Skip to content

Abu Dzar Al Ghifari: Biodata dan Kisah Hidupnya

Abu dzar Al Ghifari

Siapakah sahabat nabi yang bernama Abu Dzar Al Ghifari? Artikel ini akan membincangkan salah seorang sahabat nabi iaitu Abu Dzar.

Siapakah Abu Dzar Al Ghifari?

  1. Beliau merupakan salah satu sahabat yang awal memeluk agama Islam.
  2. Beliau berasal dari suku yang bernama Bani Ghifar
  3. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sangat zuhud dan menjauhi segala kenikmatan dunia.

Nama dan Salasilah Keturunan Abu Dzar Al-Ghifari

Nama sebenar beliau adalah Jundub bin Junadah bin Sakan, akan tetapi beliau lebih dikenal dengan nama Abu Dzar Al Ghifari. Nama suku beliau adalah Ghifar yang merupakan kabilah arab suku badui dan tinggalnya di pegunungan yang jauh dari penduduk kota.

Suku Ghifar ini juga terkenal sebagai gerombolan perompak yang suka berperang dan menumpahkan darah. Mereka sangat berani dan tahan menghadapi berbagai macam penderitaan dan kelaparan.          

Kisah Masuknya Abu Dzar Al Ghifari ke Dalam Islam

Seperti yang sudah kita tahu, Abu Dzar yang pada waktu itu bernama Jundub telah dibesarkan di tengah-tengah keluarga perompak besar bani Ghifar. Beliau pada saat itu sangat terkenal sebagai ketua perompak yang selalu melakukan perompakan di kawasan-kawasan sekitarnya. 

Namun demikian, Jundub pada hakikatnya mempunyai hati yang baik. Setelah banyak kerusakan dan kejahatan yang dilakukannya itu, muncul di hatinya rasa berdosa dan akhirnya dia pun Insaf dari segala perbuatan jahat yang pernah dilakukannya itu. Dia tidak hanya berubah sendiri, akan tetapi dia juga mengajak kawan-kawannya yang lain untuk ikut jejaknya. Disebabkan perbuatannya itu, dia menimbulkan kemarahan sukunya dan setelah itu membuatkan dia terpaksa meninggalkan tanah kelahirannya itu.

Abu Dzar pergi meninggalkan kampungnya itu bersama ibu dan saudara lelakinya yang bernama Unais Al Ghifar. Mereka berhijrah ke tempat yang bernama Nejed Atas, Arab Saudi dan merupakan hijrah pertamanya dalam mencari kebenaran.

Pada suatu hari, Abu Dzar mendengar khabar angin yang mengatakan di kota Mekah pada saat itu terdapat seseorang yang mengaku sebagai utusan Allah. Berita ini sangat membuatkan Abu Dzar merasa sangat ingin tahu, lalu dia pun mengutus saudara lelakinya Unais Al Ghifari ke Mekah untuk mencari tahu tentang kebenaran berita tersebut.

Beberapa hari berikutnya, Unais pun kembali semula ke kampungnya dengan membawa kebenaran tentang berita yang didengar oleh Abu Dzar itu. Dia menceritakan bahawa dia telah bertemu dengan seseorang yang mengajak kepada kebaikan serta mencegah untuk melakukan segala kejahatan dan orang tersebut sangat terkenal sebagai orang yang selalu benar dalam segala ucapannya.

Setelah mendengar cerita dari Unais itu, Abu Dzar sudah tidak sabar lagi dengan perasaan ingin tahunya itu, lalu dia pun bersegera untuk menuju ke Kota mekah. Setibanya dia disana, dia bertemu dengan Ali bin Abi Thalib dan beliau pun mengajak Abu Dzar untuk pergi menemui Rasulullah SAW

Pada akhirnya, tercapai juga apa yang telah dia mahukan iaitu bertemu dengan baginda Rasulullah SAW. Rasulullah menawarkan Abu Dzar untuk memeluk agama Islam dan dengan segera beliau menerimanya dan menyatakan dirinya sebagai seorang muslim. Setelah itu Rasulullah SAW memberikan wasiat kepadanya dengan berkata, “Wahai Abu Dzar, rahasiakanlah keislamanmu ini lalu kembalilah ke kampung halamanmu! Maka ketika engkau mendapatkan berita kemenangan kami di kota ini, segeralah datang kembali untuk bergabung dengan kami.”

Setelah mendengar arahan dari Rasulullah SAW tersebut, dia pun berkata, “Demi yang Mengutus engkau dengan kebenaran, sungguh aku akan meneriakkan kepada mereka atas keislamanku ini.” Lalu Rasulullah pun diam mendengar apa yang dikatakan Abu Dzar pada saat itu.

Selepas itu Abu Dzar mengelilingi kota Mekah sambil berteriak mengatakan bahawa dirinya telah memeluk agama Muhammad SAW. Mendengar perkataan Abu Dzar itu membuatkan suku Quraisy marah dan memukulnya lalu menangkapnya. Datanglah Abbas bin Abdul Muthalib untuk membebaskan Abu Dzar dari suku Quraisy dan mereka baru mengetahui beliau berasal dari suku Ghifar.

Wafatnya Abu Dzar Al-Ghifari

Abu Dzar dengan tekadnya yang kuat berusaha untuk menjauhkan dirinya dari segala urusan kehidupan dunia. Beliau menjadi seorang yang sangat tegar menghindarkan dirinya dari godaan pangkat dan harta kekayaan.

Abu Dzar di akhir hayatnya mengasingkan diri di sebuah tempat yang sunyi bernama Rabadzah, pinggiran Madinah. Ketika beliau sedang menghadapi sakaratul maut, istri Abu Dzar menangis di sebelahnya lalu beliau pun bertanya kepadanya, “Apa yang kau nangiskan, padahal kematian itu pasti akan datang?” Istrinya menjawab, “Karena engkau akan meninggal, padahal kita tidak mempunyai sehelai kain kafan untukmu!”

“Janganlah menangis,” Abu Dzar berkata, “Pada suatu waktu dahulu, ketika aku berada di majlis Rasulullah SAW beserta beberapa orang sahabat, aku mendengar beliau bersabda, “Pastilah ada salah seorang di antara kalian yang akan meninggal di padang pasir liar, lalu dia akan disaksikan oleh serombongan orang beriman.” Semua yang ada di majlis itu sudah meninggal di kampung mereka dan kematian mereka disaksikan di hadapan kaum Muslimin. Tidak ada lagi diantara mereka yang masih hidup melainkan aku sendiri yang tinggal. Disinilah aku sekarang, menghadapi sakaratul maut di padang pasir. Maka lihatlah ke jalan itu, siapa tahu jika rombongan orang-orang beriman itu sudah datang. Demi Allah, aku tidak berbohong, dan tidak juga dibohongi!”

Abu Dzar pun menghembuskan nafas terakhirnya dan benarlah, datang sebuah rombongan kaum Muslimin yang melewati jalan itu dan rombongan tersebut dipimpin oleh Abdullah bin Mas’ud. Ketika sedang berada di perjalanan, Ibnu Mas’ud melihat sosok tubuh yang sudah kaku dan di sisinya terdapat seorang wanita tua bersama anak kecilnya, kedua-duanya sedang menangis.

Ketika pandangan Ibnu Mas’ud jatuh ke arah tubuh tersebut, nampaklah beliau wajah jenazah tersebut adalah Abu Dzar Al Ghifari. Serta merta air matanya mengalir deras. Di hadapan jenazah itu, Ibnu Mas’ud berkata, “Benarlah sabdaan Rasulullah SAW, anda berjalan sendirian, mati sendirian, dan akan dibangkitkan kembali seorang diri!”

Lalu Abu Dzar Al Ghifari pun dimakamkan di Al Rabatha yang terletak di Arab Saudi pada tahun 652 M.

Hadis Wasiat Rasulullah SAW Kepada Abu Dzar Al-Ghifari

عَنْ أَبِيْ ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: أَوْصَانِيْ خَلِيْلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ : بِحُبِّ الْمَسَاكِيْنِ وَأَنْ أَدْنُوَ مِنْهُمْ، وَأَنْ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلُ مِنِّي وَلاَ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ فَوقِيْ، وَأَنْ أَصِلَ رَحِمِيْ وَإِنْ جَفَانِيْ، وَأَنْ أُكْثِرَ مِنْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ، وَأَنْ أَتَكَلَّمَ بِمُرِّ الْحَقِّ، وَلاَ تَأْخُذْنِيْ فِي اللهِ لَوْمَةُ لاَئِمٍ، وَأَنْ لاَ أَسْأَلَ النَّاسَ شَيْئًا

Dari Abu Dzar RA, beliau berkata: “Kekasihku (Rasulullah) SAW berwasiat kepadaku dengan tujuh hal: (1) supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka, (2) beliau memerintahkan aku agar aku melihat kepada orang yang berada di bawahku dan tidak melihat kepada orang yang berada di atasku, (3) beliau memerintahkan agar aku menyambung silaturrahimku meskipun mereka berbuat jahat kepadaku, (4) aku dianjurkan agar memperbanyak ucapan lâ haulâ walâ quwwata illâ billâh (tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah), (5) aku diperintah untuk mengatakan kebenaran meskipun pahit, (6) beliau berwasiat agar aku tidak takut celaan orang yang mencela dalam berdakwah kepada Allah, dan (7) beliau melarang aku agar tidak meminta-minta sesuatu pun kepada manusia”.

Hadis tersebut Shahih dan diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya berserta imam-imam ahlul hadis lainnya.

Kisah Sahabat yang lain

Abu Bakar As-SiddiqUmar Al Khattab
Uthman Bin AffanAli Bin Abi Thalib
Saad Bin Abi WaqqasSaid Bin Zaid
Zubair Bin AwwamTalhah Bin Ubaidillah
Mus’ab Bin UmairKhalid Al-Walid
Abu Ubaidah Al JarrahAnas Bin Malik
Abdul Rahman Bin AufZaid Bin Haritsah
Muadz Bin JabalBilal Bin Rabah
Hamzah Bin Abdul MutallibAbdullah Bin Mas’ud
Abu Dzar Al GhifariAbdullah Bin Jahsy
Abu Ayyub Al AnsariAbdullah Ibn Umar
Abdullah Bin SalamAbdullah Ibn Abbas
Salman Al FarisiAbu Hurairah
Abu DardaAmmar Bin Yassir

Rujukan

  1. Abu Dzar Al-Ghifari RA – Biografi Tokoh Ternama
  2. Kisah Sahabat Nabi Abu Dzar: Tokoh Gerakan Hidup Sederhana
  3. Rasulullah SAW Kepada Abu Dzar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × 3 =