Skip to content

Perang Karbala: Sejarah dan Kronologi

perang karbala

Artikel ini akan membincangkan Perang Karbala, salah satu peperangan yang mencatat sejarah hitam kepada umat Islam.

Bilakah Perang Karbala Berlaku?

Perang Karbala berlaku pada 10 Muharram tahun ke-61 Hijrah. Perang tersebut melibatkan pertempuran antara Sayyidina Husain bin Ali, cucu Rasulullah SAW bersama pengikutnya dan tentera Bani Umayyah di bawah pemerintahan Yazid bin Muawiyah di suatu tempat yang bernama Karbala. Rentetan peristiwa peperangan tersebut, umat Islam menyambut Hari Asyura dengan berpuasa sunat.

Sebab Berlakunya Perang Karbala

Pelantikan Yazid bin Muawiyah sebagai khalifah umat Islam selepas kewafatan ayahnya, Muawiyah bin Abu Sufyan menimbulkan penentangan dari Sayyidina Husain bin Ali dan penduduk Kufah yang majoritinya terdiri daripada pengikut Sayyidina Ali. Hal ini kerana, pelantikan tersebut tidak didasari dengan sistem syura (perbincangan) seperti yang telah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin sebelumnya, tetapi didasari dengan sistem pewarisan keluarga. Selain itu, pelantikan tersebut telah melanggar syarat perjanjian yang ditetapkan oleh Sayyidina Hasan bin Ali, sebelum beliau menyerahkan jawatannya sebagai khalifah kepada Muawiyah. 

Penduduk Kufah Menyokong Penentangan

Penentangan Sayyidina Husain ke atas kekhalifahan Yazid menyebabkan beliau bersama Abdullah bin Zubair, serta pengikutnya yang lain melarikan diri ke Mekah kerana enggan memberi baiat kepada Khalifah Yazid. Sepanjang Sayyidina Husain tinggal di Mekah, beliau telah menerima beratus-ratus surat dari penduduk Kufah yang menyatakan sokongan penuh untuk menentang kekhalifahan Yazid dan menjemputnya datang ke Kufah. 

Atas nasihat sahabat dan sanak saudaranya, Sayyidina Husain telah mengutus Muslim bin Aqil untuk berjumpa dengan penduduk Kufah. Penduduk Kufah yang berkobar-kobar memusuhi pemerintahan Khalifah Yazid datang memberikan baiah kepada Muslim yang mewakili Husain. Melihat semangat penduduk Kufah, Muslim mengutus surat kepada Sayyidina Husain untuk memintanya datang ke Kufah. Nu’man bin Bashir, gabenor Kufah pada ketika itu, tidak menentang kedatangan Muslim tetapi cuba memadamkan api kebencian penduduk Kufah terhadap Khalifah Yazid kerana bimbang akan berlaku pertumpahan darah.

Pengkhianatan Penduduk Kufah

Tindakan Nu’man yang tidak menghalang kedatangan Muslim menyebabkan beliau dipecat dan kedudukannya sebagai gabenor Kufah telah diganti oleh Ubaidullah bin Ziyad. Ubaidullah memberi ugutan yang keras terhadap penduduk Kufah yang menyokong perjuangan Sayyidina Husain dan menawarkan ganjaran kepada mereka yang berpaling dari perjuangan tersebut. Kesannya, 18 000 penyokong Sayyidina Husain yang bersama Muslim berkurang menjadi 40-50 orang sahaja. 

Muslim pula telah ditangkap dan dibawa menghadap Ubaidillah. Sebelum dibunuh oleh Ubaidullah, Muslim menitipkan pesanan kepada Umar bin Saad untuk memberitahu Sayyidina Husain agar tidak datang ke Kufah, kerana penduduk Kufah telah mengkhianati beliau. Namun, surat tersebut tidak sempat sampai kepada Sayyidina Husain yang telah bertolak dari Mekah ke Kufah.

Perjalanan Sayyidina Husain Bin Ali Ke Kufah

Keputusan Sayyidina Husain untuk pergi ke Kufah mendapat penentangan dari para sahabat. Salah seorang sahabat yang menentang, Abdullah bin Abbas mengingatkan Sayyidina Husain tentang sikap penduduk Kufah yang sering berpaling arah dan tidak berpendirian tetap. Namun, Sayyidina Husain tetap meneruskan tekadnya dan pergi ke Kufah bersama 140 rombongan yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara dan pengikut beliau.

Semasa hampir tiba di Kufah, Sayyidina Husain menerima khabar mengenai kematian Muslim dan pengkhianatan penduduk Kufah. Ramai pengikutnya mencadangkan kepada Sayyidina Husain agar kembali ke Mekah. Namun, mendengar semangat saudara-saudara Muslim yang ingin membalas dendam, Sayyidina Husain memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke Kufah. Maka, rombongan Sayyidina Husain berpecah kepada dua; sesetengah berpatah balik ke Mekah manakala 80 orang lagi mengikuti beliau menuju ke Kufah.

Perang Karbala Tercetus

Sesampainya Sayyidina Husain di Kufah, beliau telah dihalang oleh 1000 tentera utusan Ubaidullah di bawah pimpinan al-Hur bin Yazid. Rombongan Husain meneruskan perjalanan ke satu tempat yang dinamakan Karbala dengan diekori oleh tentera al-Hur bin Yazid. 4000 tentera utusan Ubaidullah yang dipimpin oleh Umar bin Saad juga tiba di Karbala. Pasukan Bani Umayyah yang kini dipimpin oleh Umar bin Saad berunding dengan Sayyidina Husain untuk mencipta jalan perdamaian. Sayyidina Husain menyatakan kesediaannya untuk pulang ke Mekah atau pergi menghadap Khalifah Yazid untuk berunding. Hasrat Sayyidina Husain tersebut kemudiannya diberitahu kepada Ubaidullah melalui utusan surat dari Umar bin Saad. 

Ubaidullah pada mulanya bersedia untuk menerima permintaan Sayyidina Husain tersebut dan berdamai dengannya. Namun, atas hasutan Syamir bin Zul Jausyan, dia mengubah fikirannya dan meminta Sayyidina Husain untuk menyerah jika tidak ingin dibunuh. Keengganan Sayyidina Husain untuk menyerah menyebabkan pemimpin tentera Bani Umayyah, Umar bin Saad mengambil keputusan untuk bertempur dengan Sayyidina Husain dan pengikutnya. Pertempuran tersebut menyebabkan ramai pengikut, sanak saudara dan ahli keluarga Sayyidina Husain termasuk putera beliau, Ali al-Akbar serta putera bongsu beliau yang baru lahir gugur syahid dipanah tentera Bani Umayyah.

Pertempuran berlangsung sehingga tinggal lima orang lelaki termasuk Sayyidina Husain yang masih hidup, beserta kaum wanita dan kanak-kanak yang mengikuti rombongan beliau. Tentera Bani Umayyah terus menyerang dan memanah Sayyidina Husain menyebabkan beliau menjadi lemah dan penuh dengan luka. Namun, tiada seorang pun dari tentera Bani Umayyah yang berani membunuh Sayyidina Husain kerana bimbang tangan mereka bergelumang dengan darah cucu Rasulullah SAW. Atas arahan Syamir, seorang pemuda bernama Sinan bin Anas an-Nakha’i menikam dada Sayyidina Husain dengan lembing sebanyak dua kali, dan kemudian memancung kepala beliau. Maka, gugurlah Sayyidina Husain sebagai seorang yang shahid. 

Kekejaman Ke Atas Mayat Sayyidina Husain 

Setelah Sayyidina Husain wafat, tentera Bani Umayyah terus melakukan kekejaman terhadap mayat beliau, dengan melucutkan pakaian, merampas barangan yang dipakai serta menginjak mayat beliau dengan kuda sehingga hancur. Tentera Bani Umayyah turut menginjak mayat-mayat pengikut Sayyidina Husain, menceroboh khemah beliau dan merampas harta benda dari isteri dan anak-anak beliau.

Kemudian, kepala Sayyidina Husain serta kaum wanita dan anak-anak beliau yang menjadi tawanan dibawa kepada Ubaidullah ke Kufah. Penduduk Kufah yang menyaksikan perkara tersebut berasa menyesal dan bersalah kerana tidak mempertahankan Sayyidina Husain. Apabila tiba di istana, Ubaidullah tidak berasa sedih sedikitpun meihat kepala Sayyidina Husain dipersembahkan kepadanya, malah memukul kepala beliau menggunakan pedang. Ubaidullah hanya berhenti memukul setelah dicela oleh para sahabat yang melihat perlakuan buruk tersebut. 

Apabila kepala Sayyidina Husain dibawa kepada Khalifah Yazid di Damsyik, beliau menzahirkan rasa sedih dan mencela Ubaidullah. Diriwayatkan bahawa Khaifah Yazid tidak mengarahkan Ubaidullah untuk membunuh Sayyidina Husain, tetapi menghalang kekuasaannya di Kufah. Malah, Khalifah Yazid membebaskan keluarga beliau yang ditawan oleh tentera Bani Umayyah untuk dihantar pulang ke Madinah. Diriwayatkan bahawa kepala Sayyidina Husain dikebumikan di Karbala oleh puteranya yang terselamat dalam perang tersebut, bernama Ali Zainal Abidin.

Dalil Yang Berkaitan Dengan Perang Karbala

Riwayat yang paling sahih yang menceritakan peristiwa Karbala dilihat pada Hadith Bukhari yang berbunyi;

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أُتِيَ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ زِيَادٍ بِرَأْسِ الْحُسَيْنِ فَجُعِلَ فِي طَسْتٍ فَجَعَلَ يَنْكُتُ وَقَالَ فِي حُسْنِهِ شَيْئًا فَقَالَ أَنَسٌ كَانَ أَشْبَهَهُمْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ مَخْضُوبًا بِالْوَسْمَةِ

Maksudnya: Anas bin Malik berkata, “Kepala Husain dibawa dan didatangkan kepada Ubaidullah Bin Ziyad. Kepala itu diletakkan di dalam bejana. Lalu Ubaidullah Bin Ziyad menusuk-nusuk (dengan pedangnya) dan mengulas sedikit tentang ketampanan Husain”. Anas mengatakan, “Diantara Ahlul bait, Husain adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW”. Saat itu, Husain digilap rambutnya dengan wasmah (sejenis inai).

Hadith tersebut menceritakan tentang Ubaidullah yang menusuk-nusuk kepala Husain dengan pedangnya setelah beliau dibunuh. Diriwayatkan bahawa sahabat Rasulullah SAW yang terdiri daripada Zaid bin Arqam dan Anas Bin Malik meminta agar Ubaidullah menyingkirkan pedang tersebut kerana tidak rela melihat cucu Rasulullah SAW diperlakukan sedemikian rupa. Kesan daripada pembunuhan Husain, Ubaidullah telah wafat dalam keadaan yang dahsyat. Demikianlah balasan Allah SWT kepada orang yang zalim.

Pandangan Terhadap Peristiwa Perang Karbala

Terdapat pelbagai pandangan yang muncul rentetan peristiwa pembunuhan tragis Sayyidina Husain di Karbala. Pandangan Ahli Sunnal Wa al-Jamaah menyatakan bahawa Sayyidina Husain tergolong sebagai orang yang terzalimi dan syahid, dan bukanlah juga seorang pemberontak. Hal ini kerana, beliau tidak mengerahkan penduduk Mekah yang sangat menyanjunginya untuk turut serta ke Kufah.

Selain itu, muncul juga persoalan tentang pembunuh sebenar Sayyidina Husain. Sesetengah pandangan menyalahkan Khalifah Yazid bin Muawiyah serta melemparkan fitnah-fitnah buruk yang melampau terhadap beliau. Perlu diingat bahawa ketika kepala Sayyidina Husain diberi kepada beliau, beliau menangis dan melaknat Ubaidullah. Hanya saja beliau tidak menghukum pembunuh Sayyidina Husain secara tegas.

Muncul juga beberapa perkara bid’ah berikutan peristiwa Perang Karbala. Bagi meratapi tragedi yang berlaku kepada Sayyidina Husain, golongan Syiah menyambut Hari Asyura dengan menampar-nampar, berteriak, dan merobek-robek pakaian mereka serta mencaci maki dan melaknat generasi Salaf. Perkara bid’ah tersebut tidak wajar diikuti oleh umat Islam. Kita diperbolehkan mengenang peristiwa Karbala dengan berpuasa sunat pada Hari Asyura.

Rujukan

  1. Tarikuddin Bin Haji Hassan. 2008. Sejarah 2 Cucunda Rasulullah SAW: Sayyidina Hasan RA & Sayyidina Husein RA. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa.
  2. Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat. Peristiwa Karbala Dalam Pandangan Ahlussunnah Wal Jama’ah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 − 1 =