدَمُ اسۡكُنۡ اَنۡتَ وَزَوۡجُكَ الۡجَـنَّةَ وَكُلَا مِنۡهَا رَغَدًا حَيۡثُ شِئۡتُمَا وَلَا تَقۡرَبَا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُوۡنَا مِنَ الظّٰلِمِيۡنَ

Maksudnya: “Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannnya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu  termasuk orang-orang yang zalim.”

Dengan memberikan perlindungan dan keselamatan kepada pasangan, kita dapat mengembalikan erti kehidupan yang sebenar, bukan daripada

Kesimpulannya, dalam asam garam kehidupan berumahtangga, ada banyak perkara yang kita harus lalui dan kita pelajari. Kesilapan menunjukkan kita tidak sempurna, tetapi ketidaksempurnaan membuat kita bersederhana dalam melihat pasangan kita. Kita tidak meletakkan sesuatu yang luarbiasa kepada mereka untuk dicapai, kerana kita juga masih bertatih dalam alam baru ini. Sama-sama kita mengkoreksi diri dalam kehidupan ini dan mendapatkan keredhaan Allah dalam berumahtangga. In sha Allah.

Adab-adab yang Lain

Adab MesyuaratAdab Sebelum Tidur
Adab MakanAdab Masuk Tandas
Adab Kepada PemimpinAdab Kepada Tetamu
Adab BerdoaAdab Ziarah Orang Sakit
Adab Menaiki KenderaanAdab Bersedekah
Adab Membaca AlquranAdab Amar Maaruf Nahi Mungkar
Adab Kepada IbubapaAdab Berzikir
Adab Suami kepada IsteriAdab Isteri kepada Suami
Adab Ziarah KuburAdab Dengan Guru
Adab MusafirAdab dengan Jiran
Adab Menziarahi Jenazah

Rujukan:

  1. Disalin dari majalah As-Sunnah Edisi 04/Tahun XX/1437H/2016M. Diterbitkan Yayasan Lajnah Istiqomah Surakarta, Jl. Solo – Purwodadi Km.8 Selokaton Gondangrejo Solo 57183 Telp. 0271-858197 Fax 0271-858196.Kontak Pemasaran 085290093792, 08121533647, 081575792961, Redaksi 08122589079. Laman Almanhaj.
  2. (26 Mac 2019). Sikap lemah lembut akhlak terpuji. Hmetro.
  3. Dr. Ustaz Rozaimi Ramle – Hadith. (15 Mei 2016). Laman Facebook Dr. Ustaz Rozaimi Ramle.
  4. Woman (20 September 2018). Hukum Mencari Kesalahan Orang Lain Menurut Islam. Laman Kumparan.
  5. (28 Mac 2016). Berikan Semangat Kepada Isterimu. Laman IKIM.fm
  6. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. (3 Julai 2020). Khutbah Jumaat Menepati Janji. Laman Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.
  7. Editor YADIM. (25 Julai 2016). Memuliakan Orang Tua. Laman YADIM.
  8. Faozan Tri Nugroho. (12 Ogos 2020). Kata-Kata Bijak Tentang Pentingnya Menjaga Lisan, Jadi Renungan agar Selalu Berbicara Baik. Laman Bola.com.
  9. Pengajaran Tentang Kekeluargaan Menurut Al-Quran dan As-Sunnah.
  10. Kalam. Surah Al-Baqarah Ayat 35.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 + 9 =