Apakah lafaz doa sebelum tidur dan doa bangun tidur? Dalam artikel ini kami akan kongsikan bacaan doa tersebut dalam bahasa arab dan juga untuk bacaan rumi berserta kelebihannya dan adab-adab tidur.
Isi Kandungan |
Tidur merupakan salah satu rutin yang amat penting kepada kesihatan fizikal dan mental manusia. Menurut kajian yang telah diterbitkan oleh The Journal of Neuroscience pada tahun 2014 menyatakan bahawa seseorang yang kekurangan tidur selama 24 jam akan mengalami halusinasi dan lain-lain simptom yang mendorong ke arah schizophrenia.
Secara keseluruhannya, manusia menghabiskan satu per tiga daripada hidupnya untuk tidur. Tanpa tidur yang cukup, badan manusia akan mengalami gangguan dan tidak dapat berfungsi secara optima. Menurut kajian yang telah dikeluarkan oleh The National Sleep Foundation, tempoh keperluan tidur yang diperlukan oleh manusia berbeza-beza mengikut tahap umur dan faktor-faktor sekeliling yang lain.
Oleh sebab itu, di dalam Islam terdapat sunnah yang diajar oleh Nabi SAW untuk diikuti umatnya hatta berkaitan dengan cara tidur supaya kita mendapat tidur yang berkualiti dan pada masa yang sama tidur kita itu mampu menjana pahala kepada akhirat kita.
Adab-adab Sebelum Tidur
Terdapat beberapa adab yang boleh dilakukan sebelum tidur. Semoga perkara ini akan menambahkan pahala pada mereka yang mengamalkannya.
1. Berwudhuk sebelum tidur.
Perkara ini menjadi sunnah kerana nabi pernah menyuruh kita supaya mengambil wuduk sebelum dari tidur
Sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Apabila kamu mahu tidur ambil wuduk dulu seperti kamu mahu sembahyang, kemudian baringlah di sebelah kanan.” H.R Bukhari.
Kelebihan berwuduk sebelum Tidur
1. Didoakan malaikat sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud :
“Sucikan tubuh-tubuh ini dan Allah akan menyucikanmu. Ketika mana seorang hamba meluangkan masanya dalam keadaan bersuci, malaikat meluangkan malamnya di dalam rambut (hamba) tersebut dan ia tidaklah ia berpaling pada malam itu kecuali dia (malaikat tersebut) berkata: “Ya Allah ampuni hambamu kerana ia tidur dalam keadaan bersuci” (H.R Tabarani)
2. Sebagai persediaan menghadapi mati.
Tidur itu merupakan saudara kepada kematian kerana saat kita tidur, roh kita akan tercabut dari jasad buat sementara. Oleh itu, sebagai seorang muslim, kita perlu sentiasa ingat akan kematian dan membuat persediaan terbaik untuk menghadapinya. Sesungguhnya, cukuplah mati sebagai peringatan buat kita semua.
Rasulullah SAW bersabda: Bila kamu tidur, berwuduklah seperti kamu lakukan untuk solat, berbaring di atas kananmu dan katakan: ‘Ya Allah! Aku menyerah kepada-Mu dan aku serahkan segala urusanku kepada-Mu dan aku bergantung pada-Mu untuk keberkatan-Mu kedua-duanya dengan harapan dan ketakutan kepada-Mu. Tiada dapat melarikan diri daripada-Mu ya Allah! Aku percaya kepada Kitab-Mu yang telah Engkau wahyukan kepada Nabi-Mu yang telah Engkau hantar’. Dan jika kamu meninggal dunia pada malam itu, kamu akan meninggal dalam keimanan. Jadikan kata-kata di atas kata-kata terakhirmu (sebelum tidur). H.R Bukhari
2. Solat witir sebelum tidur.
Abu Hurairah meriwayatkan:
Sahabatku (Nabi Muhammad SAW) telah mengarahkan aku untuk melaksanakan tiga perkara: tiga hari puasa setiap bulan, dua rakaat solat dhuha dan melaksanakan witir sebelum tidur. (H.R Muslim)
Solat witir tidak semestinya dilakukan di sepertiga malam. Sebenarnya Solat Witir boleh dilakukan sebelum kita tidur ataupun selepas kita melakukan solat Isyak . Disebabkan ramai yang tidak jelas tentang waktu untuk melakukan solat witir maka, ramai umat Islam pada hari ini meninggalkan sunnah yang sangat penting ini.
Kelebihan Solat Witir
Ganjaran Pahala yang besar di sisi Allah
Solat sunat witir besar nilainya disisi Allah swt malah terdapat riwayat yang mengatakan Nabi Saw tidak pernah meninggalkan solat sunat witir walaupun sekali.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
“Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu Solat Witir.” (Hadis Riwayat al-Turmudzi dan al-Hakim r.a.)
3. Membaca doa sebelum tidur.
Doa Sebelum Tidur
Nabi Muhammad saw telah mengajarkan umatnya pelbagai doa untuk dijadikan amalan harian dalam hidup kita . Doa tidur yang telah diajarkan oleh Nabi SAW ialah :
Maksudnya:
”Dengan namaMu, ya Allah! Aku mati dan hidup”
Dari Hudzaifah, ia berkata: “Apabila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam hendak tidur, beliau mengucapkan: ‘Bismika allahumma amuutu wa ahya (Dengan nama-Mu, Ya Allah aku mati dan aku hidup).’ Dan apabila bangun tidur, beliau mengucapkan: “Alhamdulillahilladzii ahyaana ba’da maa amatana wailaihi nusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-Nya lah tempat kembali).” HR. Bukhari no. 6324
Sekiranya kita membaca doa ini dan ditakdirkan roh kita tidak lagi kembali ke jasad setelah kita tidur, insyaAllah kita mati dalam keadaan mengingati Allah dan beserah kepadaNya. Adakah keadaan mati yang lebih mulia selain mati dalam keadaan mengingati Allah?
4. Membaca doa bangun tidur
Doa Bangun Tidur
Membaca do’a bangun tidur iaitu :
Maksudnya : “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami kembali setelah mematikan kami dan kepada-Nya (kami) akan dibangkitkan.”
Kelebihan
Hadis dari Abu Hurairah r.a katanya;” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda maksudnya : “Syaitan itu memberikan ikatan pada hujung kepala seseorang di antara engkau semua sebanyak tiga ikatan, jikalau ia tidur. Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan kata-kata yang berbunyi: “Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!” Jikalau orang itu bangun lalu berzikir kepada Allah ta’ala maka terurailah sebuah ikatan dari dirinya, selanjutnya jikalau dia terus berwudhu’, lalu terurai pulalah ikatan satunya lagi dan seterusnya, jikalau ia bersolat, maka terurailah ikatan seluruhnya, sehingga berpagi-pagi ia telah menjadi bersemangat serta berhati gembira. Tetapi jikalau tidak sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas.” (Hadis Riwayat Muttafaqun ‘alaih).
Menerusi hadis ini, Rasulullah menjelaskan akan kepentingan untuk membaca doa bangun tidur untuk menguraikan ikatan syaitan pada badan manusia dan supaya hari kita dimulakan dengan mengingati Allah swt sebelum meneruskan aktiviti harian yang lain. Sekiranya kita berjaya membuka ketiga-tiga ikatan ini. Pastilah kita akan lebih bersemangat dan produktif pada hari tersebut.
Penutup
Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad itu amat memahami fitrah dan keperluan hidup seorang manusia. Islam bukan sekadar akidah dan kepercayaan malah merupakan sebuah panduan hidup. Oleh itu, setiap sisi kehidupan seorang muslim itu seharusnya berlandaskan cara hidup yang telah digariskan oleh Islam.
Sebagai seorang muslim, amatlah rugi sekiranya kita tidak mengikuti sunnah-sunnah yang telah ditinggalkan oleh Nabi saw untuk dijadikan sebagai kebiasaan dalam kehidupan seharian kita. Setiap rutin dan amalan kita hendaklah kita niatkan semuanya kerana Allah swt semata-mata. Ibadahkan tidur kita.
Di samping kita menunaikan hak badan kita untuk mendapat rehat yang cukup melalui tidur, alangkah beruntungnya sekiranya pada masa yang sama kita mendapat pahala ibadah dari tidur kita itu. Ibadahkan tidur kita dan selamat beramal!
Bacaan Doa yang lain