Siapakah Abdullah Bin Abbas (Ibnu Abbas) RA? Artikel ini akan membincangkan berkenaan Abdullah Bin Abbas, biodata dan kisah hidupunya.
Siapakah Abdullah Bin Abbas?
- Abdullah bin Abbas adalah sahabat Rasulullah SAW dan sekaligus merupakan saudara sepupu baginda.
- Beliau memeluk agama Islam ketika masih di usia sangat muda
- Abdullah bin Abbas merupakan salah seorang sahabat yang mempunyai wawasan yang luas, banyak sekali hadis-hadis shahih yang telah diriwayat oleh beliau.
Nama dan Salasilah Keturunan Abdullah Bin Abbas
Nama beliau adalah Abdullah bin Abbas bin Abdul Muthalib. Beliau biasa dipanggil dengan panggilan ibnu Abbas iaitu anak kepada ayahnya yang bernama Abbas dan juga digunakan untuk membezakan beliau dengan Abdullah yang lain.
Ayah beliau dan ayahnya Rasulullah SAW iaitu Abdullah mempunyai hubungan adik beradik, oleh sebab itu beliau juga merupakan saudara sepupunya Rasulullah SAW. Ibunya bernama Ummu Al-Fadl Lubaba. Ibunya merupakan wanita kedua memeluk agama Islam setelah Khadijah istri Rasulullah SAW. Abdullah bin Abbas juga mempunyai seorang saudara kandung yang bernama Fadl bin Abbas.
Lahirnya Abdullah Bin Abbas
Abdullah bin Abbas dilahirkan pada tahun ke 3 sebelum hijrah atau pada tahun 619 M di kota Mekah.
Kisah Abdullah Bin Abbas
Abdullah bin Abbas sangat dekat dan akrab dengan Rasulullah SAW dari sejak kecil. Bersama baginda Rasulullah SAW, beliau diasuh menjadi pribadi yang mempunyai jati diri dan sifat keazaman yang kuat.
Pada suatu waktu, Abdullah bin Abbas sedang berfikir keras serta dipenuhi dengan berbagai macam pertanyaan dalam dirinya tentang bagaimana cara Rasulullah SAW solat. Disebabkan keingintahuannya itu, beliau pun pergi untuk tumpang tinggal di rumah ibu saudaranya iaitu Maimunah binti Al-Harits yang merupakan istri baginda Rasulullah SAW.
Ketika datangnya waktu di pertengahan malam, beliau mendengar Rasulullah SAW bangun dari tidurnya untuk menunaikan solat malam. Beliau pun dengan cepat bangun dari tidurnya lalu membawakan air untuk Rasulullah SAW mengambil wudhu. Betapa terkejutnya baginda ketika melihat Abdullah bin Abbas masih bangun dan membawakan air wudhu untuknya. Rasulullah SAW merasa sangat bahagia atas perbuatan Abdullah bin Abbas itu.
Rasulullah SAW pernah mendoakan untuk Abdullah bin Abbas dan doanya berbunyi seperti ini, “Ya Allah, berilah kepada dia pengertian dalam bidang agama dan berilah kepadanya pengetahuan takwil (tafsir).” Lalu dari doa tersebut, Abdullah bin Abbas pun sangat terkenal sebagai ahli di bidang tafsir. Tidak hanya itu, beliau juga banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW dan hadis yang diriwayatkan oleh beliau tak kalah banyak dari sahabat Rasulullah SAW yang lainnya, seperti Abu Hurairah, Anas bin Malik.
Sampai suatu ketika, Rasulullah SAW wafat, kerajinan Abdullah bin Abbas dalam menuntut ilmu tidak pernah menghilang. Walaupun perasaan sedih menyelimuti dirinya disebabkan kewafatan Rasulullah SAW, namun beliau masih tetap melanjutkan kembaranya dalam menuntut ilmu. Beliau terus mencari-cari sumber ilmu dari para sahabat Rasulullah SAW. Mengetuk satu pintu ke pintu yang lain demi mendapatkan ilmu dari para sahabat sudah menjadi kebiasaan sehari-harinya. Hingga pada akhirnya, beliau menjadi seorang pemuda dengan lautan ilmu dan sarat akan berbagai macam ilmu pengetahuan. Dengan usianya yang masih tergolong muda, banyaknya ilmu dan pengetahuan yang beliau miliki tidak sebanding dengan umurnya.
Terdapat seseorang yang pernah bertanya kepada beliau, “Bagaimana Anda mendapatkan ilmu ini wahai Ibnu Abbas?”
Abdullah bin Abbas pun menjawab, “Dengan lidah yang selalu bertanya, dan dengan akal yang suka berfikir.”
Disebabkan banyaknya ilmu beliau, menjadikan beliau sebagai orang penting dalam suatu mesyuarat besar di kalangan para sahabat pada saat itu.
Wafatnya Ibnu Abbas
Abdullah bin Abbas menutup usianya pada umur 71 tahun di tahun ke-68 Hijrah. Beliau wafat dan dimakamkan di Thaif.
Hadis Berupa Pesan Rasulullah SAW Kepada Ibnu Abbas
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh beliau, dalam hadis ini Rasulullah SAW memberikan pesan kepadanya,
عَنْ ابنِ عباسٍ رضي الله عنهما، قَالَ: كنت خلف النَّبيّ صلى الله عليه وسلم يوماً، فَقَالَ: “يَا غُلامُ، إنِّي أعلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَألْتَ فَاسأَلِ الله، وإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ باللهِ، وَاعْلَمْ أنَّ الأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إلاَّ بِشَيءٍ قَدْ كَتَبهُ اللهُ لَكَ، وَإِن اجتَمَعُوا عَلَى أنْ يَضُرُّوكَ بِشَيءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إلاَّ بِشَيءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحفُ
“Dari Abul ‘Abbas ‘Abdullah bin ‘Abbas RA, beliau mengatakan, ‘Pada suatu hari, aku pernah dibonceng di belakang Nabi SAW, lalu beliau bersabda: Wahai anak muda, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat, Jagalah Allah, niscaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, maka engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu. Jika engkau memohon (meminta), mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, bahawa seandainya seluruh umat berkumpul untuk memberi suatu manfaat kepadamu, maka mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepadamu, kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. Sebaliknya, jika mereka berkumpul untuk menimpakan suatu kemudaratan (bahaya) kepadamu, maka mereka tidak akan dapat menimpakan kemudaratan (bahaya) kepadamu kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan atasmu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.’” (HR at-Tirmidzi dan dia berkata hadis ini Hasan Shahih).
Kisah Sahabat yang lain
Rujukan:
- Ini 5 Hal yang Dipesankan oleh Rasulullah Kepada Ibnu Abbas – Republika
- Biografi Abdullah Bin Abbas Ibnu Abbas ulama Perawi Hadis – Biografi Tokoh Ternama
- Biografi Sahabat Abdullah Bin Abbas – Laduni