Skip to content

Doa Masuk Tandas dan Keluar Tandas Beserta Adab-adabnya

Doa masuk dan keluar tandas berserta adab

Apakah doa masuk tandas (ejaan rumi) dan adab-adabnya?Artikel ini akan membincangkan perkara ini secara ringkas dan muda.

Tandas bukan sahaja tempat yang selalu dicari oleh manusia apabila hendak membuang hajat samada hendak membuang air kecil atau air besar, tetapi ia juga merupakan tempat yang didiami oleh syaitan dan konco-konconya. Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama menjaga adab ke tandas samada sebelum, semasa dan juga selepas keluar daripada tandas.

Adab sebelum masuk tandas

1. Membaca doa sebelum masuk tandas

DOA MASUK TANDAS

Diriwayatkan daripada Abdul ‘Aziz bin Suhaib yang berkata, aku mendengar Anas berkata, jika Nabi S.A.W masuk ke dalam tandas, maka baginda berdoa:

Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari syaitan lelaki dan syaitan perempuan. (Riwayat Bukhari)

Kita sangat digalakkan untuk  membaca doa ini kerana ia merupakan doa yang diamalkan oleh nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W. Selain itu, doa ini juga adalah untuk menghindarkan diri daripada tipu daya dan gangguan syaitan.

2. Memastikan kepala ditutup dengan kain atau sebagainya.

Amalan menutup kepala dengan kain ini berdasarkan athar yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah:

رُوِىَ فِى تَغْطِيَةِ الرَّأْسِ عِنْدَ دُخُولِ الْخَلاَءِ عَنْ أَبِى بَكْرٍ الصِّدِّيقِ ، وَهُوَ عَنْهُ صَحِيحٌ

Maksudnya: Diriwayatkan pada perbuatan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas daripada Abu Bakr al-Siddiq dan perkara ini sahih daripada beliau.  ( Sunan al-Kubra, al-Baihaqi (1/96) ).

Walaupun perbuatan menutup kepala ini tiada diriwayatkan di dalam mana-mana hadis yang sahih, tetapi ia merupakan amalan yang sangat dituntut kerana amalan para sahabat adalah perkara yang digalakkan untuk kita mengamalkannya.

3. Masuk dengan kaki kiri

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْيُمْنَى لِطُهُورِهِ وَطَعَامِهِ وَكَانَتْ يَدُهُ الْيُسْرَى لِخَلاَئِهِ وَمَا كَانَ مِنْ أَذًى

Maksudnya : “Daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata bahawa tangan kanan Rasulullah ﷺ dipergunakan dalam bersuci dan makan. Adapun tangan kiri, digunakan untuk membersihkan bekas kotoran dari buang hajat dan perkara-perkara yang najis (najis).” (Sunan Abu Daud) ‏

Berdasarkan hadis ini kita faham bahawa Rasulullah menggunakan anggota tubuh badan yang kiri bagi perkara – perkara yang melibatkan kekotoran dan masuk tandas dengan mendahulukan kaki kiri adalah salah satu daripada sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Sesungguhnya setiap sunnah baginda mempunyai hikmah yang tersembunyi.

4. Tidak membawa perkara yang dilarang

Barang – barang yang mengandungi nama – nama Allah atau seumpama dengannya adalah barang yang harus dijaga kehormatannya, jadi kita dilarang sama sekali untuk membawanya masuk ke dalam tandas kerana tandas merupakan tempat yang kotor.

Adab semasa berada di dalam tandas

1. Memakai selipar atau apa-apa alas kaki

Memakai selipar apabila berada di dalam tandas menjadi keperluan bagi kita kerana lantai tandas yang kotor boleh menyebabkan kaki kita terkena najis secara tidak sengaja. Oleh sebab itu, kita mestilah menyediakan selipar di dalam tandas untuk mengelakkan kita dari mengotorkan kawasan yang lain di dalam rumah tanpa sedar apabila keluar dari tandas nanti.

2. Menggunakan air dengan sebaiknya

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ  وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya : “ Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-mara syaitan-syaitan dan adalah syaitan itu sangat mengingkari akan TuhanNya”  ( Surah al-Israk , ayat 27 )

Oleh itu, kita hendaklah berjimat cermat dan menggunakan air dengan sebaiknya. Sebahagian daripada kita mungkin memandang hal ini secara enteng tetapi tanpa kita sedar adab yang dianggap remeh ini sebenarnya telah menghalang kita daripada melakukan pembaziran.

3. Menjaga kebersihan tandas

Menjaga kebersihan adalah perkara asas bagi setiap muslim tidak kiralah dimana sahaja dia berada termasuklah di dalam tandas. Benda mudah yang boleh kita lakukan untuk menjaga kebersihan tandas ialah pam setelah selesai menggunakan tandas dan membuang sampah di tempat yang disediakan.  Amalan yang kecil tetapi membawa impak yang besar.

Adab selepas keluar daripada tandas

1. Keluar dengan kaki kanan

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ‏.‏

Maksudnya : “Daripada Aisyah Radiallahu’anha berkata, Rasulullah S.A.W sangat menyukai mendahulukan yang kanan ketika memakai sandal, ketika menyisir rambut dan ketika bersuci, juga dalam setiap perkara yang baik-baik”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menceritakan kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W sentiasa mendahulukan yang kanan dalam perkara yang baik –  baik. Kenapakah keluar daripada tandas dikategorikan sebagai perbuatan yang baik? 

Ini kerana kita disuruh untuk menyelesaikan urusan kita dalam tandas dengan secepat mungkin. Perbuatan seperti menyanyi didalam  tandas adalah tidak digalakkan kerana ia merupakan salah satu tipu daya untuk manusia lalai dalam mengingati Allah ketika berada di dalam tandas.

2. Membaca doa keluar tandas

Maksudnya : “Aku memohon keampunan Mu (Ya Allah), Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dariku sesuatu yang menyakiti dan menyihatkan aku”

Doa ini ialah doa yang sering dibaca ketika keluar daripada tandas. Tahukah kita doa ini sebenarnya terdiri daripada hadis yang sahih dan juga dhoif?

عَنْ عَائِشَةَ، رضى الله عنها قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا خَرَجَ مِنَ الْخَلاَءِ قَالَ ‏ “‏غُفْرَانَكَ”

Daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha  berkata, sesungguhnya nabi Muhammad S.A.W apabila baginda keluar daripada tandas, baginda berkata “Aku memohon keampunan Mu (Ya Allah)” (Jami` at-Tirmidhi)

Ini adalah hadis sahih dan Rasulullah S.A.W selalu membaca doa ini ketika keluar daripada tandas. Manakala doa sambungannya pula terdiri daripada hadis yang dhoif.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ كَانَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ إِذَا خَرَجَ مِنَ الْخَلاَءِ قَالَ ‏ “‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنِّي الأَذَى وَعَافَانِي ‏”‏

Daripada Anas Ibnu Malik, berkata bahawa Nabi Muhammad S.A.W apabila keluar daripada tandas baginda menyebut “Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dariku sesuatu yang menyakiti dan menyihatkan aku.” ( Sunan Ibnu Majah )

Walaupun hadis ini berstatus dhoif, tetapi kita mengambil kira pandangan para ulama yang berpegang bahawa hadis dhoif juga boleh diamalkan di dalam bab fadhail al-a’mal (fadhilat-fadhilat amalan).

Penutup

Adab – adab yang disebutkan di atas hanyalah sebahagian daripada adab – adab yang perlu dilakukan sebagai seorang muslim. Marilah kita sama – sama berusaha untuk menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa melakukan yang terbaik dalam menjaga adab walau dimana sahaja kita berada, insya-Allah. Semoga usaha kita dalam menjaga sekecil – kecil adab ini akan menjadikan akhlak kita lebih terjaga.

Bacaan Doa yang lain

Doa sebelum dan selepas makanDoa Sebelum Tidur dan Bangun Tidur
Doa Qunut NazilahDoa Naik Kenderaan
Doa Masuk dan Keluar TandasDoa Wabak Penyakit
Doa Pagi Ma’thuratDoa Berbuka Puasa
Doa Meminta JodohDoa Kepada Ibubapa
Doa Pembuka dan Penutup MajlisDoa Ketika Melihat Cermin
Doa Ketika HujanDoa Hilangkan Gemuruh
Doa Dipermudahkan BersalinDoa Sembuh Penyakit dan Doa Nabi Ayub
Doa Belajar dan Penerang HatiDoa Abu Darda
Doa Ketika Barang HilangDoa Perlindungan

Rujukan :

  1. Al Quran
  2. Bimbingan Lengkap Sahih Bukhari
  3. Sunnah.com
  4. Laman Web Rasmi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty − 19 =