Abdullah bin Umar (Ibnu Umar) adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang sangat setia kepada agama Allah SWT. Artikel ini akan membahaskan mengenai sedikit kisah hidup beliau.
Siapakah Abdullah bin Umar?
Abdullah bin Umar merupakan anak kepada Khalifah Islam yang ke-2 iaitu Umar bin al-Khattab. Beliau merupakan salah seorang periwayat hadis Nabi yang terbanyak sehingga mencapai 2630 hadis dan dianggap sebagai golongan Sunni yang pertama dan menjadi perintis dalam bidang kajian tradisi dan hadis bersama sahabatnya, Abdullah bin Abbas.
Nama dan keturunan Abdullah bin Umar
Nama lengkap Abdullah bin Umar adalah ‘Abdullah bin Umar bin al-Khattab bin Nufail al-Quraisyi al-‘Adi. Beliau berasal daripada keturunan Bani ‘Adi Ibn Ka’b Ibn Luay. Beliau juga dipanggil sebagai Ibnu Umar RA.
Bila dan dimanakah Abdullah bin Umar dilahirkan?
Beliau dilahirkan di Kota Mekkah sekitar tahun ke-11 sebelum Hijrah bersamaan dengan 613 Masihi. Namun terdapat pendapat lain mengatakan beliau lahir pada tahun 612-614 Masihi, yang mana ianya mempunyai jangka masa yang rapat antara satu sama lain.
Abdullah bin Umar memeluk Islam
Beliau telah menerima agama Islam ketika umurnya belum menganjak ke usia 10 tahun, bersama bapanya Umar al-Khattab. Beliau juga antara umat Islam yang melakukan Hijrah dari Kota Mekkah ke Yathrib (Madinah) bersama bapanya dan Hafsah, saudara perempuannya.
Keperibadian Abdullah bin Umar
Beliau adalah seorang yang sangat dihormati oleh para Sahabat Nabi yang lain kerana sifat ketaqwaan yang tinggi, kesederhanaan serta pemurah. Beliau juga merupakan seorang yang berjaya dan sangat dipercayai dalam bidang perdagangan sepanjang hidupnya.
Beliau banyak belajar sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui segala perbuatan dan tingkah laku Rasulullah SAW, dengan memerhati dan mempraktikkan apa yang dilihatnya daripada perbuatan Rasullah SAW sendiri. Antaranya adalah jika beliau melihat Rasulullah SAW melaksanakan solat di tempat yang tertentu, beliau juga akan solat di tempat tersebut. Jika beliau melihat Rasulullah SAW berdoa ketika berdiri atau duduk, beliau juga akan melakukan perkara yang sama.
Saiditina Aishah RA melihat dan sedar akan kesetiaan beliau terhadap Rasulullah SAW dan memujinya dengan berkata: “Tidak ada seorang pun yang mengikuti jejak Rasulullah SAW di tempat-tempat perhentian baginda seperti yang telah dilakukan Abdullah bin Umar”
Kisah Abdullah bin Umar
Kisah 1:
Ketika Ibnu Umar masih remaja, iaitu semasa umurnya 13 tahun, beliau telah menyaksikan kesungguhan umat Islam di Madinah mempertahankan agama dan negeri itu daripada musuh-musuh Islam terutamanya daripada golongan penyembah berhala daripada Mekkah.
Semasa berlakunya Perang Badar di antara umat Islam dan kaum Quraisy Mekkah, Ibnu Umar ingin menyertai barisan ketenteraan umat Islam kerana merasakan ianya adalah sebuaha tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk mempertahankan Islam daripada musuh. Namun, Nabi Muhammad SAW tidak membenarkan beliau untuk menyertai perang kerana usianya yang masih muda. Beliau berasa amat sedih dan kecewa sehingga sanggup memberitahu bapanya untuk memujuk Rasulullah SAW namun bapanya mengatakan perkara yang sama sepertimana yang Rasulullah SAW katakan kepadanya.
Selepas kemenangan umat Islam pada Perang Badar, musuh-musuh Islam masih meneruskan usaha untuk menjatuhkan Islam yang berada di Madinah. Ketika Muslim mempersiapkan ketenteraan untuk Perang Uhud ketika itu, beliau juga mempersiapkan dirinya dengan persiapan pedang dan perisai. Ketika Rasulullah SAW memeriksa barisan ketenteraan, Abdullah berdiri dengan penuh keyakinan untuk menunjukkan beliau adalah seseorang yang bersedia untuk berperang. Tetapi, Rasulullah SAW sekali lagi tidak membenarkan beliau untuk menyertai perang kerana usianya yang masih muda.
Kisah 2:
Di antara para Sahabat Rasullulah SAW yang lain, Ibnu Umar adalah seorang yang sangat terkenal dengan kebijaksanaan dan seorang yang suka belajar. Beliau adalah gambaran seorang Muslim sejati kerana beliau mengikuti segala ajaran Rasulullah SAW tanpa mengubah apa-apa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Suatu hari, beliau telah bermimpi berada di syurga dan melihat api neraka. Lalu, beliau menceritakan mimpi tersebut kepada saudaranya, Hafsah, yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW. Setelah Nabi Muhammad SAW mengetahui perkara tersebut, Nabi mengatakan bahawa, “Abdullah merupakan seorang yang soleh, jika beliau memperbanyakkan solat pada malam hari” [Sahih Bukhari]
Sejak daripada itu, beliau tidak pernah meninggalkan Qiamullail (solat malam) dan sentiasa meminta keampunan daripada Allah SWT dan membaca al-Quran. Sepertimana bapanya, setiap kali beliau mendengar ayat amaran daripada al-Quran, matanya akan bergelinang dengan air mata.
Suatu hari, Ibnu Umar duduk bersama di antara rakan-rakannya lalu membacakan ayat daripada Surah Mutaffifin ayat 1-6 :
وَيْلٌۭ لِّلْمُطَفِّفِينَ ﴿ ١﴾ ٱلَّذِينَ إِذَا ٱكْتَالُوا۟ عَلَى ٱلنَّاسِ يَسْتَوْفُونَ ﴿ ٢ ﴾ وَإِذَا كَالُوهُمْ أَو وَّزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ ﴿ ٣﴾ أَلَا يَظُنُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَنَّهُم مَّبْعُوثُونَ ﴿٤﴾ لِيَوْمٍ عَظِيمٍۢ ﴿ ٥﴾ يَوْمَ يَقُومُ ٱلنَّاسُ لِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ﴿ ٦﴾
Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?”
Abdullah bin Umar mengulangi ayat 6 daripada surah ini berulang-ulang kali sambil menangis sehingga beliau pengsan. Ketaqwaan yang ada pada diri Abdullah bin Umar sangat tinggi, namun memiliki sifat merendah diri sehinggakan beliau merasakan beliau bukanlah seorang yang perlu dirujuk dalam sesebuah fatwa. Apabila Rasulullah SAW wafat, beliau banyak mengambil keputusan untuk berlaku neutral terhadap perkara-perkara yang tidak ada panduan langsung daripada Rasulullah SAW kerana bimbang akan mempengaruhi banyak umat Islam dan lari daripada ajaran Islam yang sebenar.
Kematian Abdullah bin Umar
Beliau akhirnya wafat pada usia 80 tahun bersamaan dengan tahun 73H di Kota Mekkah, pada zaman pemerintahan Abd Malik bin Marwan. Pendapat lain mengatakan beliau meninggal pada tahun 74H bersamaan dengan 692 Masihi. Punca kematian Abdullah bin Umar adalah kerana diracun oleh seorang yang zalim bernama al-Hajjaj bin Yusuf ath-Thaqafi, yang mana al-Hajjaj tidak menyukai beliau kerana menentang cara pemerintahannya.
Kisah Sahabat yang lain
Rujukan
- Abdul Wahid Hamid & Alim Online. 1995. Companions of The Prophet, Vol. 1.
- Mushlihin. 2012. Biografi Abdullah bin Umar. Referensi Makalah: Berbagi Referensi Membuka Cakrawala Pengetahuan
- Islamic Finder. Brief Life Story of Abdullah Ibn Umar (R.A.).
- Abdul Basit Ahmad. 2004. Abdullah bin Umar: The Jurist. Secong Edition. Riyadh: Maktabah Darussalam.