Doa & Amalan Hari Jumaat
Apakah amalan sunat hari Jumaat serta bacaan doa yang mustajab? Artikel ini membincangkan 5 amalan utama berserta contoh doa hari Jumaat, teks Arab, dan hadis sahih.
Hari Jumaat mempunyai keistimewaan yang tiada tolok tandingnya di dalam Islam. Ia diiktiraf sebagai hari raya mingguan (Eid) buat umat Islam. Sabda Rasulullah SAW:
خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا
“Hari terbaik yang mana matahari terbit padanya adalah hari Jumaat. Pada hari itu Nabi Adam diciptakan, dimasukkan ke dalam syurga, dan diusir dari situ.” (Hadis Riwayat Muslim)
Bagi kaum lelaki, kewajipan menghadirkan diri bagi menunaikan solat Jumaat secara berjemaah ditegaskan di dalam al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli…” (Surah al-Jumu’ah: 9)
Kebersamaan mendirikan solat secara berjemaah memupuk perpaduan yang teguh bagaikan seikat lidi yang tidak mudah dipatahkan.
5 Amalan Sunat Hari Jumaat
1. Mandi Sunat Jumaat & Wangian
Disunnahkan mandi selepas terbit fajar (waktu Subuh) sebelum berangkat ke masjid. Disertai memotong kuku, bersugi (siwak), serta memakai wangian:
مَنْ أَتَى الْجُمُعَةَ فَلْيَغْتَسِلْ
“Barangsiapa di antara kamu yang hadir solat Jumaat, maka hendaklah dia mandi.” (HR. Bukhari)
Jumhur ulama termasuk Imam Nawawi berpendapat waktu bermula mandi sunat adalah sejurus selepas masuknya waktu Subuh.
2. Membaca Surah al-Kahfi
Disunnahkan membaca Surah al-Kahfi bermula malam Jumaat (selepas Maghrib hari Khamis) sehingga sebelum Maghrib hari Jumaat:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ
“Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, akan ada cahaya terang yang bersinar baginya antara dua hari Jumaat.” (HR. An-Nasa’i & al-Hakim)
3. Datang Awal ke Masjid
Mendatangkan kebaikan pahala yang besar (umpama berkorban unta, lembu, ayam atau memberi sedekah telur) bagi mereka yang hadir awal sebelum khatib naik ke mimbar:
“Apabila hari Jumaat, para malaikat berdiri di pintu masjid mencatat orang yang datang awal… Apabila khatib keluar (naik mimbar), malaikat menutup buku catatan mereka dan duduk mendengar khutbah.” (HR. Bukhari & Muslim)
4. Memperbanyakkan Selawat Ke Atas Nabi SAW
Memperbanyakkan lafaz selawat (seperti: Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad) pada hari dan malam Jumaat:
أَكْثِرُوا الصَّلَاةَ عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةَ الْجُمُعَةِ
“Perbanyakkanlah berselawat kepadaku pada hari Jumaat dan malam Jumaat…” (HR. Al-Baihaqi – Sahih)
5. Memperbanyakkan Doa (Waktu Mustajab)
Terdapat satu waktu yang sangat mustajab pada hari Jumaat di mana doa hamba tidak akan ditolak oleh Allah SWT:
“Ada satu jam pada hari ini (Jumaat) tidaklah seorang hamba muslim berdiri bersolat memohon sesuatu daripada Allah melainkan Allah akan memakbulkannya.” (HR. Bukhari & Muslim)
Menurut pendapat terkuat di sisi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, waktu mustajab tersebut adalah selepas waktu Asar sehingga waktu Maghrib.
Contoh Bacaan Doa Hari Jumaat
Tiada doa yang khusus dan tetap untuk hari Jumaat. Sebaliknya, anda boleh berdoa dengan apa sahaja hajat yang ikhlas dari lubuk hati. Berikut dikongsikan contoh doa hari Jumaat (kredit kepada Datuk Wira Dr. Maznah Hamid) yang boleh diamalkan:
“Ya Allah, pada pagi Jumaat yang mulia ini anugerahkanlah kami rahmat-Mu, tempatkanlah kami di dalam perlindungan-Mu Ya Allah.”
“Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, seluruh keluarga kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami serta sekalian muslimin dan muslimat.”
“Ya Allah, tenangkanlah hati kami dengan segala perkara yang menimpa kami, perkuatkanlah semangat kami untuk beramal kepada-Mu Ya Allah.”
“Ya Allah, kuatkanlah dan sempurnakanlah iman kami. Ya Allah, terimalah taubat kami. Panjangkanlah umur kami, kurniakanlah kami keselamatan dan kesihatan yang baik.”
“Ya Allah, berkatilah kehidupan kami di dunia dan di akhirat, dan masukkanlah kami ke dalam syurga Firdaus-Mu. Didiklah diri kami untuk menerima segala ujian hidup dengan sabar dan reda.”
“Ya Allah, bimbinglah kami dalam menjaga hati kami, bantulah kami dalam menjaga akhlak kami, pimpinlah kami dalam menjaga lisan serta perbuatan kami, dan peliharalah diri kami daripada membenci dan dibenci.”
“Ya Allah Ya Tuhan kami, berikanlah kami kekuatan, taufiq, dan hidayah-Mu supaya dapat kami memperbaiki diri kami, mempertingkatkan keimanan, serta amalan baik kami. Amin Ya Rabbal Alamin.”
Soalan Lazim Tentang Hari Jumaat
Bilakah waktu bermulanya mandi sunat hari Jumaat?
Waktu bagi mandi sunat Jumaat bermula sejurus selepas masuknya waktu fajar (Subuh) pada hari Jumaat. Mandi yang dilakukan sebelum waktu tersebut (contohnya pada malam hari) tidak dikira sebagai mandi sunat Jumaat.
Adakah dibolehkan membaca surah Yasin pada malam Jumaat?
Boleh dan dibenarkan kerana membaca mana-mana surah al-Quran adalah amalan mulia pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, disunnahkan untuk mengutamakan pembacaan Surah al-Kahfi pada hari Jumaat bertepatan dengan galakan hadis nabi.
Mengapakah hari Jumaat diwajibkan solat berjemaah bagi kaum lelaki?
Bagi mengukuhkan syiar Islam, memberi peringatan agama secara berkala melalui khutbah, serta mempamerkan kesatuan jemaah umat Islam di sesuatu kawasan setempat.
Himpunan Bacaan Doa-Doa Yang Lain
Sumber Rujukan
- Alaf 21. 10 amalan sunat hari Jumaat yang boleh mendatangkan pahala.
- Info Pelajar (2016). Doa Yang Baik Di Hari Jumaat.
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2016). IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-126: Waktu Mustajab Pada Hari Jumaat.
- AboutIslam.net (2019). 10+ Hadiths about Friday and its blessings.
- Islam Question & Answer (2009). When does the time in which it is mustahabb to do ghusl on Friday begin?
- Tafsir Surah al-Jumu’ah Ayat 9.