Skip to content

10 Adab Bertanya Yang Perlu Dipelajari

adab bertanya

Apakah adab-adab bertanya yang perlu kita ketahui dan amalkan? Artikel ini akan membahaskan 10 adab bertanya yang perlu dipelajari oleh kita.

Pengenalan

Bertanya merupakan satu perkara yang penting untuk akses kepada pengetahuan. Tanpa bertanya, kita
tidak akan mendapat apa-apa jawapan.

Seperti pepatah orang Melayu, “Malu bertanya, sesat jalan.”

Setiap manusia mempunyai rasa ingin tahu. Ingin tahu tentang sesuatu. Jadi, macam mana hendak menjadi tahu? Jawabnya, haruslah bertanya.

Namun, ada orang pernah berkata, banyak bertanya itu boleh membawa kepada kesesatan. Betulkah?

Dalam Surah an-Nahl ayat 43, Allah berfirman:

Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

Ayat ini jelas memberitahu kita untuk bertanya kepada pakar atau orang yang tahu sekiranya kita tidak tahu. Jadi, ia merupakan galakkan untuk bertanya supaya kita dapat akses kepada ilmu.

Kisah Tauladan Tentang Adab Bertanya

Terdapat satu kisah, seorang sahabat keluar bermusafir lalu luka. Selepas luka itu pula, dia mimpi malam lalu keluar air mani. Disebabkan itu, dia hendak bertayamum kerana kalau kena air, ia akan membahayakan luka itu tadi.

Sahabat seorang lagi tidak benarkan. Sampailah, dia tetap menggunakan air seperti biasa dan akhirnya meninggal dunia. Cerita ini sampai kepada Rasulullah.

Jawab Rasulullah:

Mereka telah membunuhnya dan Allah akan membunuh mereka. Kenapakah mereka tidak bertanya sekiranya tidak tahu? Hanya dengan bertanya boleh menghilangkan keraguan. Sebenarnya memadai dia bertayamum dan membalut lukanya dengan kain perca, seterusnya menyapu air di atas balutan dan mandi ke seluruh badannya. (Riwayat Abu Daud)

Kalau tidak tahu, kena tanya dahulu. Bukannya memandai-mandai.

Menjaga Adab Bertanya

Jadi, bilamana yang tidak boleh bertanya?

Mudahnya, bilamana ia tidak akan membawa manfaat.

Allah berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 101:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar.

Kadang-kadang, terdapat orang yang ingin menunjukkan “pengetahuannya” lalu bertanya soalan yang bukan-bukan dan tidak berfaedah.

Adab-Adab Bertanya

Ini merupakan 10 adab bertanya:

1-Ucapkan Salam

Pembuka komunikasi merupakan satu entiti yang penting. Ia penting untuk membina hubungan yang harmoni sebelum perbualan pergi lebih jauh.

Allah berfirman dalam Surah Yunus ayat 10:

Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera.

Menurut pakar bahasa Melayu, Prof. Asmah Haji Omar memanggil ini sebagai pembuka komunikasi. Ia amat penting untuk menjamin kelangsungan suatu peristiwa komunikasi.

2- Gunakan Pertuturan Yang Santun

Allah berfirman dalam Surah Taha ayat 44:

Maka hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan ucapan yang lemah lembut, mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau berasa takut.

Sebelum bertanya, hendaklah kita pastikan nada suara dan gaya pertuturan kita itu santun. Pertuturan yang biadab akan menghadirkan rasa tidak senang kepada teman bicara.

3- Minta Izin

Mintalah izin sebelum bertanya, mungkin pertanyaan itu boleh mengganggu teman bicara dan sebagainya. Meminta izin menunjukkan ketinggian budi kita sebagai manusia biasa.

4- Lihat Keadaan

Pastikan keadaannya sesuai untuk bertanya soalan tersebut. Janganlah bertanya dalam situasi-situasi yang sensitif sebagai contoh.

Misalnya, apabila terdapat kematian, janganlah kita bertanya macam-macam kepada keluarga si mati seperti kita tidak empati dengan keadaan mereka yang sedang bersedih.

5- Jaga Sensitiviti

Sensitiviti perlu dijaga. Contohnya, isu perkauman, politik, agama dan sebagainya. Tanyalah dalam situasi yang tepat.

Contoh situasi, dalam kuliah perbandingan agama. Bolehlah kita bertanya tentang agama orang lain dan sebagainya. Janganlah kita tanya soalan berkenaan di kenduri kahwin pula. Ia tidak sesuai.

6- Tanyalah Soalan Yang Munasabah

Munasabah di sini ialah soalan tersebut betul-betul berkaitan. Bukannya untuk mengorek rahsia, peribadi dan aib seseorang, memperolok-olokkan dan lain-lain.

Lihat Surah al-Isra’ ayat 85:

Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh. Katakanlah, “Roh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit.”

Ayat ini menunjukkan soalan yang tidak munasabah. Kalau kita tahu tentang keadaan roh itu pun, apa yang akan terjadi? Apakah iman kita akan bertambah kuat? Adakah kita akan lebih beragama dan sebagainya?

Ayat ini menceritakan sekumpulan orang Yahudi yang bertanya kepada Rasulullah.

Namun, pertanyaan itu tidak munasabah dan tidak boleh menghasilkan apa- apa ilmu. Apatah lagi ia berkait tentang alam ghaib.

7- Jangan Melakukan Provokasi

Kadang-kadang, ada juga orang yang bertanya sengaja buat provokasi kepada seseorang. Ini tidak elok. Bertanyalah dengan tujuan yang murni. Untuk mendapatkan jawapan supaya puas hati dan sebagainya.

Bukannya untuk menjatuhkan seseorang, membuat seseorang berasa terancam dan sebagainya.

8- Pilihlah Perkataan Yang Betul

Untuk bertanya pun, mesti menggunakan perkataan yang betul. Tidak boleh kita secara semberono bertanya. Mungkin perkataan yang kita tidak sedar kita gunakan itu boleh menyinggung perasaan orang lain.

9- Jangan Menyampuk

Apabila kita bertanya, kita perlu berikan giliran bercakap kepada orang yang menjawab. Janganlah kita memotong ketika dia sedang bercakap. Berikan dia masa untuk habis menjawab.

10- Ucapkan Terima Kasih

Rasulullah bersabda:

Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia. (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Sebagai penutup, kita hendaklah berterima kasih kepada jawapan-jawapan yang diberikan kepada orang yang menjawab.

Adab-Adab Lain Yang Perlu Diketahui

Adab Ketika BekerjaAdab Ketika Mesyuarat
10 Hadis Tentang AdabAdab Kepada Tetamu
Adab Kepada PemimpinAdab Ketika Makan
Adab Sebelum TidurAdab Kepada Orang Kurang Upaya
Adab BerdoaAdab Ziarah

Rujukan

  1. 5 adab ketika bertanya -getaran. my
  2. Ucapan Salam -muftiwp.gov. my
  3. Banyak bertanya dalam konteks seorang pelajar -irsyad fatwa muftiwp.gov. my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × 5 =