Apakah hukum pakai inhaler iaitu ubat pam bagi pesakit asma ketika seseorang itu sedang puasa? Artikel ini akan membincangkan dengan ringkas berkenaan hukum pakai inhaler ketika puasa.
Puasa merupakan salah satu daripada rukun Islam. Disyariatkan untuk kita berpuasa, sepertimana umat-umat yang terdahulu juga. Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,”
Untuk mencapai takwa, maka wajiblah kita berpuasa pada bulan Ramadan ini. Namun, kita sudah pelajari bahawa salah satu sebab yang boleh membatalkan puasa adalah dengan memasuki apa-apa benda melalui rongga yang terbuka.
Adakah pakai inhaler membatalkan puasa?
Jadi, timbullah persoalan. Apakah memakai inhaler ketika puasa itu membatalkan puasa? Sebab ianya seperti konsep memasuki sesuatu ke dalam rongga.
Apa itu inhaler?
Inhaler adalah alat untuk menyedut ubat untuk menyembuh penyakit asma dan penyakit-penyakit pernafasan.
Apa itu asma?
Ia merupakan suatu keadaan di mana tekak kita menjadi hyperresponsive, atau dalam erti kata mudahnya, sensitif. Apa yang boleh menyebabkan tekak jadi sensitif? Antaranya asap rokok, asap kereta dan seangkatan dengannya
Apa yang inhaler dapat membantu?
Inhaler dapat memberikan kelegaan cepat (quick reliever) sekiranya kita diserang asma. Contonya, kalau nak bersukan, pakai inhaler dulu sekiranya bersukan itu boleh jadi punca datangnya asma. Ia melegakan teka daripada diserang asma tiba-tiba.
Bolehkah bergantung kepada inhaler kalau ada asma?
Jawabnya, boleh. 60% pesakit hilang asma ketika meningkatnya umur. Ini menunjukkan, dengan peningkatan umur boleh jadi penyumbang kepada hilangnya penyakit asma ini. Maka, dalam ketika ia masih lagi ada, perlulah bergantung kepada inhaler dulu.
Batalkah puasa sebab pakai inhaler?
Dalam hal ini, ulama khilaf pandangan. Ada yang cakap tidak batal, ada yang cakap batal.
1. Yang tidak batal
Ini jumhur ulama kontemporari (terkini) seperti Sheikh Bin Baaz, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, Sheikh At-Tantawi dan ramai lagi. Apa alasannya?
Ia diqiyaskan dengan perbuatan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung lalu menghembusnya ketika ambil wuduk. Cecair yang dari inhaler masuk ke kerongkong dan terus ke perut itu, terlalu sedikit. Jadi, ianya dimaafkan seperti air-air yang sekat di tekak dan akhirnya lalu masuk ke perut. Ia dianggap biasa dan dimaafkan.
Prof. Madya Dr. Ahmad Bin Muhammad Al-Khalil, pensyarah bahagian Syariah di Universiti Al-Qasim, Arab Saudi, pernah berkata seperti berikut:
“Satu alat inhaler mengandungi 10 milimeter cecair, yang mengandungi bahan ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan sebnyak 200 kali semburan. Setiap kali semburan, ianya mengeluarkan jumlah yang sangat sedikit iaitu tidak sampai 1 milimeter yang mana ianya juga tidak sampai setitis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar memasuki bahagian pernafasan.
Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq (masukkan air ke dalam hidung lalu menghembusnya).
Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang memasukinya. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat dibawah sinar-x), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan.
Kuantiti sisa air dari berkumur dan istinsyaq tersebut dari segi keyakinannya, sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaler yang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong.”
Ringkasnya, cecair yang masuk itu terlampau sedikit dan ia dimaafkan sepertimana ada air-air yang melekat di tekak lalu masuk perut. Ia perkara yang dianggap biasa dan tidak ada masalah. Harus hukumnya, memakai inhaler.
2. Yang batal
Ini merupakan padangan Dr. Wahbah Az-Zuhaily dan lain-lain. Alasannya, kerana ia sengaja dimasukkan ke dalam mulut lalu ia pergi ke perut walau sedikit. Ia tidak kira. Hukum tetap sama. Ia membatalkan puasa.
Mana satu yang betul?
Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan lebih cenderung untuk mengatakan yang memakai inhaler ketika puasa, adalah tidak membatalkan puasa dengan mengambil kira kesihatan si pesakit asma sekaligus memberinya pengecualian untuk menikmati puasa sama macam orang lain.
Kesimpulan
Hukum pakai inhaler ketika puasa ada dua pandangan. Majoriti kata harus, tidak membatalkan puasa, dan minoriti mengatakan ia membatalkan puasa. Kita lebih cenderung dengan pendapat yang tidak membatalkan puasa kerana cecair yang masuk melalui inhaler itu, macam keadaan kita berkumur. Ia dimaafkan.
Baca tentang Hukum yang lain
Rujukan:
- Teknik Penggunaan Inhaler – Myhealth Portal
- Perlukah Bergantung Pada Inhaler Untuk Asma – Doktor Budak
- Hukum Menggunakan Inhaler Ketika Berpuasa – Mufti WP