Skip to content

Adab Menaiki Kenderaan Yang Anda Perlu Tahu

adab menaiki kenderaan

Apakah adab-adab ketika menaiki kenderaan? Artikel ini akan membincangkan beberapa adab yang perlu diamalkan ketika menaiki kenderaan.

Pengenalan tentang adab

Kita selalu mendengar perkataan etika dan moral. Tidak kurang juga dengan perkataan akhlak. Soalannya, apakah ketiga-tiga ini berbeza? Jawabnya, ya. Berbeza dari segi perspektif dan kandungan.

Apabila kita berbicara berkenaan etika dan moral, kita akan mendapati bahawa itu merupakan dua kata yang berlandaskan logik dan pemikiran manusia semata-mata. Ia berbeza dengan akhlak. Akhlak mempunyai sama maksud dengan etika dan moral, iaitu tingkah laku, tatasusila dan seangkatan dengannya. Namun, akhlak tidak hanya berlandas kepada logik semata-mata. Ia berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Akhlak yang diajarkan haruslah mematuhi apa yang diajarkan oleh agama. Rasulullah bertingkah laku tertentu, maka itulah akhlak yang ideal kita patut contohi dan ikuti.

Imam al-Ghazali pernah menyebutkan bahawa akhlak ialah tingkah laku yang tertanam dalam diri sehingga tidak memerlukan pertimbangan fikiran untuk melakukannya, ia terjadi dengan spontan. Mudah kata, akhlak ialah apa yang kita terbiasa. Kita biasa mencarut, maka itulah akhlak kita. Kita biasa mengumpat tentang orang lain, maka itulah akhlak kita. Akhlak ada yang terpuji dan terkeji. Kita harus mengamalkan yang terpuji dan membuang segala yang terkeji. Untuk mengamalkan akhlak yang terpuji, kita wajarlah mencontohi Rasulullah SAW. Rasulullah pernah bersabda:

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.” (Hadis riwayat Ahmad)

Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 21:

Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah.

Akhlak Rasulullah telah diiktiraf oleh Allah dan sendiri diakui oleh baginda untuk menyempurnakannya. Orang Islam wajib mengikut akhlak baginda. Akhlak ini bukan sekadar diaplikasikan pada keadaan tertentu, tetapi setiap masa. Sebab, Islam itu sendiri merupakan cara hidup, the way of life.

Rasulullah tunjukkan kepada kita bagaimana untuk makan, bagaimana untuk menaiki kenderaan, bagaimana untuk bertegur jiran dan sebagainya. Dalam artikel ini akan dikhususkan tentang adab menaiki kenderaan.

Adab sebelum menaiki kenderaan

Perlu diingatkan bahawa kenderaan merupakan apa jua jenis pengangkutan termasuklah kereta, motosikal, bot, kapal terbang dan sebagainya. Semua ini tergolong dalam kenderaan. Maka semua ini wajar diamalkan adab yang sama.

1. Membaca doa menaiki kenderaan

Cara baca: Subhanallazi sakharanalana haaza wama kunna lahu muqriniiina wa inna ila robbina lamun qolinbuuun

Maksudnya: Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah kami akan kembali

Doa ini berasal daripada dua ayat al-Quran Surah az-Zukhruf ayat 13 hingga 14. Doa ini juga diajarkan oleh Rasulullah menerusi hadis riwayat at-Tirmidzi.

2. Masuk kenderaan dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri

Daripada Aisyah RA:

Rasulullah SAW selalu mendahulukan anggota tubuh sebelah kanan dalam setiap perbuatan Baginda seperti bersuci, bersisir dan memakai sandal.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Amalkan sunnah ini semampu kita. Kita faham bahawa sesetengah keadaan tidak mengizinkan kita untuk memulakan dengan kaki kanan seperti tempat duduk pemandu bagi kereta. Bagi mereka yang memandu kereta, tempat duduknya di sebelah kanan kereta. Maka, nak masuk kereta itu nak tak nak mesti dimulakan dengan kaki kiri. Perlu diingatkan, ini sunat sahaja. Sekiranya memang adat kena dengan kaki kiri, maka gunakan sajalah. Tak perlulah kita menyusahkan diri untuk masuk dengan kaki kanan juga. Islam tidak rigid dan sempit. Amalkan sunnah ini dalam keadaan yang kita mampu.

3. Jaga keselamatan

Untuk yang menunggang motosikal, hendaklah memakai helmet. Bagi yang memandu kereta, pakailah tali pinggang keledar. Begitulah dengan kenderaan lain. Terdapat satu hadis dalam Sahih Ibnu Hibban yang mengatakan seperti berikut:

Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW, aku lepaskan unta aku dan aku bertawakkal? Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah.

Ada seorang lelaki yang tidak mengikat untanya supaya unta tidak lari atau dicuri orang. Lelaki tersebut bertawakkal sahaja. Biarkan unta terdedah kepada risiko. Ini tidak selari dengan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah. Kita wajib menjaga keselamatan.

Yang paling penting juga, kita kena menjadi realistik. Jangan berfikir di luar logik. Contohnya, memakai serban ketika menunggang motosikal sebagai tanda Allah menjaga kita atau sebagai perisa supaya tak terlibat dalam apa-apa kemalangan. Ini satu cara berfikir yang keliru. Ia bukan masalah serban, tetapi amalan keselamatan kita.

Orang Islam dulu-dulu waktu zaman Rasulullah pun memakai baju besi untuk berperang. Tidak pula mereka memakai jubah dan serban sahaja?

Kesimpulan

Amalkan adab menaiki kenderaan dengan membaca doa, mulakan dengan kaki kanan dan menjaga keselamatan. Ini yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Adab-adab yang Lain

Adab MesyuaratAdab Sebelum Tidur
Adab MakanAdab Masuk Tandas
Adab Kepada PemimpinAdab Kepada Tetamu
Adab BerdoaAdab Ziarah Orang Sakit
Adab Menaiki KenderaanAdab Bersedekah
Adab Membaca AlquranAdab Amar Maaruf Nahi Mungkar
Adab Kepada IbubapaAdab Berzikir
Adab Suami kepada IsteriAdab Isteri kepada Suami
Adab Ziarah KuburAdab Dengan Guru
Adab MusafirAdab dengan Jiran
Adab Menziarahi Jenazah

Rujukan

Al-Azkar – Imam an-Nawawi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × two =