Skip to content

Doa Selepas Bacaan Yasin dan Kelebihan Bacaan Yasin

doa selepas bacaan surah yasin

Apakah bacaan doa selepas bacaan yasin? Artikel ini akan membincangkan bacaan doa selepas surah yasin dengan bantuan rumi dan teks arab bagi memudahkan para pembaca

Surah yasin dengan bantuan rumi

Pengenalan

Ramai mengetahui kelebihan dan kebaikan surah Yasin yang selalu dibaca oleh umat Islam terutamanya pada malam Jumaat, tambahan pula jika amalkan untuk membacanya tidak kira masa. Surah Yasin merupakan surah ke-36 dalam kitab suci al-Quran dengan 83 ayat yang termasuk di antara surah Makiyyah; ertinya surah yang diturunkan di Mekah. Ayat-ayat tersebut diturunkan sebelum Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah.

Bacaan Doa Yasin (selepas selesai membaca surah Yasin)

Akhirilah dengan bacaan doa berikut setelah selesai membaca surah Yasin :

doa selepas bacaan yasin 1

Ertinya : Segala puji bagi Allah S.W.T., Tuhan yang mentadbir seluruh alam, pujian yang melengkapi segala nikmat dan limpah kurniaNya. Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian seperti yang selayaknya dengan kebesaran zat dan keagunganMu. Ya Allah, cucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W. dan keluarga serta semua sahabat baginda.

Ya Allah wahai Tuhan kami, dengan keberkatan surah Yasin dan kitab al-Quran al-Hakim dan sesiapa yang Engkau pilih untuk membawa risalah, kenabian, kerasulan, pemerintahan dan petunjuk ke jalan yang betul hingga titian Sirat al-MustaqimMu. Dengan kitab al-Quran yang dibawa oleh malaikat Jibril dan dengan kekuatan huruf-huruf dan nama-nama yang sempurna yang Engkau miliki dan dengan apa yang Engkau perjelaskan dalam al-Quran tentang kewujudan setiap tanda-tanda yang menunjukkan (kewujudanNya), dan dengan limpah kurniaMu dapat menghilangkan keluh kesah dan dapat menyelesaikan beban hutang. Wahai Tuhan yang mengendalikan pergerakan laut dan matahari. Wahai Tuhan yang menjadikan khazanahNya di antara perkataan kaf dan nun daripada huruf KUN (ertinya jadilah maka yang dikehendakiNya pun jadi), Tuhan yang Maha Mengetahui sebelum dan selepas sesuatu keadaan.

Kami memohon kepadaMu Ya Allah agar Engkau membuka ruang keredhaanMu, jadikanlah kami Bersatu-padu memuji dan memuja kekayaanMu, dan kami mohon semoga Engkau permudahkan kami mencapai segala kehendak dan hajat kami. Engkau jadikanlah keredhaanMu sebagai peneman hidup kami dan dengan limpah kebesaranMu Engkau tunaikan permintaan kami secepat mungkin, perkenankanlah doa kami Ya Allah dan benarkanlah harapan kami disisiMu dan masukkanlah kami ke dalam rahsia firmanMu. Sesungguhnya kehendakMu apabila mengkehendaki sesuatu hanya dengan berkata : JADI, maka jadilah ia. Maha Suci Allah S.W.T. yang menguasai setiap sesuatu dan kepadaNyalah kembali semuanya. Maha Suci Allah S.W.T. yang menghapuskan segala kesedihan, Maha Suci Allah S.W.T. yang menghilangkan kesusahan dan Maha Suci Allah S.W.T. yang membantu menyelesaikan beban hutang dan Maha Suci Allah S.W.T. yang perbuatanNya apabila mengkehendaki sesuatu hanya dengan berkata : JADILAH, maka jadilah.

Ya Allah Tuhan yang melepaskan segala kesusahan, hilangkan, hilangkan. Ya Allah Tuhan yang menghilangkan penderitaan. Wahai Tuhan yang menghilangkan, hilangkanlah, Wahai Tuhan yang menghilangkan, hilangkanlah, hilangkanlah dari kami dukacita. Wahai Tuhan Yang Hidup, Yang Kekal dan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.

Dan Allah telah memberi rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W., keluarga dan para sahabatnya. Dan segala pujian bagi Allah S.W.T. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Selepas selesai membaca surah Yasin, bacalah surah-surah berikut sebelum membaca doa selepas surah yasin:

  • Surah Al-Insyirah (1x)
  • Surah Al-Qadr (1x)
  • Surah Al-Fiil (1x)
  • Surah Al-Ikhlas (1x)
  • Surah Al-Falaq (x1)
  • Surah An-Naas (1x)

Walau apa jua keadaan sekali pun, amalkan surah Yasin semata-mata mengharapkan keredhaan Allah S.W.T. untuk memperolehi segala keinginan yang baik di dunia mahu pun di akhirat. Marilah bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dengan memperbanyakkan ibadah dan selalu membaca surah Yasin.

Kebiasaan Surah yasin

Kebiasaannya, surah Yasin dibaca pada :

  1. Setiap malam Jumaat
  2. Memulakan atau menutup majlis ta’lim
  3. Ketika ada atau setelah kematian
  4. Tahlil arwah
  5. Majlis doa selamat
  6. Selepas solat Hajat terutamanya ketika menjelang peperiksaan sekolah

Keberkatan, Fadhilat dan Khasiat Surah Yassin

Banyak hadis Rasulullah menerangkan fadhilat, faedah dan hikmah membaca surah Yasin. Antaranya:

1. Diampunkan Dosa

Surah yasin merupakan salah satu surah yang spesifik dimana nabi menyatakan bahawa pembacaan surah ini mampu menghapuskan dosa yang banyak

Daripada Ma’qal bin Yassar r.a., dia berkata sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :


Ertinya :
Hati al-Quran ialah surah Yasin, tidaklah seseorang itu membacanya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah S.W.T. dan hari akhirat melainkan diampunkan oleh Allah S.W.T. segala dosanya. Bacalah surah Yasin kepada orang yang hampir akan mati dalam kalangan kamu.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’i)

2. Surah yang meliputi kebaikan di dunia dan akhirat

Terdapat hadis nabi yang menyatakan bahawa bagi sesiapa yang membaca surah ini, maka hajatnya akan dikabulkan.

Sabda Rasulullah S.A.W. :

Ertinya :Surah Yasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan “Al-Mu’immah” (yang menyelubungi) yang menyelubungi tuannya (pembacanya) dengan kebaikan dunia dan akhirat dan yang menanggung segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat dan dinamakan juga sebagai perisai dan penunai hajat, yang melindungi pembacanya dari setiap keburukan dan kejahatan dan yang menunaikan bagi pembacanya segala hajat dan kemahuan.” (HR Said bin Mansur dan al-Baihaqi dari Hasan bin Aziah)

3.  Menjadi Syafaat di hari Akhirat Kelak

Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh isteri nabi iaitu Aisyah RA dimana dia menyatakan bahawa nabi pernah bersabda mengatakan yang surah ini boleh menjadi syafaat kelak

Daripada Aisyah r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda :

Ertinya :Sesungguhnya dalam al-Quran itu terdapat suatu surah yang boleh memberi syafaat kepada orang yang membacanya dan mengampunkan dosa orang yang mendengarnya. Ketahuilah bahawa surah itu ialah surah Yasin.

4. Diringankan azab kubur

 Hadis disebutkan oleh al-Tha’labi daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda :

Ertinya :Sesiapa yang masuk (ziarah) tanah perkuburan lalu membaca surah Yasin maka Allah meringankan ke atas mereka (penghuni kubur) azab pada hari itu. Dan dia pula mendapat kebajikan sebanyak bilangan mereka yang bersemadi di dalam kubur berkenaan.

Tatacara Membaca Surah Yasin

Bacaan-bacaan berikut hendaklah dibaca sebelum membaca surah Yasin :

1. Mulakan dengan istighfar sebanyak tiga kali (3x).

2. Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebanyak 10 kali (Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammadin wa ‘ala Aalihi wasohbihi wasallim).

3. Hadiahkan bacaan surah al-Fatihah 1 kali.

4. Kemudian, terus baca surah Yasin.

Adab-Adab Membaca Surah Yasin

Terdapat beberapa adab semasa membaca surah Yasin seperti :

  1. Bacalah dengan tertib dan tartil, iaitu membaca dengan cara yang betul sebutan hurufnya, mematuhi segala hukum tajwidnya dan cara bacaannya.
  2. Bacalah dengan perlahan-lahan, tidak terlalu laju, fahami isi kandungannya serta dengan keadaan khusyuk dan tawadduk.
  3. Jika membaca secara beramai-ramai, hendaklah dibaca secara serentak dan mengikut imam.
  4. Bersiwak
  5. Diri berada dalam keadaan suci dan bersih dari hadas kecil dan besar.
  6. Berwuduk atau bertayyamum bagi yang ketiadaan air.
  7. Menjaga kebersihan dan keselamatan tempat.
  8. Mengadap kiblat.
  9. Digalakkan untuk bertasbih, beristia’zah dan meminta doa ketika membaca ayat yang berkaitan dengan kebesaran Allah SWT, azab dan rahmat.
  10. Menjauhkan diri dari bergelak ketawa, bersorakan, bercakap-cakap, bermain-main dengan tangan dan melihat perkara yang melalaikan ketika membaca al-Quran seperti melihat handphone melainkan ada perkara penting.
  11. Melihat al-Quran lebih digalakkan dari membaca secara hafazan.
  12. Digalakkan untuk mencantikkan suara dan bacaan.
  13. Menjaga makna pada setiap Ibtida’ dan wakafnya.
  14. Digalakkan untuk beristia’zah untuk mengulang bacaan ketika terputus, seperti menjawab salam dan menjawab bersin.

Diharapkan artikel doa selepas bacaan yasin ini dapat diamalkan oleh para pembaca sekalian.

Bacaan Doa yang lain

Doa sebelum dan selepas makanDoa Sebelum Tidur dan Bangun Tidur
Doa Qunut NazilahDoa Naik Kenderaan
Doa Masuk dan Keluar TandasDoa Wabak Penyakit
Doa Pagi Ma’thuratDoa Berbuka Puasa
Doa Meminta JodohDoa Kepada Ibubapa
Doa Pembuka dan Penutup MajlisDoa Ketika Melihat Cermin
Doa Ketika HujanDoa Hilangkan Gemuruh
Doa Dipermudahkan BersalinDoa Sembuh Penyakit dan Doa Nabi Ayub
Doa Belajar dan Penerang HatiDoa Abu Darda
Doa Ketika Barang HilangDoa Perlindungan

Rujukan :

  1. Darul Taklim. Surah Yasin, tahlil dan doa serta solat jenazah. Power Press and Design (M) Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
  2. Doa Selepas Membaca Surah yasin – Pijopooh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × two =