Skip to content

10 Adab Isteri Kepada Suami Yang Isteri Perlu Tahu

adab isteri kepada suami

Apakah adab-adab yang menjadi seorang hak seorang isteri kepada suami? Artikel ini akan membincangkan dan menyenaraikan adab-adab seorang isteri berserta penerangan berkenaan hal tersebut.

Pengenalan

Wanita merupakan pasangan hidup seorang lelaki. Tidak sempurna adam itu tanpa hawa dan setiap manusia mempunyai hak-hak kepada seseorang. Begitu juga kepada seorang isteri, dia mempunyai hak yang perlu ditunaikan kepada seorang suami termasuk adab-adab kepada suami.

Di dalam surat an-Nisa’ ayat 34, Allah berfirman,

‎الرِّجَالُ قَوّٰمُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوٰلِهِمْ فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللهُ وَاللّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

Maksudnya: “Kaum laki-laki itu pemimpin wanita. Kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan harta mereka. Maka wanita yang solehah ialah mereka yang taat kepada Allah dan memelihara diri ketika suaminya tiada, menurut apa yang Allah kehendaki.”

Di dalam Kitab Al-Adab fid Din dalam Majmu’ah Rasail karya Imam al-Ghazali ada menyebutkan tentang adab isteri kepada suami;

آداب المرأة مع زوجها: دوام الحياء منه، وقلة المماراة له، ولزوم الطاعة لأمره، والسكون عند كلامه، والحفظ له في غيبته، وترك الخيانة في ماله، وطيب الرائحة، وتعهد الفم ونظافة الثوب، وإظهار القناعة، واستعمال الشفقة، ودوام الزينة، وإكرام أهله وقرابته، ورؤية حاله بالفضل، وقبول فعله بالشكر، وإظهار الحب له عند القرب منه، وإظهار السرور عند الرؤية له..

Maksudnya: “Adab isteri kepada seorang suami itu – selalu berasa malu, tidak banyak berdebat, sentiasa taat kepada perintahnya, diam ketika suami sedang berbicara, menjaga kehormatan suami ketika dia tiada di rumah, tidak mengkhianati harta suami, menjaga bau badan dan mulut supaya sentiasa harum, berpakaian bersih, menampakkan perasaan qanaah (cukup), menampilkan sikap belas kasihan, selalu berhias, memuliakan kerabat dan keluarga suami, mengutamakan suami, menerima hasil kerja suami dengan syukur, menampakkan rasa cinta kepada suami dan menampakkan rasa bahagia apabila melihatnya.

Maka lelaki mempunyai hak dan wanita pun mempunyai hak tersendiri. Setiap daripada perlu memenuhi hak tersebut sebagai adab kepada sesama sendiri.

Adab Isteri Kepada Suami

Untuk artikel kali ini, kita akan membincangkan 10 adab seorang isteri kepada suami.

1. Berasa malu

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.” [Riwayat al-Bukhari (9)]

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah sifat buruk berada dalam sesuatu (pada seseorang) melainkan akan memburukkannya, dan tidaklah sifat malu ada dalam sesuatu (pada seseorang) kecuali ia akan menghiasinya.

Oleh itu, dengan sifat malu kita dapat menghindari diri daripada melakukan sifat terkeji sekaligus menutup cela suami isteri daripada dilihat orang.

2. Tidak banyak berdebat.

Tidak berdebat bukan bermaksud kita tidak bergaduh, malah maksud tidak berdebat ini didefinisikan oleh Syekh Abdul Muhsin di dalam kitab Syarah Sunan Abi Daud, perdebatan adalah perdebatan yang dapat menimbulkan pertengkaran dan perbuatan biadab.

Daripada Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الجَدَلَ

Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat”. (Riwayat al-Tirmizi (3176) dan Ibn Majah (47))

Di dalam satu hadis lain pula, dari Abu Umamah, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun bergurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Lumrah suami isteri untuk berbeza pendapat dan kadang-kadang mungkin akan bergaduh. Cara yang terbaik adalah untuk berbincang dengan cara yang aman. Ini amat memerlukan skill dan kesabaran dari seorang lelaki dan juga wanita.

3. Taat kepada perintah suami selagi tidak melanggar hukum syarak

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9].

Selagi mana suruhan suami itu tidak melanggar syarak, maka ia dibenarkan dan juga dituntut untuk melakukannya. Perkara ini bukanlah memberi lesen kepada si suami untuk mengarahkan apa sahaja kepada isterinya sehingga menjadikan isterinya sebagai hamba abdi kerana nabi pun pernah bersabda, “Mereka yang paling baik adalah mereka yang paling baik kepada ahli keluarganya“. Jadi berikanlah ikhsan dan rasa kasih sayang seorang suami kepada isteri ketika mengarahkannya untuk melakukan sesuatu.

4. Menjaga kehormatan suami

Selain itu, isteri juga diwajibkan menjaga kehormatan suami semasa ketiadaannya di sisi. Daripada Abu Hurairah RA, disebutkan bahwa Rasulllah SAW bersabda;

“Sebaik-baik wanita ialah jika kau pandang kepadanya, dia menyenangkanmu, jika kau perintahkannya dia mentaatimu, jika kau tinggalkannya dia menjaga hartamu dan menjaga dirinya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasai)

Perkara ini sangat dititik-beratkan terutamanya dalam pergaulan seorang wanita kepada seorang lelaki yang bukan suaminya. Perlu ada jarak dan cara komunikasi yang betul agar kehormatan seseorang wanita itu terjaga ketika ketiadaan suaminya sebagai contoh ketika ditempat kerja atau ketika membeli barang dan lain-lain.

5. Menzahirkan perasaan qanaah

Qanaah adalah sikap  yang dengan  penuh  kerelaan  menerima  rezeki  dari  Allah serta merasa cukup dengannya setelah melakukan ikhtiar yang optimal. Namun ianya tidak bermaksud kita meninggalkan ikhtiar dan usaha kerana ikhtiar mestilah ada untuk meneruskan kehidupan.

Di dalam Surah al-Isra’ ayat 30 juga, Allah berfirman;

اِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَّشَاۤءُ وَيَقْدِرُ ۗاِنَّهٗ كَانَ بِعِبَادِهٖ خَبِيْرًاۢ بَصِيْرًا

“Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-Nya.”

Rasulullah SAW juga ada mengingatkan kita mengenai sifat qanaahl

“Jadilah seorang yang warak, nescaya kamu menjadi manusia paling baik dalam beribadat. Dan jadilah seorang yang memiliki sifat qanaah, nescaya kamu menjadi manusia paling bersyukur.” (Riwayat Ibnu Majah)

Sehubungan dengan itu, dengan melahirkan sifat qanaah kepada suami kita, kita akan melahirkan sifat bersyukur tanpa mengungkit perkara yang pasangan kita dapat tidak dapat berikan.

6. Mengutamakan suami dalam sesuatu perkara atau keputusan

Dalam membuat sesuatu keputusan yang besar untuk keluarga itu sendiri, maka ia memerlukan perbincangan dengan suami kerana suami disini dikategorikan sebagai ketua kepada keluarga. Maka, keutamaan itu perlu diberikan kepada suami. Ini bukanlah bermaksud seseorang isteri itu tiada kuasa langsung untuk menegur atau memberikan buah fikiran, akan tetapi akibat daripada keputusan tersebut selalunya akan jatuh pada sang suami. Maka, perbincangan perlu dilakukan di antara pasangan terlebih dahulu.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: سَأَلْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم: أَيُّ النَّاسِ أَعْظَمُ حَقًّا عَلَى الْمَرْأَةِ ؟ قَالَ: ” زَوْجُهَا “، قُلْتُ: فَأَيُّ النَّاسِ أَعْظَمُ حَقًّا عَلَى الرَّجُلِ؟ قَالَ:” أُمُّه

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah R.A bahawasanya aku bertanya kepada Nabi S.A.W “Siapakah manusia yang paling berhak atas seorang isteri?” Beliau bersabda, “Suaminya.” Aku bertanya lagi, “Lalu siapakah manusia yang paling berhak atas seorang lelaki?” Beliau bersabda, “Ibunya.” (Hadis Riwayat Sunan Al-Kubra (9099))

Ini juga termasuk dengan meminta izinnya jika kita mahu ke mana-mana.  Di dalam satu hadis, Nabi S.A.W ada menyebutkan;

إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى المسْجِدِ، فَأْذَنُوا لَهُنَّ

Maksudnya: “Apabila isteri-isteri kamu meminta keizinan kamu untuk ke masjid pada waktu malam maka izinkanlah mereka”. (Riwayat al-Bukhari)

7. Memuliakan ahli keluarganya

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim, Nabi SAW bersabda;

إِذَا أَعْطَى اللهُ أَحَدَكُمْ خَيْرًا فَلْيَبْدَأْ بِنَفْسِهِ وَأَهْلِ بَيْتِهِ

Maksudnya: “Apabila Allah SWT memberikan seseorang kebaikan (kelebihan dari sudut harta) maka mulakanlah dengan dirinya dan juga ahli keluarganya.” (Riwayat Muslim (1822))

Kita mempunyai tanggungjawab yang besar kepada ibu bapa kita walaupun sesudah kita berumahtangga. Dengan memuliakan ahli keluarga suami kita dan menganggap mereka sebagai ahli keluarga kita yang lain, kita dapat menggembirakan hati mereka dan suami kita. Sebagai seorang isteri juga, kita harus memperingatkan tanggungjawab sang suami kepada keluarganya supaya dia tidak menjadi anak derhaka.

8. Bersyukur dengan hasil kerja suami

Di dalam Tafsir al-Qurtubi, 1/133 mendefinisikan syukur sebagai menzahirkan nikmat melalui lisan, hati dan anggota dengan cara lidah atau lisan mengiyakan yang makruf dan memujinya. Hati pula mengiktiraf dengan nikmat sedangkan anggota melakukan perbuatan yang diredhai kepada yang disyukuri.

Allah berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 152;

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Maksudnya: “Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”.

Malahan, anjuran berterima kasih kepada manusia juga dititikberatkan di dalam Islam, lebih-lebih lagi kepada suami tercinta untuk menunjukkan penghargaan dan kasih sayang kita kepada pasangan. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:

لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ

Maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” Riwayat Abu Daud (4811) dan al-Tirmizi (1954)

9. Bercantik-cantik di hadapan suami

Daripada Ibn Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.” (Riwayat Muslim (147))

Namun sebelum itu pula, hendaklah si isteri juga menitikberatkan soal kebersihan kerana Islam juga sangat menekankan kewajipan untuk membersihkan diri. Maka, kedua-dua elemen ini sangat penting untuk menjaga adab antara suami isteri. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النِّسَاءِ مَنْ تَسُرُّكَ إِذَا أَبْصَرْتَ، وَتُطِيْعُكَ إِذَا أَمَرْتَ، وَتَحْفَظُ غَيْبَتَكَ فِيْ نَفْسِهَا وَمَالِكَ

Maksudnya: “Sebaik-baik isteri adalah yang menyenangkan jika engkau melihatnya, taat jika engkau menyuruhnya, serta menjaga dirinya dan hartamu di saat engkau pergi.” (Hadis Riwayat at-Tabrani dari Abdullah Salam)

10. Menunjukkan rasa kasih dan sayang

Sifat kasih sayang antara suami dan isteri sangat ditekankan di dalam pembinaan institusi keluarga. Rasulullah SAW bersabda di dalam satu hadis yang bermaksud;

“Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Oleh itu, sebagai seorang isteri, antara adab yang harus kita amalkan ialah menunjukkan rasa kasih sayang kepada suami dengan cara, mengucapkannya, berbuat baik serta menghargainya. Berdasarkan Dr. Rachel Needle daripada Clinical Experiences at South University, West Palm Beach, beliau menyatakan menunjukkan kasih sayang sesama pasangan dapat membina toleransi, mengukuhkan hubungan kekeluargaan malah menjadikan kehidupan berumahtangga bahagia.

Kesimpulannya, rumah tangga terbina dengan mawaddah dan rahmah. Kedua-dua elemen ini sangat penting dalam mendirikan sesebuah keluarga yang harmoni dan salah satu perkara yang mesti kita titikberatkan adalah menjaga adab antara suami isteri. Dengan menjaga adab seperti yang dianjurkan di dalam Islam, dan mencontohi jejak Nabi Muhammad SAW, in sha Allah kebahagiaan rumah tangga dapat dirasai.

Malah, di dalam Surah ar-Rum ayat 21 Allah menyatakan,di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Allah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Semoga rumah tangga dan keluarga kita sentiasa menjadi tempat pulang untuk kita semua.

Adab-adab yang Lain

Adab MesyuaratAdab Sebelum Tidur
Adab MakanAdab Masuk Tandas
Adab Kepada PemimpinAdab Kepada Tetamu
Adab BerdoaAdab Ziarah Orang Sakit
Adab Menaiki KenderaanAdab Bersedekah
Adab Membaca AlquranAdab Amar Maaruf Nahi Mungkar
Adab Kepada IbubapaAdab Berzikir
Adab Suami kepada IsteriAdab Isteri kepada Suami
Adab Ziarah KuburAdab Dengan Guru
Adab MusafirAdab dengan Jiran
Adab Menziarahi Jenazah

Rujukan:

  1. 16 Adab Istri Terhadap Suami – Nur Online
  2. Malu dalam Bertanya Berkaitan Hukum – MuftiWP
  3. Sikap Suka Berdebat – MuftiWP
  4. Adakah Boleh Suami Melarang Isteri Untuk Menziarahi Ahli Keluarganya – MuftiWP
  5. Empat Hal Yang Haru Dijaga Istri Saat Jauh Dari Suami – Republika

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seven + 5 =