Skip to content

10 Aktiviti Berkelah Yang Menarik dan Mudah untuk Anda

akitiviti menarik ketika berkelah

Apakah aktiviti menarik yang boleh dibuat ketika berkelah? Artikel ini akan memberi kepada anda sedikit sebanyak idea yang anda boleh lakukan ketika berkhemah

Pengenalan

Masa cuti yang terluang boleh diisi dengan banyak aktiviti yang berfaedah. Bila musim cuti sekolah, pasti para pembaca berfikir tentang pelbagai destinasi menarik yang boleh dikunjungi. Di Malaysia ni banyak lokasi menarik yang menjadi tumpuan pelancong. Bagi yang gemarkan aktiviti luar, apa kata kalau anda pergi berkelah? Aktiviti ini bukan sahaja untuk pencinta alam.

Berkelah dan beriadah di hujung minggu sebenarnya menyeronokkan kerana kita dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga tersayang di samping beristirehat, bukan sahaja di tepi pantai, tepi sungai atau dekat air terjun, tepi tasik pun boleh berkelah asalkan tempat yang dipilih itu sesuai. Jangan lupa sediakan tikar mengkuang untuk bersantai.

Aktivit Menarik Ketika Berkelah

Berikut merupakan senarai sepuluh aktiviti menarik ketika berkelah :

1. Menikmati pemandangan

Pepatah mengatakan, jauh perjalanan luas pemandangan. Banyak perkara yang dapat dilihat apabila kita banyak merantau. Jika kawasan berkelah itu penuh dengan kehijauan, pastinya mendatangkan ketenangan jiwa dan minda serta menjadi tempat untuk mendapatkan ilham.

Di samping itu, melihat pokok-pokok hijau boleh membantu menajamkan minda. Anda boleh bawa teropong khas untuk memerhati burung. Selain mendekatkan diri dengan alam semula jadi, ia juga mengajar anda untuk mensyukuri dan memuji ciptaan Allah yang luas.

2. Barbeku (BBQ)

Pantun ”gendang-gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati” sangat terkenal dan sering dikaitkan dengan perut yang kenyang selepas makan. Selain membawa bekalan makanan dari rumah seperti nasi bersama lauk-pauk, roti dan biskut, barbeku (BBQ) juga tidak ketinggalan.

Ia antara aktiviti wajib ketika berkelah. Anda memerlukan arang, gril pemanggang, mancis atau lighter, kipas tangan dan makanan yang siap diperap semalaman. Sesetengah tempat seperti di tepi air terjun menyediakan tempat pemanggang BBQ secara percuma.

Pelbagai makanan boleh dipanggang seperti ayam, daging, sosej dan makanan laut. Bila makan ramai-ramai, barulah meriah dan berselera. Semuanya sedap, ditambah pula dengan perut yang berkeroncong selepas mandi-manda. Jangan lupa bawa botol air, pinggan dan cawan plastik.

Cadangan Set BBQ: Set BBQ Mudah Alih Bersama Arang

3. Mandi-manda

Bawa pakaian renang untuk mandi dan baju ”spare” untuk salin selepas mandi. Kalau perlu, bawa sekali pelampung dan goggle. Mandi-manda dan dapat berendam di dalam air memang seronok tetapi anda mestilah sentiasa berwaspada ketika mandi untuk mengelakkan risiko lemas. Jangan pergi ke tempat yang dalam kalau tak tahu berenang. Jika hujan turun, berhenti mandi-manda dan keluar dari air dengan kadar segera.

Cadangan Barang:

  1. Pelampung
  2. Goggle

4. Tiup “Giant Bubbles”

Buih amat disukai oleh kanak-kanak terutamanya buih gergasi. Anda boleh bawa botol dan peniup buih dari rumah atau membelinya dari penjual di tempat anda berkelah. Aktiviti meniup buih gergasi amat sesuai dilakukan di tempat terbuka yang luas dan berangin seperti di tepi pantai dan tepi tasik untuk mengurangkan risiko kecederaan di mana kanak-kanak bebas berlari-lari mengejar buih yang berterbangan di udara sambil dipantau oleh ibu bapa.

Cadangan Barangan: Alatan Untuk Buih Gergasi

5. Berkhemah

Pilih tapak yang sesuai dan strategik untuk mendirikan khemah jika anda mahu bermalam di tempat itu. Hayati suasana di sekitar anda bersama keluarga dalam keadaan santai. Anda juga boleh mengajak ahli keluarga duduk bersama sambil bercerita di sekeliling unggun api.

Cadangan khemah: Auto Tent Khemah

6. Gotong-royong

Selalunya tong sampah disediakan di tempat tumpuan pelancong untuk memudahkan pengunjung membuang sampah selepas berkelah. Kita bertanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata.

Sikap bertanggungjawab akan menanam kesedaran dan menjadi contoh kepada anak-anak supaya sama-sama melindungi alam pada masa akan datang yang menjadi warisan negara. Penyedut minuman, botol kaca dan plastik, pembungkus makanan, beg plastik, sudu dan garfu selalu digunakan ketika berkelah dan sampah-sarap ini sering dibuang di merata tempat.

Puntung rokok juga dibuang merata-rata oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab. Kita mesti memulihara dan memelihara alam sekitar. Ada sampah yang boleh dikitar semula. Bawa plastik sampah untuk membersihkan kawasan sekitar selepas berkelah.

Kutip dan kumpulkan sampah plastik makanan, kotak dan botol minuman ke dalam plastik sampah yang anda bawa. Bawa pulang semua yang anda telah bawa dan jangan tertinggal apa-apa. Bila kawasan itu indah, tak tercemar dan bersih, mesti kita nak berkunjung lagi ke tempat yang sama di masa akan datang.

7. Memancing

Ada yang memancing untuk suka-suka dan ada pula yang memancing untuk membawa pulang hasil tangkapan segar atau dibuat BBQ. Memancing memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan tidak terburu-buru. Bawa joran, benang, mata kail, fishing reel dan umpan hidup seperti cacing dan katak atau umpan tiruan.

Pakai topi untuk mengelakkan panas. Jika anda kaki pancing dan gemar memancing, cari lubuk memancing atau “hotspot” yang popular. Sesetengah orang memilih untuk memancing di tempat yang sunyi dan tidak ramai orang kerana dikhuatiri ikan lari apabila ada bunyi bising.

Cadangan Joran Pancing: Fishing Rod Reel Set Joran Pancing

8. Jungle trekking

Biasan cahaya matahari di sebalik daun-daun pokok yang rimbun akan membuatkan anda terpegun seketika sambil menghirup udara yang nyaman. Sepanjang berjalan kaki di dalam hutan mengikut trek yang disediakan, anda berpeluang melihat pelbagai spesis flora yang unik.

Berhati-hati dengan permukaan tanah yang licin selepas hujan. Pakai kasut sukan yang mempunyai tapak cengkaman yang kuat. Jangan lupa menggunakan penyembur penghalau serangga (bug repellent spray) jika tak tahan digigit nyamuk.

9. Bola tampar (volleyball)

Suasana sekeliling akan jadi riuh-rendah dengan permainan volleyball atau bola tampar. Bolanya ringan, tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut. Volleyball amat popular dan melibatkan semua peringkat umur tanpa mengira jantina.

Akan ada dua kumpulan iaitu penentang dan pertahanan di mana sebiji bola dilambung lalu ditampar dengan kuat. Bola perlu disambut. Kalau bola terkeluar, dikira kalah. Seorang akan menjadi pengadil. Ada yang bermain volleyball di dalam sungai di kawasan yang cetek dan juga di tepi pantai.

Cadangan Bola: VolleyBall dengan Pam

10. Bergambar

Zaman moden ni kalau tak ambil gambar memang tak sah. Gambar dan detik-detik manis yang diambil boleh disimpan sebagai kenangan. Ada yang berkongsi dan memuatnaik gambar perkelahan bersama keluarga di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Tik Tok dan sebagainya. Kamera canggih boleh menangkap gambar yang berkualiti tinggi tetapi harga kamera sangat mahal dan tidak semua orang mampu memiliki kamera.

Walau bagaimanapun, gambar tetap boleh ditangkap menggunakan telefon pintar jika anda tidak memiliki kamera. Kebanyakan telefon pintar masa kini mempunyai kamera yang cantik dan kualiti gambar setanding dengan kamera mahal. Berhati-hati dan jaga keselamatan ketika mengambil gambar. Anda juga boleh tingkatkan skill fotografi bila belajar tentang camera angle atau sudut mana yang terbaik untuk sesuatu gambar.

Penutup

Jadilah kreatif dalam merancang dan mencipta aktiviti keluarga ketika pergi berkelah. Sekali-sekala berkelah dan beriadah dengan melakukan aktiviti luar bersama-sama ketika musim cuti dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan yang terjalin dan mengurangkan tekanan sambil menikmati pemandangan alam ciptaan Tuhan yang indah.

Selain itu, anak-anak juga akan rasa dihargai dan disayangi oleh ibu bapa atau penjaganya. Masa itu emas. Mustahil untuk kembali ke masa lampau kerana masa berjalan dan sentiasa bergerak ke hadapan meninggalkan kita. Walau sesibuk mana pun anda dengan urusan duniawi, ambil masa berkualiti untuk luangkan dengan keluarga. Rancang percutian anda sebaiknya supaya ia menjadi percutian yang bermakna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 − 6 =