Skip to content

Salman Al Farisi: Biodata & Kisah Hidupnya

salman al farisi

Tahukah anda mengenai kisah mengenai Salman Al-Farisi dalam mencari kebenaran dalam hidupnya? Artikel ini akan membahaskan mengenai biodata serta kisah mengenai beliau yang boleh diambil sebagai inspirasi kepada diri kita.

Siapa Salman Al-Farisi?

Salman al-Farisi adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang lahir sebelum datangnya Islam melalui Nabi Muhammad SAW, lalu mengabdikan diri kepada agama Allah SWT sehingga pada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan. 

Beliau melalui pelbagai pengalaman getir untuk mencari kebenaran, dan akhirnya membawa peranan yang cukup besar dalam peristiwa awal perkembangan Islam di bumi Yathrib (Madinah).

Nama dan salasilah Salman Al-Farisi

Nama sebenar beliau adalah Mabah bin Budzkhasyah bin Mousilan bin Bahbudzan bin Fairuz bin Sahrk Al-Isfahani, dan lebih dikenali sebagai Salman Al-Farisi. Beliau juga diberi panggilan sebagai Abu Abdillah dan menerima gelaran Salman al-Khair. Ayahnya merupakan ketua kampung di Jayyan, Parsi yang menganuti pegangan Majusi. 

Kelahiran Salman Al-Farisi

Salman dikatakan lahir pada abad ke-7 di sebuah kampung bernama Jayyan yang terletak di Isfahan, Parsi. Beliau menjadi anak yang dikasihi bapanya dan pernah menjadi penjaga api di sebuah kuil di mana terdapatnya tempat pemujaan orang Parsi. 

Kisah Hidup Salman Al-Farisi 

Sebelum datangnya Islam, Salman menganuti agama Majusi seperti ayahnya sehinggalah pada suatu hari dia tertarik dengan cara sembahyang orang-orang di sebuah gereja dan bertanyakan mengenai asal usul agama tersebut. Apabila dia memberitahu ayahnya mengenai hal tersebut, beliau telah dikurung malah kedua kakinya diikat menggunakan rantai kerana bimbang beliau akan pergi dan menukar agamanya. Namun beliau telah berjaya melepaskan diri dan pergi ke Syria untuk mengabdikan diri kepada agama Kristian di sana. 

Setelah beliau berkhidmat bersama beberapa paderi gereja begitu lamanya dan berpindah dari satu-satu tempat, akhirnya seorang paderi gereja yang terakhir beliau temui sebelum kematian paderi tersebut menyatakan bahawa akan muncul seorang nabi di Tanah Arab yang mempunyai sebuah reputasi dan kejujuran yang tinggi, orang tersebut adalah seorang yang akan menerima apa sahaja hadiah yang diberikan kepadanya tetapi tidak akan menerima sebarang sedekah untuk dirinya. 

Beliau telah mengikuti sebuah rombongan orang Arab, dari suku Kalb untuk membawanya ke Tanah Arab dan membayar mereka dengan semua wang yang beliau miliki. Namun, beliau telah ditipu dan dijual kepada seorang Yahudi di Wadi al-Qura (tempat di antara Madinah dan Syria) dan menjadi seorang hamba. Beliau kemudiannya dijual kepada seseorang daripada suku Bani Qurayzah, dan beliau dibawa ke Yathrib. Pada ketika itu juga, Rasulullah SAW telah mula menyebarkan Islam di bumi Mekkah, dan melakukan hijrah ke Yathrib lalu mempersatukan suku kaum Aus dan Khazraj di sebuah tempat bernama Quba. 

Mendengar akan berita itu, Salman membawa kurma yang dikumpul oleh beliau lalu pergi menemui Rasulullah SAW dan menyampaikan pemberiaanya itu sebagai sedekah untuk Rasulullah SAW dan para pengikutnya. Namun, Salman melihat Rasulullah SAW tidak menjamah pemberiannya dan hanya memberikan kepada para sahabat Nabi sahaja. Lalu, di hari berikutnya ketika Rasulullah SAW dan rombongan hijrah hendak pergi meninggalkan Quba menuju Madinah, Salman sekali lagi memberikan kurma yang dikumpulnya dan menyatakan bahawa itu adalah hadiah buat Rasulullah SAW kerana baginda tidak memakan pemberian sedekah sebelum ini. 

Sifat kejujuran yang tinggi yang ada pada Rasulullah SAW pada ketika itu membawa Salman untuk mempercayai baginda dan memeluk agama Islam. Setelah memeluk Islam, Salman telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW dengan bayaran dan syarat yang dikenakan keatas beliau. Jika ditanya kepadanya, ‘Kamu anak kepada siapa?’ Salman akan menjawab :”Aku Salman, anak kepada Islam daripada keturunan Adam”. 

Setelah itu, Salman Al-Farisi telah menjadi sahabat yang begitu dekat dengan Rasulullah. Abu Hurairah meriwayatkan: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW ketika Surah al-Jumuah diturunkan. Baginda membacanya:

وَءَاخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا۟ بِهِمْ ۚ

Maksudnya: “Dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka”  [Al-Jumu’ah (62):3]

Seseorang diantara mereka bertanya kepada Rasulullah SAW, siapakah orang yang disebutkan melalui ayat tersebut. Tetapi Rasulullah SAW tidak menjawab meskipun ditanya tiga kali. Lalu, Rasulullah SAW meletakkan tangannya pada Salman lalu berkata, ‘Demi jiwaku berada di tangan-Nya, meskipun jika iman terletak di bintang Suraya, nescaya akan dicapai oleh lelaki berbangsa Parsi (Salman)’.

Kebijaksanaan Salman Al-Farisi

Kebijaksanaan dan idea bernas dalam strategi peperangan Salman Al-Farisi dilihat ketika mana terjadinya Perang Khandaq antara umat Islam di Madinah dengan Kaum Musyrikin Quraisy. Beliau telah mencadangkan kepada pasukan tentera Muslim untuk menggali parit mengelilingi Madinah sebagai cara pertahanan bagi menyukarkan pasukan lawan menyerang kota Madinah.

Ianya merupakan sebuah strategi dan inovasi ketenteraan yang amat baru dan tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini. Selain itu, beliau juga menjadi orang pertama yang melaukan terjemahan al-Quran kedalam bahasa asing kerana keluasan ilmu yang dimilikinya. 

Kewafatan Salman

Salman Al-Farisi telah meninggal pada tahun ke-35 Hijrah di Iraq, semasa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. 

Kebijaksaan dalam menginovasikan sesebuah perkara harus menjadi contoh kepada kita untuk terus berfikiran terkehadapan dan berpandangan luas dalam apa sahaja bidang. Kriteria yang ada pada Salman perlu diikuti oleh segenap generasi baik dalam ilmu duniawi, rohani diri mahupun keperibadian dalam diri. Wallahua’lam.

Kisah Sahabat yang lain

Abu Bakar As-SiddiqUmar Al Khattab
Uthman Bin AffanAli Bin Abi Thalib
Saad Bin Abi WaqqasSaid Bin Zaid
Zubair Bin AwwamTalhah Bin Ubaidillah
Mus’ab Bin UmairKhalid Al-Walid
Abu Ubaidah Al JarrahAnas Bin Malik
Abdul Rahman Bin AufZaid Bin Haritsah
Muadz Bin JabalBilal Bin Rabah
Hamzah Bin Abdul MutallibAbdullah Bin Mas’ud
Abu Dzar Al GhifariAbdullah Bin Jahsy
Abu Ayyub Al AnsariAbdullah Ibn Umar
Abdullah Bin SalamAbdullah Ibn Abbas
Salman Al FarisiAbu Hurairah
Abu DardaAmmar Bin Yassir

Rujukan

  1. IslamOnline. Salman Al-Farisi: The Seeker of Truth.
  2. Britannica. Salman al-Farisi, Companion of Muhammad.
  3. Abdul Wahid Hamid. 1995. Companions of The Prophet, Vol. 1
  4. Muhammad Nurdin Fathurrohman. Kisah Salman Al-Farisi.
  5. Saleh as-Saleh. 2009. The Search for The Truth – by a Man Known as Salman The Persian. Terjemahan Ummu Abdillah al-Buthoniyah. Maktabah Raudhah al-Muhibbin. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − 9 =