Skip to content

Hukum Sambut Hari Ibu. Dibenarkan atau Tidak?

hukum sambut hari ibu

Apakah hukum sambut Hari Ibu? Artikel ini akan membincangkan hukum sambut hari ibu sama ada ia dibenarkan dalam islam atau tidak.

Pengenalan

Hari Ibu merupakan sambutan yang dilakukan oleh ramai penduduk di dunia untuk meraikan kaum ibu. Bukan ibu sahaja, terdapat juga Hari Bapa, Hari Adik-Beradik dan sebagainya. Semua ini hendak memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada orang-orang tertentu. Banyak perayaan berbeza yang diamalkan oleh setiap negara atau kaum. Ada yang menyambutnya pada bulan Mac, ada juga yang menyambutnya pada bulan Mei.

Di Amerika Syarikat seawal abad yang ke-20, mereka telah mula memberi cuti kepada seluruh rakyat untuk menyambut Hari Ibu. Ini merupakan inisiatif Anna Jarvis yang melakukan amalan ritual di Gereja untuk menyambut kaum ibu.

Sebelum-sebelum itu, satu kultus Yunani juga menyambut Hari Ibu kerana meraikan Cybele. Ini merupakan tradisi yang kebetulan terjadi. Setiap orang-orang terdahulu menyambut Hari Ibu ini dengan pelbagai tujuan dan cara. Ada yang menjadikan sambutan ini sebagai sambutan agama. Ada juga yang menjadikan ini sebagai suka-suka sahaja.

Status seorang ibu

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?” Rasulullah pun menjawab, “Ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Tiga kali Rasulullah menjawab “ibu kamu” menunjukkan keutamaan ibu itu tiga kali ganda berbanding bapa. Orang yang berbakti kepada ibunya ini bakal mendapat kelebihan mustajabnya doa.

Umar al-Khattab RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya kamu mampu untuk meminta supaya dia (Uwais al-Qarni) memohon keampunan Allah buat kamu, maka lakukanlah.” Ini merupakan saranan Rasulullah untuk Umar meminta Uwais al-Qarni mendoakannya. Hal ini kerana sabda baginda, “Dia (Uwais) mempunyai seorang ibu yang dia amat taat kepadanya.

Daripada hadis ini, kita dapat faham bahawa dengan mentaati ibu, doa kita akan menjadi mustajab.

Imam an-Nawawi juga menjelaskan lebih lanjut tentang sebab keutamaan ibu dalam al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, “Sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya. Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusan kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut.

Kita juga selalu membaca doa ini:

Maksud: “Wahai Tuhan, kasihilah keduanya (ibu bapaku) sebagaimana mereka mendidikku semasa aku kecil.” (Surah al-Isra’ ayat 24)

Ini merupakan doa untuk kesejahteraan dan rahmat bagi ibu dan bapa kita. Perbanyakkanlah membaca doa ini.

Dalam Surah Luqman ayat 14, Allah berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Ayat ini meminta kita untuk mengenang jasa ibu kita yang telah melalui bermacam-macam kepayahan untuk membesarkan kita. Untuk mensyukuri segala nikmat hari ini hasil daripada usaha dan pengorbanan. Ayat ini juga mengajar untuk bermuhasabah supaya kita lebih bersyukur. Cara berfikir begini amat perlu diterapkan bagi setiap di antara kita. Sekiranya kita tidak berfikir sedemikian, kita tidak akan sedar akan jasa ibu.

Hukum menyambut Hari Ibu

Tidak dinafikan bahawa terdapat pandangan yang mengharamkan sambutan Hari Ibu bersandarkan dalil ini:

Rasulullah bersabda, “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dengan anggapan bahawa Hari Ibu merupakan sambutan yang diamalkan oleh orang kafir, maka kita tidak boleh meniru amalan tersebut. Apatah lagi sambutan ini mempunyai kaitan dengan agama lain.

Tetapi, tidak ada dalil yang khusus mengharamkan sambutan Hari Ibu ini. Maka, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mengatakan bahawa harus untuk kita menyambut Hari Ibu tetapi dengan syarat bahawa ini merupakan amalan adat sahaja, bukan agama. Selain itu, jangan disebabkan sambutan ini menjadikan kita hanya meraikan ibu pada hari itu sahaja. Sepatutnya, berbakti kepada ibu seharusnya setiap hari dan setiap masa tanpa mengkhususkan pada hari-hari tertentu.

Kesimpulan

Hukum sambut Hari Ibu ialah harus asalkan tidak berkait dengan benda-benda haram.

Aritkel Berkaitan: Hukum Sambut Hari Bapa

Rujukan

  1. Irsyad al-Hadith Siri Ke-302: Syarah Hadith Tasyabbuh
  2. Al-Kafi #1203: Mengapakah didahulukan berbuat baik kepada ibu sebanyak tiga kali?
  3. Celebrating Mother’s day – Dar-alifta.org
  4. Irsyad al-Fatwa Ke-11: Sambutan Hari Ibu dan Bapa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 4 =