Apakah tanda akil baligh bagi lelaki dan Perempuan?
Dalam artikel ini, kami akan menerangkan beberapa tanda-tanda baligh bagi lelaki dan perempuan secara lengkap dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi ketika mana mereka telah baligh.
MAKSUD BALIGH
Akil baligh bermaksud telah cukup umur mengikut Hukum Syarak, di mana baligh berasal dari perkataan bahasa Arab yang bermaksud sampai. Dari segi istilah, akil baligh boleh difahami sebagai sampai atau cukup satu tahap umur manusia dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi untuk memikul tanggungjawab serta menerima dan mengamalkan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Definisi akil baligh boleh difahami sebagai satu peringkat dalam hidup, di mana tubuh badan berubah dari seorang kanak-kanak ke seorang dewasa. Dalam fasa perubahan baligh, individu lelaki atau perempuan juga dikatakan sudah akil baligh apabila akalnya sudah berfungsi dengan sempurna untuk membezakan dan memilih mana yang baik atau benar dan mana yang buruk atau salah.
TANDA BALIGH
Secara umumnya, masa baligh bagi setiap individu adalah berbeza dan tidak sama. Akil baligh bermula antara umur 9 – 16 tahun bagi lelaki dan perempuan. Ada yang baligh lebih awal dan ada yang lewat, bergantung kepada individu. Jika anak lelaki telah mencapai usia 12-15 tahun, menurut kiraan Hijrah, maka penjaga atau ibubapa mestilah menjelaskan kepadanya tanda-tanda baligh.
TANDA BALIGH BAGI LELAKI
- Apabila keluar air mani (sudah punya syahwat) melalui mimpi yang lain daripada biasa.
- Mulai saat itu si anak telah baligh (cukup umur) dan mukallaf (dibebani) oleh hukum-hukum Syarak seperti halnya orang dewasa.
Manakala bagi anak perempuan pula, pendidik atau ibubapa mestilah menjelaskan kepada anak gadis tentang tanda baligh apabila ia berusia sembilan tahun ke atas menurut kiraan Hijrah.
TANDA BALIGH BAGI PEREMPUAN
- Apabila mendapati darah haid keluar dari kemaluannya, bererti ia telah balighah dan mukallafah.
- Kadangkala tanda baligh anak gadis bukan melalui keluar darah haidnya. Ada juga anak gadis yang tanda balighnya melalui mimpi.
- Hal ini dapat dikesan jika mendapati air halus berwarna kuning pada kainnya apabila ia sedar (setelah mengalami kelainan mimpi daripada biasa).
Selain mimpi, penentuan baligh kanak-kanak perempuan adalah dengan kedatangan haid dan juga kehamilan. Tanda-tanda tersebut adalah berdasarkan riwayat Ummu Salamah yang berbunyi:
Maksudnya: “apabila seseorang hamba telah datang haid, maka wajiblah keatasnya sebagaimana yang diwajibkan keatas ibunya.”
Hadis riwayat ini juga disokong oleh satu riwayat Aisyah yang berbunyi:
Maksudnya: “apabila seseorang hamba perempuan telah mencapai umur 9 tahun, maka dia telah dianggap sebagai seorang wanita dewasa.”
Menurut majoriti ulama, antaranya Mazhab Syafie, Mazhab Hanafi, dan Mazhab Hambali dan kebanyakan ulama Mazhab Maliki menerangkan bahawa sekurang-kurang umur datangnya haid ialah sembilan tahun.
Had umur kanak-kanak yang tiada mimpi atau datang haid
Bagi kanak-kanak yang tidak bermimpi atau tidak datang haid, umur balighnya ialah 15 tahun. Penetapan umur tersebut hanya berdasarkan ijtihad dan kebiasaan. Hakikatnya, setiap kanak-kanak berbeza dari segi umur akil baligh.
Faktor yang mempengaruhi akil baligh
Antara faktor-faktor penting kepada akil baligh adalah keturunan, hormon, berat dan lemak badan. Testosteron adalah androgen yang memainkan peranan penting pada perkembangan akil baligh lelaki, contohnya berlaku perubahan luar genital iaitu perubahan ketinggian dan suara. Manakala Estradiol adalah hormone estrogen yang penting bagi perkembangan akil baligh perempuan. Apabila tahap estadiol dalam badan meningkat, maka perubahan buah dada, uterin dan rangka tulang terjadi.
Mandi Hadas
Apabila melangkah ke alam baligh, anak lelaki perlu diberi bimbingan yang sempurna oleh ibubapa atau pendidik untuk melaksanakan mandi hadas untuk mengangkat hadas besarnya. Manakala, anak gadis pula diberi bimbingan dan ingatan supaya mandi hadas setelah selesai tempoh haid sesingkat 1 hari dan maksimum 15 hari.
Dari segi Syarak mandi hadas bertujuan menyucikan diri dari hadas besar. Mandi hadas terdiri daripada 3 perkara utama, iaitu:
1. Berniat
Berniat untukmenyucikan diri dari hadas besar semasa air membasahi tubuh.
“Sahaja aku mandi wajib untuk menghilangkan hadas besar kerana Allah Taala.”
2. Menyucikan segala kotoran atau najis yang ada pada tubuh.
3. Meratakan air ke seluruh tubuh dan dicelah lipatan kulit.
Ada beberapa perkara yang disunatkan dilakukan semasa mandi wajib:
- Mengadap kiblat.
- Membaca bismillah.
- Membasuh tangan terlebih dahulu sebelum mencedok air.
- Mengambil whuduk terlebih dahulu sebelum mandi.
- Menjirus anggota disebelah kanan badan diikuti dengan anggota sebelah kiri.
- Menggosok-gosok dan menghilangkan daki terutama di celah lipatan kulit.
- Berterusan mandi sehingga selesai.
KEWAJIPAN KEATAS LELAKI DAN PEREMPUAN YANG TELAH BALIGH
Allah SWT telah menjadikan baligh itu sebagai salah satu tanda sempurnanya akal. Orang Islam yang akil baligh disebut juga sebagai ‘mukallaf’. Seseorang dikatakan sebagai mukallaf iaitu orang yang terkena kewajiban syariat, jika memiliki dua unsur utama:
- Telah baligh (baalighun)
- Berakal, tidak gila (‘aaqilun)
Individu yang mencapai baligh sudah wajib menunaikan perintah Allah, kerana dia menjadi seorang yang layak menerima taklif (tanggungjawab) yang ditentukan oleh Syarak seperti solat, puasa, haji dan lain-lain. Setelah baligh, seorang remaja wajib mengikat dirinya dengan hukum syarak kerana sudah mempunyai buku amalan sendiri. Pada tahap baligh, setiap lelaki dan perempuan akan dihitung amalannya oleh Malaikat Raqib bagi setiap kebaikan dan Malaikat Atid bagi setiap kemungkaran dan dosa yang dilakukan.
Ulama al-Malikiyyah mengatakan umur baligh adalah sempurnanya 18 tahun, dikatakan juga dengan persetubuhan atau dengan bermimpi (keluar mani) berdasarkan sabda Nabi SAW:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثٍ: عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ
Maksudnya: “Diangkat pena pada 3 perkara: Antaranya daripada budak sehingga dia bermimpi.” (Riwayat Abu Daud)
Ataupun apabila datangnya haid (bagi wanita) berdasarkan sabda Nabi SAW:
لاَ يَقْبَل اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ
Maksudnya: “Allah SWT tidak akan menerima solat orang yang telah berhaid melainkan dengan menutup kepala.” (Riwayat Ahmad)
Kanak-kanak ini perlu diajarkan tentang:
1. Kalimah Syahadah
Kanak-kanak yang telah menjejakkan kaki ke alam baligh bererti telah cukup umur dan sempurna akal atau mukallaf. Mereka perlu diajar dua kalimah syahadah, didorong melakukan amalan soleh dan semua ibadah wajib serta meninggalkan semua larangan Allah SWT. Syahadah bererti penyaksian atau pengakuan seseorang terhadap sesuatu. Apabila seseorang itu MENGUCAPKAN SYAHADAH bererti ia telah mengaku dengan lidahnya mengenai sesuatu.
Dua fardhu syahadah, pertama adalah diikrarkan dengan lidah, dan kedua ditasdiqkan dengan hati. Lidahnya hendaklah mengucapkan penyaksian itu sama ada dalam bahasa Arab atau bahasanya sendiri
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”
Tuntutan syahadah dibuktikan dengan menunaikan rukun Islam iaitu solat lima waktu, zakat, puasa dan haji. Disamping itu, menurut segala perintah Allah dan meninggalkan larangannya.
2. Islam
Islam bererti tunduk dan patuh menurut segala peraturan dan panduan zahir serta batin yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. Iman dan Islam tidak boleh diceraikan untuk memperoleh pelepasan azab di Akhirat nanti.
3. Rukun Islam
Rukun Islam diibaratkan seperti tiang-tiang yang saling memerlukan dan melengkapi untuk menegakkan Islam dengan sempurna. Rukun Islam ada 5 perkara:
- Mengucap dua kalimah syahadah.
- Mendirikan solat 5 waktu sehari semalam.
- Menunaikan zakat.
- Puasa pada bulan Ramadhan.
- Mengerjakan haji ke Baitullahil-Haram bagi yang berkemampuan.
Semasa zaman kanak-kanak dan belum baligh, anak lelaki dan anak perempuan tidak dipertangungjawabkan melaksanakan kewajipan syariat Islam. Walaubagaimanapun, ibubapa bertangungjawab melatih mereka melakukan tanggungjawab tersebut seperti SOLAT LIMA WAKTU, berpuasa dan lain-lain.
Nabi Muhammad pernah berkata: “Suruhlah anak-anakmu bersembahyang apabila mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika mereka tidak mahu, apabila mereka berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah tempat tidur antara mereka.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
BERPUASA adalah kewajipan tahunan yang dituntut oleh Allah selama sebulan di bulan Ramadhan pada setiap tahun. Ia merupakan kewajipan untuk setiap Muslim yang baligh dan berakal tanpa keuzuran.
Allah berfirman: “Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
ZAKAT adalah salah satu ibadah besar dalam Islam dan merupakan rukun Islam yang mulia. Allah SWT mewajibkan zakat kepada orang Islam yang layak. Zakat adalah hak kepada golongan yang ditetapkan dalam Al-Quran. Allah SWT menyatakan:
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum sedemikian itu adalah) satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 60)
IBADAH HAJI adalah puncak pengabdian insan Muslim terhadap Allah SWT, setelah ia memenuhi tuntutan syahadah, menunaikan ibadah anggota tubuh badan yakni solat, menundukkan hawa nafsu menerusi puasa di bulan Ramadhan dan memenuhi kewajipan ke atas hartanya menerusi amalan berzakat. Menunaikan fardu haji adalah wajib bagi mereka yang berkuasa.
Tuntutan mengerjakan ibadah haji ini bersesuaian dengan firman Allah SWT: “Dan maklumkanlah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada engkau (wahai Ibrahim) dengan berjalan kaki dan mengenderai setiap unta yang kurus mereka datang dari segenap ceruk penjuru (atau pelosok) yang jauh (seluruh dunia).”
PENUTUP
Sebagai orang yang paling dekat dengan kanak-kanak, ibubapa dan pendidik wajar menjelaskan tanda baligh dan tanggungjawab menjalankan kewajipan berdasarkan syariat Islam. Lima kewajipan yang disenaraikan di atas berdasarkan rukun Islam adalah diantara tanggungjawab sebagai orang dewasa yang beragama Islam.
Kanak-kanak yang telah baligh perlu sedar kini mereka memikul tanggungjawab ke atas setiap dosa pahala yang dilakukan, setiap perbuatan yang dilakukan dicatit oleh malaikat kini ditanggung oleh diri mereka sendiri. Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah mentaati perintah Allah selari dengan petunjuk Sunnah Nabi.
Nilai kehidupan insan itu didasarkan kepada satu tanggungjawab utama iaitu untuk menjuruskan segala perlakuan dan perkataan ke arah pengabdian diri secara sepenuhnya terhadap Allah SWT, menerusi tatacara kehidupan yang dibawa oleh Rasullah SAW. Oleh itu, Al-Quran dan Sunnah wajar menjadi pegangan agar kita tidak tersesat dalam mengamalkan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.