Apakah adab yang perlu diamalkan ketika membaca al-quran? Artikel ini akan mengupas 10 adab-adab yang perlu diamalkan ketika membaca al-quran.
Pengenalan
Al-Quran ialah kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada malam lailatul qadar. Bersempena Ramadhan yang bakal menjelang tiba ini, artikel kali ini akan membincangkan adab membaca al-Quran. Memandangkan bulan puasa dan membaca al-Quran ini adalah perkara yang tidak dapat dipisahkan, kita juga mestilah mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama memeriahkan bulan yang mulia ini dengan memperbanyakkan membaca kalamullah.
Di dalam Surah Fathir ayat 29, Allah berfirman;
إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّـهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”.
Jelas di situ ibadah membaca al-Quran merupakan salah satu amalan yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT selain menyuburkan tanaman kita di Akhirat nanti.
Adab-adab Membaca Al-quran
Oleh itu, kita juga seharusnya mengambil tahu adab-adab membaca al-Quran. Antara adab-adab yang kita boleh amalkan ketika membaca al-Quran ialah;
1. Niat kerana Allah
Nawaitu ialah perkara yang penting sebelum melakukan sesuatu ibadah. Hadis mengenai kepentingan niat ini menjadi hadis pertama di dalam Hadis 40 Imam Nawawi yang berbunyi,
Daripada Umar Al-Khattab RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan Rasulnya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Bersuci dan bersih
Allah sangat suka akan kebersihan dan kebersihan juga adalah separuh daripada iman. Salah satu cara kita bersuci ialah dengan mengambil wudhu’ sebelum membaca al-Quran. Apabila kita membaca kalamullah (kata-kata Allah), pastinya kita mahu mempraktikkan kesukaannya, dan antaranya ialah dengan bersuci dan bersih.
Menurut Ashmawi, al-Nazafah (النظافة) tidak hanya dapat diertikan bersih secara lahiriah, tapi juga bersih secara ma’nawiyah. Ini berdasarkan hadith:
إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ ، فَنَظِّفُوا ، أُرَاهُ قَالَ ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi. (Riwayat Tarmizi)
3. Duduk menghadap kiblat
Imam al-Nawawi dalam al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran, menulis tentang hadis Nabi SAW mengenai sunat membaca al-Quran menghadap kiblat ketika kita membacanya di luar solat;
خَيْرُ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik majlis adalah yang menghadap kiblat.” (Al-Tabari meriwayatkan dalam Tahzib al-Athar (1/235))
Dan apabila kita sudah menghadap kiblat, hendaklah kita juga duduk dengan khusyuk dan menghayati isi al-Quran yang dibaca dan beradab di hadapan al-Quran.
4. Meninggikan kedudukan al-Quran
Al-Quran ialah mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Isinya terkandung bicara Allah SWT kepada kita dan ianya khas buat seluruh umat. Membacanya seakan-akan berbual dengan Tuham.
Maka, adalah tidak manis dan sangat tidak beradab apabila kita meletakkan al-Quran lagi rendah daripada tempat duduk kita seakan-akan tiada beza antara kitab Allah dan juga buku lain. Kerana ketinggian dan kemuliannya, dan ianya bukan sekadar sebuah kitab biasa, kedudukannya juga mestilah diambil berat.
5. Membaca taawuz
Taawuz bermaksud meminta perlindungan dan keselamatan daripada Allah SWT dengan melafazkan;
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam. (Riwayat al-Bukhari (1319))
Hukum membaca taawuz ialah sunat, untuk memberikan perlindungan daripada syaitan yang tugasnya mengganggu dan mengalihkan tumpuan daripada ibadah kita. Jadi, apa salahnya jika mengamalkan taawuz sebelum memulakan bacaan al-Quran untuk memberikan sepenuh perhatian kepada bacaan serta maknanya.
6. Membaca dengan tajwid dan tartil
Di dalam Surah al-Muzammil ayat 4, Allah berfirman
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
Maksudnya: dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.
Tajwid bermaksud memberikan atau meletakkan setiap satu huruf apa yang patut baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf seperti menyatakan atau menyembunyikan. Manakala tartil ialah meraikan tempat keluarnya huruf dan menjaga tempat berhentinya.
Malah, ini adalah adab yang harus dititikberatkan kerana membaca al-Quran dengan tajwid, makhraj dan tartil yang betul menyempurnakan lagi bacaan kita dan itulah keistimewaan membaca al-Quran, ianya mempunyai seni yang tiada pada kitab yang lain.
7. Menghayati isi al-Quran
Kita dituntut untuk menghayati isi al-Quran serta mentadabburnya. Ibnu Kathir mendefinisikan tadabbur sebagai memahami makna lafaz-lafaz serta berfikir tentang ayatnya yang merangkumi isyarat peringatan, nasihat sehingga terkesan pada hati seterusnya mengambil iktibar dan mematuhi arahan-Nya.
Dalam Surah Saad ayat 29, Allah berfirman;
كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Al-Quran ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memerhatikan ayat-ayat Allah, dan supaya mendapat pelajaran untuk orang-orang yang mempunyai fikiran.
Maka, gunakan masa yang ada untuk mentadabbur ayat Allah sama ada dengan mencari guru atau menyertai kelas dan halaqah untuk bersama-sama menghayati ayat Allah.
8. Membaca doa seusai habis membaca al-Quran
Doa ialah salah satu cara kita meminta kepada Allah SWT. Doa ialah cIra kita berkomunikasi degan Allah. bn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi menyebut: “Doa merupakan ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi musibah.” Selepas menghayati isi al-Quran dan membersihkan hati, in sha Allah doa kita akan lebih mustajab dan tiada hijab.
9. Membaca al-Quran ketika waktu-waktu yang mustajab
Waktu sepertiga malam merupakan antara masa-masa mustajab untuk melakukan amal ibadan seperti membaca al-Quran. Daripada Jabir bin Abdillah RA berkata, aku mendengar Nabi SAW pernah bersabda:
إِنَّ فِي اللَّيْلِ لَسَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ، يَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَذَلِكَ كُلَّ لَيْلَةٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya pada satu malam ada satu waktu, tidaklah seorang muslim itu memohon kepada Allah akan sesuatu kebaikan daripada urusan dunia dan akhirat, melainkan Allah SWT akan memperkenankannya. Demikian itu berlaku pada setiap malam.” (Riwayat Muslim (757))
Antara masa musajab yang lain, termasuklah selepas solat fardhu, hari jumaat dan juga pada bulan Ramadhan.
10. Bertadarus
Di dalam satu hadis riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Dan tidaklah dalam satu kaum yang berkumpul dalam rumah daripada rumah-rumah Allah lalu membaca kitab-Nya dan saling mempelajarinya bersama-bersama kecuali Allah akan turunkan ketenangan ke atas mereka, diliputi dengan rahmat-Nya, para malaikat akan memenuhi majlis mereka dan Allah akan menyebut-nyebut mereka dalam kalangan mereka yang dekat dengan-Nya.”
Bertadarus membawa maksud kegiatan membaca, menyemak, dan mendengarkan ayat-ayat suci Al-Quran sama ada faham maknanya atau tidak, dan dilakukan sendiri mahu pun secara berjemaah. Amalan bertadarus ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran bacaan al-Quran kita, selain dapat mempelajari kesalahan ketika membaca al-Quran, tetapi kita juga dapat menghubungkan silaturrahim sesama musim.
Kesimpulannya, mempelajari adab membaca al-Quran ini sama pentingnya dengan membaca mushaf mulia itu sendiri. Imam Malik bin Anas ada mengatakan, ““Ibuku memakaikanku serban lalu berkata, “Pergilah kepada kamu Rabi’ah dan belajarlah daripada beliau adabnya sebelum menuntut ilmunya”.
Di bulan Ramadhan yang mulia ini, bersama-samalah kita memanfaatkan masa dengan membaca al-Quran dan mentadabburnya. Daripada Abdullah Ibn Mas’ud RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ
Maksudnya : Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” itu sebagai satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf. (Riwayat At-Tirmizi (2835))
Maka jangan sia-siakan bulan yang berkah ini dan sama-samalah kita meraikannya dengan mengkhatamkan satu al-Quran. In sha Allah.
Adab-adab yang Lain
Rujukan:
- Adab Sebelum Ketika dan Selepas Membaca – Teknik Mengaji
- Konsep Nazafah Praktikal Dalam Kesempurnaan Haji – Mufti RP
- Sunatkah Menghadap Kiblat Ketika Baca Al-quran – Mufti WP
- Hukum Membaca Taawuds Sebelum Membaca Al-Fatihah – Mufti WP
- Hukum Membaca Al-Quran Tanpa Tadabbur – Mufti WP
- Mengapa Disuruh Berdoa Jika Telah Ditakdirkan – Mufti WP
- Waktu Mustajab Pada Waktu Malam – Mufti WP
- Manakah Lebih Afdhal antara Memabca Al-Quran Dengan Suara Kuat atau membacanya perlahan – – Mufti WP