Apakah adab-adab berdoa serta cara-cara untuk doa dimakbulkan?
Artikel ini akan menerangkan adab-adab berdoa secara mudah, waktu mustajab berdoa dan tempat-tempat mustajab doa.
Doa merupakan ibadah rohaniah yang paling besar ertinya dalam Islam. Setiap insan akan merasakan betapa tingginya penghargaan dan pergantungan dengan kebesaran dan keagongan Allah S.W.T. setelah berusaha dan berikhtiar. Permohonan kepada Allah dilakukan dengan penuh khusyu’ dan tawaduk disertai dengan hati dan jiwa yang tenang. Kerana Dialah satu-satunya tempat manusia mengadu memohon ampun dan kemaafan.
Antara tujuan orang mukmin memohon doa adalah untuk mendapatkan rahmat dan rezeki daripada Allah ‘Azza wa Jalla. Selain itu, memastikan permintaan yang dihajati itu mendapat redha dari-Nya. Di samping itu, doa bertujuan supaya kita dapat mendekatkan diri kepada Ilahi dengan menginsafi bahawa diri seseorang itu adalah ciptaan Allah.
Dalam artikel ini, kami akan cuba menerangkan adab berdoa agar doa dimakbulkan oleh Allah.
Kedudukan dan keistimewaan doa
Sesungguhnya amalan berdoa yang dikurniakan Allah bagi kehidupan orang-orang yang beriman mempunyai kekuatan, keajaiban dan keistimewaannya yang tersendiri. Ia mempunyai kedudukan yang amat istimewa dalam kehidupan para mukminin. Antara kedudukan dan keistimewaan berdoa ialah :
1. Doa adalah ibadat
Dalam sebuah hadis sohih, Nu’man Ibn Basyir meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w :
إنَّ الدُّعَاءَ هُوَ الْعِبَادَة
Yang bermaksud : “Doa itu ialah ibadah” (Riwayat Abu Daud, At-Tarmizi, An-Nasaie , Ibnu Majah dan Al-Hakim)
2. Berdoa adalah amalan yang disukai Allah SWT.
Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang amat menyayangi hamba-hambanya dan suka jika manusia sentiasa bermohon dan berharap kepadaNya. Bahkan dalam banyak ayat-ayat Al-Quran menyuruh kita meminta pertolongan Allah seperti firmanNya dalam surah Al- Fatihah :
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Maksudnya: “Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. (Surah Al-Fatihah : 5)
3. Doa adalah amalan para nabi.
Para nabi adalah manusia pilihan Allah dan mereka juga adalah manusia terbaik di kalangan semua manusia. Antara sunnah atau amalan hidup manusia pilihan Allah ini adalah mereka sentiasa berdoa mengharapkan pertolongan Allah.
Mereka tidak pernah putus asa menyampaikan segala hasrat mereka dengan berdoa kepada Allah. Banyak ayat Allah menggambarkan doa para Nabi ini seperti doa Nabi Nuh a.s dalam surah Nuh ayat – 28 yang bermaksud :
“Wahai Tuhanku! ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”
4. Doa dapat menahan ketetapan Qada’.
Sesungguhnya doa mempunyai kekuatan dan keajaiban yang tersendiri hinggakan dapat menahan ketetapan Qada’ daripada Allah. Dalam sebuah hadis Baginda (saw) bersabda;
“الدعاء رد القضاء”
Maksudnya : “Doa itu dapat menangkis ketetapan qadha’’ (Riwayat Al-Hakim)
5. Doa juga adalah senjata orang beriman.
Sabda Baginda (saw);
“الدعاء سلاح المؤمن وعماد الدين ونور السماوات والأرض”
Maksudnya : “Doa itu senjata bagi orang-orang mukmin dan tiang agama dan sinar cahaya langit dan bumi.” (Riwayat Al-Hakim)
6. Doa wasilah penghapus dosa.
Rasulullah (saw) bersabda:
“يا ابن آدم انك ما دعوتنى ورجوتنى غفرت لك على ما كان منك ولا ابالى يا ابن آدم لو بلغت ذنوبك عنان السماء”
Yang bermaksud : “Wahai anak Adam , sesungguhnya selagi kamu berdoa kepadaKu dan mengharap kepadaKu. Aku akan mengampuni dosa dan kesalahanmu dan Aku tidak peduli dengannya. Wahai anak Adam walau dosa-dosamu sampai ke langit.” (Riwayat Imam Ahmad dan Ad-Darimi)
7. Doa adalah interaksi hamba dengan Maha Pencipta.
Amalan berdoa merangkumi ibadah-ibadah lain seperti zikrullah yang mengandungi tasbih, takbir, tahmid, istighfar dan sebagainya. Amalan ini telah diperintahkan oleh Allah untuk kita melaksanakannya seperti firmanNya dalam surah Al-Jumuah ayat 10 yang bermaksud :
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”. [Al-Jumuah: 10]
Adab Berdoa
a) Sebelum
- Dalam keadaan berwuduk
- Dalam keadaan menutup aurat
- Menghadap ke kiblat
- Dalam keadaan khusyuk dan tawaduk
- Bertaubat dan istigfar.
- Tidak tergesa-gesa
- Memilih waktu yang diistilahkan sebagai waktu mustajab seperti pada hari Jumaat kerana pada hari tersebut ada satu ketika apabila bertepatan masanya, Allah SWT akan memperkenankan doa tersebut.
- Angkat tangan ke paras dada
- Duduk dalam keadaan sopan seperti duduk iftirasy dan duduk tahiyat akhir. Jika berdiri tegakkan badan dan elakkan bersandar.
b) Semasa
- Dimulai dengan memuji kebesaran Allah
- Kemudian berselawat ke atas baginda Rasulullah s.a.w
- Beristighfar tiga kali dan berdoa untuk kebaikan diri dan orang lain.
- Pengakuan terhadap dosa dan kemaksiatan disertai keikhlasan berdoa.
- Membaca doa dengan penuh harapan agar dikabulkan.
- Tawassul dengan amal soleh yang pernah dilakukan.
- Memilih kata-kata, lafaz, dan makna yang paling baik.
- Gunakan ayat-ayat al-Quran, doa-doa Rasulullah dan para sahabat.
- Mengulangi doa yang diutamakan dua hingga tiga kali.
- Seeloknya guna bahasa yang difahami kerana Allah Maha Pengasih dan sangat memahami segala bicara hamba-hambaNya.
- Diakhiri dengan selawat dan salam
c) Selepas
- Selesai berdoa sebagai penutup, mengucapkan ‘amin’.
- Menyapu tangan ke muka apabila selesai berdoa.
- Yang paling utama ialah jangan sekali-kali berputus asa untuk terus berdoa kepada Allah SWT.
- Apabila kita yakin bahawa Allah itu Maha Pemurah, tentu kita yakin bahawa Dia akan melayan permintaan kita.
- Apabila kita yakin Allah itu Maha Kaya, tentu kita yakin Dia mampu memberikan apa yang kita minta.
Syarat Doa Dimakbulkan
Waktu Mustajab Berdoa
Sebenarnya tiada halangan masa atau tempat untuk berdoa. Namun, ada beberapa waktu dan keadaan yang lebih afdhal jika kita memanjatkan doa kepada Allah. Waktu-waktu ini insyaaAllah doa kita akan lebih mudah diterima:
- Solat
- Sesudah berwuduk
- Antara azan dan iqamat
- Ketika orang azan untuk solat
- Ketika orang mengucapkan iqamat
- Ketika berdiri memulakan dan sesudah selesai solat.
- Pada akhir tiap-tiap solat fardhu
- Pada waktu sedang sujud (dalam solat atau luar solat)
- Ketika iktidal akhir dalam solat.
- Selepas solat Subuh, sebelum terbit matahari.
- Di antara waktu Zuhur dan Asar dan selepas waktu Asar.
- Setiap lepas solat fardhu.
- Malam
- Pada malam Jumaat
- Malam 10 Muharam.
- Malam Nisfu Syaaban.
- Pada malam al-Qadar (sepuluh malam terakhir yang ganjil dalam bulan Ramadhan)
- Malam Aidilfitri.
- Malam Aidiladha.
- Di pertengahan malam.
- Seperdua malam yang kedua (selepas 12 malam)
- Sepertiga malam yang pertama (jam 6 sampai 10 malam)
- Sepertiga malam yang terakhir (selepas jam 2 pagi)
- Sepanjang malam, paling utama sepertiga malam yang akhir (waktu sahur).
- Hari
- Pada hari Arafah (9 Zulhijjah ketika jemaah haji wukuf di Arafah)
- Semasa bermusafir.
- Ketika berpuasa dan berbuka puasa.
- Sepanjang hari dalam bulan Ramadan.
- Sepanjang hari Jumaat.
- Waktu ijabah (saat diperkenankan doa) hari Jumaat, iaitu antaranya:
- Antara ‘Subuh Sadiq’ sehingga waktu Syuruk.
- Waktu Imam membaca Fatihah sehingga ‘Amin’.
- Selepas Zawal hingga tergelincir sedepa matahari.
- Semasa imam duduk di mimbar sampai imam mengucapkan salam.
- Antara waktu Asar sehingga terbenam matahari.
- Peristiwa
- Ketika hujan turun.
- Semasa Lailatul-Qadar.
- Ketika khatam Al-Quran.
- Ketika dalam peperangan atau darurat. Dalam keadaan berbaris (jalan bersama) menuju medan perang sabil (peperangan mempertahankan ajaran Islam)
- Dalam pertempuran di medan perang
- Ketika minum air zam-zam.
- Pada waktu sahur (sebelum fajar)
- Ketika sedang membaca al-Quran
- Setelah tamat membaca al-Quran
- Ketika Tawaf keliling Kaabah.
- Ketika wukuf di padang Arafah.
- Pada waktu ayam jantan berkokok (pada waktu pagi).
- Pada saat berkumpulnya kaum Muslimin kerana agama
- Pada waktu berkumpul untuk berzikir (iaitu berkumpul untuk menyebut kebesaran Allah, bertakbir, bertahmid dan bertasbih, atau berkumpul membaca dan mempelajari al-Quran atau berkumpul menerima pelajaran agama Islam)
- Pada waktu turun hujan.
- Ketika menutupkan mata orang yang telah mati.
Tempat Mustajab Berdoa
Banyak diriwayatkan beberapa tempat mustajab berdoa yang banyak di Mekah dan Madinah. Antaranya :
- Dalam Masjid Al-Haram, terutama di hadapan Kaabah.
- Multazam, diantara Hajar Aswad dan pintu Kaabah.
- Ketika melihat Kaabah.
- Ditempat Melakukan Tawaf.
- Di sisi Telaga Zam-zam ketika tenggelam matahari.
- Di belakang Maqam Ibrahim di Masjidil Haram.
- Di Hijir Ismail.
- Di sisi Multazam.
- Di bawah Pancuran Emas.
- Di tempat Sa’i.
- Di atas Bukit Sofah.
- Di atas Bukit Marwah.
- Di Padang Arafah.
- Di Arafah terutama selepas Asar menjelang tenggelam matahari.
- Di Muzdalifah.
- Di Mina.
- Di sisi Jamrah Al-Ula.
- Di sisi Jamrah Al-Wusto.
- Di sisi Jamrah Al-’Aqabah.
- Dalam Masjid Nabawi (di Madinah), terutama di Raudhah.
- Di Masjid Al-Aqsa, Baitul Muqqadis.
- Di makam para Nabi dan Rasul.
- Di dalam semua masjid.
- Di tempat yang sunyi.
Ada juga beberapa tempat yang khusus di Mekah lebih-lebih lagi jika sedang melakukan ibadah umrah atau haji.
- Hajar Aswad (batu dari syurga).
- Multazam / Hateem
- Tempat Jibril mengimami Nabi Muhammad SAW.
- Tempat Asal Makam Nabi Ibrahim.
- Binaan Makam Nabi Ibrahim Sekarang. Berdoa di antara azan Subuh hingga Iqamat (minta kebahagiaan keluarga).
- Pintu Bani Syaibah (tempat masuk Nabi Muhammad SAW).
- Telaga Zam-zam. Antara azan Maghrib hingga Iqamat (minta ilmu makrifat).
- Hijir Ismail. Selepas Asar hingga Maghrib (minta kekayaan harta benda).
- Mizab Rahmah (Pancuran Rahmat).
- Mustajaar (Pintu keluar Kaabah – ditutup).
- Rukun Yamani
- Tempat bermulanya Tawaf (penjuru Hajar Aswad).
- Mihrab Nabi Muhammad SAW di Madinah (bertentangan dengan pancur emas Kaabah).
Punca Doa tidak Dimakbulkan
Kenapa ya walaupun kita penat-penat doa setiap masa supaya Allah ubah nasib dan kehidupan kita, tapi Allah tak makbulkan?”
Ini antara sebab-sebabnya :
- Mengenali Allah, tetapi tidak menunaikan suruhanNya
- Mengatakan cinta kepada Rasul Allah, tetapi meninggalkan sunnahnya
- Membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengannya
- Makan nikmat Allah, tetapi tidak bersyukur kepadaNya
- Mengatakan syaitan musuhnya, tetapi tidak menentangnya
- Mengatakan Syurga itu benar, tetapi tidak beramal untuknya.
- Mengatakan Neraka itu benar, tetapi tidak lari daripadanya.
- Mengatakan mati itu benar, tetapi tidak bersedia untuknya.
- Bangun daripada tidur lalu menceritakan segala keaiban manusia, tetapi melupakan keaiban diri sendiri.
- Mengebumikan mayat-mayat (sahabat-sahabatnya) tetapi tidak mengambil iktibar daripada mereka.
Cara Allah Memperkenankan Doa Seseorang
Jika kita sudah mengelakkan amalan yang menyebabkan doa tidak dimakbulkan, namun Allah tetap tidak memperkenankan doa seseorang. Mengapa berlaku hal sedemikian? Ada tiga cara Allah SWT menerima doa hamba-Nya iaitu:
- Allah SWT akan memberikan kepada hamba-Nya di dunia sepertimana yang diingini oleh hamba tersebut. Adapun bagi cara ini boleh dibahagikan kepada kedua iaitu terus dimustajabkan permintaan tersebut dan juga ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu.
- Allah SWT akan menyimpan doa tersebut di Akhirat kelak kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hamba tersebut memerlukannya di sana.
- Allah SWT akan menjauhkan hamba tersebut daripada perkara yang buruk atau musibah yang berlaku kepadanya.
Kesimpulan
Doa sebenarnya ialah zikir dalam bentuk interaksi dan komunikasi kita dengan Allah melalui cara yang paling harmoni. Allah memerintahkan kita agar berdoa untuk mengingatiNya kerana hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.
Allah Maha Mengetahui apa jua hasrat dan keinginan hamba-hambaNya. Walaupun begitu, dengan kita berdoa, ianya adalah bukti bahwa kita mengakui kelemahan kita di hadapan Allah, merasa rendah di hadapan-Nya dan sentiasa memerlukan pertolongan-Nya setiap masa. Doa adalah pengakuan manusia, bahwa dirinya hanyalah seorang hamba di hadapan Allah.
Manusia yang tidak mahu berdoa kepada Allah hanyalah orang yang sombong, seakan-akan mereka tidak memerlukan langsung pertolongan Allah atau merasa diri hebat di hadapan Allah. Maka, elakkan menjadi manusia yang sombong dan banyakkanlah berdoa dalam apa jua keadaan kerana itulah manifestasi antara kita seorang hamba terhadap Allah, Tuhan Maha Pencipta. Jadi bila berdoa, penuhilah adab-adab berdoa yang sepatutnya.
Diharapkan artikel adab adab berdoa ini dapat memberikan manfaat kepada anda.
Wallahua’lam.
Adab-adab yang Lain
Rujukan
- Indahnya Hidup Bersyariat m/s 136-138, Dato’ Ismail Kamus, 1948, Telaga Biru Sdn. Bhd.
- Al-Kafi #1015: Bagaimana Mendapatkan Doa Mustajab Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (19 Mei 2020)
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-349: Cara Penerimaan Doa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (19 Mei 2020)
- Adab Ketika Berdoa Koleksi Hadith JAKIM