Apakah adab yang perlu dilakukan ketika berzikir? Artikel ini akan membincangkan adab-adab ketika berzikir yang anda perlu amalkan.
Pengenalan
Zikir dari sudut bahasa ialah mengingati dan dari istilah pula zikir bermaksud mengingati Allah SWT di mana dan bila sahaja berada dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan, perbuatan atau dengan hati.Firman Allah di dalam Surah Ali Imran ayat 191,
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِم
Maksudnya: “…(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring…”
Di dalam Kitab al-Anwar al-Qudsiyyah fi Ma’rifah Qawa’id al-Sufiyyah, al-Imam al-‘Alamah Abdul Wahhab al-Sya’raniy, Maktabah al-Ma’arif, ada membincangkan adab-adab berzikir secara terperinci, dan dibahagi kepada 3; sebelum, semasa dan selepas. Maka, pada artikel kali ini kita akan membincangkan adab-adab berzikir menurut syarak dan bagaimana amalan berzikir ini dapat memberikan kita lebih manfaat, hasil daripada pengamalan adab berzikir.
1. Bertaubat dengan taubat Nasuha
Taubat nasuha ialah taubat dengan bersungguh-sungguh daripada perkara yang tidak diperlukan sama ada perkataan, perbuatan dan keinginan serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk tersebut lagi.. Zu al-Nun al-Misriy berkata: Sesiapa mengatakan dia telah bertaubat tetapi hati, perbuatan serta percakapannya cenderong kepada kemungkaran dunia, maka dia sebenarnya pembohong.
Malah, bertaubat daripada dosa dikategorikan sebagai wajib. Allah SWT berfirman:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah al-Nur: ayat 31)
Artikel Berkaitan: Panduan Taubat Nasuha
2. Mandi atau berwudhu’
Setiap kali hendak berzikir, memakai wangian pada pakaian dan mulut dengan wangi-wangian.
حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ أَبُو عُبَيْدَةَ عَنْ سَلَّامٍ أَبِي الْمُنْذِرِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حُبِّبَ إِلَيَّ النِّسَاءُ وَالطِّيبُ وَجُعِلَ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلَاةِ
Maksudnya : “Telah menceritakan kepada kami Abdul Wahid Abu Ubaidah daripada Sallam Abu Munzir daripada Thabit daripada Anas sesungguhnya Nabi saw bersabda Perkara yang aku suka ialah wanita, minyak wangi dan dijadikan penyejuk mataku ketika solat.” Riwayat Imam Ahmad (12293) di dalam Musnad
3. Diam dan duduk tetap
Diam dan duduk dalam keadaan senyap ini adalah untuk mendapatkan rasa Sidq (ikhlas) ketika berzikir, iaitu dengan menyibukkan hatinya dengan Allah. Menggunakan lafaz Allah Allah iaitu dalam fikiran tanpa lafaz, sehingga tiada lintasan hati dengan lafaz Allah Allah, kemudian seiringkan lisan dengan hati dengan berkata (لا اله إلا الله), hendaklah melakukan sedemikan ketika hendak berzikir.
Dengan berkedudukan ini juga dapat menunjukkan perasaan mengharap pada Allah. Di dalam Surah ar-Rahman ayat 46 Allah berfirman;
وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ
Maksudnya : Buat mereka yang takutkan maqam Tuhan mereka, ganjaran dua syurga.
Imam Ibn Abi Al-Dunya menukilkan tafsiran Mujahid Ibn Jabr ke atas ayat ini yang menyebut :
هُوَ الرَّجُلُ يُرِيدُ أَنْ يُذْنِبَ الذَّنْبَ، فَيَذْكُرُ مَقَامَ رَبِّهِ، فَيَدَعُ الذَّنْبَ
Maksudnya : Dia adalah seorang lelaki yang hendak melakukan suatu dosa, kemudian dia mengingati kedudukan Tuhannya, lalu dia pun meninggalkan dosa tersebut. (Al-Taubah, Ibn Abi Al-Dunya. Hlmn 67)
Maka, dengan duduk dengan tenang dan bermuhasabah diri, dapat memberikan penghayatan yang lebih mendalam terhadap amalan berzikir kita.
4. Yakin dan ikhlas ketika berzikir sama ada secara perlahan atau nyata.
Di dalam Surah al-Bayyinah ayat 5, Allah berfirman;
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاة ۚ
Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.
Oleh itu, dalam amalan berzikir, jika kita ikhlas dan yakin dengn kekuasaan Allah, in Sha Allah manfaatnya besar dan dapat dirasakan oleh pengamal. Sesungguhnya, segala amalan itu semata-mata kerana Allah SWT.
5. Memilih sighah zikir dengan lafaz (لا اله إلا الله)
Ini adalah kerana ianya memberikan kesan yang besar kepada pengamal di mana kelebihannya tidak terdapat pada zikir-zikir yang lain. Sekiranya telah habis dan fana (binasa) syahwat dan hawanya (kesukaan terhadap dunia) maka pada ketika itu bolehlah dia berzikir dengan lafaz (الله) pula iaitu tanpa ’nafi’. Selagi seseorang itu masih terkesan dengan dunia maka seseorang murid itu wajib secara istilah, berzikir kepada Allah dengan nafi dan ithbat.
6. Mendatangkan makna zikir di dalam hati
Apalah ertinya jika berzikir tetapi tidak menghayati makna dan keindahannya. Perkara ini berbeza mengikut darjat maqam musyahadat (keadaan hati seseorang hamba itu dapat merasakan berhadapan dengan Allah Taala) orang yang berzikir dan disyaratkan hendaklah dia memberitahu kepada gurunya setiap perkara peningkatan zouq (perasaan yang membawa seseorang itu bertaubat kepada Allah SWT) supaya gurunya mengajarnya cara-cara adab dalam hal tersebut.
7. Mengosongkan hati daripada semua makhluk kecuali Allah
Ketika berzikir, perhatian kita hanyalah kepada Allah SWT. Ketika menyebut perkataan (لا اله), ia adalah hak Allah yang tidak suka melihat dalam hati orang yang berzikir selain daripada-Nya kecuali dengan keizinan-Nya. Sekalipun guru merupakan faktor utama dalam mendidik murid, apa yang harus dilihat adalah penghayatan diri gurunya seolah-olah dia berada di hadapan matanya sahaja dan bukan di dalam hati.
Sesungguhnya mereka disyaratkan menafikan semua makhluk dalam hati mereka, ianya adalah supaya mereka beroleh kesan ketika menyebut (لا اله إلا الله) di hati mereka. Kemudian mengalir makna lafaz tersebut ke seluruh jasad seseorang.
8. Berdiam diri selepas berzikir
Duduk tetap dengan penuh kekhusyukan, fokus dan bersama dengan hatinya menanti hasil daripada zikir dengan harapan mendapat warid. Maka berusaha mendapatkannya walaupun seketika, ianya adalah lebih baik daripada mereka yang melakukan mujahadah dan riadhah selama 30 tahun.
9. Berulang-ulang mengkeji nafsunya
Kita digalakkan untuk bertaubat dan membenci dosa yang kita lakukan dengan mengejinya sebanyak 3 kali nafas hingga ke tujuh kali atau lebih sehingga mengalir warid zikir tadi ke seluruh anggota badan. Dengan itu mata hatinya akan bercahaya, terhindar daripada lintasan nafsu dan syaitan lalu tersingkap hijab.
Kita selalu diingatkan untuk mendekatkan diri pada Allah dengan menjauhi segala larangan-Nya dan sentiasa pulang semula ke pangkal jalan setelah membuat khilaf, dengan berzikir.
10. Membuat refleksi diri
Muhasabah atau menghitung diri adalah sebahagian daripada jalan dalam mencapai ma’rifatullah (mengenal Allah). Muhasabah diri ini memerlukan persediaan hati yang penuh sedar, pemikiran yang celik dan terbuka, serta sensitif kepada bisikan-bisikan nafsu dan syaitan. Dengan amalan berzikir, kita dapat merefleksi segala perbuatan kita dan lebih sedar diri akan hakikat kehidupan, cabaran menghadapi hidup dan juga bersedia dengan segala kemungkinan. In sha Allah.
Kesimpulannya, berzikir itu tanda kita ingat pada Allah. Ada pelbagai jenis zikir yang boleh diamalkan seperti zikir سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ dan juga istighfar. Berzikir boleh dilakukan di mana-mana dan bila-bila sahaja tetapi jika kita dapat mengamalkan adab-adabnya seperti yang dibincangkan diatas, bukankah lebih molek?
Berzikir juga adalah ibadah yang agung. Allah berfirman;
وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya zikrullah itu adalah pekerjaan yang sangat agung, dan Allah mengetahui apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Ankabut ayat 45)
Semoga kita sama-sama dapat mengamalkannya, in sha Allah.
Adab-adab yang Lain
Rujukan
- Adab-adab Berzikir – Mufti Negeri Sembilan
- Penjelasan Berhubung Hukum Zikir Menari – Mufti WP
- Bekerja Sebagai Ibadah Meningkatkan Integriti – Mufti WP
- Wanita Minyak Wangi Dan Dijadikan Penyejuk Mata Ketika Solat – Mufti WP
- Maqam Musyahadah – Belajar Ilmu Tasawuf
- Hukum Melakukan Amalan Untuk Mendapat Ganjaran Bersifat Keduniaan Semata-mata – Mufti WP
- Taubat Berulang-ulang Kali – Mufti WP
- Zikir dan Peranannya Dalam Pembentukan Sahksiah – Mufti Negeri Sembilan