Apakah adab yang perlu dilakukan ketika seseorang itu masuk tandas? Artikel ini akan membincangkan 10 adab ketika masuk tandas yang anda perlu tahu.
Islam mengatur setiap perilaku manusia sehingga kepada hal-hal memasuki tandas. Tandas merupakan satu tempat yang kotor. Kita tidak digalakkan untuk duduk di dalamnya dengan begitu lama. Cukuplah sekadar untuk menunaikan keperluan membuang najis, mandi dan sebagainya.
Kita diajar untuk sentiasa menjaga kebersihan, bukan sekadar kebersihan sendiri, tetapi kebersihan setempat juga. Jadi, apabila kita memasuki tempat-tempat kotor, sudah pasti ada adab dan etikanya.
10 Adab Memasuki Tandas
1. Membaca doa masuk tandas
Daripada Anas bin Malik,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ إذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ قَالَ : اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِث
Adalah apabila Rasulullah SAW memasuk tandas baginda akan membaca doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِث
(Allahumma inni a’uzubika minal khubsi wal khaba’is)
Maksudnya: Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada syaitan jantan dan betina. (Riwayat Bukhari)
Disunatkan kepada kita untuk membaca doa perlindungan daripada syaitan kerana syaitan suka berada di tempat-tempat kotor dan terbukanya aurat. Di tandas memang kita akan membuka aurat kita untuk memenuhi keperluan dan sebagainya.
Rasulullah bersabda, sesungguhnya tempat membuang hajat didiami oleh syaitan, jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah:
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ
(A’uzubillah minal khubus)
Maksudnya: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan. (Riwayat Abu Daud)
2. Masuk tandas dengan kaki kiri dahulu
Apabila kita hendak masuk tandas, mulakan dengan kaki kiri. Hal ini bermakna, apabila kita hendak keluar pula, keluarlah dengan kaki kanan, berlawanan dengan cara kita masuk tadi.
Dalam satu hadis:
Daripada Aisyah RA berkata bahawa tangan kanan Rasulullah SAW digunakan untuk bersuci dan makan. Ada pun tangan kiri, digunakan untuk membersihkan bekas kotoran dari buang hajat dan perkara-perkara yang najis. (Riwayat Abu Daud)
Umumnya, apa yang kita dapat faham daripada hadis ini ialah, segala perbuatan yang baik dan bersih itu sunnah dimulakan dengan yang sebelah kanan. Manakala, yang sebaliknya pula, hal-hal yang kotor dan jijik, gunakanlah yang sebelah kiri.
Dalam konteks ini, tandas merupakan satu tempat yang kotor dan didiami oleh syaitan, gunakanlah kaki kiri untuk memasukinya sesuai dengan sunnah Rasulullah dan hadis yang dilampirkan ini.
3. Tidak membawa apa-apa yang tertulis kalimah suci
Jangan pula kita masuk tandas sekiranya terdapat pakaian atau apa-apa yang mengandungi kalimah-kalimah suci seperti ayat al-Quran, tulisan Allah pada baju dan sebagainya. Kita hendaklah menghormati kalimah-kalimah suci ini ketika memasuki tempat kotor.
Daripada Anas Bin Malik RA:
Sesungguhnya Nabi SAW apabila masuk ke dalam tandas lalu baginda menanggalkan cincinnya. (Riwayat Ibnu Majah)
Mengapa Rasulullah menanggalkan cincin baginda ketika hendak memasuki tandas? Sebab, terdapat kalimah Muhammad Rasulullah pada cincin tersebut. Disebabkan kalimah itu merupakan kalimah yang suci dan baik, maka sunnah untuk tidak dibawa masuk ke dalam tandas. Hendaklah ia ditinggalkan di luar tandas.
Hal ini samalah dengan benda-benda lain. Sekiranya kita memakai kopiah yang terdapat kalimah suci, hendaklah kita tinggalkan di luar bagi menghormati kalimah tersebut.
4. Sunnah memakai penutup kepala
Sunnah bagi kita untuk menutup kepala kita ketika masuk tandas. Hal ini selaras dengan satu hadis daripada Aisyah RA:
Adalah Nabi SAW apabila masuk ke tandas baginda menutup kepalanya. (Riwayat Baihaqi)
Amalan menutup kepala ketika memasuki ini merupakan satu amalan yang dirujuk daripada Abu Bakar as-Siddiq. Hal ini disebut oleh Imam al-Baihaqi.
5. Jaga aurat
Jaga aurat ini bermakna bukan semestinya menutup aurat kerana ketika membuang hajat, pastilah kita akan membuka aurat kita, namun pastikan kita jauh daripada pandangan orang.
Seorang sahabat, Abdurrahman Bin Abi Quraad berkata:
Aku pernah bersama Rasulullah SAW ke sebuah padang yang luas. Apabila baginda hendak tunaikan hajat maka baginda akan pergi jauh-jauh. (Hadis Nasa’i)
Sekiranya kita berada dalam tandas yang terbuka, hendaklah kita menutup aurat. Kalau tidak pun, pergi jauh-jauh supaya orang tidak nampak. Kita dilarang untuk mempamerkan aurat kita kepada orang lain.
Jadi, jagalah aurat kita.
6. Jangan membelakangi dan menghadap kiblat
Rasulullah bersabda:
Apabila kamu semua pergi ke suatu tempat untuk buang air maka jangan kamu semua menghadap kiblat atau membelakanginya dan tetapi jadikan tidak menghadap arah kiblat atau membelakanginya. (Riwayat Bukhari)
Hal ini kerana tidak ingin menghadapkan benda kotor kepada arah kita bersolat.
7. Tidak berbual ketika dalam tandas
Abdullah Bin Umar meriwayatkan:
Sesungguhnya seorang lelaki lalu ketika Rasulullah SAW sedang membuang air kecil maka dia pun mengucapkan salam maka Rasulullah SAW tidak menjawab salamnya itu.
Hukum memberi dan menjawab salam dalam tandas adalah makruh. Kita harus tinggalkan hal demikian. Bukan sekadar itu, berbual juga tidak digalakkan dalam tandas. Sebab, tandas adalah tempat yang kotor untuk kita menunaikan hajat kita, bukan sebagai satu tempat berbual dan berborak.
8. Kencing duduk
Aisyah RA berkata:
Sesiapa yang bercerita kepada kalian semua bahawasanya Rasulullah SAW itu kencing berdiri maka janganlah kalian mempercayainya. Tidaklah Rasulullah S.A.W itu kencing melainkan dalam keadaan duduk. (Riwayat Tirmidzi)
Menurut pakar, sekiranya kita kencing duduk, kita boleh mengeluarkan semua air kencing kita dengan lancar. Sebab, ketika duduk, otot pelvik kita berada dalam keadaan tenang. Maka, lancarlah air kencing keluar sampai habis.
Memang terdapat juga hadis Rasulullah kencing berdiri, namun kencing duduk lebih diutamakan kerana lebih kerap diamalkan oleh baginda.
9. Basuh kemaluan menggunakan tangan kiri
Rasulullah bersabda:
Kemudian Baginda menuangkan air ke atas kemaluannya, dan membasuh kemaluannya dengan tangan kirinya. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abi Daud)
Jelas, hal-hal yang sinonim dengan kekotoran itu haruslah kita menggunakan tangan kiri.
10. Membaca doa keluar tandas ketika selesai menggunakan tandas
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا خَرَجَ مِنْ الْخَلَاءِ قَالَ : غُفْرَانَكَ
Maksudnya: Adalah Nabi SAW jika keluar dari tandas, maka baginda berdoa, Ghufranaka (غُفْرَانَكَ) (aku memohon ampunan-Mu). (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Ini merupakan satu sunnah yang diamalkan oleh Rasululah iaitu memohon keampunan ketika keluar dari tandas.
Kesimpulan
Kita hendaklah mengamalkan adab-adab memasuki tandas sesuai dengan amalan Rasulullah supaya setiap amalan kita walaupun hanya memasuki tandas untuk menunaikan hajat, tetap juga dikira berpahala. Insya-Allah.
Adab-adab yang Lain
Rujukan
- Ikuti Sunnah Rasulullah Ketika Masuk Ke Tandas. Tzkrh.com
- Adab Masuk Tandas. Mediaislam.net
- Yes, It Might Be Healthier for Some Men to Sit When They Pee, Urologists Say. – Fatherly.com
- Al-Kafi #429: Hukum kencing secara berdiri. Muftiwp
- Muslim bathroom etiquette. islamqa.infor