Kita selalu mendengar kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah yang disambut dengan penuh gemilang oleh penduduk Madinah. Artikel ini akan membahaskan mengenai salah seorang daripada golongan tersebut iaitu Abu Ayyub al-Ansari.
Siapakah Abu Ayyub al-Ansari?
Abu Ayyub al-Ansari merupakan salah seorang Sahabat Nabi Muhammad SAW yang berasal dari Madinah, yang juga merupakan golongan yang menyambut kedatangan Nabi SAW ketika peristiwa Hijrah. Beliau sangat mengasihi Rasulullah SAW dan sanggup berjuang dan berkorban demi mempertahankan dan mengembangkan syiar Islam sehingga akhir usianya.
Nama dan keturunan
Nama sebenar Abu Ayyub al-Ansari adalah Khalid bin Zayd bin Kulayb bin Tsa’labah bin Abdi Amr bin ‘Auf bin Ghanm bin Malik bin al-Najjar bin Tsa’labah bin al-Khazraj. Beliau berasal dari keturunan suku Khazraj kabilah Banu Najjar.
Kelahiran Abu Ayyub al-Ansari
Abu Ayyub al-Ansari dilahirkan di Madinah sekitar tahun 587 Masihi. Beliau juga adalah generasi awal yang memeluk Islam dalam kalangan para Sahabat. Abu Ayyub telah mengikuti Bai’ah al-Aqabah yang kedua iaitu perjanjian yang dilakukan sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah.
Kisah Abu Ayyub al-Ansari
Kedatangan Nabi Muhammad SAW ke Madinah disambut dengan penuh gemilang dan bersejarah oleh golongan Ansar di Madinah. Perkara pertama yang dilakukaan oleh baginda di Madinah adalah untuk membina sebuah masjid sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran dalam Surah at-Taubah ayat 108:
لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًۭا ۚ لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌۭ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ ﴿ ١٠٨﴾
Maksudnya: “Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”
Meskipun golongan Ansar bukanlah golongan yang banyak harta, tapi mereka bercita-cita agar Rasulullah SAW singgah ke rumah mereka. Ketika unta Nabi SAW melalui deretan manusia yang ada di situ, mereka ingin Rasulullah SAW memilih tempat mereka, namun Rasulullah SAW hanya menjawab, “Biarlah unta ini bergerak mengikut arahnya”.
Akhirnya unta Nabi SAW berhenti di sebuah tanah yang lapang yang mana di situlah terletaknya Masjid Quba yang ada kini, namun Nabi SAW tidak terus turun dari unta tersebut hinggalah tunggangan baginda berdiri semula dan berjalan lagi ke hadapan dan kemudiannya berpatah balik ke tempat sebelum ini.
Kemudian, Rasulullah SAW pun turun dari unta baginda dan Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pun bertanya:
أَيُّ بُيُوتِ أَهلِنَا أَقرَبُ ، فَقَالَ أَبُو أَيُّوبَ: أَنَا يَا نَبِيَّ اللَّه ، هَذِهِ دَارِي وَهَذَا بَابِي ، قَالَ : فَانْطَلِقْ فَهَيِّئْ لَنَا مَقِيلاً، قَالَ: قُومَا عَلَى بَرَكَةِ اللّهِ
Maksudnya: “Manakah rumah keluarga kami yang terdekat?” Lalu Abu Ayyub berkata: “Saya wahai Rasulullah. Inilah rumah saya dan ini pintunya.” Lalu Nabi berkata: “Kalau begittu, marilah pergi dan sediakan tempat berteduh untuk kami.” Abu Ayyub menjawab: “Silakan dengan keberkatan Allah.”
Abu Ayyub berasa sangat gembira lalu membantu baginda SAW mengangkat barangan yang ada pada tunggangan tersebut. Rasulullah SAW menetap di rumah Abu Ayyub selama hampir tujuh bulan sehinggalah proses pembinaan Majid Nabawi dan ruang-ruang bilik di sekitarnya selesai.
Semasa Rasulullah SAW tinggal di rumah Abu Ayyub dan isterinya, Nabi SAW tinggal di tingkat bawah rumahnya kerana senang untuk sesiapa berjumpa dengan Nabi SAW. Namun, Abu Ayyub dan isterinya sangat bimbang untuk tinggal di tingkat atas rumah tersebut kerana mereka merasakan mereka berjalan di atas Rasulullah SAW dan mungkin akan menghalang wahyu sampai kepada Rasulullah SAW.
Namun, Nabi SAW berkata kepada Abu Ayyub dan isterinya untuk tidak berasa risau dan gusar akan keadaan tersebut. Sehinggalah pada suatu ketika, Rasulullah SAW pun bersetuju untuk tinggal di tingkat atas rumah tersebut di atas permintaan Abu Ayyub dan isterinya.
Kewafatan Abu Ayyub al-Ansari
Semasa hayatnya, Abu Ayyub banyak menyertai pasukan ketenteraan sejak zaman Rasulullah SAW sehingga zaman pemerintahan Mu’awiyah, dan tidak selepas mana-mana peperangan untuk mempertahankan Islam. Sehinggalah beliau telah jatuh sakit semasa pasukan Islam dalam kempen menakluki Kota Konstantinopel di usianya hampir 80 tahun. Beliau akhirnya meninggal dunia pada sekitar tahun 50 sehingga 52 Hijrah dan dikebumikan di tembok Kota Konstantinople yang juga merupakan amanat terakhirnya kepada pasukan tentera Islam.
Kisah Sahabat yang lain
Rujukan
- Abdul Wahid Hamid. 1995. Companions of The Prophet, Vol. 1.
- Admin PMWP. 2020. Qalam Mufti #61: Semangat Jihad Abu Ayyub al-Ansari dalam Mentahqiqkan Hadis Nabi SAW.
- Muhammad Abdullah. 2009. Sirah : Kenangan Abu Ayyub al-Ansari bersama Baginda SAW.