Skip to content

Hukum Mandi Safar. Boleh atau Tidak?

hukum mandi safar

Apakah hukum mandi safar? Artikel ini akan membincangkan hukum mandi safar sama ada ia boleh atau tidak dalam islam.

Apa itu mandi safar? 

Mandi safar ialah sejenis upacara mandi di pantai pada hari rabu di minggu terakhir bulan safar bertujuan untuk menolak bala. Amalan ini merupakan amalan masyarakat orang Melayu sejak dahulu. Mereka menganggap bulan safar merupakan bulan yang membawa sial atau nasib malang. 

Mengapa amalan ini wujud? Sedangkan Islam tidak ada mengajar penganutnya mana-mana bulan yang membawa bala. Hal ini kerana terdapat pengaruh amalan daripada Tamil Madurai yang mengamalkan upacara seperti ini. 

Di Malaysia, upacara mandi safar dilakukan di Morib di Selangor, Bagan Luar di Pulau Pinang, Port Dickson di Negeri Sembilan dan Tanjung Kling di Melaka. 

Bukan di semenanjung Malaysia sahaja, di Kalimantan pun ada amalan ini. Khususnya, di Kalimantan Barat. Mereka mengamalkan mandi safar ini di perkarangan masjid. Ia diiringi dengan bacaan surah-surah pilihan, doa-doa tertentu dan sebagainya. 

Apakah itu safar? Secara literalnya, safar ialah sejenis penyakit lebih berbahaya berbanding penyakit kulit dan ia lebih mudah berjangkit. Ia merupakan sejenis penyakit yang cacing berlegar dalam perut seseorang menjadikan seseorang kuning mukanya. 

Bulan safar pula merupakan bulan haram yang orang Arab jahiliah percaya bahawa tidak boleh berperang dan sebagainya. 

Terdapat hadis tentang bulan safar ini. 

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: 

Tidak ada penyakit yang berjangkit ,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu. (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan Ahmad) 

Hadis ini secara jelas dan tegas menafikan sebarang nasib malang atau musibah berlaku secara khusus dalam bulan safar. 

Jadi, kepercayaan yang mengimani bahawa bulan safar boleh membawa bala sehingga memerlukan satu amalan khusus untuk “menolak” bala tersebut adalah tidak betul sama sekali. 

Dalam hadis yang lebih kurang sama, tetapi lafaz yang berbeza. Daripada Jabir Bin Abdullah, Rasulullah bersabda: 

Tidak ada penyebaran penyakit (secara tabi’i) ,tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul (Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia). (Riwayat Muslim, Ibnu Hibban dan Ahmad)

Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi dalam kitab Faid al-Qadir syarh al-Jami’ al-Saghir:

Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.

Imam Abdul Rauf al-Munawi memberitahu bahawa Rasulullah menegaskan kepada kita bahawa tidak ada apa yang dianggap sebagai musibah dalam bulan safar. 

Jadi, kepercayaan itu merupakan kepercayaan yang tidak ada asas untuk orang Islam percaya. 

Apa hukum mandi safar? 

Mandi safar merupakan amalan khurafat yang karut. Tidak ada langsung asas dalam Islam yang menyuruh atau membolehkan upacara ini dilakukan. 

Sejak tahun 1963 lagi, Malaysia dan Singapura sudah sepakat untuk mengharamkan amalan mandi safar ini. 

Ketika itu, pemangku Mufti Johor, Dato’ Dr. Abdul Jalil Hassan berkata bahawa: 

Mandi Safar dan minum air wafak pada hari itu sebagai bid’ah dan karut semata.

Asas penolakan kepada amalan mandi safar berpandukan kepada hadis: 

Kepercayaan pada sial majal adalah suatu perbuatan syirik (Nabi mengulang kata ini sebanyak tiga kali). (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi) 

Tahun lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata: 

(Mandi safar) ia adalah khurafat dan perkara itu sudah disebut dalam hadis Bukhari dan Muslim bahawa tidak ada kesialan pada bulan Safar.

Beliau berkata begini kerana terdapat sesetengah pihak yang menularkan kembali isu mandi safar ini. 

Kata beliau lagi: 

Ini antara amalan jahiliah yang kita kena buang serta ubah masyarakat kita supaya tidak menganggap Safar sebagai bulan sial.

Sambung beliau: 

Jika masyarakat kita cuba hidupkan kembali amalan mandi Safar ini, seolah-olah ia kembalikan kepada zaman jahiliah. 

Kesimpulan 

Hukum mandi safar adalah haram kerana tidak ada bulan yang membawa sial secara khusus, hal tersebut ditekan dalam hadis Rasulullah. 

Rujukan 

  1. Irsyad al-Hadith Siri Ke-210: Amalan Mandi Safar – MuftiWP
  2. Mandi Safar – Wikipedia
  3. Amalan Mandi Safar Khurafat -Berita Harian
  4. Mandi Safar: Antara Adat & Syariat – ABIM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18 − 11 =