Skip to content

10 Adab Kepada Pemimpin yang Anda Perlu Tahu

adab kepada pemimpin

Apakah adab-adab yang perlu ada pada kita kepada pemimpin. Artikel ini membincangkan 10 adab kepada pemimpin. Selaku rakyat, apakah yang kita perlukan lakukan terhadap pemimpin kita? Artikel aku bakal membincangkan perkara-perkara seperti itu.

Pengenalan

Pertama sekali, apakah konsep kepimpinan dalam Islam?

Rasulullah bersabda, “Adalah bagi Bani Israel, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi. Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada ramai para khilafah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberitahu kepada kita secara jelas tentang keperluan mempunyai kepimpinan. Mesti ada suara besar untuk dijadikan sebagai autoriti dalam menguruskan hal ehwal manusia. Ini merupakan satu fitrah dalam kita berpolitik. Kita mahukan seseorang yang “tepat” memimpin kita dan menguruskan hal kita. Sesungguhnya, setiap manusia itu berpolitik.

Allah berfirman dalam Surah al-Qasas ayat 26, “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

Ayat ini menceritakan tentang seorang wanita yang mencadangkan kepada ayahnya untuk mengambil Nabi Musa bekerja dengan mereka. Dua kriteria untuk diambil bekerja iaitu:

  • Kuat
  • Amanah

Kuat di sini bukan sekadar kuat fizikal, tetapi orang yang mempunyai kemampuan dalam konteks pekerjaannya. Contohnya, sekiranya dia seorang pemimpin, “kuat “ bagi dia bermaksud dia mampu untuk menjadi pemimpin itu sendiri dengan pengetahuan politiknya yang cukup, kemahiran bertutur yang baik dan sebagainya.

Kedua, amanah ialah orang yang berintegriti. Dia tidak membohong dan menipu dengan pekerjaannya.

Sesungguhnya, kedua-dua kriteria ini perlu ada pada seseorang, dalam bekerja di apa jenis sektor sekali pun. Dalam politik, ekonomi, undang-undang dan lain-lain.

Bayangkan sekiranya salah satunya tidak ada.

Contohnya, seseorang itu ada kemampuan berpolitik. Tetapi dia tidak berintegriti. Dia tidak amanah. Maka, dia akan mengambil kesempatan dengan pengetahuan dan kemahiran dia untuk menipu dan membohong.

Sekiranya seorang itu amanah tetapi tidak mempunyai kemampuan, dia pula akan menjadi mangsa kepada penipu dan pembohong tadi!

Sebab itulah dua kriteria ini wajib ada pada seseorang. Dalam konteks ini, ialah politik atau kepimpinan.

Rasulullah bersabda, “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Logik mudahnya, sekiranya dalam konteks tiga orang bermusafir pun digalakkan untuk memilih seorang ketua atau pemimpin, dalam konteks organisasi, persatuan, syarikat dan politik apatah lagi!

Adab Kepada Pemimpin

Di sini dilampirkan 10 adab bersama pemimpin. Kita selaku rakyat atau orang bawahan ini perlu buat apa?

1. Taat pemimpin

Jangan cepat menarik kesimpulan. Sudah pastilah ketaatan terhadap pemimpin itu ada batasnya. Ketaatan kita terhadap pemimpin perlulah dalam perkara yang baik dan makruf. Bukannya dalam kezaliman dan maksiat. Sekiranya pemimpin kita mengarahkan untuk berbuat maksiat dan kezaliman, wajib kita lawan dan tidak menunaikan taat kepadanya.

Saidina Ali pernah berkata, “Sesungguhnya Nabi SAW telah mengutuskan sekumpulan tentera dan memerintahkan seorang lelaki untuk mengetuai mereka, lelaki tersebut menyalakan api lalu memerintahkan tenteranya untuk masuk ke dalam api tersebut. Sebahagian daripada mereka berhasrat untuk masuk ke dalamnya (kerana mentaati perintah ketua) sementara sebahagian yang lain lari melepaskan diri dan mereka menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Rasulullah berkata kepada mereka yang berhasrat ingin masuk ke dalam api tersebut sekiranya mereka masuk, maka mereka akan kekal berada di dalamnya sehingga hari kiamat (mereka pasti akan mati), sementara dia mengatakan kepada sebahagian yang lain, “Janganlah kamu mentaati perkara-perkara maksiat. Ketaatan hanyalah dalam perkara yang makruf.” (Riwayat Bukhari)

Asasnya, kita perlu adil dengan perintah pemimpin kita. Sekiranya kita tidak “suka” akan dia, tetapi dia memerintahkan sesuatu yang benar, maka wajib kita taati dia. Jika yang sebaliknya berlaku, wajarlah kita lawan dan tidak mentaatinya.

2. Bertanggungjawab

Rasulullah bersabda, “Ketahuilah bahawa setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dimintai pertanggungjawabkan atas kepemimpinannya, seorang pemimpin umat manusia adalah pemimpin bagi mereka dan ia bertanggungjawab dengan kepemimpinannya ke atas mereka. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan ia bertanggungjawab ke atas mereka, seorang wanita adalah pemimpin bagi rumah suaminya dan anaknya, dan ia bertanggungjawab ke atas mereka. Seorang budak adalah pemimpin bagi harta tuannya, dan ia bertanggungjawab ke atasnya. Maka setiap dari kalian adalah pemimpin yang bertanggungjawab atas kepemimpinannya.” (Riwayat Abu Daud)

Meskipun kita mempunyai ketua yang berada di atas kita, kita tidak boleh menafikan bahawa kita juga mempunyai tanggungjawab terhadap urusan manusia di bawah kita. Itu merupakan fitrah.

Hadis ini menunjukkan bahawa setiap orang pemimpin dan perlu bertanggungjawab atas apa yang dipimpin. Seorang suami memimpin suami dan anak-anaknya. Seorang ibu memimpin anak-anaknya. Seorang penghulu memimpin masyarakat di kampungnya. Begitulah dengan yang lain-lain.

Adab kita dengan pemimpin yang lebih tinggi adalah dengan menjalankan tanggungjawab kita dengan sebaik mungkin. Kita perlu mempunyai nilai bertanggungjawab agar kita lebih amanah dan berintegriti dengan tanggungjawab berkenaan.

3. Mengkritik dengan elok

Manusia itu pelbagai, maka perspektif juga akan pelbagai. Kita mempunyai hak untuk memberi idea, mengkritik polisi dan sebagainya. Manusia tidak sempurna, layak untuk diperbetulkan.

Allah berfirman dalam Surah an-Nahl ayat 125, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.

Berbincanglah dengan baik. Mendahulukan emosi berbanding hujah dan idea akan menghasilkan satu suasana yang tidak harmoni. Akhirnya, tidak akan tercapai matlamat kemaslahatan, hanya lepas marah semata-mata.

4. Menyumbang

Seperti dalil di awal artikel, kita yang melakukan pekerjaan dengan dua sifat iaitu kemampuan dan amanah. Kita perlu mempunyai kepakaran dalam bidang kita masing-masing lalu menyumbang kepada negara. Setiap rakyat memainkan peranan yang penting dalam membangunkan negara. Memang betul pemimpin merupakan entiti utama untuk menjayakan semua ini.

Namun, kita juga memainkan peranan kita masing-masing. Ada polisi yang tidak sihat, kita perlu lawan untuk kemaslahatan umum negara. Ada polisi yang baik, kita perlu guna segala daya yang ada untuk promosikan dan jayakan.

5. Memilih pemimpin

Setiap rakyat atau orang bawah perlu memilih pemimpin mereka. Makna kata, setiap manusia mesti berpolitik kerana pilihan rakyat akan menentukan masa depan negara atau organisasi. Pemimpin yang tepat mampu memudahkan pembangunan negara.

Janganlah kita meminta-minta untuk jadi pemimpin oleh kerana hak-hak istimewa, kemewahan dan sebagainya.

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya kamu akan bersungguh mengejar kepimpinan (jawatan), sedangkan ia akan menjadi satu penyesalan buat kamu di hari akhirat. Maka yang sebaik-baiknya adalah yang memberi susuan (pemimpin yang memberi kebaikan), dan yang seburuk-buruknya adalah pemutus susu (iaitu kiasan buat pemimpin yang memutuskan nikmat kepada rakyat).” (Riwayat Bukhari)

Sebagai pengikut, kita perlu memilih pemimpin yang benar-benar mampu memajukan kita dan seluruh negara. Hal ini wajar untuk kita lupakan dahulu tentang hak istimewa menjadi pemimpin dan lain-lain. Itu bukanlah keutamaan dalam konteks ini.

6. Sentiasa mengangkat kebenaran

Rakyat wajib sentiasa mengangkat kebenaran walau apa jua keadaan sekali pun.

Daripada Thauban RA dia berkata, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya perkara yang paling aku bimbang terhadap umatku adalah munculnya pemimpin-pemimpin yang menyesatkan.

Dan kemudian Rasulullah SAW bersabda:

Akan sentiasa ada satu kumpulan dari umat ini yang akan memperjuangkan kebenaran. Tidak ada suatu pun yang boleh memudaratkan mereka sekiranya dicela oleh golongan yang mencela mereka sehinggalah Allah menentukan urusan mereka.” (Riwayat Tirmidzi)

Rakyat perlu menjadi orang berilmu dan terdidik lalu melawan untuk menegakkan kebenaran sekiranya ada pemimpin sesat seperti yang disebutkan dalam hadis ini.

7. Bersatu padu dan membentuk kesatuan

Rakyat perlu membentuk kesatuan dan silaturahim agar pemimpin lebih mudah menjayakan polisi-polisi yang bermanfaat untuk semua.

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah SWT reda ke atas kamu tiga perkara dan membenci tiga perkara. Allah reda buat kamu iaitu: (1) kamu menyembah-Nya, (2) tidak menyekutukan-Nya dan (3) kamu semua berpegang kepada tali Allah dan tidak berpecah belah. Manakala Allah membenci tiga perkara iaitu: (1) berkata itu dan ini (terlalu banyak berkata-kata), (2) terlalu banyak persoalan dan (3) mensia-siakan harta.

Tidak ada masalah sekiranya kita mahu membantu kaum kita sendiri, tetapi dalam konteks satu organisasi atau negara, kita perlu meminggir hal itu seketika lalu memajukan setiap orang tanpa melihat kaum. Kalau nak membantu kaum sendiri sekali pun, janganlah membantu atas kezaliman.

8. Berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah

Sebagai rakyat, kita berbalik kepada al-Quran dan Sunnah dalam menilai perlakuan pemimpin supaya negara dirahmati oleh Allah oleh kerana kita cuba mengikuti kitab-Nya.

Daripada Aisyah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

Apakah yang difikirkan oleh sekumpulan lelaki yang meletakkan syarat yang tidak terdapat di dalam Kitabullah. Barangsiapa yang meletakkan syarat selain dari apa yang termaktub dalam Kitabullah, maka ia adalah batil. Syarat yang diletakkan oleh Allah adalah lebih benar dan lebih dipercayai.” (Riwayat Bukhari)

9. Proaktif

Rakyat perlu proaktif dalam membantu pemimpin menjayakan apa yang baik, dan segera mengkritik apa yang tidak baik. Rakyat wajar cepat bertindak kerana apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin akan memberi kesan total kepada seluruh negara.

Keputusan politik yang baik untuk semua orang adalah amat diperlukan. Untuk mendapatkan faedah maksimum, rakyat perlu proaktif dan tidak hanya membiarkan pemimpin memonopoli hal tersebut.

10. Mendoakan pemimpin

Daripada Abu Hurairah RA, dia menceritakan bahawa al-Tufayl bin Amru telah datang berjumpa Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kaum Daud telah binasa, mereka mengingkarimu dan enggan (mengikutimu), maka doakanlah kebinasaan buat mereka. Lalu Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, berikanlah hidayah buat kaum Daus dan datangkanlah kepada mereka hidayah.

Fudhail Bin Iyyad berkomentar terhadap hadis ini dengan berkata, “Andainya aku mempunyai doa yang mustajab, maka aku akan khususkan doa ini buat pemerintah.

Hendaklah kita mendoakan pemimpin kita. Sekiranya dia baik, doakanlah rahmat baginya. Sekiranya tidak, doakanlah hidayah buatnya.

Kesimpulan

Kita perlu melibatkan diri ke dalam politik kerana kita merupakan makhluk politik. Tanpa politik yang baik, maka kita tidak akan capai kemaslahatan umum manusia. Jadilah manusia yang sentiasa ingin menyumbang kepada kebaikan.

A

Adab-adab yang Lain

Adab MesyuaratAdab Sebelum Tidur
Adab MakanAdab Masuk Tandas
Adab Kepada PemimpinAdab Kepada Tetamu
Adab BerdoaAdab Ziarah Orang Sakit
Adab Menaiki KenderaanAdab Bersedekah
Adab Membaca AlquranAdab Amar Maaruf Nahi Mungkar
Adab Kepada IbubapaAdab Berzikir
Adab Suami kepada IsteriAdab Isteri kepada Suami
Adab Ziarah KuburAdab Dengan Guru
Adab MusafirAdab dengan Jiran
Adab Menziarahi Jenazah

Rujukan

  1. Dr. Sanusi Azmi. 40 hadis tentang politik dan kepimpinan.
  2. Politik dalam Islam. Mufti Wilayah Persekutuam
  3. Kepimpinan terbaik. – Harian Metri
  4. Mentaati pemimpin. – Pelita Brunei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

8 − 5 =