Skip to content

7 Adab Sebelum Tidur Yang anda Perlu Tahu

adab sebelum tidur

Apakah adab-adab yang boleh diamalkan sebelum tidur? Artikel ini akan membincangkan beberapa adab sebelum tidur yang anda boleh amalkan.

Tidur yang berkualiti adalah sangat penting untuk setiap manusia. Makan, minum, berehat, dan tidur juga merupakan sumber tenaga yang menjadi keperluan dalam kehidupan.


Islam mengajarkan panduan yang sangat berguna kepada manusia tentang seluruh aspek kehidupan manusia. Artikel ini akan menerangkan kepada kita tentang adab-adab sebelum tidur.

7 Adab Sebelum tidur

1. Tidur pada awal waktu

Tubuh setiap orang mempunyai jam biologinya yang tersendiri. Kegunaannya adalah ia mampu mengawal sel pada hipotalamus (bahagian otak manusia) untuk menentukan rutin tubuh yang ditetapkan.

Namun begitu, seseorang yang memahami jam biologinya mampu untuk membuat aturannya sendiri. Contohnya, pada waku malam tubuh sudah terbiasa untuk berehat dan tidur, manakala waktu siang pula untuk bekerja.

Tidur yang cukup mampu memberikan banyak manfaat kepada manusia antaranya seperti:

⦁ Meningkatkan memori dan kebolehan untuk belajar
⦁ Mengawal selera makan
⦁ Meningkatkan kualiti kesihatan kulit
⦁ Meningkatkan daya fokus seseorang
⦁ Meningkatan daya kerja yang lebih efektik dan effisien

Namun begitu, jangan sampai tidur sebelum kita mendirikan solat isyak. Takut-takut terlepas pula waktu untuk menunaikannya.

2. Berwudhu

Wudhu dari segi bahasa bermaksud perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Manakala dari segi syarak pula wudhu bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.

Amalan berwudhu sebelum tidur termasuk dalam amalan-amalan sunat yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Hadis Al Baro’ bin ‘Azib, Baginda SAW bersabda,

Maksudnya: “Apabila kamu mahu tidur ambil wuduk dulu seperti kamu mahu sembahyang, kemudian baringlah di sebelah kanan.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hikmah berwudhu sebelum tidur bukan sahaja dapat mengimarahkan sunnah Rasulullah SAW tetapi dari segi sains pun ada kebaikannya. Ramai pakar kesihatan menganjurkan agar membersihkan kaki, mulut, dan muka sebelum tidur. Hal ini kerana ia dapat meningkatkan kualiti kesihatan kulit muka.

3. Bersihkan tempat tidur

Pernah atau tidak anda lihat ada orang mengibas atau membersihkan tempat tidurnya dengan penyapu lidi? Amalan ini selalu dilakukan pada zaman dahulu tetapi agak kurang ketika ini.
Sebenarnya, membersihkan tempat tidur merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah SAW.

Dari sahabat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda;
Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kalian ingin berbaring di tempat tidurnya, hendaklah ia kibas-kibas tempat tidurnya itu dengan sarungnya (kain). Kerana dia tidak tahu apa yang terjadi pada tempat tidurnya setelah ia tinggalkan sebelumnya.” – (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)

Antara sebab mengapa kita perlu membersihkan tempat tidur sebelum tidur adalah kerana:
⦁ Adanya kuman penyakit yang hinggap di tilam, bantal.
⦁ Adanya makhluk halus atau makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti jin, syaitan, dan iblis telah tidur di atas katil kita

4. Membaca doa-doa dan surah tertentu

Doa sebelum tidur boleh dibaca selepas seseorang itu selesai berwudhu dan membersihkan tempat tidur.

اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ

“Bismikallohumma ahya wa amuutu”

Maksudnya: “Dengan menyebut nama Mu Ya Allah, aku hidup dan aku mati.”
Selain itu dari ‘Aisyah RA juga ada berkata,

Maksudnya: “Nabi SAW ketika berada di tempat tidur di setiap malam, beliau menadah kedua tapak tangannya lalu ditiup dan dibacakan ‘Qul huwallahu ahad (surah al-ikhlas), ‘Qul a’udzu birobbil falaq’ (surah Al-Falaq), dan ‘Qul a’udzu birobbin nas’ (surah an-Nas).

Al-Baro’ bin Azib RA berkata, “Adalah Rasulullah SAW jika akan tidur, baginda mengiring ke sebelah kanan kemudian membaca:

Maksudnya: “Ya Allah aku serahkan diriku kepada Mu dan menghadapkan wajahku pada Mu dan menyerahkan semua urusanku kepada Mu dan menyandarkan punggungku kepada Mu kerana mengharap dan takut kepada Mu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksa Mu kecuali kembali kepada Mu. Aku percaya dengan kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utuskan.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan membaca doa-doa ini sebelum tidur, dapat menghindarkan diri kita dari mimpi buruk, terhindar dari gangguan syaitan, dapat bangun kembali keesokan harinya dengan keadaan yang baik, dan membentuk rasa syukur seorang hamba kepada Tuhannya.

5. Kedudukan badan menghadap ke arah kiblat

Jika berupaya untuk menyesuaikan kedudukan tempat tidur atau badan menghadap ke arah kiblat ia adalah lebih baik. Namun hukumnya tidaklah sehingga jatuh kepada haram sekiranya kita tidak tidur dalam keadaan tersebut.

Kedudukan tidur menghadap kiblat ini sangat memudahkan urusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran untuk mendirikan solat dalam keadaan yang sempurna. Lalu dengan posisi tidur menghadap kiblat ini akan membolehkan dia untuk terus solat seperti biasa dalam keadaan baring.

6. Posisi tidur menghala miring ke sisi kanan

Menurut Ibn Qayyim, “Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak susah untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat untuk jantung. Manakala, tidur pada sisi kiri juga bagus untuk badan tetapi membuat seseorag semakin malas.”

Ibn Qayyim merumuskan bahawa Nabi SAW tidak tidur dalam kekenyangan. Baginda berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah SWT, sehingga tertidur.

Berdasarkan haris Nabi Muhammad SAW, “Berbaringlah di atas rusuk kananmu.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Ini jelas menunjukkan bahawa adab tidur yang dianjurkan mengiring ke sebelah kanan mempunyai banyak manfaatnya dari segi sains dan kesihatan manusia.

Manfaat yang boleh diperoleh adalah seperti;
⦁ Mengurangi tekanan jantung
⦁ Merehatkan otak kiri
⦁ Mempercepatkan sistem pencernaan buang air besar
⦁ Merehatkan esophagus
⦁ Meningkatkan pengosongan kandungan hempedu dan pankreas
⦁ Meningkatkan waktu penyerapan zat makanan
⦁ Merehatkan kaki kiri
⦁ Melindungi kesihatan paru-paru
⦁ Melindungi saluran pernafasan

7. Letak tangan kanan di bawah pipi kanan

“Dan dari Hudzaifah bin Al-Yaman Radhiyallahu Anhu, ia berkata, ‘Apabila Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam hendak tidur, beliau meletakkan tangannya di bawah pipinya.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dengan meletakkan tangan di bawah pipi kanan adalah bentuk tidur yang sangat bersopan-santun seperti cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Kesimpulan

Tidur adalah ibadah yang menjadi keperluan bagi semua manusia. Apabila ibadah itu dilengkapi pula dengan amalan-amalan sunnah maka ianya akan menjadi lebih baik dan mendapat keberkatan amalan tersebut oleh Allah SWT.

Adab-adab yang Lain

Adab MesyuaratAdab Sebelum Tidur
Adab MakanAdab Masuk Tandas
Adab Kepada PemimpinAdab Kepada Tetamu
Adab BerdoaAdab Ziarah Orang Sakit
Adab Menaiki KenderaanAdab Bersedekah
Adab Membaca AlquranAdab Amar Maaruf Nahi Mungkar
Adab Kepada IbubapaAdab Berzikir
Adab Suami kepada IsteriAdab Isteri kepada Suami
Adab Ziarah KuburAdab Dengan Guru
Adab MusafirAdab dengan Jiran
Adab Menziarahi Jenazah

Rujukan

  1. Jam biologi pengaruhi aturan tubuh (Mac, 2018). Dr Norsham Juliana Nordin, Berita Harian
  2. Al-Khafi Li Al-Fatawim: Soalam 158 (Januari, 2016). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,
  3. Tidur Menurut Islam, Bidadari.my,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × four =