Ammar Bin Yasir, sebuah nama yang agak kurang dikenali masyarakat kini namun sebenarnya mempunyai kisah dan sumbangan yang besar terhadap Islam. Artikel ini akan membahaskan mengenai beliau, juga merupakan sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga Allah SWT.
Siapakah Ammar Bin Yasir?
Ammar Bin Yasir merupakan salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang hidup dari zaman Rasulullah SAW sehingga pada zaman pemerintahan Khulafa al-Rashidin di bawah Ali bin Abi Talib.
Beliau terlibat secara langsung dalam banyak peristiwa dari zaman Nabi Muhammad sehinggalah kepada zaman pemerintahan Sahabat Rasullulah seperti peristiwa Hijrah ke Madinah, pembinaan Masjid Quba di Madinah, peperangan serta menjadi wakil khalifah dalam sesebuah misi kerajaan Islam pada ketika itu.
Nama dan salasilah Ammar Bin Yasir
Nama beliau adalah Ammar bin Yasir bin Amir bin Malik, berasal dari suku Madzhaji berketurunan Bani Unsi. Ayahnya bernama Yasir bin Amir, manakala ibunya bernama Sumayya binti Khayath, seorang hamba yang juga merupakan wanita pertama yang mati syahid dalam Islam.
Bilakah dan dimanakah beliau dilahirkan?
Ammar bin Yasir dilahirkan pada tahun 570 Masihi di Kota Mekkah. Beliau juga dikenali sebagai Abu al-Yaqzan.
Ammar Bin Yasir memeluk Islam
Masuknya Ammar bin Yasir dalam Islam ketika mana Rasulullah SAW mula menyebarkan agama Islam secara sembunyi di rumah al-Arqam. Ammar bin Yasir telah pergi ke rumah al-Arqam dan bertemu Suhaib di hadapan pintu rumah tersebut dan bersama-sama mendengarkan kalimah al-Quran melalui Nabi Muhammad SAW.
Ketika mereka hendak pulang, Nabi Muhammad menyuruh mereka untuk pulang sedikit lewat kerana bimbang akan diapa-apakan oleh kafir Quraisy. Setelah Ammar sampai ke rumahnya, kedua ibu bapanya sedang menunggunya dengan perasaan yang risau. Lalu, beliau menyampaikan kepada kedua orang tuanya mengenai Islam yang dibawah oleh Rasulullah SAW.
Kisah Ammar Bin Yasir bersama keluarganya
Pada ketika Ammar bin Yasir serta keluarganya memeluk agama Islam, maka ketika itu jugalah golongan penentang Nabi Muhammad SAW yang diketuai Abu Jahal telah menyiksa sesiapa sahaja dari golongan bawahan terutamanya hamba sahaya yang mengikuti ajaran Islam. Dan orang-orang tersebut termasuklah Ammar, Sumayya dan Yasir.
Rumah mereka telah dibayar dan mereka telah dijemur di tengah padang pasir yang sangat panas, manakala tangan dan kaki mereka diikat dan diletakkan batu ketas badan mereka sehingga tidak terdaya untuk melawan. Mereka diseksa dan dipaksa untuk murtad daripada ajaran Islam dan mengikuti kehendak Abu Jahal. Mesipun begitu, keluarga Ammar tetap dengan pendirian dan pegangan mereka terhadap Islam.
Setelah mendengarkan sabda Rasulullah SAW ketika baginda melewati tempat penyiksaan golongan Muslimin, yang bermaksud ; “Sabarlah wahai keluarga Yasir kerana tempat yang dijanjikan kepada kamu adalah syurga Allah SWT”. Segala seksaan yang dirasakan berasa ringan dan tetap dengan keimanan mereka sehinggalah kedua ibu bapa Ammar mati kerana siksaan dan dibunuh oleh Abu Jahal.
Dalam pada itu, pada saat siksaan yang dilakukan terhadap Ammar, beliau dengan keadan tidak sedar dengan apa yang dikatakannya, telah menghina Nabi Muhammad SAW untuk menghentikan penderitaan tersebut kerana sudah tidak sanggup menahan segala kesakitan dan pembunuhan orang tuanya.
Berikutan peristiwa ini, Ammar bin Yasir telah dipenuhi perasaan bersalah dan kekecewaan terhadap dirinya kerana telah menghina Rasulullah SAW. Maka turunlah ayat 106, Surah al-Nahl bagi menenangkan hati beliau daripada kegusaran dan perkataan tersebut dijamin bebas oleh Allah kerana dalam dirinya masih penuh ketaqwaan dan keimanan yang jitu terhadap ajaran Islam.
مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ إِيمَـٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُۥ مُطْمَئِنٌّۢ بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَـٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلْكُفْرِ صَدْرًۭا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ ﴿ ١٠٦﴾
Maksudnya : “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.”
Kewafatan Ammar
Beliau meninggal pada tahun 657 Masihi bersamaan 37 Hijrah, apabila terkorban dalam Perang Siffin di Lembah Siffin yang berada di Syria pada usia 90-an.
Kematian beliau ada disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sebuah hadith yang bermaksud: “ Sesungguhnya Ammar akan dibunuh oleh golongan penderhaka dan minuman terakhirmu di dunia adalah susu”
Demikianlah kita sebagai umat Islam perlu mengambil iktibar dan mencontohi ketaatan dan ketaqwaan para Sahabat Rasulullah SAW dalam melaksanakan segala perkara di dunia. Keyakinan kita terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya akan terus membawa kita ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat meskipun perlu melalui liku dan pelbagai halangan. Wallahua’lam.
Kisah Sahabat yang lain