Apakah doa rabitah dan kepentingannya dalam kehidupan seharian? Artikel pada kali ini akan membincangkan bacaan doa rabitah berserta bantuan teks arab dan rumi untuk memudahkan anda membaca dan menghafalnya. Di samping itu, artikel juga akan mengupas sejarah asal usul doa ini dan manfaat yang boleh diperoleh kepada ummah.
Pengenalan
Rabitah membawa maksud “perikatan” atau boleh juga diistilahkan sebagai jalinan hati atau hubungan sesama manusia. Doa ini merupakan wirid yang dibaca oleh aktivis dakwah pada pagi dan petang, baik sebagai rangkaian wazhifah kubra atau sughra. Lazimnya ia boleh dilakukan sama ada secara sendirian atau berjemaah.
Apabila anda lihat pada maksudnya sahaja sudah tentu anda sudah dapat bayangkan apakah sebenarnya tujuan doa ini dibaca. Yang sebenarnya, tujuan doa ini di baca adalah untuk mengeratkan jalinan hati sesama manusia.
Doa ini pernah dibaca oleh Perdana Menteri Palestin, Ustaz Ismail Haniyeh hafizahullah. Pada ketika itu, ujian dan bala bencana datang bertubi-tubi menghempas rakyat-rakyat di negera Palestin. Musuh yang datang dari dalam dan luar bagaikan tiada hari untuk berhenti malah terus menyerang tanpa belas dan kasih. Doa ini dibaca untuk menyatukan padukan hati pejuang Islam dan semua umat Islam untuk tetap bersatu dan tabah menghadapi ujian yang menimpa mereka.
Walau bagaimanapun, doa ini tidak terikat untuk dibaca kepada para pejuang di medan perang sahaja. Sebaliknya semua umat Islam disarankan untuk membaca doa ini kerana hakikatnya kita sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT akan sentiasa berjihad dan berjuang untuk mendapatkan kebaikan dan syurga-Nya di akhirat kelak setelah meninggal dunia.
Sejarah doa ini
Doa Rabitah merupakan sebahagian dari Al-Mathurat iaitu risalah himpunan zikir oleh Imam Hasan al-Banna. Biasanya Doa wirid ini dibaca secara sendirian atau berjemaah pada waktu pagi dan petang atau boleh juga dibaca selepas solat fardhu.
Teks arab bacaan Doa Rabitah
اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ , قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ
وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ, وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ
وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ
فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا, وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا
وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لاَ يَخْبُوْا
وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ, وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ
وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَى الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ
إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرِ
اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ
Teks rumi bacaan doa rabitah:
Allahumma innaka ta’lamu anna hadzihil qulub, qadijtama-at ‘alaa mahabbatik.
wal taqat ‘alaa tha’atik, wa tawahhadat ‘alaa da’watik
wa ta ‘ahadat ‘ala nashrati syari’atik
Fa watsiqillahumma rabithataha, wa adim wuddaha, wah dihaa subulahaa
wamla’haa binuurikal ladzi laa yakhbu
wasy-syrah shuduroha bi faidil imaanibik wa jamiilit tawakkuli ‘alaik
wa ahyiha bi ma’rifatik, wa amitha ‘alaa syahaadati fii sabiilik
Innaka ni’mal maula wa ni’man nashiir.
Allahumma Aamiin
Maksud doa rabitah:
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui hati kami. Kami telah berkumpul karena cinta-Mu, dan berjumpa dalam ketaatan pada-Mu, dan bersatu dalam dakwah-Mu, dan berpadu dalam membela syariat-Mu. Maka Ya Allah, kuatkanlah ikatannya, kekalkanlah cintanya, tunjukkanlah jalannya, penuhilah ia dengan cahaya yang tiada redup, dan lapangkanlah dada-dada dengan iman yang berlimpah kepada-Mu. Serta indahnya takwa kepada-Mu, dan hidupkan ia dengan ma’rifat-Mu, dan matikan ia dalam syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, kabulkanlah.”
Kepentingan ikatan ukhuwah:
1. Mengeratkan persaudaraan sesama umat Islam
Jelas ini kepentingan utama sebuah ikatan ukhuwah. Ikatan adalah cantuman atau pertalian dan ini tidak boleh terjadi dengan hanya seorang individu. Ia mestilah berasaskan kepada lebih dari seorang atau juga berkumpulan. Umat Islam di dunia ini berjuta-juta orang. Mereka beriman dan tunduk taat pada Allah SWT dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW, tetapi dengan cara apa yang boleh menyatukan hati-hati mereka semua? Jawabnya dengan ikatan ikhuwah inilah yang akan membawa seluruh umat Islam untuk saling kenal mengenali dan kasih mengasihi sesama makhluk Allah SWT.
“Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara. Kerana itu, damaikanlah kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”. (Surah Al-Hujurat, ayat 10)
2. Ada rasa belas kasihan dan empati kepada orang lain
Manusia di ciptakan dengan pelbagai rupa, kehidupan, dan latar belakang. Ada yang kaya, dan ada juga yang miskin. Allah SWT Maha Kaya tetapi pernahkan anda terfikir mengapa Allah tidak menjadikan semua makhluk di dunia ini kaya-raya supaya tiada lagi fakir miskin atau pengemis yang tidur di tepi jalan?
Jawapannya, ada pada diri anda sendiri. Sifat empati dan belas kasihan kepada makhluk lain adalah nikmat yang sangat berharga diberikan kepada manusia yang mempunyai akal fikiran. Jika anda hidup di dunia ini mahukan privasi atau tidak mahu bercampur dengan orang ramai, anda pasti tidak merasakan lagi kebahagiaan yang sebenar. Ramai dermawan yang rajin menderma dan bertambah kaya. Mereka menderma tetapi tidak pernah kurang pun sedikit harta malah mereka mahu menderma dan menderma lagi.
Hakikatnya, apabila anda membantu orang lain percayalah anda akan merasakan kebahagiaan yang tidak pernah ada rasakan sebelum ini. Itulah nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka yang suka membantu saudara-saudara mereka.
Dan dalam sebuah hadis:
“Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” (Hadis Riwayat Muslim)
3. Melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan tidak berpecah belah
Berapa banyak negara yang hancur berantakan kerana masyarakatnya tidak sefahaman? Kadang kala untuk membentuk satu ikatan yang kuat dalam masyarakat, ada ketikanya soal ego, dan meraih kepentingan sendiri perlu diketepikan dahulu dari yang lain. Sikap bertimbang rasa dan berfikiran jauh ini yang akan menjadikan masyarakat untuk kuat bersatu padu dalam mencapai kejayaan.
4. Mendapat kemanisan iman
Nikmat Islam dan iman adalah anugerah yang Allah SWT berikan kepada orang-orang yang tertentu sahaja. Tidak semua makhluk Allah ada nikmat Islam dan tidak semua umat Islam beriman. Jadi ini adalah ciri-ciri unik yang Allah berikan kepada mereka yang terpilih. Lalu apa kaitan seseorang itu boleh mendapat kemanisan iman dengan ikatan ukhuwah?
Hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud,
“Terdapat tiga perkara yang barangsiapa mendapati tiga perkara ini dalam dirinya, maka dia akan dapat merasa kemanisan iman (halawatul iman). Pertama, menjadikan Allah dan Rasul paling disayangi dan dicintai berbanding dari keduanya. Kedua, menyayangi seseorang manusia kerana Allah SWT dan ketiga, membenci kekufuran sebagaimana membenci dirinya jika dimasukkan di dalam neraka” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Mengakui kekuasaan Allah SWT sebagai pentadbir alam semesta
Dalam surah al-Anfal ayat 63, Allah SWT berfirman yang bermaksud,
“Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana”.
Dalam apa jua yang anda lakukan, pasti akan berbalik semula kepada keagungan Allah SWT dalam menciptakan manusia dan segala yang ada di langit dan di bumi. Sesuatu itu tidak akan berlaku walau manusia berusaha dengan kuat untuk menjadikannya jika tidak dengan kekuasaan Allah SWT.
Diharapkan artikel ini serba sedikit dapat memberikan anda pengetahuan baru tentang doa atau zikir harian yang boleh diamalkan bersama. Insha Allah akan ada banyak manfaat yang boleh anda perolehi nanti.
Bacaan Doa yang lain