Panduan membaca Surah Yasin (Jantung Al-Quran) secara bergambar lengkap dengan ejaan sebutan rumi dan susunan terjemahan setiap ayat mengikut 14 bahagian.
Nota: Artikel ini disediakan bertujuan untuk membantu saudara seagama yang masih dalam proses mempelajari Al-Quran.
Infografik sebutan rumi & susunan terjemahan maksud ayat mengikut bahagian
Bahagian 1: Ayat 1 Sehingga 8
Ayat 1 – 8
Terjemahan Maksud (Bahagian 1):
Ayat 1: Ya siin.
Ayat 2: Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,
Ayat 3: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,
Ayat 4: Yang tetap di atas jalan yang lurus (ugama Islam).
Ayat 5: Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
Ayat 6: Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.
Ayat 7: Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.
Ayat 8: Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.
Bahagian 2: Ayat 9 Sehingga 12
Ayat 9 – 12
Terjemahan Maksud (Bahagian 2):
Ayat 9: Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).
Ayat 10: Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya – mereka tidak akan beriman.
Ayat 11: Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.
Ayat 12: Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
Bahagian 3: Ayat 13 Sehingga 18
Ayat 13 – 18
Terjemahan Maksud (Bahagian 3):
Ayat 13: Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
Ayat 14: Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: “Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu”.
Ayat 15: Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta”.
Ayat 16: Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,
Ayat 17: “Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata”.
Ayat 18: Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.
Bahagian 4: Ayat 19 Sehingga 23
Ayat 19 – 23
Terjemahan Maksud (Bahagian 4):
Ayat 19: Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.
Ayat 20: Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu –
Ayat 21: “Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk”.
Ayat 22: Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya): “Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
Ayat 23: “Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
Bahagian 5: Ayat 24 Sehingga 30
Ayat 24 – 30
Terjemahan Maksud (Bahagian 5):
Ayat 24: “Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.
Ayat 25: “Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)”.
Ayat 26: (Setelah ia mati syahid) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Ia berkata: “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui –
Ayat 27: “Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan”.
Ayat 28: Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.
Ayat 29: (Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.
Ayat 30: Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.
Bahagian 6: Ayat 31 Sehingga 36
Ayat 31 – 36
Terjemahan Maksud (Bahagian 6):
Ayat 31: Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).
Ayat 32: Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).
Ayat 33: Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.
Ayat 34: Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa mata air,
Ayat 35: Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?
Ayat 36: Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.
Bahagian 7: Ayat 37 Sehingga 41
Ayat 37 – 41
Terjemahan Maksud (Bahagian 7):
Ayat 37: Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;
Ayat 38: Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;
Ayat 39: Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.
Ayat 40: (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
Ayat 41: Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;
Bahagian 8: Ayat 42 Sehingga 47
Ayat 42 – 47
Terjemahan Maksud (Bahagian 8):
Ayat 42: Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.
Ayat 43: Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat diselamatkan, –
Ayat 44: Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.
Ayat 45: Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat”, (mereka tidak mengindahkannya).
Ayat 46: Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).
Ayat 47: Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu”, berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): “Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata”.
Bahagian 9: Ayat 48 Sehingga 52
Ayat 48 – 52
Terjemahan Maksud (Bahagian 9):
Ayat 48: Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): “Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!”,
Ayat 49: Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang – (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).
Ayat 50: Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.
Ayat 51: Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.
Ayat 52: (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: “Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?” (Lalu dikatakan kepada mereka): “Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!”
Bahagian 10: Ayat 53 Sehingga 58
Ayat 53 – 58
Terjemahan Maksud (Bahagian 10):
Ayat 53: Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).
Ayat 54: Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.
Ayat 55: Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;
Ayat 56: Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;
Ayat 57: Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;
Ayat 58: (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani (Salamun Qaulam Mir Rabbir Rahim).
Bahagian 11: Ayat 59 Sehingga 65
Ayat 59 – 65
Terjemahan Maksud (Bahagian 11):
Ayat 59: Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): “Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman).
Ayat 60: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
Ayat 61: “Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.
Ayat 62: “Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?
Ayat 63: “Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).
Ayat 64: “Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!”
Ayat 65: Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
Bahagian 12: Ayat 66 Sehingga 70
Ayat 66 – 70
Terjemahan Maksud (Bahagian 12):
Ayat 66: (Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?
Ayat 67: (Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mengubah keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.
Ayat 68: Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
Ayat 69: (Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;
Ayat 70: Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.
Bahagian 13: Ayat 71 Sehingga 76
Ayat 71 – 76
Terjemahan Maksud (Bahagian 13):
Ayat 71: Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?
Ayat 72: Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.
Ayat 73: Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?
Ayat 74: Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan) semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).
Ayat 75: Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.
Ayat 76: Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.
Bahagian 14: Ayat 77 Sehingga 83
Ayat 77 – 83
Terjemahan Maksud (Bahagian 14):
Ayat 77: Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),
Ayat 78: Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”
Ayat 79: Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);
Ayat 80: “Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu”.
Ayat 81: Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) – berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.
Ayat 82: Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau!”. Maka ia terus menjadi (Kun Fayakun).
Ayat 83: Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
صَدَقَ اللّٰهُ الْعَظِيْم
Maha Benar Allah dengan segala firman-Nya yang Maha Agung. Semoga bacaan kita beroleh syafaat dan keberkatan.
Maklumat asas kedudukan surah dalam mushaf Al-Quran
Surah Yasin dinamakan bersempena dua huruf potong (Huruf Muqatta’ah) pada ayat pertamanya iaitu Ya-Siin. Ia adalah surah ke-36 dalam susunan mushaf Al-Quran dan terletak merentasi Juzuk 22 hingga 23. Surah ini terkenal sebagai “Qalb Al-Quran” (Jantung Al-Quran) kerana kandungannya merangkumi tiga rukun aqidah yang paling asas: Tauhid (Keesaan Allah), Risalah (Kerasulan Nabi SAW), dan Ma’ad (Hari Kebangkitan & Pembalasan Akhirat).
Pusat nadi ajaran Islam yang mengalirkan roh keimanan kepada seluruh jiwa hamba
Para ulama tafsir menjelaskan bahawa sebagaimana jantung adalah organ paling vital yang membekalkan darah ke seluruh tubuh badan manusia, demikianlah Surah Yasin menjadi nadi penggerak kepada seluruh ajaran Al-Quran:
Menegakkan Kerasulan Nabi Muhammad SAW (Ayat 1-6): Allah bersumpah dengan Al-Quran Al-Hakim untuk mengesahkan bahawa Baginda SAW adalah rasul yang berada di atas jalan yang lurus (Sirat al-Mustaqim).
Menggugah Hati Yang Mati (Ayat 7-12): Menghuraikan hakikat orang-orang yang terkunci mata hatinya kerana kesombongan duniawi (dibelenggu leher dan disekat pandangan).
Kepastian Hisab Tulisan Amal (Ayat 12): Penegasan bahawa segala amalan dan kesan peninggalan manusia (Atsarahum) dicatat rapi dalam Kitab Induk yang nyata di hadapan Allah.
4. Kisah Penduduk Bandar (Ashabul Qaryah) & Pengorbanan Habib An-Najjar
Teladan keberanian mempertahankan tauhid dan kasih sayang seorang da’i sejati
Dalam ayat 13 sehingga 32, Allah SWT merakamkan kisah pertembungan antara kebenaran dakwah dengan kedegilan kaum musyrikin:
Pengutusan 3 Orang Rasul: Allah mengutuskan dua rasul kepada sebuah bandar (menurut tafsir ialah Antakya), lalu diperkuatkan lagi dengan rasul ketiga bagi menegaskan seruan tauhid tanpa meminta sebarang upah.
Keteguhan Habib An-Najjar (Ayat 20-25): Seorang lelaki beriman datang berlari dari hujung kota menyeru kaumnya mentaati para rasul tersebut. Apabila ditanya agamanya, beliau berikrar dengan penuh tawadhuk: “Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang telah menciptakan daku?”
Kemuliaan Syahid & Doa Untuk Kaumnya: Walaupun direjam sehingga syahid oleh penduduk bandar itu, tatkala disambut masuk ke dalam syurga, beliau tidak menyimpan dendam sebaliknya merintih: “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui sebab Tuhanku mengampunkan dosaku dan memuliakanku!”
Satu Pekikan Dahsyat (Shaihah Wahidah): Tanpa perlu menurunkan bala tentera malaikat dari langit, Allah membinasakan penduduk yang sombong itu hanya dengan satu laungan pekikan yang mematikan segalanya serta-merta.
Rantaian bukti saintifik alam semesta dan jawapan pematah hujah penentang hari kebangkitan
Keteraturan Cakerawala (Ayat 37–40)
Matahari beredar di paksi yang ditetapkan (Mustaqarrin Laha), bulan beredar sehingga melengkung seperti tandan tua (Kal-‘Urjunil Qadim), serta hukum fizik di mana matahari tidak mendahului bulan dan malam tidak mendahului siang.
Kebangkitan Semula & Kun Fayakun (Ayat 77–83)
Menjawab ejekan Ubay bin Khalaf yang meremukkan tulang reput, Allah menegaskan Tuhan yang menciptakannya kali pertama dari setitis benih dan mengeluarkan api dari pokok hijau pasti amat mudah menghidupkannya kembali dengan kalimah “Kun! (Jadilah!) Maka jadilah ia.”
6. Kelebihan & Fadhilat Mengamalkan Surah Yasin
Ganjaran pahala, keberkatan rezeki, dan keampunan dosa bagi pembacanya
Pahala Menyamai 10 Kali Khatam Al-Quran
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap sesuatu mempunyai jantung, dan jantung Al-Quran ialah Surah Yasin; sesiapa membacanya ditulis pahala bagai membaca Al-Quran sepuluh kali (HR. Tirmidzi).
Keampunan Dosa Pada Waktu Pagi & Malam
Daripada Abu Hurairah r.a., Baginda SAW bersabda: “Sesiapa membaca Surah Yasin pada suatu malam kerana mencari keredhaan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya pada malam tersebut.” (HR. Ad-Darimi & Ibnu Hibban).
Mempermudahkan Sakaratulmaut & Urusan Hajat
Disunatkan membaca Surah Yasin kepada orang yang sedang menghadapi sakaratulmaut untuk memberi ketenangan roh, serta dibaca ketika memohon hajat kebaikan kepada Allah SWT.
“Ya-Siin” (يس) adalah huruf-huruf muqatta’ah (huruf potong) yang rahsia maksud sebenarnya hanya diketahui oleh Allah SWT. Sebahagian ulama berpandangan ia juga merupakan salah satu nama mulia bagi Nabi Muhammad SAW.
2. Di manakah kedudukan Surah Yasin dalam Al-Quran?
Surah Yasin adalah surah ke-36, mempunyai 83 ayat, dan berada di antara Juzuk ke-22 dan ke-23 mushaf Al-Quran.
Kerana surah ini menghimpunkan intipati aqidah Islam yang paling kukuh merangkumi dalil ketuhanan (tauhid), bukti kebenaran kerasulan Nabi Muhammad SAW, serta kepastian hari pembalasan akhirat.
4. Siapakah lelaki yang beriman dalam ayat ke-20 Surah Yasin?
Menurut majoriti ahli tafsir, beliau ialah Habib An-Najjar (Habib si tukang kayu), seorang hamba soleh yang sanggup mengorbankan nyawanya demi mempertahankan kebenaran ajaran para rasul.
5. Apakah keistimewaan ayat ke-58 “Salamun Qaulam Mir Rabbir Rahim”?
Ia adalah ucapan salam penghormatan dan kesejahteraan secara langsung daripada Allah Ar-Rahim kepada para penghuni syurga, yang merupakan kemuncak nikmat kebahagiaan abadi.
6. Apakah yang berlaku kepada anggota badan pada hari kiamat menurut ayat 65?
Mulut manusia akan dikunci dan dimeterai, manakala tangan-tangan mereka akan berkata-kata dan kaki-kaki mereka akan menjadi saksi terhadap setiap dosa yang dilakukan semasa hidup di dunia.
7. Apakah maksud kalimah “Kun Fayakun” dalam ayat ke-82?
Ia bermaksud: “Jadilah engkau! Maka ia terus menjadi.” — Menegaskan bahawa kekuasaan Allah SWT tidak terbatas dan tidak memerlukan sebarang usaha atau perantaraan apabila Dia menghendaki sesuatu perkara wujud.
8. Bolehkah membaca Surah Yasin dengan panduan teks Rumi?
Boleh sebagai langkah bantuan permulaan bagi mereka yang sedang belajar, namun amat disarankan agar terus berusaha mempelajari sebutan makhraj huruf dan hukum tajwid Arab yang sebenar daripada guru yang muktabar.